Nama penuh beliau ialah Muhammad Ali bin Jamil bin Ali al-Sabuni al-Hanafi al-Halabi.
Latar Belakang
Syeikh al-Sabuni dilahirkan di bandar Aleppo, Syria pada
tahun 1930 Masihi, dalam sebuah keluarga yang terkemuka. Ayahandanya merupakan
salah seorang ulama besar Aleppo. Beliau menerima pendidikan awal daripada
ayahandanya dan para ulama lain, di mana beliau mempelajari bahasa Arab, ilmu
faraid, dan pelbagai disiplin ilmu agama.
Beliau menghafaz al-Quran di sebuah sekolah rendah (kuttab)
dan menyempurnakan hafazan tersebut ketika berada di peringkat sekolah
menengah. Selain itu, beliau turut mendalami pelbagai ilmu lain yang dipelajari
daripada ulama-ulama besar Syria, yang terkenal dengan tokoh-tokoh ilmuwan
mereka.
Sewaktu muda |
Pendidikan
Syeikh al-Sabuni memulakan pendidikan rendahnya di sekolah
menengah dan kemudiannya melanjutkan pengajian di Sekolah Perniagaan (Madrasah
al-Tijariyyah). Walau bagaimanapun, beliau tidak meneruskan pengajian di sana
kerana memilih untuk menumpukan perhatian kepada pengajian agama. Beliau
kemudiannya mendaftar di Sekolah Menengah Agama yang dikenali sebagai
‘al-Khasrawiyah’ di bandar Aleppo, di mana beliau menerima pendidikan yang
menggabungkan ilmu-ilmu agama dan ilmu duniawi.
Dalam pengajiannya, beliau mempelajari ilmu-ilmu agama
seperti tafsir, fiqh, hadis, usul fiqh, faraid, serta pelbagai disiplin ilmu
lain seperti kimia, fizik, algebra, geometri, geografi, dan sejarah. Dengan
demikian, beliau berjaya menggabungkan pengajian agama dengan pelajaran dalam
pelbagai cabang ilmu pengetahuan lain.
Beliau berjaya menamatkan pengajian di Sekolah Menengah
Agama pada tahun 1949.
Setelah selesai pengajian menengah agama, Kementerian Wakaf
Syria telah menghantar beliau untuk melanjutkan pengajian ke Universiti
al-Azhar di Kaherah, Mesir, untuk meneruskan pengajian di peringkat Ijazah
Sarjana Muda.
Di sana, beliau berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda dari
Fakulti Syariah pada tahun 1952 dan kemudian melanjutkan pengajian di peringkat
al-‘Alimiyyah dalam pengkhususan bidang kehakiman syariah dan berjaya
menamatkannya pada tahun 1954. Ijazah al-‘Alimiyyah ini dianggap antara sijil yang
tertinggi pada zaman itu dan setaraf dengan gelaran PhD.
Guru-Guru:
Antara gurunya ialah:
1 - Syeikh Muhammad Najib Sirajuddin.
2 - Syeikh Ahmad al-Syamma’.
3 - Syeikh Muhammad Sa'id al-Idlibi.
4 – Syeikh Muhammad Raghib al-Tabbakh.
5 - Syeikh Muhammad Najib Khayyatah.
6 – Syeikh As’ad al-‘Abaji.
Sewaktu beliau menetap di Arab Saudi, beliau sempat menghadiri pengajian beberapa orang ulama di Masjidil Haram seperti:
1 - Syeikh Muhammad al-‘Arabi al-Tabbani.
2 - Sayyid ‘Alawi bin ‘Abbas al-Maliki.
3 - Sayyid Hasan al-Masyat.
4 - Sayyid Muhammad Amin al-Kutbi.
5 - Sheikh Abdullah al-Lahji.
6 - Sheikh Muhammad Yasin al-Fadani.
Kehidupan Ilmiah
Setelah memperoleh Ijazah al-‘Alimiyyah dengan cemerlang
dari Universiti Al-Azhar, Syeikh al-Sabuni kembali ke Syria, khususnya ke
bandar Aleppo, di mana beliau dilantik sebagai guru bagi subjek pengajian
Islam di sekolah-sekolah menengah dan pusat latihan guru. Beliau berkhidmat
dalam bidang pendidikan antara tahun 1955 hingga 1962.
Kemudian, beliau ditugaskan ke Arab Saudi untuk berkhidmat
sebagai pensyarah yang dihantar oleh Kementerian Pendidikan Syria untuk
mengajar di Fakulti Syariah dan Pengajian Islam, serta di Fakulti Pendidikan
Universiti Umm al-Qura di Makkah. Beliau memimpin delegasi Syria ke negara
tersebut dan mengajar di sana selama hampir 30 tahun.
Universiti Umm al-Qura melantik beliau sebagai penyelidik
ilmiah di Pusat Penyelidikan Akademik dan Pemeliharaan Warisan Islam.
Universiti memberi penghargaan ini kepada beliau atas usaha dan sumbangannya
dalam bidang penyelidikan dan penulisan. Beliau diberi tanggungjawab untuk
menyunting beberapa karya besar turath Islam dan beliau berjaya
menerbitkan salah satu kitab tafsir yang penting, Ma'ani al-Quran karya
Imam Abu Ja'far al-Nahhas. Walaupun manuskrip asalnya yang ada hanya satu salinan
sahaja, beliau berjaya menelitinya dengan menggunakan pelbagai rujukan dari
kitab tafsir, bahasa, hadis, dan lain-lain, dan akhirnya buku tersebut
diterbitkan dalam enam jilid oleh Universiti Umm al-Qura di Mekkah.
Selepas itu, Syeikh al-Sabuni berpindah untuk berkhidmat di
Rabitah al-Alam al-Islami (Liga Dunia Islam) sebagai penasihat dalam Lembaga Kemukjizatan
Saintifik dalam al-Quran dan al-Sunnah dan beliau berkhidmat di sana selama
beberapa tahun.
Karya-karya
Setelah itu, Syeikh al-Sabuni menumpukan sepenuhnya kepada
penulisan dan penyelidikan ilmiah. Beliau menghasilkan banyak karya dalam
pelbagai bidang ilmu-ilmu Islam khususnya ilmu tafsir. Karya-karyanya telah
diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa asing seperti Inggeris, Perancis, dan
Turki. Berikut adalah antara karya-karya beliau:
a – Hasil Penulisan:
1 - Safwah al-Tafasir, yang merupakan karya beliau yang paling terkenal. (Muat Turun)
Kitab ini merupakan tafsir bagi ayat-ayat al-Quran, menerangkan makna dan maksudnya serta hikmah-hikmah yang dapat diambil daripadanya dengan pendekatan yang ringkas, tersusun, jelas, dan terang.
Beliau menamakan kitab ini sebagai ‘Safwah
al-Tafasir’
kerana ia merupakan himpunan inti sari daripada tafsir-tafsir besar yang
terperinci dan beliau berpegang kepada sumber-sumber utama dalam tafsir
al-Quran yang diambil daripada kitab-kitab tafsir paling penting hasil karya
ulama terdahulu seperti al-Tabari, al-Kasysyaf
karya al-Zamaksyari, al-Alusi, Ibnu Kathir dan Bahr al-Muhith karya Abu
Hayyan. Beliau juga menyebutkan pendapat-pendapat ulama terkemudian.
Manhaj beliau dalam penyususnan tafsir ini:
i) Penjelasan Makna Umum Surah
- Menyediakan ringkasan keseluruhan maksud surah sebelum
memulakan tafsirnya.
- Menjelaskan tujuan-tujuan utama yang boleh diambil
daripada surah tersebut.
ii) Hubungan Antara Ayat
- Mengaitkan hubungan antara ayat-ayat sebelumnya dengan
ayat-ayat yang seterusnya, untuk menunjukkan kesinambungan makna.
iii) Analisis Perkataan
Memberikan analisis terperinci terhadap perkataan-perkataan
dalam ayat, termasuk asal usul, bentuk kata, dan bukti daripada bahasa Arab
klasik.
iv) Sebab Turunnya Ayat
- Menyebut Asbab al-Nuzul, iaitu sebab-sebab penurunan ayat
bagi memahami konteks ayat dengan lebih jelas.
v) Tafsir Ayat-Ayat Al-Quran
Menjelaskan maksud ayat dengan gaya bahasa yang mudah
difahami, berdasarkan tafsiran para ulama terdahulu.
vi) Bentuk Balaghah dan Keindahan Bahasa
- Menghuraikan gaya-gaya balaghah dalam ayat, seperti kinayah
(kiasan), majaz (metafora), dan isti'arah (personifikasi), serta
menjelaskannya dengan cara yang mudah difahami.
- Menyebut elemen-elemen keindahan bahasa seperti jinas, tibaq,
ijaz dan itnab.
vii) Manfaat Daripada Ayat
Merumuskan faedah dan hikmah praktikal yang boleh diambil
daripada ayat untuk kehidupan seharian.
viii) Keindahan Tafsir
- Menghidangkan perkara-perkara menarik dan unik dalam
tafsir ayat yang menjadikan pembaca lebih terinspirasi dan mendalami maknanya.
Beliau telah menulis kitab tafsir ini selama lebih
kurang lima tahun dan beliau tidak mula menulis melainkan beliau telah membaca
terlebih dahulu apa yang telah ditulis
oleh para mufassir yang terdahulu.
Kitab ini pertama kali diterbitkan oleh Dar al-Quran
al-Karim di Beirut pada tahun 1400 Hijrah bersamaan dengan 1980 Masihi, dalam
tiga jilid.
2 - Rawā'i' al-Bayan fi Tafsir Ayat al-Ahkam min al-Qur'an. (Muat Turun)
Kitab ini adalah sebuah kitab tafsir yang khusus membincangkan ayat-ayat al-Quran yang mengandungi hukum-hakam syarak. Kitab ini memberi fokus kepada penjelasan kosa kata, ringkasan hukum-hakam dan pandangan ulama tafsir, ahli bahasa, ahli hadis, dan ulama fiqh daripada pelbagai mazhab.
Pendekatan tafsir dalam kitab Ini:
i) Dimulakan dengan analisis perkataan untuk menerangkan
makna, makna asal, dan kata terbitan.
ii) Diteruskan dengan makna keseluruhan ayat.
iii) Menyebut sebab turunnya ayat (Asbab al-Nuzul).
iv) Menghuraikan keunikan tafsir dan memperincikan pelbagai
bacaan (qiraat).
v) Memberikan penjelasan nahu dan i'rab ayat.
vi) Menghuraikan hukum-hakam syariah yang terkandung dalam
ayat.
vii) Menjelaskan panduan dan pengajaran yang dapat diambil
daripada ayat.
viii) Mengakhiri dengan hikmah pensyariatan yang dijelaskan
melalui ayat-ayat tersebut.
Kitab ini menjadi panduan penting bagi mereka yang ingin
mendalami tafsir ayat-ayat al-Quran yang berkaitan dengan hukum-hakam dalam
syariah Islam.
Kitab ini pertama kali diterbitkan oleh Dar al-Quran
al-Karim di Beirut pada tahun 1391 Hijrah, bersamaan dengan 1971 Masihi, dalam
dua jilid.
3 - Al-Tafsir al-Wadhih al-Muyassar. (Muat Turun)
Menurut Syeikh al-Sabuni, umat Islam pada hari ini sangat memerlukan pemahaman yang mendalam terhadap Kitab Allah yang mulia serta berpegang teguh padanya, di tengah zaman yang didominasi oleh materialisme, di mana umat manusia terjebak dalam kesesatan duniawi dan jauh dari petunjuk Allah. Padahal, mereka memiliki cahaya ilahi yang terang benderang, yang mampu menyelamatkan mereka dari kesusahan.
Menjadi kewajipan bagi para ulama untuk mengembalikan umat
Islam kepada kedudukan kemuliaan dan kedaulatannya, dengan kembali kepada Kitab Allah, yang mengandungi
kebahagiaan, kejayaan, dan kemenangan.
Oleh itu, beliau menyediakan untuk umat Islam sebuah tafsir
yang jelas dan mudah, dengan harapan Allah memberi manfaat dengannya kepada
sesiapa yang Dia kehendaki kebaikan untuknya. Ia merupakan tafsir yang
menggabungkan antara riwayat (ma'thur) dan logik (ma'qul), dengan
gaya yang mudah dan senang difahami oleh golongan terpelajar mahupun orang
awam.
4 - Mawqif al-Shari'ah al-Gharrā' min Nikah al-Mut'ah.
5 - Al-Nubuwwah wa al-Anbiya'.
Kitab ini asalahnya adalah syarahan tentang sejarah para nabi yang telah beliau sampaikan kepada para pelajar Jabatan Sejarah, Fakulti Syariah dan Pengajian Islam di Makkah al-Mukarramah. Metod beliau dalam kitab ini:
i) Meringkaskan dan menyaring kisah-kisah para nabi.
ii) Meninggalkan yang tidak bernilai dan mengambil yang
sahih dan bermutu.
iii) Penggunaan sumber yang paling sahih, iaitu al-Quran. Oleh itu, beliau
banyak mengutip ayat-ayat al-Quran sebagai rujukan utama.
iv) Merujuk pendapat-pendapat ahli tafsir yang dipercayai.
v) Mengambil kisah-kisah yang sahih dan sabit daripada hadis
Nabi.
vi) Merujuk kepada kitab-kitab sejarah, lalu memilih kisah-kisah
yang sesuai dengan apa yang terdapat dalam al-Quran dan Sunnah serta tidak
bertentangan dengan logik akal.
vii) Mengetepikan riwayat-riwayat Israiliyyat yang jauh dari
logik akal dan agama.
6 - Qabas min Nur al-Qur'an al-Karim.
Kitab ini adalah kajian objektif dan analisis yang menyeluruh tentang surah-surah Al-Quran, yang menjelaskan maksud dan matlamatnya serta menggariskan panduan-panduan utama mengenai adab-adab, hukum-hakam, dan syariat yang terkandung di dalamnya, penekanan kepada panduan dan nasihat yang bertujuan untuk memperbaiki individu dan masyarakat. Ini adalah sebahagian daripada siri ‘Kajian-kajian al-Quran’ yang akan membincangkan secara terperinci surah-surah al-Quran satu demi satu.
7 – Harakah al-Ardh wa Dauranuhā Haqiqat 'Ilmiyah
Athbatuhā al-Qur'an.
8 - Al-Mawarith fi al-Shari'ah al-Islamiyyah.
Kitab ini asalnya adalah kumpulan syarahan dalam ilmu faraid yang telah beliau sampaikan kepada para pelajar di Fakulti Syariah dan Pengajian Islam di Makkah al-Mukarramah.
Beliau memutuskan untuk mengumpulkannya dalam sebuah kitab,
agar manfaatnya dapat disebarkan secara meluas, dengan gaya bahasa yang mudah
dan ringkas.
9 - Min Kunuz al-Sunnah.
Kitab ini menghimpunkan beberapa petikan daripada hadis-hadis Nabi yang telah beliau pilih daripada kitab-kitab sahih untuk pelajar-pelajar Jabatan Bahasa Arab, Fakulti Syariah dan Pengajian Islam di Makkah al-Mukarramah. Beliau berusaha menonjolkan keindahan, keunggulan, dan kehebatan yang terkandung di dalamnya, serta menjelaskan aspek-aspek balaghah dan keindahan penyampaiannya.
10 - Al-Fiqh al-Syari'i al-Muyassar.
Kitab ini yang ditulis untuk semua umat Islam secara umum, terutamanya bagi mereka yang berhasrat untuk mendalami ilmu agama. Buku ini disusun dengan gaya bahasa yang mudah dan ringkas, agar sesiapa sahaja dapat memahaminya tanpa kesukaran, tidak kira tahap pendidikan mereka. Matlamatnya adalah agar seorang Muslim sentiasa memiliki kefahaman yang jelas tentang agamanya, mengetahui hukum-hakam, serta memahami perbezaan antara halal dan haram, dengan disertai dalil-dalil yang kukuh daripada al-Quran, hadis, dan pandangan ulama daripada generasi salaf umat ini, termasuk para sahabat, tabi'in, serta empat imam mujtahid, semoga Allah meredhai mereka semua.
Beliau menjadikan kitab al-Quran yang mulia dan hadis Nabi
yang suci sebagai sumber utama, khususnya hadis-hadis yang diriwayatkan oleh
al-Bukhari, Muslim, dan pengarang Sunan yang empat. Tujuannya adalah untuk
menjadikan buku ini panduan bagi Muslim dalam menjalani kehidupan duniawi,
serta bekalan untuk kehidupan ukhrawi.
Kitab ini diterbitkan secara bersiri mengikut topik: Pertama,
fiqh ibadat dan kedua, fiqh muamalat.
11 - Al-Zawaj al-Islami al-Mubakkir: Sa'adah wa
Hisanah.
Risalah ini berkaitan dengan isu perkahwinan dalam syariat Islam dan membincangkan tentang adat serta majlis perkahwinan yang sepatutnya diikuti oleh keluarga Muslim. Risalah ini ditujukan kepada mereka yang berpegang teguh kepada Islam sebagai panduan dan agama, serta menginginkan kehidupan yang selaras dengan ajaran Islam, bertepatan dengan hukumnya, sambil tetap menyesuaikan diri dengan semangat zaman tanpa bersikap keterlaluan atau terlalu longgar.
12 - Al-Hadyu al-Nabawi al-Sahih fi Salat al-Tarawih.
Dalam kitab ini beliau ingin menolak keraguan yang
ditimbulkan sebahagian golongan yang mengatakan bahawa Solat Tarawih sebanyak
20 rakaat adalah bid’ah dan yang sunnahnya hanya 11 rakaat.
13 - Al-Sunnah
al-Nabawiyyah: Qism min al-Wahyi al-Ilahi al-Munazzal.
Kitab ini dikarang untuk menjelaskan bahawa kedudukan Sunnah Nabi yang hakikatnya adalah wahyu Allah jua dan untuk membongkar perangkap para orientalis dan pengikut mereka yang terpengaruh dengan pemikiran barat yang beranggapan bahawa Kitab Allah lebih utama untuk dipegang dan diikuti daripada Sunnah Nabi, yang akhirnya menyebabkan mereka tersesat kerana menolak sunnah Rasulullah, dan bertentangan dengan perintah-perintah dalam al-Quran yang menyeru untuk taat kepada Rasul dalam segala perkara yang disampaikan daripada Allah.
14 - Ijaz al-Bayan fi Suwar al-Qur'an.
Kitab ini asalnya adalah siri ilmiah yang berterusan dalam mengkaji surah-surah al-Quran, yang bertujuan untuk menjelaskan matlamat dan tujuan surah-surah tersebut, serta menggariskan maksud utama cara surah-surah tersebut membincangkan pelbagai topik dan peristiwa. Sama ada berkaitan dengan ibadah, muamalat, syariat, akhlak, kisah-kisah, atau berita. Siri ini memberi fokus kepada objektif-objektif utama yang diangkat oleh surah-surah mulia ini.
Beliau
berpendapat adalah wajar untuk menghimpunkan siri ini dalam sebuah buku
komprehensif yang menyediakan kajian lengkap terhadap surah-surah al-Quran,
serta memberikan pencerahan mengenai kandungannya. Tujuan utama ialah
melengkapkan manfaat dan menyebarluaskan faedahnya kepada semua.
15 - Al-Tibyan fi 'Ulum al-Qur'an. (Muat Turun)
Kitab ini merupakan himpunan kuliah yang pernah beliau sampaikan kepada para pelajar universiti. Kemudian, beliau susun semula kuliah-kuliah ini dan mencetaknya untuk memberi manfaat kepada khalayak umum.
Dalam kitab ini beliau membincangkan beberapa ciri dan
keistimewaan al-Quran, serta menjelaskan sebahagian daripada rahsia
keajaibannya. Kitab ini dibahagikan kepada sepuluh bab:
Bab Pertama:
- Pengenalan kepada Ilmu-ilmu al-Quran.
- Penjelasan tentang keutamaan al-Quran.
- Adab penghafal al-Quran.
Bab Kedua:
- Mengenali Asbab al-Nuzul (sebab-sebab penurunan ayat).
- Faedah memahami sebab-sebab penurunan dalam memahami
ayat-ayat al-Quran.
- Contoh-contoh berkaitan.
Bab Ketiga:
- Hikmah di sebalik penurunan al-Quran secara berperingkat.
- Perbezaan antara al-Quran dan kitab-kitab samawi terdahulu
yang diturunkan secara sekaligus.
Bab Keempat:
- Pengumpulan al-Quran semasa zaman Nabi.
- Pengumpulannya dalam beberapa mushaf pada zaman Abu Bakar.
- Penyatuannya dalam satu mushaf pada zaman Uthman.
Bab Kelima:
- Konsep nasakh dalam al-Quran.
- Makna nasakh.
- Hikmah pensyariatan nasakh hukum.
Bab Keenam:
- Tafsir dan ahli tafsir.
- Jenis-jenis tafsir seperti tafsir bi al-riwayah
(berdasarkan riwayat) dan bi al-dirayah (berdasarkan kajian).
Syarat-syarat seorang mufassir untuk mentafsirkan al-Quran.
Bab Ketujuh:
- Tafsir isyari (tafsir berdasarkan petunjuk
tersembunyi).
- Pandangan ulama terhadap tafsir ini.
- Perbezaan antara tafsir isyari dan tafsir batini
(tafsir batiniah).
- Tafsir yang ganjil.
Bab Kelapan:
- Kitab-kitab tafsir terkenal dalam kategori tafsir bi
al-riwayah, bi al-dirayah, dan bi al-isharah.
- Pengenalan kepada keistimewaan kitab-kitab tafsir ini.
Bab Kesembilan:
- Perbincangan tentang terjemahan al-Quran.
- Apa yang dibenarkan dan dilarang dalam menterjemah
al-Quran.
- Syarat-syarat terjemahan.
Bab Kesepuluh:
- Penurunan al-Quran dalam tujuh huruf.
- Qiraat tujuh yang mutawatir.
- Pengenalan kepada qari-qari terkenal daripada kalangan
sahabat dan tabiin.
16 - Aqidah Ahl al-Sunnah fi Mizan al-Shari'ah.
17 - Risalah al-Salah.
18 - Al-Mahdi wa Ashrat al-Sa'ah.
19 - Al-Muqtaṭaf min 'Uyūn al-Syi'ir.
20 - Kashf al-Iftira'at fi Risalah al-Tanbihat hawl
Safwah al-Tafasir.
Menjawab kritikan Muhammad Jamil Zainu terhadap kitab Safwah
al-Tafasir.
21 - Durrah al-Tafasir.
22 - Jarimah al-Riba Akhtar al-Jarā'im al-Diniyyah wa al-Ijtima'iyyah
23 - Al-Tabsir bima fi Rasa'il Bakr Abu Zayd min al-Tazwir.
Dalam kitab ini, beliau menjawab kritikan yang ditohmah oleh Bakr Abu Zaid terhadap beliau.
24 - Syarah Riyad al-Salihīn
Syarah kepada Riyad al-Salihin karya Imam al-Nawawi. Beliau menyediakan syarahan yang ringkas, mudah dan mencukupi untuk hadis-hadis dalam kitab ini, agar pembaca mendapat pencerahan dan petunjuk untuk memahami makna hadis-hadis yang mulia ini . Selain itu beliau turut menjelaskan beberapa perkataan yang ganjil (gharib) yang tidak dijelaskan oleh pengarang asal di samping menyebutkan beberapa faedah penting yang terdapat dalam hadis-hadis ini.
Dalam syarahan ini, beliau bergantung kepada rujukan-rujukan
berikut: Kitab Fath al-Bari karangan Ibn Hajar al-Asqalani, Umdah
al-Qari karangan Imam al-Aini, Syarah Sahih Muslim karangan Imam
al-Nawawi dan Dalil al-Falihin Syarah Riyadh al-Salihin Ibnu ‘Allan.
25 - Syubahāt wa Abātīl haula Ta'addud Zawjāt al-Rasul.
Asal kitab ini adalah kuliah yang telah disampaikan di pejabat Liga Dunia Islam (Rabitah Al-Alam Al-Islami) di Makkah Al-Mukarramah kepada rombongan jemaah haji pada hari Isnin, permulaan bulan Zulhijjah tahun 1390 Hijrah. Kuliah ini disampaikan untuk menjawab keraguan berkenaan poligami yang dilakukan oleh Rasulullah.
26 - Risalah fi Hukm al-Taswir.
27 - Al-Syarah al-Muyassar Li Sahih al-Bukhari. (Muat Turun)
Umat Islam telah memberikan perhatian yang sangat besar terhadap sunnah-sunnah nabi dan mereka telah menyampaikan kepada kita sunnah-sunnah tersebut dalam keadaan yang murni, jelas, dan terang. Ia disampaikan melalui jalur-jalur yang sahih dengan ketelitian dan ketepatan yang luar biasa. Mereka telah berusaha sehabis daya untuk memastikan keaslian dan ketepatannya, sehingga sampai kepada kita sebagai cahaya yang bersinar terang, tanpa sebarang kecacatan, kekeliruan, atau kekaburan.
Di barisan hadapan para ulama besar yang berkhidmat untuk
tujuan ini adalah Imam al-Bukhari. Kitabnya yang terkenal dengan nama al-Jami'
al-Sahih dianggap kitab paling sahih selepas al-Quran al-Karim.
Beberapa ulama yang mulia telah meminta saya untuk menyusun
sebuah syarah yang mudah dan ringkas bagi Sahih Imam al-Bukhari, supaya
memudahkan para pelajar ilmu memahami kandungannya.
Beliau lalu memenuhi permintaan saudara yang mulia itu
dengan memohon pertolongan Allah untuk tugas yang agung ini. Dalam menjelaskan
kitab yang sangat berharga ini, yang terdiri daripada lima jilid, beliau
mengikuti manhaj berikut:
i) Penulisan hadis dengan mengikut pembahagian tajuk dan
penulisan baris (harakat) pada setiap perkataan hadis, agar tidak berlaku
kesilapan dalam pembacaannya.
ii) Penjelasan makna perkataan dan frasa yang disebutkan
dalam hadis dengan terperinci.
iii) Penerangan maksud hadis dengan penjelasan ringkas bagi
mengelakkan penulisan menjadi terlalu panjang, di bawah tajuk ‘Syarah Hadis’.
iv) Hukum-hukum syarak yang dapat diistinbatkan daripada
hadis dengan merujuk kepada pandangan ulama hadis serta pendapat imam mazhab
yang empat. Bahagian ini beliau letakkan di bawah tajuk ‘Apa yang dapat diambil
daripada hadis’.
v) Pengenalan kepada beberapa orang perawi hadis, terutama
mereka yang mempunyai kisah menarik yang berkaitan dengan periwayatan hadis.
Contohnya, kisah Abu Hurairah bersama ibunya yang masih musyrik, kisah Jabir
bin Abdullah dengan para pemiutangnya, kisah Amr bin al-As, dan sahabat-sahabat
agung yang lain, serta mukjizat luar biasa yang berlaku kepada Rasulullah semasa
hayat baginda.
vi) Menyebut perkara-perkara berkaitan hadis, yang penting
untuk diperhatikan dan mempunyai hubungan erat dengan hadis tersebut. Bahagian
ini diberi tajuk seperti ‘Peringatan Penting’, ‘Peringatan Halus’, atau ‘Manfaat
Utama’, serta pelbagai faedah lain yang relevan.
vii) Jawapan ilmiah yang kukuh dan terperinci, menggunakan
hujah yang jelas, terhadap mereka yang melemahkan sebahagian hadis dalam Sahih
al-Bukhari atau menolaknya dengan alasan bahawa hadis tersebut bertentangan
dengan akal, tidak selaras dengan ilmu sains, atau bercanggah dengan wahyu
Ilahi. Contohnya, hadis tentang sihir yang dilakukan oleh orang Yahudi terhadap
Nabi, hadis tentang tiada jangkitan penyakit, atau hadis lalat jatuh ke dalam
bekas minuman dan hadis-hadis lain yang sukar difahami oleh sebahagian ilmuwan
zaman ini. Jawapan-jawapan tersebut diberikan dengan cara yang mampu mematahkan
hujah kebatilan secara tuntas.
viii) Penyusunan syarah secara teratur, dengan gaya bahasa
yang ringkas dan mudah difahami, tanpa kesukaran atau kerumitan dalam memahami
hadis.
xi) Penomboran hadis berdasarkan nombor dalam Sahih
al-Bukhari, menggunakan edisi cetakan Amiriah yang berasaskan manuskrip
Yuniniyyah, iaitu manuskrip yang dijadikan rujukan oleh Imam al-Qastallani
dalam kitabnya Irshad al-Sari li Sharh Sahih al-Bukhari.
x) Hadis-hadis yang tidak disyarahkan kerana pengulangannya.
Jika hadis tersebut hanya mempunyai satu bahagian, beliau akan menyebut ‘telah
dijelaskan sebelum ini’, yang bermaksud syarahnya ada di tempat yang
dinyatakan.
Jika hadis tersebut mempunyai lebih daripada satu bahagian, beliau
akan menunjukkan lokasi syarahnya. beliau hanya memberikan syarah kepada
hadis-hadis yang terdapat dalam Sahih al-Bukhari, tanpa mengulang syarah bagi
hadis yang disebut berulang kali. Ini kerana jika mengulang syarah, penjelasan
akan menjadi panjang, sedangkan tujuan beliau dalam kitab ini adalah memberikan
penerangan yang ringkas tanpa terlalu panjang lebar. Bagi hadis-hadis yang
berulang, beliau akan menunjukkan tempat syarahnya berdasarkan nombor dalam
Sahih al-Bukhari agar pembaca dapat merujuknya dengan mudah.
28 – Amantu Billah.
Dalam kitab ini, beliau ingin memperkenalkan aqidah dengan gaya bahasa yang mudah dan moden, yang boleh difahami oleh semua golongan, baik umum mahupun khusus. Beliau mengumpulkan asas-asas aqidah dan perkara-perkara utama yang perlu diyakini oleh seorang Muslim untuk menjadi seorang yang sempurna imannya, iaitu mentauhidkan Allah, beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, hari akhir, serta takdir baik dan buruk yang datang dari Allah Ta'ala.
b – Tahqiq (Semakan dan Suntingan):
1 - Al-Muqtaṭaf min 'Uyūn al-Tafasir karya Syeikh
Mustafa al-Hisni al-Mansuri. (Muat Turun)
Ketika Syeikh al-Sabuni berada di Pusat Penyelidikan dan Pemeliharaan Warisan Islam di Universiti Umm al-Qura di Makkah al-Mukarramah sebagai seorang pensyarah dan penyelidik, pada suatu hari, datang kepada beliau seorang yang berasal dari Turki yang membawa bersamanya beberapa jilid besar manuskrip, yang berasal daripada seorang saudara mereka iaitu Syeikh Mustafa al-Hisni al-Mansuri (m. 1390H), yang merupakan seorang ulama Turki, yang telah meninggal dunia beberapa waktu yang lalu.
Orang itu mempersembahkan kepada beliau buku-buku besar yang
ditulis sendiri oleh pengarangnya, namun pengarang tersebut meninggal sebelum
dapat menerbitkannya. Orang itu meminta beliau untuk mencari seseorang yang
dapat mencetak buku tersebut dengan pembiayaan daripada orang-orang yang
dermawan, kerana pengarang itu meninggal dunia sebelum ia dapat dicetak.
Beliau pun meneliti jilid-jilid tersebut dan mendapati ia
adalah sebuah kitab yang lengkap dalam ilmu tafsir dan merupakan satu harta
intelektual yang sangat berharga dalam turath Islam.
Tafsir itu lalu dikemukakan kepada seorang yang mulia dan
dermawan di Jeddah, Arab Saudi iaitu Syeikh Abdullah Abu al-Hasan. Beliau sentiasa
berusaha untuk menyebarkan ilmu al-Quran dan memberi perhatian kepada
manuskrip-manuskrip ilmiah berkaitan Islam. Beliau telah menugaskan Syeikh
al-Sabuni untuk mencetak dan menyemak kitab tersebut agar dapat diterbitkan
dengan bentuk yang elok dan sesuai dengan zaman ini.
2 - Fath al-Rahman bi Kashf ma Yaltabis fi al-Qur'an karya
Syeikhul Islam Zakariyya al-Ansari.
Kitab Fath al-Rahman bi Kasyf Ma Yaltabis min al-Quran karya Sheikhul Islam Zakariya al-Ansari adalah salah satu manuskrip yang nadir dan kitab yang sangat berharga dan sangat diperlukan oleh para pelajar.
Pengarangnya telah berusaha sebaik mungkin untuk menjelaskan
perkara-perkara yang samar berkaitan ayat-ayat al-Quran agar dapat memaparkan
kepada kita mutiara dan harta berharga yang terdapat dalam al-Quran serta
membuka kepada kita rahsia-rahsia kehalusan al-Quran dalam ketinggian ungkapannya
dan penjelasannya yang ajaib.
Beliau telah menemui sebuah salinan manuskrip untuk karya
yang berharga ini di Perpustakaan Mahmudiyah di Madinah al-Munawarah dan satu lagi
salinan manuskrip lain di Perpustakaan Universiti Umm al-Qura di Makkah
al-Mukarramah, namun beberapa frasa di dalamnya telah hilang.
Beliau juga merujuk kepada salinan yang diperoleh dari
Sepanyol yang dihadiahkan kepada Universiti Umm al-Qura.
Selain itu, beliau juga telah merujuk kepada salinan lain
yang terdapat di Perpustakaan Masjidil Haram, Mekkah yang sangat membantu dan
memberi manfaat dalam perbandingan antara ketiga-tiga salinan, apabila ada
kekeliruan atau kehilangan pada beberapa frasa.
Adapun kitab Fath al-Rahman versi yang dicetak di
sisi tafsir al-Siraj al-Munir oleh al-Khatib al-Syirbini, maka ia tidak
lengkap dan hanya merangkumi beberapa surah dari awal surah al-Baqarah hingga
akhir Surah al-Taubah serta tidak mengandungi sebarang semakan ilmiah yang diusahakan
oleh penyemaknya.
Semasa menyemak manuskrip ini, beliau berusaha meletakkan nombor
kepada ayat-ayat al-Quran di dalamnya bagi setiap surah yang telah dibincangkan
supaya memudahkan pembaca untuk memahaminya dan menghayatinya.. Beliau juga menyertakan
beberapa komen penting di bahagian nota kaki, terutamanya jika penulis
memberikan pendapat yang lemah atau pendapat yang ganjil dalam menafsirkan
ayat-ayat al-Quran, yang bertentangan dengan apa yang telah diputuskan oleh
para imam yang diiktiraf dalam ilmu tafsir.
3 - Ma'ani al-Qur'an karya Imam Abu Ja’far
al-Nahhas.
Terdapat ramai para ulama yang agung dari kalangan tokoh-tokoh ilmuwan dan cendekiawan yang terkemuka telah menulis dalam bidang tafsir. Setiap daripada mereka telah memberikan sumbangan untuk berkhidmat terhadap al-Quran.
Ada di antara mereka yang menulis tentang
perkataan-perkataan yanng unik (gharib) dalam al-Quran, ada yang menulis
tentang nasikh dan mansukh, ada yang menumpukan perhatian kepada
pengumpulan hadis-hadis dan athar berkaitan tafsir al-Quran, dan ada pula yang
telah mencurahkan usaha yang besar dalam menggunakan kecerdasan mereka untuk
mengeluarkan hukum-hakam daripada al-Quran.
Di antara para imam yang mulia dan tokoh-tokoh terkemuka ini
yang memiliki pengetahuan yang luas dalam berkhidmat terhadap al-Quran ialah
seorang tokoh yang agung, Imam Abu Ja'far al-Nahhas (m. 338H) yang merupakan
pengarang kitab Ma'ani al-Quran al-Karim.
Kitab ini ditahqiq menggunakan satu-satunya manuskrip
yang dapat ditemui bagi tafsir ini. Mengikut pengetahuan beliau, tidak terdapat
naskhah lain bagi manuskrip ini dan menjadikannya salah satu manuskrip yang
sangat nadir. Ia juga merupakan naskhah yang telah disusun semula, di mana
sebahagiannya telah difotostat dari salinan yang berada di Perpustakaan Mesir
di Kaherah yang merangkumi separuh pertama daripada tafsir al-Quran sehingga
akhir Surah Maryam.
Manuskrip ini mengandungi beberapa kekurangan pada beberapa
ayat dari Surah al-Baqarah, dan terdapat juga beberapa halaman yang kabur dan
koyak. Namun, dengan rahmat Allah, kerosakan tersebut adalah sedikit sahaja.
Manakala separuh kedua daripada tafsir ini telah difotostat
dari satu-satunya manuskrip yang terdapat di Perpustakaan Köprülü di Turki. Ia
bermula dari awal Surah al-Hajj sehingga akhir Surah al-Ahqaf. Manuskrip ini
telah ditulis dengan khat yang sangat indah dan cemerlang, dengan kejelasan dan
keindahan yang luar biasa, menunjukkan penjagaan yang sangat teliti terhadap
Kitab Allah pada zaman Sultan-sultan dan Khalifah-khalifah Uthmaniyyah.
Beliau telah menghadapi banyak kesukaran dan cabaran
khususnya dalam bahagian pertama manuskrip ini dan dalam kitab ini secara
umumnya kerana ia merupakan satu-satunya manuskrip yang ada di tangan beliau.
Namun, Allah telah membantu beliau untuk mengatasi kesukaran-kesukaran tersebut
dan mengenal pasti tempat-tempat yang salah, dengan bantuan banyak rujukan yang
ada pada beliau, serta membimbing kami kepada bahagian-bahagian yang betul di
dalamnya.
c – Ringkasan:
1 - Mukhtasar Tafsir al-Tabari. (Muat Turun)
Apabila disebut tentang para mufassir, maka Imam al-Tabari berada di tempat pertama sebagai seorang tokoh besar, pengkaji yang mahir, dan seorang ilmuwan terkemuka sepanjang sejarah Islam. Apabila disebutkan kitab-kitab tafsir yang terkenal, Tafsir al-Tabari pasti berada di hadapan di antara buku-buku tersebut kerana di dalamnya terkandung kelebihan-kelebihan yang jarang terdapat dalam tafsir yang lain. Oleh itu, penulisnya sememangnya layak digelar sebagai ‘imam para mufassir’.
Melihat kepentingan kitab Tafsir al-Tabari ini,
Syeikh al-Sabuni berhasrat untuk meringkaskan tafsir ini. Ringkasan ini adalah
tafsiran yang sebenar daripada Imam al-Tabari itu sendiri, malah hampir semua
kata-katanya disalin secara langsung tanpa sebarang perubahan. Namun, ia
disusun dan disajikan dalam bentuk yang lebih teratur dan terang, tanpa
menambah apa-apa yang baru dari beliau dan menisbahkannya kepada Imam al-Tabari.
Beliau hanya merumuskan tafsiran Imam al-Tabari dan
menyampaikannya dengan penuh ketelitian dan kejujuran melalui tafsirannya yang
luas dan komprehensif. Hanya apabila diperlukan, beliau menambah sedikit kata
atau perkataan untuk menyambung ayat atau menggantikan perkataan yang sukar
difahami dengan perkataan yang lebih jelas, dan seumpamanya yang diperlukan
dalam penyusunan semula dan penyempurnaan tafsir ini.
2 - Mukhtasar Tafsir Ibnu Kathir. (Muat Turun)
Menurut Syeikh al-Sabuni, meskipun Tafsir Ibnu Kathir mengandungi kelebihan-kelebihan yang baik, namun ia hanya dapat dimanfaatkan oleh golongan khusus dari kalangan ulama sahaja, ini adalah disebabkan terdapat perbincangan yang panjang lebar dan terperinci tentang perkara-perkara yang sebenarnya tidak perlu disebutkan seperti menyebutkan sanad-sanad bagi hadith sedangkan kebanyakannya terdapat dalam kitab-kitab sahih.
Begitu juga perbincangan tentang sanad-sanad ini dari segi jarh
dan ta'dil (kritikan dan pujian kepada perawi hadis) dan terdapat
perbahasan fiqh yang tidak perlu disebutkan. Kesemua ini menjadikan manfaat
daripadanya terhad kepada golongan tertentu sahaja dari kalangan penuntut ilmu
syariah.
Oleh itu, beliau memutuskan untuk meringkaskan tafsiran
tersebut dan membersihkannya daripada perkara-perkara yang tidak perlu seperti
riwayat yang berulang, sanad yang panjang, riwayat yang lemah, dan fatwa-fatwa yang tidak
diperlukan. Selain itu, beliau sekadar menyebutkan tafsiran al-Quran daripada
sahabat dan tabi’in yang terkenal sahaja di samping membuang riwayat-riwayat Israeliyat
dan hukum-hakam serta khilaf fiqh yang tidak perlu.
Namun
begitu, roh tafsiran itu tetap kekal seperti asalnya, dengan
keindahan dan kejelasan yang mempesona, serta gaya yang mudah dan jelas.
3 - Tanwir al-Azhan min Tafsir Ruh al-Bayan. (Muat Turun)
Tafsir Ruh al-Bayan oleh Sheikh Ismail Haqqi bin Mustafa al-Istanbuli (m. 1137H), seorang ulama dari abad ke-12 Hijriah, adalah salah satu tafsir terkenal yang mendapat pujian ramai ulama di negara-negara Islam. Ia benar-benar merupakan sebuah ensiklopedia besar dan mendalam, di mana Syeikh Ismail Haqqi telah mengumpulkan banyak riwayat, cerita, hikmah, nasihat, serta kisah-kisah menarik, di samping tafsir al-Quran itu sendiri.
Selain ilmu yang luas dalam bahasa Arab, beliau juga
memiliki pengetahuan mendalam dalam bahasa Parsi dan Turki. Dalam bukunya,
beliau menyertakan banyak kata-kata dan syair dalam bahasa Parsi, menjadikannya
sebuah karya yang sangat besar dan sukar untuk dibaca atau dipelajari.
Oleh kerana ia mengandungi mutiara yang sangat berharga,
namun tersembunyi di antara timbunan riwayat dan ucapan yang banyak, serta
pelbagai perbincagan aspek bahasa Arab dan tatabahasanya yang tidak begitu
diperlukan, maka beberapa tokoh terkemuka dari kalangan penduduk Jeddah yang
memiliki kecintaan mendalam untuk berkhidmat terhadap al-Quran dan
ilmu-ilmunya, serta berpengalaman luas dalam kerja-kerja kebajikan, iaitu
Syeikh Abdullah Abu al-Hassan, menginginkan agar dilakukan pembaikan dan
penyusunan semula terhadap buku ini, agar ia tampil dalam bentuk yang lebih
indah dan menarik, serta bermanfaat untuk golongan khusus dan umum. Oleh itu
beliau melaksanakan tugas besar ini yang memerlukan masa bertahun-tahun dan manhaj
beliau dalam meringkaskan tafsir ini adalah seperti berikut:
1 - Memilih tafsiran yang paling kuat dalam menerangkan
ayat-ayat al-Quran.
2 - Menghapuskan segala yang berkaitan dengan tafsir dalam
bahasa Parsi.
3 - Membuang hadis dan athar yang lemah.
4 – Mentakhrij hadis-hadis yang terdapat dalam tafsir
ini.
5 – Mengekalkan aspek-aspek penting sahaja berkaitan dengan i’rab.
4 - Al-Muntaqa al-Mukhtar min Kitab al-Azkar.
Terdapat banyak lagi karya-karya berharga yang telah memberi sumbangan besar kepada perpustakaan Islam.
Rakaman Tafsir al-Quran
Selain daripada karya-karyanya, Syeikh al-Sabuni juga
mempunyai banyak sumbangan ilmiah lain.
Beliau mengadakan kuliah harian di Masjid al-Haram, Makkah,
serta kuliah mingguan di salah sebuah masjid di Jeddah, di mana beliau
mentafsirkan ayat-ayat al-Qur'an yang berlangsung selama hampir lapan tahun.
Dalam tempoh tersebut, beliau telah mentafsirkan lebih dari dua pertiga
al-Qur'an kepada para pelajar ilmu. Kuliah tafsir ini dirakamkan dalam bentuk
kaset.
Di samping itu, Sheikh al-Sabuni juga merakam lebih dari 600
episod untuk program tafsir al-Qur'an secara keseluruhan yang disiarkan di
televisyen. Proses ini mengambil masa hampir dua tahun untuk diselesaikan dan
beliau berjaya menyempurnakannya pada penghujung tahun 1419H.
Anugerah dan Penghargaan
Sebagai penghargaan terhadap sumbangannya terhadap Islam
terutamanya dalam bidang tafsir al-Quran, Syeikh al-Sabuni telah dipilih oleh
‘Anugerah Dubai untuk al-Qur'an’ sebagai ‘Tokoh Islam’ untuk edisi ke-11 pada
tahun 2007.
Kematian
Syeikh Muhammad 'Ali al-Sabuni meninggal pada hari Jumaat,
19 Mac 2021 Masihi, bersamaan dengan 6 Sya'ban 1442 Hijriah, di bandar Yalova,
Turki ketika berusia hampir 91 tahun.
Solat jenazah ke atas beliau telah dilaksanakan di Istanbul,
dan beliau dikebumikan di perkuburan Merkezefendi, berdekatan dengan kubur
Necmettin Erbakan.
Kubur beliau |
terima kasih atas perkongsian
BalasPadamSama2
Padam