Soalan:
Saya ada soalan,mohon tuan berikan penerangan.betul kah kalau kita dengar ayat
quran,melihat atau memeluk al-quran.akan dapat pahala?
Jawapan:
Berkenaan
mendengar al-Quran, insya-Allah bagi pendengarnya pahala. Ini berdasarkan ayat
al-Quran yang menyuruh kita mendengar al-Quran apabila dibacakan:
وَإِذَا قُرِئَ ٱلۡقُرۡءَانُ
فَٱسۡتَمِعُواْ لَهُۥ وَأَنصِتُواْ لَعَلَّكُمۡ تُرۡحَمُونَ
“Dan
apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan
sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.”
(Surah
al-A’raf ayat 204)
Amalan
mendengar bacaan al-Quran juga adalah Sunnah Rasulullah sallahu ‘alaihi
wasallam. Telah sabit daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam
bahawa baginda meminta kepada Abdullah bin Mas’ud membacakan al-Quran supaya
baginda mendengarnya sebagaimana yang diriwayatkan dalam Sahih al-Bukhari dan
Muslim. Diriwayatkan juga baginda pernah berjalan pada suatu malam melintasi
Abu Musa al-Asy’ari yang sedang membaca al-Quran, maka baginda berhenti untuk
mendengar bacaannya (Sahih al-Bukhari dan Muslim).
Imam
al-Nawawi berkata dalam Syarah Sahih Muslim: “Dalam hadis Ibnu Mas’ud
ini ada beberapa faedah, antaranya disunatkan mendengar bacaan al-Quran dan
menumpukan perhatian padannya, menangis ketika mentadabburnya, disunatkan
meminta kepada orang lain membaca al-Quran untuk mendengar bacaannya, ianya
lebih memberi kefahaman dan tadabbur daripada bacaannya sendiri.”
Berkenaan
melihat al-Quran, jika melihatnya dengan tujuan tadabbur, mengulang hafalan
al-Quran, mencari ayat berkenaan hukum syariah dan seumpamanya maka baginya
pahala. Adapun sekadar melihat al-Quran tanpa sebarang tujuan, ianya tidak
dikira sebagai ibadat.
Dibincangkan
juga berkenaan membaca al-Quran dengan melihat mushaf atau secara hafalan, yang
manakah lebih afdal?
Imam
al-Nawawi menyebutkan dalam Syarah Sahih Muslim: “Membaca al-Quran
dengan melihat mushaf lebih afdal daripada bacaan daripada hafalan kerana ia
menghimpunkan antara membaca dan melihat kepada mushaf, ia (melihat kepada
al-Quran) adalah ibadat yang lain (selain membaca al-Quran). Beginilah yang
dikatakan oleh Qadhi Hussein dan selainnya daripada ulama mazhab kami dan telah
menaskan perkara tersebut adalah sekumpulan ulama daripada kalangan salaf dan
aku tidak melihat adanya khilaf tentang perkara tersebut. Mungkin mereka yang
menginginkan yang demikian (yakni membaca dengan melihat mushaf lebih afdal
daripada membaca daripada hafalan) adalah bagi sesiapa yang sama tahap
kekusyukkan dan hadirnya hati dalam dua
keadaan (membaca al-Quran dan melihat al-Quran dalam masa yang sama). Maka bagi
sesiapa yang bertambah kekusyukkannya dan hadir hatinya serta tadabburnya
dengan bacaan secara hafalan, maka ia lebih afdal baginya.”
Berkenaan
memeluk al-Quran, saya tidak jumpa perbahasan ulama tentangnya. Yang saya jumpa
adalah perbahasan tentang mencium al-Quran. Sebahagian ulama menganggap ianya
adalah sunat, sebahagian menganggap ianya makruh dan ada yang menganggapnya
bidaah.
Imam
al-Zarkasyi menyebutkan dalam al-Burhan fi ‘Ulum al-Quran: “Disunatkan
mencium mushaf al-Quran kerana ‘Ikrimah bin Abu Jahal menciumnya dan dikiaskan
dengan perbuatan mencium Hajarul Aswad dan kerana ianya adalah hadiah bagi
hamba-hambaNya, maka disyariatkan menciumnya sebagaimana disunatkan mencium
anak kecil.”
Wallahu
a’lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan