دَعْوَة الوالدة أسْرع إِجَابَة. قيل: يَا رَسُول الله، وَلم ذَاك؟ قَالَ: هِيَ أرْحم من الْأَب ودعوة الرَّحِم لَا تسْقط
“Doa seorang ibu lebih cepat dimakbulkan. Para sahabat bertanya: Mengapa begitu wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Ibu lebih penyayang daripada bapa dan doa orang yang penyayang tidak akan sia-sia.”
Ulasan:
Hadis ini disebutkan oleh al-Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya’
Ulum al-Din.
Menurut al-Imam Taqiyuddin al-Subki dalam Tabaqat
al-Syafi’iyyah al-Kubra dan al-Hafiz al-‘Iraqi dalam Takhrij al-Ihya’,
hadis ini tidak ditemui asal baginya (yakni tidak wujud dalam kitab-kitab
hadis).
Hadis Lain Sebagai
Ganti
عن أبي هريرة أن النبيَّ ﷺ قال: ثلاثُ دَعَواتٍ مُستجاباتٌ لا شَكَّ فيهنَّ: دعوةُ الوالدِ، ودعوةُ المسافر، ودعوةُ المظلوم.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, bahawa Nabi sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
"Ada tiga jenis doa yang akan dimakbulkan tanpa sebarang
keraguan: iaitu doa ibu bapa, doa seorang musafir, dan doa orang yang teraniaya
(dizalimi)."
(Hadis hasan li ghairih. Diriwayatkan oleh Abu Daud,
al-Tirmizi dan Ibnu Majah)
Pengajaran Hadis:
1 – Amaran agar menjauhi perbuatan zalim dan menderhakai ibu
bapa. Berwaspada terhadap doa orang yang dizalimi dan doa ibu bapa, kerana
sesungguhnya doa-doa tersebut tidak akan ditolak.
2 - Digalakkan bagi orang yang bermusafir untuk berdoa bagi
dirinya sendiri dan juga untuk orang lain. Sesungguhnya, Allah Ta’ala sangat
mudah memakbulkan doa seorang musafir.
3 - Sesungguhnya doa ibu bapa tidak ditolak kerana mereka
mendoakan anak mereka dengan hati yang tulus ikhlas dan penuh kasih sayang.
Adapun orang yang berpuasa, doanya dimakbulkan kerana dia
berdoa ketika sedang melaksanakan ibadah puasa, iaitu ibadah yang tidak
dimasuki sifat riak kerana ia merupakan rahsia di antara Allah dan hamba-Nya.
Manakala bagi seorang musafir, doanya dimakbulkan kerana dia berdoa dalam keadaan terdesak dan kerana kesusahan dan kepayahan yang dialaminya semasa dalam perjalanan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan