Pembahagian khabar dilihat dari sisi sampainya hadith kepada
kita
Jika dilihat cara sampainya sesuatu hadith kepada kita, maka
dapat dilihat terbahagi dua cara, iaitu:
1. Apabila suatu hadith memiliki beberapa jalan (sanad) yang
julahnya tidak terbatas kepada bilangan tertentu, maka ia dinamakan dengan
khabar mutawatir.
2. Apabila suatu hadith itu memiliki jalan (sanad) yang
terbatas kepada bilangan tertentu, maka ia dinamakan sebagai khabar ahad.
Khabar Mutawatir
Definisi
a. Menurut bahasa : Merupakan isim fa’iI pecahan
daripada perkataan tawatara, yang bererti tataba’a
(berturut-turut). Dikatakan tawatara al-mathar, yang bererti hujan turun
secara terus menerus.
b. Menurut istilah: Hadith yang diriwayatkan oleh
ramai perawi, yang menurut kebiasaan
mustahil mereka sepakat melakukan pembohongan.
Ta’rif mutawatir: Hadith atau khabar yang diriwayatkan
oleh ramai perawi dalam setiap thabaqat (tingkatan) sanadnya, yang menurut akal
dan adat kebiasaannya mustahil mereka (para perawi) bersepakat melakukan
pembohongan ke atas khabar tersebut.
Syarat-syarat hadith mutawatir
Dari penjelasan istilah hadith mutawatir tersebut,
dapat dilihat bahawa syarat khabar mutawatir tidak dapat dipenuhi kecuali
memenuhi empat syarat:
a. Diriwayatkan oleh perawi yang ramai. Terdapat perselisihan
mengenai jumlah minimum perawi tersebut, Menurut pendapat yang terpilih, jumlah
perawi yang paling sedikit adalah 10 orang.
b. Jumlah bilangan rawi tersebut terdapat pada seluruh
tingkatan (thabaqat) sanad).
c. Menurut kebiasaan, mustahil mereka sepakat untuk berdusta.
Para perawi mungkin tinggal di negara-negara yang
berbeza-beza, bangsa yang berlainan, mazhab yang berbeza-beza dan hal-hal lain
yang sejenis dengannya. Berdasarkan perkara ini, maka sudah pasti mereka sukar untuk
berpakat melakukan pendustaan terhadap sesuatu khabar.
d. Khabar para perawi disandarkan kepada pancaindera, seperti
sami’na (kami telah mendengar), ra aina (kami telah melihat),
atau lamasna (kami telah merasakan) dan sejenis dengannya. Jika khabar itu
disandarkan kepada akal, seperti alam ini baharu (huduth), maka khabar
seperti ini tidak dinamakan mutawatir.
Hukum khabar mutawatir
Khabar mutawatir menunjukkan kepada suatu yang pasti
iaitu sesuatu yang meyakinkan. Dengan kata lain, manusia dipaksa membenarkannya
secara pasti khabar tersebut, sama seperti ia menyaksikan perkara tersebut
dengan mata kepalanya sendiri, sehingga tidak dapat diragukan lagi kebenaran
khabar tersebut. Oleh itu, khabar mutawatir diterima secara keseluruhan
tanpa perlu dibincangkan lagi keadaan para perawinya.
Pembahagian khabar mutawatir
Khabar mutawatir dibahagikan kepada dua, iaitu:
a. Mutawatir lafzi : Khabar yang makna dan
lafaznya memang mutawatir.
Contohnya:
Hadith : “Barangsiapa yang berdusta atas namaku secara
sengaja, maka hendaklah dia bersiap sedia tempatnya di dalam neraka.”
Hadith ini diriwayatkan oleh lebih daripada 70 orang sahabat.
b. Mutawatir maknawi: Khabar yang maknanya mutawatir,
bukan lafaznya.
Contohnya : Hadith-hadith tentang mengangkat tangan ketika
berdoa. Hadith-hadith yang menggambarkan perkara tersebut ada dalam sekitar 100
buah hadith. Setiap hadith tersebut menyebutkan Rasulullah s.a.w. mengangkat
kedua tangannya ketika berdoa, walaupun lafaz hadith-hadith tersebut berbeza.
Lafaz keseluruhan hadith tersebut tidak bersifat mutawatir kerana berbeza
lafaznya bagi setiap hadith tetapi maknanya (mengangkat tangan ketika berdoa)
bersifat mutawatir kerana kesuluhan hadith tersebut mempunyai makna yang sama
iaitu mengangkat tangan ketika berdoa.
Kewujudan khabar mutawatir
Hadith mutawatir jumlahnya sangat sedikit.. Di
antaranya adalah hadith tentang telaga haud, hadith tentang mengusap
kedua buah khuf, hadith mengangkat kedua tangan ketika solat, hadith
tentang Allah mengembirakan wajah hamba-Nya dan lain-lain.Sekiranya
dibandingkan antara hadith mutawatir dan hadith ahad, maka jumlah hadith
ahad lebih banyak.
Kitab-kitab yang popular berkenaan hadith mutawatir
Para ulama telah memberikan perhatian yang bersungguh-sungguh
dalam mengumpulkan hadith-hadith mutawatir, lalu menjadikannya sebagai
kitab yang khursus berkenaan hadith mutawatir untuk memudahkan para
penuntut ilmu merujuk kepadanya. Di antara kitab tersebut ialah:
a. Al-Azhar al-Mutanathirah fi al-Akhbar al-Mutawatirah karya
Imam al-Sayuthi. Kitab ini disusun melalui bab per bab.
b. Qatf al-Azhar
juga karya Imam al-Sayuthi yang merupakan rinkasan kepada kitab yang terdahulu.
c. Nazm al-Mutanasir min al-Hadith al-Mutawatir karya
Muhammad bin Ja’far al-Kattani.
Rujukan:
Taisir Mustholah al-Hadith karya Dr Mahmud Thohan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan