Ahad, 22 Jun 2014

Ilmu Mustholah Hadith siri 3

Kitab-kitab penting dalam ilmu Mustolah Hadith

1. Al-Muhadith al-Fasil Baina ar-Rawi wa al-Wa’ie

Disusun oleh al-Qadhi Abu Muhammad al-Hasan bin Abdul Rahman bin Khalad ar-Ramahurmuzi (m. 360H). Kitab ini tidak mengandungi keseluruhan topik yang dibincangkan dalam ilmu Mustholah Hadith. Hal ini dapat dimaklumi dalam penyusunan awal bidang ilmu apa sekalipun.


2. Ma’rifah ‘Ulum al-Hadith

Disusun oleh Abu Abdullah Muhammad bin Abdullah al-Hakim an-Naisaburi atau lebih dikenali sebagai al-Hakim an-Naisaburi (m. 405H). Perbahasan dalam kitab ini belum tersusun secara sistematik.


3. Al-Mustakhraj ‘ala Ma’rifah ‘Ulum al-Hadith

Disusun oleh Abu Nu’aim Ahmadbin Abdullah al-Asbahani (m. 430) Kitab ini melengkapi kaedah-kaedah ilmu hadis yang terdapat kitab Ma’rifah ‘Ulum al-Hadis karya al-Hakim an-Naisaburi, tetapi masih terdapat beberapa masalah yang tertinggal. Masalah ini dapat dijumpai bagi orang yang mencermati ketika membaca kitab ini.

4. Al-Kifayah fi ‘Ilm ar-Riwayah



Disusun oleh Abu Bakar Ahmad bin Ali bin Thabit yang dikenali sebagai al-Khatib al-Baghdadi (m. 463H). Kitab ini mengandungi segala perbahasan berkaitan dengan ilmu hadith, kaedah periwayatan hadith dan kitab ini dianggap sebagai kitab rujukan utama dalam bidang hadith.


5. Al-Jami’ li Akhlaq ar-Rawi wa Adab as-Sami’



Disusun oleh al-Khatib al-Baghdadi. Kitab ini membahasakan adab-adab periwayatan hadith sebagaimana yang dapat diketahui melalui tajuk kitab ini. Bab-bab dalam kitab ini dibahagikan secara terpisah, perbahasan dan kandungan kitab ini sangat bernilai. Setiap cabang ilmu hadith telah dikupas oleh al-Khatib al-Baghdadi dalam kitab-kitab karangan beliau, sehingga hampir tidak ada cabang ilmu hadith yang tidak dikupas oleh beliau. Benarlah ucapan al-Hafiz Abu Bakar bin Nuqtah : “Setiap ahli hadith yang menyusun kitab setelah al-Khatib al-Baghdadi sentiasa merujuk kepada kitab beliau.”


6. Al-‘Ilma ila Ma’rifah Usul ar-Riwayah wa Taqyid as-Sama’

Disusun oleh Qadhi ‘Iyyad bin Musa al-Yahsubi (m. 544H). Kitab ini tidak mencakupi seluruh perbahasna ilmu Mustholah Hadith, hanya terbatas dalam membahaskan topik berkaitan dengan cara menerima dan menyampaikan hadith, hal-hal yang berkaitan dengan perkara tersebut. Walau bagaimanapun, pembahagian bab dan penyusunan kitab ini sangat baik.

7. Ma La Yasa’u al-Muhadith Jahluhu

Disusun oleh Abu Hafs Umar bin Abdul Majid al-Mayanaji (m. 580). Manfaat kitab ini sangat sedikit dan tidak banyak faedah yang dapat diambil daripada kitab ini.

8. ‘Ulum al-Hadith



Disusun oleh Abu Amru Uthman bin Abdul Rahman as-Syahrazuri atau lebih dikenali sebagai Ibnu Solah (m. 643H). Kitabnya ‘Ulum al-Hadith atau juga dikenali sebagai Muqadimmah Ibnu Solah amat popular dalam bidang Mustolah Hadith dan merupakan antara kitab yang terbaik dalam bidang Mustolah Hadith. Penyusun kitab ini menyusun semula pelbagai topik yang berselerak dalam kitab al-Khatib al-Baghdadi atau penulis sebelumnya. Oleh sebab itu, kitab ini mengandugi manfaat yang banyak. Meskipun begitu, topik-topik dalam kitab ini masih belum disusun secara sistematik, sering melompat-lompat dari satu tajuk ke tajuk yang lain. Kitab ini menjadi rujukan para ulama yang datang selepas Ibnu Solah. Banyak ulama yang menyusun ringkasan kitab ini, menertipkan tajuk-tajuknya semula, melakukan pembetulan mahupun pembaikan.


9. At-Taqrib wa at-Taisir li Ma’rifah Sunan al-Basyir an-Nazir

Disusun oleh Muhyiddin Yahya bin Syaraf an-Nawawi (m. 676H). Kitab ini merupakan ringkasan kitab Ulum al-Hadith karya Ibnu Solah. Kitab ini bagus penyusunannya walaupun terdapat ungkapan-ungkapan yang sukar difahami.


10. Tadrib ar-Rawi fi Syarh Taqrib an-Nawawi



Disusun oleh Jalaluddin Abdul Rahman bin Abu Bakar as-Sayuti (m. 911H). Kitab ini merupakan syarah (penjelasan) kepada kitab at-Taqrib karya an-Nawawi. Penyusunnya telah mengumpulkan banyak sekali kaedah yang bermanfaat.


11. Nazm az-Durar fi ‘Ilm al-Athar



Disusun oleh Zainuddin bin Abdul Rahim bin Hussain al-Iraqi (m. 806H). Kitabnya lebih terkenal dengan nama Alfiyyah al-Iraqi. Kitab ini merupakan ringkasan kitab Ulum al-Hadith karya Ibnu Solah dalam bentuk nazam dan ditambah dengan beberapa tambahan oleh al-Hafiz al-Iraqi. Kitab ini merupakan sebuah kitab yang bermanfaat dan banyak disyarah oleh para ulama termasuk dua buah kitab yang ditulis oleh al-Hafiz al-Iraqi sendiri.


12. Fath al-Mughith fi Syarh Alfiyyah al-Hadith



Disusun oleh Muhammad bin Abdul Rahmanas-Sakhawi (m. 902H). Kitab ini merupakan syarah kepada kitab Alfiyyah al-Iraqi dan merupakan kitab syarah kitab Alfiyyah al-Iraqi yang terbaik.


13. Nukhbah al-Fikar fi Mustholah Ahl al-Athar



Kitab ini merupakan sebuah kitab kecil yang bermanfaat berbanding kitab yang ringkas yang lain. Penyusunnya termasuk orang yang pertama kali menyusun metod dan pembahagian yang sistematik yang belim ditulis sebelumnya. Ibnu Hajar juga telah mensyarah kitab ini dengan nama Nuzhah an-Nazar.



14. Manzumah al-Baiquniyyah



Disusun oleh Umar bin Muhammad al-Baiquni (m. 1080H). Kitab ini merupakan sebuah kitab yang ringkas, yang mengandungi tidak lebih daripada 34 bait syair. Kitab ini sangat bermanfaat dan terkenal. Sudah ramai para ulama yang mensyarahkan kitab ini.


15. Qawaid at-Tahdith



Disusun oleh Muhammad Jamaluddin al-Qasimi (m. 1332H). Kitab ini mengandungi ungkapan yang bermanfaat.


Masih banyak lagi kitab-kitab ‘ulum hadith lain yang memerlukan ruang yang panjang untuk menyebutkannya.

Rujukan:

Taisir Mustholah al-Hadith karya Dr Mahmud Thohan



Tiada ulasan:

Catat Ulasan