Jumaat, 21 Mac 2014

Imam at-Termizi

Nama dan tahun kelahiran

Nama Imam at-Termizi ialah Muhammad bin 'Isa bin Saurah bin Musa bin ad-Dhahak as-Sulami at-Termizi. Dalam bidang hadith, beliau terkenal dengan nama Imam al-Hafiz Abu Isa Muhammad bin ‘Isa at-Termizi. Perkataan at-Termizi boleh dibaca dengan tiga cara iaitu at-Termizi, at-Tarmizi dan at-Turmuzi. Beliau merupakan salah seorang ahli hadith yang masyhur dengan karangan beliau iaitu Sunan at-Termizi dan Syamail al-Muhammadiyyah. Beliau lahir pada 209H di kota Tirmiz (sebuah kawasan di Uzbekistan).

Menuntut ilmu dan mengembara

Semenjak kecil, Imam at-Termizi sudah gemar mempelajari ilmu dan mengumpul hadith. Untuk keperluan inilah beliau mengembara ke berbagai negara seperti Hijaz, Iraq, Khurasan dan lain-lain. Dalam pengembaraannya itu, beliau banyak mengunjungi ulama-ulama besar dan guru-guru hadith untuk mendengar hadits.

Guru-gurunya

Imam at-Termizi belajar dan meriwayatkan hadith daripada ulama-ulama yang ternama. Di antaranya:

1. Imam al-Bukhari

2. Imam Muslim

3. Imam Abu Dawud

4. Qutaibah bin Sa’id

5. Ishaq bin Musa

6. Mahmud bin Gailan

7. Sa’id bin 'Abdur Rahman

8. Muhammad bin Basyyar

9. 'Ali bin Hajar

Murid-muridnya

Hadith-hadith dan ilmu-ilmunya dipelajari dan diriwayatkan oleh banyak ulama. Diantaranya ialah:

1. Makhul ibn al-Fadl

2. Muhammad bin Mahmud 'Anbar

3. Hammad bin Syakir

Kekuatan hafalannya

Imam at-Termizi diakui oleh para ulama keahliannya dalam bidang hadith, kesolehan dan ketakwaannya. Beliau terkenal pula sebagai seorang yang dapat dipercaya, amanah dan sangat teliti. Salah satu bukti kekuatan dan cepat hafalannya ialah kisah berikut yang dikemukakan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar dalam kitab Tahzib at-Tahzib, dari Ahmad bin 'Abdullah bin Abu Dawud, yang berkata:

"Saya mendengar Abu 'Isa at-Tirmizi berkata: Pada suatu waktu dalam perjalanan menuju Makkah, dan ketika itu saya telah menuslis dua jilid berisi hadith-hadith yang berasal dari seorang guru. Kemudian saya menemui guru tersebut. Saya mengira bahwa "dua jilid kitab" itu ada padaku. Ternyata yang kubawa bukanlah dua jilid tersebut, melainkan dua jilid lain yang mirip dengannya. Ketika saya telah bertemu dengan dia, saya memohon kepadanya untuk mendengar hadith, dan beliau mengabulkan permohonan itu. Kemudian beliau membacakan hadith yang dihafalnya. Di sela-sela pembacaan itu beliau mencuri pandang dan melihat bahawa kertas yang kupegang masih putih bersih tanpa ada tulisan sesuatu apa pun.

Melihat keadaan ini, beliau berkata: "Tidakkah engkau malu kepadaku?" Lalu aku bercerita dan menjelaskan kepadanya bahwa apa yang beliau bacakan itu telah kuhafal semuanya. 'Cuba bacakan!' suruhnya. Lalu aku pun membacakan seluruhnya secara berturutan. Beliau bertanya lagi: "Apakah telah engkau hafalkan sebelum datang kepadaku?'' "Tidak," jawabku. Kemudian saya meminta lagi agar beliau meriwayatkan hadith yang lain. Beliau pun kemudian membacakan empat puluh buah hadith yang tergolong hadits-hadits yang sukar atau garib, lalu berkata: 'Cuba ulangi apa yang kubacakan tadi,' Lalu aku membacakannya dari pertama sampai selesai dan beliau berkata: "Aku belum pernah melihat orang seperti engkau."

Pandangan pengkritik hadith kepada Imam at-Termizi

Para ulama besar telah memuji dan menyanjungnya dan mengakui akan kemuliaan dan keilmuannya. Al-Hafiz Abu Hatim Muhammad ibn Hibban menggolongkan Imam at-Termizi ke dalam kelompok "thiqat" atau orang-orang yang dapat dipercayai dan kukuh hafalannya dan beliau berkata: "at-Termizi adalah salah seorang ulama yang mengumpulkan hadith, menyusun kitab, menghafal hadith dan bermuzakarah (berdiskusi) dengan para ulama."

Abu Ya'la al-Khalili dalam kitabnya 'Ulum al-Hadith menerangkan: "Muhammad bin 'Isa at-Termizi adalah seorang penghafal dan ahli hadith yang baik yang telah diakui oleh para ulama. Beliau memiliki kitab as-Sunan dan kitab al-Jarh wa at-Ta'dil. Hadith-hadithnya diriwayatkan oleh Abu Mahbub dan ramai ulama yang lain. Beliau terkenal sebagai seorang yang dapat dipercaya, seorang ulama dan imam yang menjadi ikutan dan yang berilmu luas. Kitabnya, Jami' al-Kabir adalah bukti atas keagungan darjatnya, keluasan hafalannya, banyak pembacaannya dan pengetahuannya tentang hadith yang sangat mendalam.

Fiqh Imam at-Termizi dan ijtihadnya

Imam at-Termizi, di samping dikenal sebagai ahli dan penghafal hadith yang mengetahui darjat hadith dan perawi-perawinya, beliau juga dikenali sebagai ahli fiqh yang mewakili wawasan dan pandangan luas. Barang siapa mempelajari kitab Jami'nya akan mendapati ketinggian ilmu dan kedalaman penguasaannya terhadap berbagai mazhab fiqh. Kajian-kajiannya mengenai persoalan fiqh mencerminkan dirinya sebagai ulama yang sangat berpengalaman dan mengerti betul permasalahan fiqh.

Karya-karyanya

Imam Tirmizi banyak menulis kitab-kitab. Di antaranya:

1. Kitab al-Jami' al-Kabir, terkenal dengan sebutan Sunan at-Termizi.




2. Kitab al-'Ilal.




3. Kitab at-Tarikh.

4. Kitab Asy-Syamail al-Muhamdiyyah.




5. Kitab az-Zuhd.

6. Kitab al-Asma' wa al-Kuna.

Kematian

Setelah menjalani perjalanan panjang untuk belajar, mencatat, berdiskusi dan bertukar fikiran dengan para ulama serta mengarang, beliau pada akhir kehidupannya terkena penyakit buta, dan beberapa tahun lamanya beliau hidup dalam keadaan buta dan akhirnya dalam keadaan seperti inilah akhirnya Imam at-Termizi meninggal dunia. Beliau wafat di Tirmiz pada malam Isnin 13 Rajab tahun 279 H dalam usia 70 tahun.

Sekilas tentang al-Jami' al-Kabir

Kitab ini adalah salah satu kitab karya Imam at-Termizi yang terbesar dan paling banyak manfaatnya. Ia tergolong dalam salah satu "Kutubus Sittah" (enam kitab utama dalam Bidang Hadits) dan ensiklopedia hadith terkenal. Al-Jami' al-Kabir ini terkenal dengan nama Jami' at-Termizi, dinisbahkan kepada penulisnya, yang juga terkenal dengan nama Sunan at-Termizi. Namun nama pertamalah yang popular.

Sebagian ulama tidak berkeberatan menyandangkan gelar as-Sahih kepadanya, sehingga mereka menamakannya dengan Sahih Tirmizi. Sebenarnya pemberian nama ini kurang tepat kerana bukan semua hadith yang terdapat dalam Sunan at-Termizi sahih semuanya. Masih terdapat hadith-hadith daif dalam kitab ini.

Setelah selesai menyusun kitab ini, Imam at-Termizi memperlihatkan kitabnya kepada para ulama dan mereka senang dan menerimanya dengan baik. Beliau menerangkan: "Setelah selesai menyusun kitab ini, aku perlihatkan kitab tersebut kepada ulama-ulama Hijaz, Iraq dan Khurasan, dan mereka semuanya meredhainya. Mereka berkata sesiapa yang memiliki kitab ini di rumahnya seolah-olah di rumah tersebut ada Nabi yang sedang berbicara."

Imam at-Termizi di dalam al-Jami' al-Kabir menerangkan bahawa beliau tidak hanya meriwayatkan hadith sahih semata-mata, tetapi beliau juga meriwayatkan hadith-hadith hasan, daif, garib dan mu'allal dengan menerangkan kelemahannya.

Dalam pada itu, beliau tidak meriwayatkan dalam kitabnya itu, kecuali hadith-hadith yang diamalkan atau dijadikan pegangan oleh ahli fiqh. Metode demikian ini merupakan cara atau syarat yang longgar. Oleh kerana itu, beliau meriwayatkan semua hadith yang memiliki nilai demikian, baik jalan periwayatannya itu sahih ataupun tidak sahih. Beliau juga selalu memberikan penjelasan yang sesuai dengan keadaan setiap hadith.

Diriwayatkan, bahawa beliau pernah berkata: "Semua hadits yang terdapat dalam kitab ini adalah dapat diamalkan." Oleh karena itu, sebagian besar ahli ilmu menggunakannya (sebagai pegangan), kecuali dua buah hadits, yaitu: Pertama, yang artinya: "Sesungguhnya Rasulullah SAW menjamak shalat Zuhur dengan Asar, dan Maghrib dengan Isya, tanpa adanya sebab "takut" dan "dalam perjalanan."

Hadith yang kedua ialah "Jika peminum arak minum lagi arak pada kali yang keempat, maka bunuhlah dia." Hadits ini telah dimansuhkan dan ijma ulama menunjukan demikian perkara tersebut. Sedangkan mengenai solat jamak dalam hadith di atas, para ulama berbeza pendapat, ada yang berpegang dengan hadith tersebut dan ada yang meninggalkannya. Sebagian besar ulama berpendapat boleh (jawaz) hukumnya melakukan salat jamak di rumah selama tidak dijadikan kebiasaan. Pendapat ini adalah pendapat Ibn Sirin, Ibn Munzir dan Asyab serta sebagian besar ahli fiqh dan ahli hadith. Manakala menurut pendapat Imam asy-Syafi'e tidak boleh melakukan solat jamak kecuali ketika musafir.

Hadith-hadith daif dan munkar yang terdapat dalam kitab ini, pada umumnya hanya berkaitan dengan fadail 'amal (anjuran melakukan perbuatan-perbuatan kebajikan). Syarat-syarat meriwayatkan dan mengamalkan hadith seperti ini lebih longgar dibandingkan dengan persyaratan bagi hadith-hadith tentang halal dan haram.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan