*Ini bukan tulisan asal saya. Saya cuma sebarkan sahaja.
Syeikh
Muhammad Ali as-Sabuni merupakan seorang ulama dan ahli tafsir yang terkenal
dengan keluasan dan kedalaman ilmu serta sifat warak. Nama lengkap beliau ialah
Muhammad Ali bin Ali bin Jamil as-Shabuni. Beliau dilahirkan di Madinah pada
tahun 1347 H/1928 M. Beliau dibesarkan dalam keluarga yang terpelajar. Ayah
beliau merupakan salah seorang ulama di Aleppo.
Syeikh
Muhammad Ali as-Sabuni memperolehi pendidikan awal mengenai bahasa Arab dan ilmu-ilmu agama di bawah bimbingan ayah
beliau. Sejak kanak-kanak lagi beliau sudah memperlihatkan bakat dan kecerdasan
dalam memahami ilmu-ilmu agama. Di usianya yang masih remaja, beliau sudah menghafal
keseluruhan al-Quran.
Guru-guru
beliau
Syeikh
Muhammad Ali as-Sabuni berguru dengan para ulama terkemuka di Aleppo seperti
Syaikh Muhammad Najib Sirajuddin, Syaikh Ahmad al-Shama, Syaikh Muhammad Said
al-Idlibi, Syekh Muhammad Raghib al-Tabbakh, dan Syekh Muhammad Najib Khayatah.
Pendidikan
Syeikh
Muhammad Ali as-Sabuni kerap mengikuti pengajian para ulama yang diadakan masjid-masjid
sekitar Aleppo. Setelah menamatkan pendidikan rendah, beliau melanjutkan
pendidikan formalnya di Madrasah al-Tijariyyah. Beliau hanya menuntut di sini
hanya selama satu tahun kerana minat beliau lebih tertumpu dalam bidang agama.
Kemudian, beliau meneruskan pendidikan di Madrasah Khasrawiyyah yang berada di
Aleppo.
Sewaktu
menuntut ilmu di Madrasah Khasrawiyyah, beliau tidak hanya mempelajari bidang
ilmu-ilmu Islam, tetapi turut mempelajari ilmu-ilmu lain seperti sains,
geografi dan lain-lain. Beliau berjaya menyelesaikan pendidikan di Madrasah
Khasrawiyyah pada tahun 1949. Dengan bantuan biasiswa Kementerian Wakaf Syiria,
beliau melanjutkan pendidikannya di Universiti al-Azhar, Mesir, sehingga tahun 1952.
Dua tahun berikutnya, di universiti yang sama, beliau memperolehi Syahadah
al-‘Alimiyyah yang setaraf dengan Ijazah Kedoktoran dalam bidang Syariah.
Setelah
pulang dari Mesir, Syeikh Muhammad Ali as-Sabuni kembali ke kota kelahirannya.
Beliau mengajar di pelbagai madrasah yang ada di Aleppo dari tahun 1955 hingga
1962. Setelah itu, beliau mendapatkan tawaran
untuk mengajar di Fakulti Syariah Universiti Umm al-Qura dan Fakulti Ilmu
Pendidikan Islam Universiti King Abdul Aziz. Kedua-dua universiti ini berada di
Kota Makkah.
Syeikh
Muhammad Ali as-Sabuni menghabiskan waktu mengajar di dua buah universiti ini
selama 28 tahun. Oleh kerana prestasi akademik dan kemampuan beliau yang tinggi
dalam bidang penulisan ketika menjadi pensyarah di Universitas Umm al-Qura, beliau
pernah menyandang jawatan sebagai ketua Fakulti Syariah. Beliau juga diberi kepercayaan
untuk mengetuai Pusat Kajian Akademik dan Warisan Islam.
Di samping
mengajar universiti, Syeikh Muhammad Ali as-Sabuni juga kerap memberikan
ceramah bagi masyarakat umum di Masjidil Haram. Beliau juga turut memberi
ceramah mengenai tafsir di salah satu masjid di Kota Jeddah. Aktiviti ceramah
beliau berlangsung selama sekitar lapan
tahun. Setiap ceramah yang disampaikannya akan dirakamkan dalam bentuk kaset. Proses rakaman ceramah beliau berjaya diselesaikan pada tahun 1998.
Aktiviti
keilmuan
Disamping
sibuk mengajar, Syeikh Muhammad Ali as-Sabuni juga aktif dalam organisasi Liga
Muslim Dunia. Ketika aktif dalam organisani Liga Muslim Dunia, beliau menjawat
sebagai penasihat Dewan Kajian Ilmiah mengenai al-Quran dan Sunnah. Beliau
aktif dalam organisasi ini selama beberapa tahun. Setelah itu, beliau
mengabdikan diri sepenuhnya untuk menulis dan menghasilkan karya.
Salah
satu karyanya yang terkenal adalah Shafwah al-Tafasir. Kitab tafsir ini
merupakan salah satu kitab tafsir moden yang terbaik, karena luasnya pengetahuan
yang dimiliki oleh pengarangnya. Selain
dikenali sebagai hafiz al-Quran, beliau juga dapat memahami dasar-dasar ilmu
tafsir. Hal ini menambah nilai ilmiah dalam kitab tafsir ini.
Karya-karya
beliau
1. Rawa’i al-Bayan fi Tasair Ayat al-Ahkam min Al-Qur’an
Kitab ini mengandungi keajaiban tentang ayat-ayat hukum di dalam Al-Qur’an. Kitab ini diterbitkan dalam dua jilid besar. Kitab ini adalah antara kitab tafsir ayat-ayat hukum terbaik yang pernah dikarang.
Keistimewaan Syeikh Muhammad Ali as-Sabuni terserlah ketikamana beliau memberi penerangan mengenai maqasid syariah berdasarkan ayat-ayat hokum di dalam al-Quran. Beliau juga turut menyanggah hujah-hujah musuh-musuh Islam yang penyerang peribadi Nabi Muhammad S.A.W dalam masalah poligami.
Dalam hal ini, Syeikh Muhammad Ali as-Sabuni telah mengupas hikmah poligami dengan menggunakan hujah logik dan rasional. Beliau turut menyanggah pendapat orang yang membenarkan seorang wanita menampakkan tangan dan wajahnya dihadapan lelaki yang bukan mahram dengan alasan bahawa tapak tangan dan wajah wanita tidak termasuk aurat (isu adakah wajah dan tapak tangan termasuk dalam aurat wanita ini terdapat khilaf di kalangan ulama dan menurut mazhab asy-Syafie wajah dan tapak tangan bukan termasuk aurat wanita).
Beliau menolak pendapat yang membenarkan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan bukan mahram dan mengemukan bukti terhadap kebatilan pendapat-pendapat para pembela pergaulan bebas tersebut.
2. Al-Tibyan fi ‘Ulum Al-Qur’an
Pada
mulanya, buku ini merupakan teks silibus bagi matapelajaran ulum al-Quraan
untuk para mahasiswa fakulti Syariah dan Dirasah Islamiyah. Kemudian, buku ini
dicetak untuk bacaan umum.
3. al-Nubuwah wa al-Anbiya
Buku ini menceritakan tentang nabi-nabi yang
terdapat di dalam al-Quran.
4.
Qabasun min Nur Al-Qur’an
Kitab
tafsir ini menafsirkan ayat-ayat Al-Quran
dari awal hingga akhir secara berturutan dengan bahasa yang sederhana dan mudah
dipahami. Ayat-ayat al-Quran yang mempunyai tema yang sama dikumpulkan kemudian
ditafsirkan dengan sederhana.
5.
Shafwah al-Tafasir
Salah
satu tafsir Syeikh Muhammad Ali as-Sabuni yang paling popular ialah Shafwah
al-Tafasir. Kitab ini terdiri daripada tiga jilid. Kitab tafsir ini
menggunakan metode-metode yang sederhana, mudah dipahami dan tidak terlalu
panjang sehingga menjemukan pembaca.
Syeikh
Muhammad Ali as-Sabuni telah menulis kitab tafsir ini selama lebih kurang lima tahun dan beliau tidak menulis sesuatu tentang tafsir sehingga
beliau membaca terlebih dahulu apa yang
telah ditulis oleh para mufasir yang terdahulu.
Shafwah
al-Tafsir merupakan tafsir ringkas,
meliputi semua ayat A-Qur’an sebagaimana yang terdapat dalam judul kitab : Jami’
baina al-Ma’tsur wa al-Ma’qul. Shafwah al-Tafasir ini disusun berdasarkan
kepada kitab-kitab tafsir terbesar seperti al-Thabari, al-Kasysyaf, al-Alusi,
Ibn Katsir, Bahr al-Muhith dan lain-lain dengan uslub yang mudah.
Syeikh
Muhammad Ali as-Sabuni mengatakan dalam pendahuluan tafsirnya mengenai tujuan
penulisan kitab ini, kata beliau : “Apabila seorang muslim terpesona kepada
masalah-masalah duniawi tentu waktunya akan disibukan hanya untuk menghasilkan
keperluan hidupnya sahaja. Dalam hari-harinya,
hanya sedikit waktu yang digunakan untuk merujuk kepada tafsir-tafsir besar
yang dijadikan rujukan oleh para ulama sebelumnya dalam mengkaji, menjelaskan
dan menguraikan maksud ayat-ayat al-Quran. Maka diantara kewajiban ulama pada
saat ini adalah mengerahkan usaha untuk mempermudahkan pemahaman manusia pada
Al-Qur’an dengan uslub yang jelas. Penerangan yang terang, tidak terdapat banyak
kalimat sisipan yang tidak perlu, tidak terlalu panjang dan dapat menjelaskan
apa yang terkandung dalam Al-Quran yaitu unsur keindahan ‘Ijaz dan Bayan
bersesuaian dengan keperluan pembaca dan memenuhi keperluan penuntut ilmu yang
haus untuk menambah ilmu pengetahuan mengenai Al-Qur’an al-Karim”.
Kata
Syeikh Muhammad Ali as-Sabuni lagi : “Saya belum menemui kitab tafsir yang memenuhi keperluan dan
permasalahan sebagaimana yang disebutkan di atas dan dapat menarik perhatian
orang untuk mendalaminya. Maka saya terdorong untuk melakukan penyusunan kitab ini. Seraya memohon
pertolongan Allah al-Karim saya berikan nama kitab ini Shafwah al-Tafasir.”
6.
Mukhtasar Tafsir Ibn Katsir
7.
Mukhtashar Tafsir al-Thabari
8.
Jammi al-Bayan
9.
al-Mawarits fi al-Syari’ah al-Islamiyah ‘ala Dhau al-Kitab
10.
Tanwir al-Adham min Tafsir Ruh al-bayan.
Syeikh
Muhammad Ali as-Sabuni dan Shofwah at-Tafasir
Syeikh
Muhammad Ali as-Sabuni menyebut kitab tafsir ini sebagai kumpulan tafsir bi
al-ma’tsur dan tafsir bi al-ma’qul. Sebab penamaan kitabnya ini beliau
menjelaskan, “aku namakan kitabku
Shofwah at-Tafasir kerana kitab mengandungi intisari daripada kitab-kitab
tafsir besar yang telah aku susun lebih ringkas, tertib, mudah dan jelas”.
Tafsir-tafsir
besar yang beliau ambil sebagai rujukan ialah tafsir at-Thobari, tafsir Kasyaf
karya Zamakhsyari, tafsir Qurthubi, tafsir Ruhul Ma’ani karya Al-Alusi, tafsir
Ibnu Katsir, tafsir Bahrul Muhith karya Abi Hayyan dan kitab-kitab tafsir yang lain.
Dalam
mukadimah kitab tersebut, Syeikh Muhammad Ali as-Sabuni menceritakan sedikit mengenai proses penulisan
kitab tafsir ini, katanya : “Aku mengkaryakan penulisan kitab ini
selama lima tahun siang dan malam. Aku tidak menulis sesuatu dalam kitab tafsir
ini kecuali setelah aku benar-benar membaca apa yang ditulis oleh ulama-ulama
tafsir pada kitab mereka. Aku meneliti dengan sungguh-sungguh supaya aku dapat
menilai yang manakah diantara pendapat
mereka yang paling benar lalu aku memilihnya.”
Diantara
alasan yang membuat Syeikh Muhammad Ali as-Sabuni tergerak untuk menyusun kitab tafsir ini
adalah kerana banyaknya kitab tafsir dan ulumul Qur’an yang ditulis oleh para
ulama terdahulu ditulis dalam jumlah yang berjilid-jilid sehingga menyukarkan masyarakat Islam pada
hari ini untuk memahaminya. Maka dengan penulisan kitab Shofwah at-Tafasir
ini diharap dapat menyelesaikan masalah tersebut.
Syaikhul
Azhar Dr Abdul Halim Mahmud memberikan komentar tentang kitab ini, “Shofwah
at-Tafasir adalah hasil penelitian penulis terhadap kitab-kitab besar dalam
bidang tafsir, kemudian ditulis semula dengan mengambil pendapat terbaik dari
kitab-kitab tersebut yang disusun secara ringkas dan mudah.”
Begitu
juga apa yang disampaikan oelh Dr Rasyid bin Rojih tentang Shofwah at-Tafasir, “kitab
ini sangat berharga, meringkaskan apa yang dikatakan oleh para ulama besar
dalam bidang tafsir dengan menggunakan tata bahasa yang sederhana, teknik pengungkapan
yang mudah serta penjelasan dari segi kebahasaannya. Sungguh sangat memudahkan
penuntut ilmu dalam memahaminya”.
Adapun
metode yang diterapkan Syeikh Muhammad Ali as-Sabuni dalam tafsirnya:
a.
Menjelaskan surah-surah Al-Qur’an secara umum, kemudian memperincikan
maksud-maksud yang terkandung dalam surah tersebut.
b.
Menhuraikan hubungan antara ayat sebelum dan sesudahnya.
c.
Membahaskan tentang hal yang berhubungan dengan aspek bahasa, seperti kata akar
bagi sesuatu kalimat dan bukti-bukti kalimat yang diambil dari ungkapan orang Arab.
d.
Perbahasan tentang Asbab an-Nuzul.
e.
Perbahasan tentang tafsir ayat.
f.
Perbahasan ayat dari segi Balaghah.
g.
Penjelasan faedah-faedah yang dapat dipetik dari sesuatu ayat.
terima kasih atas perkongsian
BalasPadamSama2
Padam