Ahad, 2 Februari 2014

Pengarang kitab Fiqh al-Manhaji: Syeikh Mustafa al-Khin

















Syeikh Mustafa bin Said bin Mahmud al-Khin as-Syafi'e al-Maidani ad-Dimasyqi di Damsyiq, Syiria, pada tahun 1922M. Beliau merupakan anak yang ke 11 daripada 18 orang adik beradik. Ketika berumur 8 tahun. Beliau mendapat pendidikan rasminya yang pertama di al-Jami’ah al-Gharra'.

Pada musim panas, 1931 M, Syeikh Muhammad Zarzur, seorang penulis khat yang masyhur, yang juga merupakan guru kepada Syeikh Mustafa, melihat kecerdikan dan kebolehan yang ada pada Syeikh Mustafa. Beliau meminta izin daripada bapa Syeikh Mustafa untuk membawa Syeikh Mustafa ke pengajian Syeikh Hasan Habannakah di Masjid Manjak.

Syeikh Hasan Habbanakah telah mengasaskan sebuah sekolah yang mana, pelajar-pelajar khusus mempelajari ilmu agama pada sesi pagi, dan mereka yang sudah berusia ataupun bekerja menghadiri kelas pada sesi petang.

Syeikh Mustafa asalnya mengikuti pengajian sesi petang. Namun begitu gurunya, Syeikh Husain Khitab mengenali kecerdikannya kerana dapat menghafal 50 hadith dalam satu hari, maka beliau pun memberitahukan perkara tersebut kepada Syeikh Hasan Habannakah.

Syeikh Mustafa pun mula mencintai ilmu pengetahuan, dan beliau pun diserapkan kepada sesi pengajian pagi. Satu kegembiraan yang amat bagi Keluarga al-Khin, kerana beliau menjadi ahli keluarga yang pertama yang terbit daripada keluarga ini. Dipakaikanlah Syaikh Mustafa serban bagi menggantikan tarbusnya, dan bapanya pun mengisytiharkan bahawa beliau akan memelihara dan bertanggungjawab terus ke atas Syeikh Mustafa.

Perjalanan Ilmu

Syaikh Mustafa membesarlah sebagai seorang penuntut yang amat rajin di Masjid Manjak. Sebelah pagi beliau sebagai seorang penuntut, di sebelah petang pula sebagai tenaga pengajar. Sesi petang itu pula menjadi cawangan kepada Ma'had at-Ataujih al-Islami. Maka Syeikh Mustafa menjadi tenaga pengajar di sekolah tersebut.
Aktiviti sebagai penuntut ilmu, dan dalam masa yang sama sebagai seorang tenaga pengajar memberi kesan yang mendalam kepada peribadi keilmuan Syeikh Mustafa. Syeikh Hasan Habannakah pula sebagai seorang bapa murabbinya, memberikan petunjuk dan kesan yang besar pada tanggungjawabnya dalam keduanya.

Syeikh Hasan Habannakah juga sering kali menasihati para penuntutnya untuk menziarahi para ulama dan duduk di majlis-majlis pengajian mereka. Syeaikh Mustafa amat mengambil berat perkara ini, dan acap kali berusaha menemui para ulamak ini, malah tiga kali bertemu dengan Syeikh Abul Hasan Ali an-Nadawi.

Syeikh Mustafa mengajar pelbagai bidang dalam ilmu-ilmu Islam, namun akhirnya beliau menumpukan perhatian dan jelas kehebatannya di dalam Usul Feqh dan ilmu Bahasa Arab.

Pada tahun 1949, beliau tiba di Kaherah dengan harapan  dapat menimba ilmu di Al-Azhar, selain memperolehi ijazah yang membolehkan beliau mengajar di sekolah-sekolah kerajaan di Syiria. Beliau pun ditemuduga, dan diterima masuk ke tahun ketiga, Kuliah Syariah. Selepas dua tahun, beliau pun berjaya mendapatkan ijazah dengan keputusan Mumtaz (Kepujian Kelas Pertama / Cemerlang).

Di al-Azhar, beliau banyak mengambil faedah daripada Dr. Isa Mannun, Dr. Abdullah Musa, Dr Mustafa Abdul Khaliq dan adiknya Dr Abdul Ghani Abdul Khaliq.

Sejurus pulang ke Siria, beliau mengajar Pendidikan Islam di sekolah-sekolah menengah di Halab dan Damsyiq, selain sumbangan besarnya di dalam menyusun silibus pengajian, menulis buku-buku teks dan menganggotai lajnah peperiksaan. Beliau juga dalam masa yang sama menjadi pensyarah di Kuliah Syariah, Universiti Damsyiq (1955-1962) dan dipinjamkan kepada Kuliah Syariah dan Bahasa Arab, Universiti Islam Al-Imam Muhammad bin Sa'ud, Riyadh (1962-1966).

Apabila Al-Azhar mengeluarkan kenyataan untuk menerima graduan Kuliah Syariah yang berpengalaman mengajar di Universiti selama lebih 5 tahun untuk terus mengemukakan disertasi Ijazah Kedoktoran (PhD), Syeikh Mustafa pun bersegera mendaftarkan disertas beliau yang bertajuk Atharul ikhtilaf fil Qawa'id Al-usuliyyah fi Ikhtilafil Fuqaha' (Kesan Ikhtilaf pada Qaedah-qaedah Usul Feqh pada Iktilaf Fuqaha'), dengan seliaan Prof. Dr. Mustafa Abdul Khaliq. Beliau memperolehi Ijazah Kedoktoran pada tahun 1971 dengan anugerah Asyyarfu al-ula (Cemerlang yang tertinggi).

Beliau seterusnya dilantik sebagai pensyarah dan Ketua Jabatan Aqidah, Kuliah Syariah, serta pensyarah di Kuliah Pendidikan, Universiti Damsyiq, dan terus di universiti tersebut sehinggalah tahun 1983. Beliau juga turut menulis buku-buku teks universiti. Tiga buah buku teks yang ditulis oleh beliau yang amat penting dan masih diajar sehingga ke hari ini di Kuliah Syariah, iaitu kitab at-Tafsir al-'Am, Fiqh al-Mu'amalat dan Mabadi' al-Aqidah al-Islamiah.

Setelah bersara, beliau menjadi pensyarah di Universiti Muhammad bi Su’ud, Riyadh sehingga tahun 1992. Kerinduannya dan kecintaannya kepada bumi Damsyiq yang amat, beliau pulang dan menjadikan rumahnya sebagai tempat tumpuan para penuntut ilmu.

Pada tahun 1993 beliau bersetuju untuk mengajar di bahagian Pasca-Ijazah Universiti Ummu Darman, Sudan dan Ketua Jabatan Pengkhususan Kuliah Syariah di Ma'hadul Fath Al-Islami.

Beliau juga memiliki sebuah bilik khas di Masjid Daqqaq. Bilik ini menyimpan sejarah yang banyak terutama dari sudut aktiviti-aktiviti ilmiah dan mempunyai sebuah perputakaan yang memiliki banyak kitab-kitab utama.

Penulisan

Syeikh Mustafa al-Khin meninggalkan himpunan khazanah tulisan yang amat berharga buat umat Islam. Antaranya:

1) Atsaru-l Ikhtilâf Fi-l Qawâ'idi-l Usùliyyah Fi-khtilâfi-l Fuqahâ'
2) 'Abdullah bin 'Abbâs : Habrul Ummah wa Turjumân Alqurân
3) Dirasah Târîkhiah lil Fiqh wa Usùlihi walitijjâhât allati zoharat fîhima
4) Alhasan bin Yasâr Albasri : Alhâkimu-l Wa'idz Waz-Zâhidu-l 'Âlim
5) Al-adillatu-s Syar'iyyah, Wamauqifu-l Fuqahâ' min-alihtijâj bihâ
6) Abhâsun haula Usùli-l Feqhi-l Islâmi (Tâarikhuhu Watathowwuruh)
7) Alkâfiyu-l Wâfi fi Usuli-l Feqhi-l Islâmi

Tulisan Bersama:

1) Nuzhatu-l Muttaqîn Syarhu-r Riyâdhis- Sôlihîn min Kalâmi Sayyidil Mursalîn (bersama Dr. Mustafa al-Bugha, Dr. Muhyiddin Mistu, Ustaz Ali as-Syarbaji dan Ustaz Muhammad Amin Lutfi.

2) Al-Fiqh al-Manhâji 'ala Mazhab al-Imami asy-Syâfi'i (bersama Dr. Mustafa Al-Bugha dan Ustaz Ali As-Syarbaji)

Sebuah Kisah

Syeikh Mustafa al-Khin menyebutkan di dalam kitab Atsaru-l Ikhtilâf Fi-l Qawâ'idi-l Usùliyyah Fi-khtilâfi-l Fuqahâ', yang juga merupakan disertasi PhDnya, kisah kefahaman awalnya yang sering tertanya-tanya, mengapa terdapat pelbagai mazhab Fiqh sedangkan rujukan utama kita adalah al-Quran dan as-Sunnah. Mengapa tidak boleh disatukan dan diambil satu pandangan sahaja yang didapati paling hampir kepada keduanya.

Kedatangannya ke Al-Azhar membawa rahmat buat beliau, apabila persoalan tersebut terjawab dengan bertambahnya ilmu berkaitan ikhtilaf Fuqaha' dan sebab-sebabnya. Minatnya yang mendalam dalam perkara tersebut dan kehandalannya dalam Usul Feqh menyebabkan beliau membuat kajian dalam kesan khilaf di dalam kaedah-kaedah Usul Fiqh yang menyebabkan ikhtilaf para Fuqaha'.

Kajian ilmiah PhDnya ini sangat dan ia menjelaskan secara terperinci dan menunjukkan bahawa para ulamak bukan berikhtilaf kerana kejahilan atau hawa nafsu mereka, tetapi biasanya mereka berikhtilaf kerana metodologi asas yang sedikit berbeza yang menatijahkan beberapa perselisihan hukum.

Perselisihan mereka bukan kerana tidak mengetahui satu dua hadis yang kita tahu, akan tetapi jauh lagi rumit dan memerlukan pengajian bermazhab secara bersistematik untuk menggarap metodologi para imam Mujtahidin tersebut. Oleh kerana itulah, manusia jahil seperti kita ini perlu bermazhab dan mengelakkan diri tertipu seolah-olah kita mampu dengan mudah mencari hukum yang lebih tepat dan hampir kepada al-Quran dan as-Sunnah.

Kewafatan


Beliau  meninggal dunia pada 23 Muharram 1429H bersamaan 2 Februari 2008M di Masjid Hasan , Maydan, Damsyik ketika berusia 86 tahun. Beliau meninggal selepas solat Jumaat di masjid tersebut dan dikebumikan pada hari berikutnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan