Jumaat, 21 Februari 2014

Imam Ibnu as-Sunni

Nama Imam Ibnu al-Sunni mungkin jarang didengari oleh masyarakat Islam di Malaysia berbanding nama ulama-ulama hadith yang lain seperti Imam al-Bukhari, Imam Muslim, Imam Abu Daud dan lain-lain. Tetapi, dalam pengajian ilmu hadith beliau merupakan antara ulama hadith yang terkenal dengan karya beliau Amal al-Yaum wa al-Lailah dan beliau juga merupakan antara anak murid utama Imam an-Nasai’i.

Nama dan kelahiran

Nama sebenar Imam Ibnu al-Sunni ialah Abu Bakar Ahmad bin Muhammad bin Ishak bin Ibrahim bin Asbath (أَسْبَاط) bin Abdullah bin Ibrahim bin Budaih (بُدَيْح) Maula Abdullah bin Ja’far bin Abi Thalib al-Hasyimi al-Ja’fari al-Dinawari, tetapi beliau lebih dikenali dengan nama Ibnu al-Sunni.

Al-Dinawari merupakan nisbah kepada Dinawar, nama sebuah tempat yang pada hari ini terletak di negara Iran.

Mengenai gelaran al-Sunni pula, kata al-Sam’ani dalam kitab al-Ansab: “Ini adalah nisbah kepada sunnah yang merupakan lawan kepada bidaah. Apabila telah ramai ahli bidaah maka sebahagian (ulama) mengkhususkan penisbahan ini (kepada orang yang mengikut sunnah).”

Menurut al-Hafiz al-Zahabi dalam Siyar A’lam al-Nubala’ beliau dilahirkan sekitar tahun 280 Hijrah.

Pengembaraan ilmu

Imam Ibnu al-Sunni merupakan antara ulama hadis yang banyak mengembara. Beliau  telah mengembara ke pelbagai negara Islam seperti Mesir, Iraq, Syam dan Hijaz dalam usaha beliau menuntut ilmu dan mengumpulkan hadis.

Guru-guru

Antara guru-guru yang beliau meriwayatkan hadis daripada mereka ialah:

1 - Imam al-Nasai’i, pengarang kitab al-Sunan al-Kubra dan al-Sunan al-Sughra yang juga dikenali sebagai al-Mujtaba. Meninggal dunia pada tahun 303 Hijrah.

2 - Imam Abu Ya’la al-Mausili, pengarang kitab Musnad Abu Ya’la. Meninggal dunia pada tahun 307 Hijrah.

3 - Imam Ibnu Jarir al-Tabari, pengarang Tafsir al-Tabari dan Tarikh al-Tabari. Meninggal dunia pada tahun 310 Hijrah.

4 - Imam Ibnu Qani’, pengarang kitab Mu’jam al-Sahabah. Meninggal dunia pada tahun 317 Hijrah.

5 - Imam Zakariyya bin Yahya al-Saji. Meninggal dunia pada tahun 307 Hijrah.

Terdapat ramai lagi guru beliau, tetapi saya sekadar menyebutkan beberapa orang yang terkenal sahaja.

Murid-Murid

Antara murid-murid yang meriwayatkan hadis daripada beliau ialah:

1 - Abu ‘Ali Ahmad bin Abdullah al-Asbahani

2 - Abu Hasan Muhammad bin ‘Ali al-‘Alawi

3 - ‘Ali bin Umar al-Asad Abadi

4 - Al-Qadhi Nasir al-Kassar

Murid-murid beliau boleh dikatakan agak kurang masyhur dan jarang didengari nama mereka.

Pekerjaan

Beliau pernah menjadi Qadhi di kawasan al-Ray, Iran. Namun setelah itu beliau meletak jawatan dan kembali ke Dinawar. Apabila beliau ditawarkan semula untuk menjadi Qadhi beliau menjadi sangat marah.

Puji-Pujian Ulama Terhadap Beliau

1 - Al-Hafiz al-Zahabi dalam Siyar’ A’lam al-Nubala’ memuji beliau dengan berkata: “Seorang imam, al-hafiz, thiqah (dipercayai) dan banyak mengembara.”

2 - Imam Tajuddin al-Subki dalam Thabaqat al-Syafi’iyyah al-Kubra berkata: “Beliau seorang lelaki yang soleh, faqih dan bermazhab al-Syafi’i.”

Penulisan


1 - Amal al-Yaum wa al-Lailah. Kitab ini merupakan karya beliau yang paling masyhur. Dalam kitab ini beliau berhasrat mengumpulkan hadis-hadis berkenaan doa, zikir dan wirid yang diriwayatkan daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam agar setiap insan dapat mengamalkannya dalam kehidupan mereka pada waktu siang dan malam. Kitab ini banyak dirujuk oleh para ulama selepas beliau yang mengarang kitab berkenaan zikir dan doa seperti Imam al-Nawawi dalam kitab al-Azkar dan Ibnu al-Jazari dalam al-Hisn al-Hasin. Kitab ini telah diterbitkan oleh Maktabah Dar al-Bayan dengan tahqiq Basyir Muhammad ‘Uyun, Dar Ibnu Hazm dengan tahqiq Abu Usamah Salim bin ‘Aid al-Hilali dan Dar al-Arqam bin Abi al-Arqam dengan tahqiq Dr Abdul Rahman Kauthar bin Muhammad Asyik Ihahi al-Barni. Mengandungi sekitar 770 lebih buah hadis.

2 - Al-Qana’ah. Mengandungi 61 buah hadis berkenaan sifat qanaah (sikap berpada-pada dan berasa cukup dengan apa yang ada). Diterbitkan oleh Dar al-Khulafa’ dengan tahqiq Abu Abdul Rahman Abdullah bin Yusuf.


3 - Riyadhah al-Muta’allimin. Kitab ini menghimpunkan hadis dan athar berkenaan adab dan akhlak yang seharusnya dimiliki oleh penuntut ilmu. Kitab ini diterbitkan oleh Maktabah Nizam Ya’qubi dengan tahqiq Nizam Muhammad Salleh Ya’qubi.

4 - Fadhail al-‘Amal.

5 - Al-Tibb an-Nabawi.

6 - As-Sirat al-Mustaqim.

7 - Al-Ijaz Fi al-Hadith.

Kematian

Anak beliau yang bernama ‘Ali berkata: “Bapaku sedang menulis hadis, kemudian beliau meletakkan pena beliau pada botol dakwat lalu mengangkat tangannya berdoa kepada Allah dan beliau pun meninggal dunia.”

Anaknya ditanya tentang tarikh peristiwa kematian bapanya, maka beliau menjawab : “Pada akhir tahun 364H.”

Semoga Allah merahmati beliau. Amin.

*Tulisan ini saya telah kemas kini semula pada 10/7/2021. Alhamdulillah. Semoga bermanfaat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan