Muhammad
Badaruddin al-Hasani (1850-1935M): Pembina Madrasah Hadith dan Penghulu Ulamak
Zaman Moden
Oleh: Dr Mohd Rumaizuddin Ghazali
Muhammad
Badaruddin hidup pada pertengahan kurun ke-19 dan pada permulaan kurun ke-20.
Masa tersebut merupakan masa yang sukar bagi dunia Arab Islam secara
keseluruhan dan negeri Syam khususnya dari sudut politik. Kerajaan Uthmaniah
yang memerintah sejak kurun 15M dan menguasai banyak negara di Asia, Afrika dan
Syam telah diperintah sejak tahun 1516M/922H mulai lemah pada kurun ke 18. Pada akhir kurun ke 19,
kebanyakkan negara yang dikuasainya telah jatuh ke tangan penjajah dan tidak
tinggal kecuali beberapa buah negara di Asia Kecil dan Syam. Yahudi mula
bergerak untuk menguasai Palestin untuk dijadikan negara mereka. Pada masa ini,
negeri Syam diperintah oleh gabenor yang dilantik oleh kerajaan Uthmaniah dan
pentadbiran mereka amatlah tidak memuaskan dan mereka mendapat jawatan tersebut
dengan rasuah dan mengenakan cukai tinggi ke atas rakyat. Pada masa zaman
Muhamad Badaruddin terlalu ramai gabenor yang dilantik dan bersilih ganti.
Antanya Khursid Basha pada tahun 1859, Ahmad Basha pada tahun yang sama, Fuad
Basha 1861M, Medhat Basha pada tahun 1880M.
(Yusri al-Dirkazanli, 1977: 10).
Apabila tamat perang dunia pertama, tentera
bersekutu telah mengalahkan kerajaan Uthmaniah dan Syam serta Lebnon telah
dijajah oleh Perancis. Sementara British menjajah Palestin, Iraq dan Jordan.
Pada masa penjajahan, berlaku pemberontakan kepada penjajah Perancis seperti Revolusi Syria pada tahun 1925. Zaman
Muhammad Badaruddin merupakan zaman yang penuh dengan kesukaran dan pergolakan
dari segi politik dengan kelemahan kerajaan Uthmaniah, pemberontakan Arab ke
atas Kerajaan Uthmaniah, perang Dunia Pertama, Penjajahan Perancis ke atas Syam
dan perjuangan rakyat Syam menuntut pembebasan dari penjajahan. Dari segi
kemasyarakan, unsur-unsur luar telah masuk ke negeri Syam seperi sekolah
Katolik, mubaligh Kristian dan pelbagai aliran pemikiran yang melatari
rakyatnya. (Yusri al-Dirkazanli, 1977: 14) Dari segi politik, keadaan dunia
Islam seperti berikut :
i. Akhir zaman pemerintahan Uthmaniah,
penyelewengan pemerintahan dan pentadbiran yang lemah serta berlaku
pemberontakan dalam negeri dibawah penguasaannya.
ii. Timbul kesedaran di negeri Syam dan
negeri-negeri yang lain untuk membebaskan dari penguasaan orang-orang Turki.
iii. Kejatuhan khalifah dan kebangkitan revolusi
Arab yang diketuai oleh Syarif Husain di Mekah
iv. Penguasaan penjajah Bersekutu di
Negara-negara Arab dan membahagikan negara-negara Arab dan Syam dijajah oleh
Perancis.(Salih al-Farfur, 1986:12)
Menurut Salih
Farfur, seorang anak muridnya dan juga pengasas Maahad Fatah al-Islami bahawa
Syeikh Badaruddin merupakan mujadid kurun ke 14H selepas mujadid kurun ke 13H
al-Alamah Sayyid Muhammad Amin Abidin pengarang Hasiyah Rad al-Mukhtar
al-al-Dar. (Salih Farfur, 1986: 14)
Nama sebenarnya
ialah Muhamad Badaruddin bin Yusuf bin Badaruddin al-Hasani al-Magribi
al-Marakasyi al-Sabti. Keturunan sampai kepada Hasan bin Ali r.a. Dilahirkan di
Damsyiq iaitu berdekatan dengan Dar al-Hadith al-Asyrafiyyah pada tahun
1850M/1267H. Beliau dibesarkan dalam didikan agama yang kuat dan ketika berusia
13 tahun bapanya telah meninggal dunia
dan dipelihara oleh bapa saudaranya Syeikh Saleh al-Kaziri dan ibunya.
(Yusri al-Dirkazanli, 1977: 23)
Bapanya syeikh
Yusuf bin Badaruddin al-Hasani al-Magribi seorang yang berpegang kepada tariqah
qadariah dan bermazhab Maliki. Menurut al-Zirkuli dalam al-‘Ilam, nama
sebenarnya ialah Yusuf bin Abdul Rahman manakala Badaruddin itu merupakan
gelarannya dan bukan nama bapanya. (Salih al-Farfur, 1986:17, Mahmud Biruni,
2009:72) Beliau seorang yang alim dan pensyair. Beliau mengembara ke Mesir
untuk menuntut ilmu dari Syeikh al-Islam Syeikh Abdullah al-Syarqawi, Syeikh
Amir al-Saghir, Syeikh al-Azhar Syeikh Hassan al-Attar dan Syeikh Muhammad
al-Husaini. Beliau juga mendapat sanad dari ulamak-ulama Mekkah dan Madinah dan
kemudian di Syam. Beliau telah berguru
lebih 100 orang guru dan mengambil sanad dari mereka semasa beliau merantau
menuntut ilmu di Hijaz. Mesir, Iraq dan Syam. Antara rakan seperguruannya
seperti Syeikh al-Asmuni dan Syeikh al-Baijuri. Beliau telah mendirikan Dar
al-Hadith dan mengajar di situ pada tahun 1853M. Dar al-Hadis al-Asrafiyyah
merupakan tempat mengajar para ulama-ulama besar dalam bidang hadis seperti Ibn
Salah, al-Nawawi, al-Subki dan al-al-Mazzi tetapi seorang nasrani membelinya
dan menjadi gudang Khamar. Perkara ini menyebabkan Syeikh Yusuf bersama Amir
Abdul Qadir al-Jaza’iri membelinya dan mewakaf untuk pengajian Dar al-Hadis.
Selepas kematiannya, Dar al-Hadis pernah terbakar semasa kebakaran Pasar
al-Hamidiah. Beliau meninggal dunia pada tahun 1862M di Damsyiq dan dikebumikan di perkuburan Bab
al-Saghir. (Yusri al-Dirkazanli, 1977: 25. Salih al-Farfur, 1986:19)
Ibunya bernama
Aisyah bin Ibrahim al-Kaziri yang terkenal seorang yang solehah. Syeikh
Badaruddin mempunyai adik yang bernama Syeikh Ahmad Bahauddin dan syeikh dalam
Tariqat Nasyabandiyyah. Meninggal dunia pada tahun 1912M.
Syeikh
Badaruddin telah berkahwin dengan Sayyidah Rukiah bin Syeikh Mahyuddin
al-A’ani pada tahun 1878 dan
dikurniakan lapan orang anak. Dua orang
lelaki iaitu Ibrahim Isamuddin dan Tajuddin yang pernah menjadi Presiden Syria
pada tahun 1928M dan enam orang perempuan. Ibrahim Isamuddin pernah menjadi
guru di sekolah Sultaniah a;-Arabiyyah dan meninggal dunia semasa ayahnya masih
hidup di zaman perang Dunia Pertama. Beliau mempunyai seorang anak lelaki
Muhamad Fakharuddin yang pernah memegang jawatan Pengarah Fatwa di Damsyiq. (Yusri al-Dirkazanli, 1977: 27, Salih
al-farfur, 1986: 30. Bayruni, 2009:79)
Akhlak
Syeikh
Badaruddin seorang yang bertubuh besar dan tegap. Beliau mempunyai akhlak yang
mulia, lidahnya sentiasa bercakap benar dan berani menyatakan kebenaran. Beliau
bercakap sedikit dan banyak berdiam. Beliau tidak bercakap kecuali memberi nasihat, mengajar
dan berzikir. Beliau menjaga lidahnya dari menjatuhkan maruah orang lain dan
tidak pernah mengumpat kepada orang lain sepanjang hidupnya. Beliau juga tidak
menyaringkan suaranya kecuali ketika mengajar. Beliau juga terkenal sebagai
seorang yang warak dan tawaduk. Beliau jarang mengeluarkan fatwa apabila ada sesuatu masalah dan
persoalan, beliau hanya menjawab agar penanya tersebut merujuk kepada buku
disebutnya atau disebutkan halaman buku tersebut untuk dirujuk.
Antara
kerendahan dirinya ialah beliau suka menziarahi orang miskin, anak-anak
Yatim dan orang yang dipenjara. Antara
kewarakannya ialah beliau tidak menjadi imam sedangkan beliau seorang yang alim
dan hafiz serta menjaga solat berjamaah. Beliau juga hanya mengajar di madrasah
Dar al-Hadis atau di biliknya dan tidak suka majlis besar-besaran. (Yusri
al-Dirkazanli, 1977: 33)
Syeikh
Badaruddin juga tidak suka kepada
penonjolan diri malah ketika anak muridnya bertanya mengenai diri dan
keturunannya, beliau tidak menjawab. Malahan sejarah hidupnya tidak ditulis
kecuali sepuluh tahun terakhir sebelum kematiannya. Oleh sebab itu, penulisan
sejarah hidupnya terutama semasa muda tidak diketahui secara mendalam dan hanya
ditulis oleh anak murid setelah kematiannya. Penulisan itu juga hanya berkisar
kepada pengajian, buku-buku yang digunakan, tempat mengajar dan keperibadian
seperti yang disebut dalam buku al-Rankusi dan Salih Farfur.
Syeikh
Badaruddin tidak pernah pergi menziarahi
para pemerintah malah mereka yang berjumpa dengannya. Beliau tidak pernah
memasuki parlimen dan juga istana selama
hayatnya. Beliau juga seorang yang amat memuliakan tetamu dan akan memberi sesuatu kepada tetamu
terutama mereka yang datang dari jauh. Beliau amat suka menziarahi orang-orang
soleh dan juga menziarahi orang bukan Islam antaranya menziarahi perkampungan
orang-orang Kristian di Damsyiq pada masa pemberontakan terhadap Perancis.
(Yusri al-Dirkazanli, 1977: 39-40)
Beliau telah
diberi Allah kelebihan dengan karamah-karamah dan karamahnya yang paling besar
adalah istiqamahnya berpegang kepada syariat dan menjaga majlisnya dari perkara
yang melalaikan.
Syeikh
Badaruddin mendapat pendidikan yang sempurna sejak kecil dari segi keilmuan dan
kerohanian. Perkara ini merupakan penyediaan untuk menjadi ulamak yang besar.
Di samping itu, beliau berperanan mengajar ilmu dan dalam satu hari mengajar 12
subjek.
Penyediaan
sebagai seorang ilmuan dan ulamak terkemuka
Bapanya Syeikh
Yusuf al-Hasani telah memeliharanya dengan didikan agama sepertimana firasat
Syeikh Muhamad Zabiyan al-Kilani semasa tahnik Syeikh Badaruddin dengan
menyebutkan bayi ini akan menjadi seorang yang agung kelak. Syeikh Badaruddin
telah tamat menghafal al-Quran ketika berusia
tujuh tahun. Apabila bapanya meninggal dunia, beliau dipelihara oleh
bapa saudara Syeikh Salih al-Kaziri dan tinggal di biliknya ayahnya di Dar
al-Hadis. Di bilik ini, beliau menelaah buku-buku yang ditinggalkan oleh
ayahnya dan menghafaz matan-matan dalam pelbagai ilmu. Pada peringkat ini,
beliau berguru dengan ulama-ulama terkemuka Syam terutama Syeikh Abi Khair di
Madrasah al-Qalbaqjiah, di Suq al-Harir (Pasar Sutera). Menurut Salih
al-Farfur, Syeikh Badaruddin belajar dengan Syeikh Abi Khair sehingga berusia
18 tahun. Pada peringkat ini beliau banyak menghafal hadis-hadis bersama dengan
sanad-sanad sekali (Yusri al-Dirkazanli, 1977: 52, salih al-farfur, 1986: 33)
Kemudian beliau
meninggalkan pengajian umum dan mirip untuk beruzlah pada usia 13 tahun. Beliau
menumpukan untuk menuntut ilmu dan beribadat di biliknya di dar al-Hadis.
Beliau tidak keluar kecuali untuk bersolat Jumaat di Masjid al-Umawi. Beliau
mengasingkan diri berkhalwat selama tujuh tahun dan menumpukan dengan belajar,
mengarang dan beribadat. Ada sebahagian mengatakan khalwatnya hampir sepuluh
tahun sehingga tahun 1873 ketika ia keluar untuk melawat Homs. Ketika ini,
beliau telah menghafal sahih al-Bukhari dan sahih Muslim bersama dengan
sanad-sanadnya. Malah ada sebahagian mengatakan
beliau telah menghafal kitab hadis yang enam (Kutub al-Sittah). Beliau
juga menghafal matan-matan dalam pelbagai bidang terutama dalam bidang hadis.
Beliau telah menghafal 20 ribu bait yang berkaitan dengan ilmu-ilmu Islam.
Beliau telah membuat syarah terhadap bait tersebut dan meninggalkan 40-50
buah buku dan risalah kecil. (Yusri
al-Dirkazanli, 1977: 55)
Beliau telah
pergi ke Mesir pada usia 25 tahun dan bertemu dengan Syeikh al-Asmuni yang
merupakan seperguruan ayahnya dan juga belajar dengan Ibrahim al-Saqa dan
mendapat sanad ilmu hadis daripadanya. Oleh itu, beliau berguru dengan Syeikh
Abu Khair, Syeikh Ibrahim al-Saqa dan bapanya Syeikh Yusuf. Beliau tidak
menyibukkan diri dengan berguru tetapi gigih dalam menghafal dan belajar
sendiri. (Yusri Dirkazanli, 1977:56)
Sementara dari
segi ibadat, beliau mempunyai jadual yang telah ditetapkan. Beliau hanya tidur
sedikit dan bangun untuk bertahajud sehingga waktu subuh dan kemudian pergi ke
Masjid al-Umawi untuk solat berjamaah dan berada di saf pertama. Setelah itu,
melakukan wirid sehingga terbit matahari dan kemudian melakukan solat Dhuha.
Beliau tidak meninggalkan rutin ini walaupun semasa menunaikan ibadat haji.
Setelah itu, baru beliau memulakan pembelajaran sehingga hampir Zuhur. Apabila
Azan Zuhur, beliau akan solat berjamaah dan kemudian berwirid. Beliau sentiasa melakukan solat sunat-sunat
yang lain seperti solat Tasbih dan melakukan wirid selepas solat waktu. Beliau
juga seorang yang sentiasa berpuasa sunat dan beriktikaf dalam bulan Rejab,
Syaaban dan Ramadan terutama sepuluh terakhir.Beliau pergi menunaikan haji dua
kali iaitu pada tahun 1901M dan pada 1914M.
(Yusri dirkazanli, 1977:58)
Syeikh
Badaruddin mula mengajar ketika berusia 15 tahun dibiliknya di Dar al-Hadis. Walaupun beliau berkhalwat,
namun beliau juga mengajar dan belajar. Menurut seorang anak muridnya, sebelum
beliau mengasingkan diri dan berkhalwat, beliau telah mengajar di Masjid
al-Umawi ketika berusia 13 tahun tafsir al-Baidawi berdasarkan kepada hafalan
tanpa menggunakan kitab. Kemasyhurannya
menyebabkan pelajar-pelajar syeikh lain telah bertumpu kepada halaqahnya.
Perkara ini menyebabkan beliau tidak menyenangi lalu meningalkan halaqah
tersebut dan berkhalwat di biliknya. Oleh itu, beliau mula mengajar sejak umur
masih muda dan mengajar sebilangan kecil pelajar-pelajar di biliknya di dar al-Hadis (Yusri
Dirzakanli, 1977:59)
Setelah selesai
beliau berkhalwat dan pergi ke Homs pada tahun 1873M, beliau telah menerima
sambutan dari penduduk di situ dan mengajar mereka di sana sebelum pulang ke
Damsyiq untuk mengajar dengan mempunyai jadual yang tersusun dalam mengajar
sehingga akhir hayatnya. Beliau mengajar secara serius pada umurnya mencecah 30
tahun. Pengajian beliau terbahagi kepada tiga kategori iaitu :
i. Pengajian khusus yang diadakan dibilik yang
khusus di Dar al-Hadis. Pengajian khusus ini membaca kitab –kitab yang
tertentu yang terdiri pelajar dari pelbagai latar belakang dan juga
ulamak-ulamak. Pengajian ini dihadiri dari seorang sehingga sepuluh orang
sahaja. Apabila tamat satu kumpulan masuk satu kumpulan yang lain pula bermula
terbit matahari sehingga waktu Asar. Subjek yang diajar dalam kelas ini adalah
pelbagai seperti Tafsir, hadis, mustalah hadis, subjek bahasa Arab, balaghah,
nahu, saraf, usul fiqh dan tauhid.(Yausri Dirzakanli, 1977: 62) Antara kitab
yang digunakan seperi tafsir al-Naisaburi, Tafsir al-Baidawi, dan tafsir
al-Kasyaf. Dalam tauhid seperti syarah al-sanusiah al-Kubra. Syarah al-Aqa’id
al-Nasafiah, dalam hadis seperti Sahih Muslim dan dalam bidang akhlak dan
tasauf seperti Ihya Ulumiddin, risalah al-Qusairiah, syarah Hikam Ibn Ata’
illah. Dalam fiqh seperti al-Hidayah dan Fath al-Qadir, dalam balaghah seperti
al-Talkhis karangan al-Taftazani dan dalam nahu seperti syarah al-Kafiah
karangan Ibn Hajib.
ii. Pengajian umum yang diadakan di masjid.
Pengajian ini pada mulanya di Masjid Sadat dengan membaca kitab sahih
al-Bukhari. Apabila orang semakin ramai dan masjid semakin sesak, mereka telah
berpindah ke Masjid Sanan Basha. Pengajian ini pada malam Isnin dan Jummat
setiap minggu selepas solat maghrib. Kemudian pengajian ini diadakan di Masjid
al-Umawi pada tahun 1880M pada zaman Madhat Basha dan dihadiri oleh para ulama
dan pembesar negara. Pengajian ini diadakan selepas solat Jumaat sehingga waktu
Asar dengan membaca kitab Sahih al-Bukhari. Pernah pihak kerajaan Uthmaniah
untuk memberi gaji bulanan kepadanya sebagai ganjaran beliau mengajar, namun
beliau enggan menerimanya.
iii. Pengajian umum yang diadakan di Dar
al-Hadis selepas solat Maghrib sehingga Isya’. (Yusri al-Dirkazanli, 1977:
60-71, Salih al-farfur, 1986: 38)
Syeikh
Badaruddin telah mengarang 40 buah buku yang merupakan syarah kepada
kitab-kitab klasik utama. Antaranya syarah tafsir al-Jalalain, syarah Syamail
al-Muhamadiyyah, syarah Manzumah al-Baiquniah dalam Mustalah hadis, syarah
Nazam al-Sanusiah, Syarah Qatr al-Nada dan lain-lain lagi. Namun, kebanyakan
buku-buku tersebut telah terbakar semasa berlaku kebakaran di Dar al-Hadis dan
tinggal sedikit sahaja yang masih disimpan oleh warisnya.
i. Hasiyah Ala al-Jalalain- Buku ini merupakan
syarah kepada tafsir al-Jalalain dengan membuat tambahan kepada
pandangan-pandangan ulama seperti al-Zamakhsyari, al-Asyari dan al-Tabari. Buku
ini dalam bentuk tulisan tangan yang ditulis oleh anak muridnya dan mempunyai
dua jilid.
ii. Al-Durur al-Bahiyyah fi syarah al-Mandumah
al-Baiquniah. –Buku ini merupakan syarah kepada qasidah yang dinamakan
al-Baiquniah dalam bidang mustalah Hadis. Buku ini mula ditulis oleh muridnya
Syeikh Abdul Salam al-Syati bertarikh 1868M dan tamat pada 1871M.
iii. Syarah al-Qasidah al-Gharamiah fi
al-Mustalah al-Hadithah. Buku ini merupakan syarah kepada qasidah yang
dinamakan Gharami Sahih dalam bidang mustalah hadis karangan Syihabuddin
al-Lahmi al-Asbili al-Syafi’i. Buku risalah ini mempunyai 11 halaman dan dicetak pada 1869M oleh percetakan Bulaq,
Mesir.
iv. Al-Budur al-Jaliah fi Syarah Nizam
al-Sanusiyyah. Kitab ini meripakan syarah kepada qasidah yang dinamakan
al-sanusiyyah dalam bidang akidah. Dalam perbahasan sifat Allah, beliau
mendatangkan pandangan muztazilah dan membahaskannya. Buku ini ditulis oleh
anak muridnya pada tahun 1863M yang mempunyai 58 halaman.
v. Al-Fara’id al-Bahiyah ala al-Fawa’id
al-Syansuriyyah. Buku ini syarah kepada al-Fawa’id karangan al-Syansuriyyah (m. 1590) dalam ilmu
faraid.
vi. Faida al-Wahab fi Mawafaqat Saidina Umar
bin al-Khatab.Buku ini merupakan syarah kepada bait-bait yang disusun oleh
Jalaluddin al-Sayuti. Buku ini mengandungi 27 halaman dan ditulis pada tahun
1864M.
vii. Ghayah al-Maram ala syarah al-Qadr al-Nada.
Buku ini merupakan syarah kepada syarah
Qadr al-Nada dalam bidang nahu. Beliau menghuraikan buku ini dengan membawa
pandangan-pandangan ulamak nahu seperi Khalil Ahmad al-Farahidi, Syibawaih,
al-Kasa’i, al-Fara, ’Ibn Malik dan Ibn Asfur. Buku ini adalah tulisan tangan
anak muridnya. Namun sebahagian besar
buku ini hilang dan tidak 37 halaman sahaja.
viii. Raf’u al-Astar syarah al-Izhar. Buku ini
merupakan syarah kepada al-Izhar dalam bidang nahu. Buku ini ditulis oleh anak
muridnya pada tahun 1865 dan mempunyai 175 halaman.
Buku-buku
tulisan Syeikh Badaruddin merupakan tulisan syarahan kepada matan, qasidah dan
bait-bait. Kategori penulisan jenis ini adalah masyhur pada zaman tersebut.
Namun, beliau tidak menumpukan sepenuhnya kepada penulisan kerana ia lebih
kepada mengajar dan mendidik anak-nak muridnya.
Anak muridnya:
Antara anak
muridnya seperti berikut:
i. Syeikh Tahir al-Atasi-Mufti Homs
ii. Syeikh Amin Suwaid
iii. Syeikh Taufiq al-Ayyubi
iv. Syeikh Abdul Muhsin-Kadi Syam
v. Syeikh Abdul Qadir al-Magribi- Ketua Majmak
al-Ilm, Damsyiq
vi. Muhamad Mubarak
vii. Jamaluddin al-Qasimi
viii. Abdul Qadir Badran-Penulis ringkasan Tarikh
Ibn Asakir
ix. Syeikh Mustafa Naja-Mufti Beirut
x. Syeikh Bahjat Baitar
xi. Syeikh Ali al-Daqr
xii. Syeikh Muhammad al-Kasti Ketua Qadi Beirut
xiii. Syeikh Hassan Habannakah
xiv. Syeikh Salih al-Farfur-Pengasas Maahad
al-Fatah al-Islami
Anak murudnya
merupakan pelanjut tradisi keilmuan Syria kerana sebahagian besar mereka telah
menubuhkan sekolah-sekolah dan kolej agama untuk masyarakat Islam di Syria dan
dunia Islam. Syeikh Salih Farfur telah menubuhkan Maahad Fatah al-Islami sebuah
institusi agama yang terkenal dan pelajarnya terdiri dari pelbagai Negara
termasuk pelajar-pelajar dari Malaysia. Syeikh Hassan Habannakah juga
menubuhkan sekolah yang telah melahirkan ramai ulamak yang masyhur seperti Said
Ramadan al-Buti, Dr Wahbah al-Zuhayli, Mustafa al-Khin dan lain-lain.
Beberapa pandangan
Syeikh Badaruddin
Syeikh
Badaruddin mempunyai beberapa pandangan mengenai umat Islam pada masa itu
antaranya:
i. Muhammad
al-Mubarak menyebutkan bahawa Syeikh Badaruddin sentiasa menyeru agar umat Islam menuntut ilmu walaupun ia adalah datang dari barat kerana
pada masa itu ada yang berpandangan apa yang datang dari barat adalah kufur dan
menyesatkan. Beliau pernah melawat sekolah rasmi kerajaan dan menghadiri
pengajian ilmu-ilmu sains dan falsafah.Apabila ditanya mengenai ilmu-ilmu
tersebut, beliau mengalakkan umat Islam mempelajarinya dan bermusafir untuk
mencari ilmu tersebut di barat merupakan satu kewajipan. (Yusri, 1977:100)
ii. Dalam bidang
akhlak, beliau berpendapat al-Gibah atau mengumpat merupakan perkara yang
paling buruk dan membahayakan masyarakat. Dalam pengajiannya, terdapat
perbahasan mengenai bahaya mengumpat dan menurutnya ia boleh merosakkan ibadat
seseorang malah membatalkan wuduk dan perlu mengambil semula apabila ia
mengumpat. Pernah orang menayakan mengenai mengumpat untuk tujuan peringatan,
Beliau menjawab bahawa ia merupakan keperluan dalam keadaan darurat seperti
memakan bangkai dalam keadaan darurat. Tidak harus kecuali dalam keadaan
darurat. Orang itu harus bercakap dalam lingkungan mencukupi dan tidak boleh
melebihi percakapan mengumpat seperti memakan perkara yang haram sekadar untuk
menyelamatkan nyawa daripada mati. Sesiapa yang melebihinya adalah haram.(Yusri
Durkazanli, 1977: 103)
iii. Syeikh
Badaruddin adalah seorang ulamak yang gigih dalam berjihad menentang penjajahan
sama ada melalui pandangan dan aktiviti perjuangan. Beliau sentiasa meniupkan
semangat jihad melalui pengajian-pengajiannya mengenai kewajipan berjihad sama
ada kepada wanita dan kanak-kanak. Beliau mengungkapkan : “Jihad adalah fardu
ain kepada setiap orang yang mampu membawa senjata.”
iv. Dalam bidang
mustalah hadis, beliau berpendapat bahawa kutub al-Sittah (kitab hadis yang
enam) bukan menghimpunkan hadis-hadis yang sahih kesemuanya kecuali al-Bukhari dan Muslim.Tidak harus
mengatakan Sahih al-Turmizi dan sahih al-Nasa’i dan ini tidak bermakna ia tidak
mengandungi hadis-hadis sahih. Perkara ini kerana kitab-kitab tersebut
mengandungi hadis sahih, hassan dan juga terdapat hadis daif. Begitu juga
pandangannya mengenai sanad hadis kepda Rasulullah SAW. Seseorang yang
mengatakan ini hadis Rasulullah hendaklah ia mengetahui kesahihan sanad.
Sebelum beliau
meninggal dunia dua hari, para ulama, rakan-rakannya dan ahli keluarga telah
berhimpun. Syeikh Badaruddin telah memberi pesanan mengenai kewujudannya di atas
dunia ini bersama umat Islam. Namun kurang memberi hak-hak mereka malah hak
Pecipta. Saya berdoa semoga kita mendapat keredahaan dan menjauhkan dari
kejahatan dan meneeguhkan dalam agama dan urusan dunia.
Muhamad
Badaruddin meninggal dunia pada pagi Jumaat 27 Rabi akhir 1354 bersama 28
haziran 1935. Beliau meninggal jam 9 setelah selesai solat dhuha. Jenazahnya
disembahynag di Masjid Umawi pada jam 4 petang dan dikebumikan jam 7 petang di
Bab al-Saghir.Damsyiq. Pada tahun 1936, dibina masjid kecil berdekatan kuburnya
kemudian diruntuh dan dibina Majma’ atas namanya yang merangkumi masjid dan
institusi pendidikan dan kuburnya berdekatan dengan majma’ tersebut. (Bayruni,
2009:84, Salih al-Farfur, 1986: 44)
Semasa hidup,
beliau pernah diziarahi oleh Mufti Mesir, Syeikh Muhammad Bakhit al-Muti’i
semasa beliau melawat Syria. Syeikh al-Muti;i telah pergi ke Masjid al-Umawi
pada hari Jumaat dan berada dalam majlis pengajian Syeikh Badaruddin sehingga
waktu Asar. Selesai solat Asar, mereka berdua bertemu di luar masjid. (Ini
kerana Syeikh Badaruddin Tidak bercakap mengenai urusan dunia di Masjid).
Syeikh al-Mati;i mengakui keluasaan ilmu dan kealiman Syeikh Badaruddin. Begitu
juga Muhammad Abduh dan Syeikh Abdul Juwad al-Qayati al-Misri.(Salih al-Farfur,
1986: 86)
Syeikh Salim
al-Attar seorang ulama sezaman dengannya mengakui kelebihan Syeikh Badaruddin
dari segi ingatan sanad-sanad hadis dan pengajiannya mendapat sambutan luar
biasa dan ini merupakan kurniaan Ilahi. Syeikh Muhammad Kamal al-Qasab, ketua
Ulama-ulama Damsyiq menyatakan bahawa tidak terdapat di dunia Islam seperti
Mesir, India, Yaman, Syria, Iraq dan lain-lain seperti pengajian Syeikh
Badaruddin. Syeikh Badaruddin juga
menziarahi penghuni penjara pada Hari Raya aidil fitri dan hari raya aidil adha
dan berdoa agar mereka bersabar dan kembali ke pangkal jalan. Syeikh juga
dizairahi oleh pembesar-pembesar negara seperti Jamal Basha, Ketua Turki di
Syria. Semasa lawatan pembesar-pembesar ngegara tersebut, Syeikh Badaruddin
duduk di kerusi dan tidak bangun.
Assalammualaikum, mahu bertanya, badaruddin atau badruddin?
BalasPadamWaalaikumsalam. Badruddin sebenarnya. Tapi dalam tulisan ini saya kekalkan sebagaimana yang ditulis oleh Dr Mohd Rumaizuddin Ghazali tersebut.
Padam