Rabu, 12 Oktober 2016

Hadis palsu: Wasiat Nabi kepada Ali

Wasiat Nabi kepada Ali yang tersebar di internet

Wasiat Nabi junjungan kepada Sayyidina Ali.

Wahai Ali, bagi orang mukmin ada 3 tanda-tandanya:

1) Tidak terpaut hatinya pada harta benda dunia
2) Tidak terpesona dengan pujuk rayu wanita
3) Benci terhadap perbualan dan perkataan sia-sia

Wahai Ali, bagi orang alim itu ada 3 tanda-tandanya :

1) Jujur dalam berkata-kata
2) Menjauhi segala yang haram
3) Merendahkan diri

Wahai Ali, bagi orang yang takwa itu ada 3 tanda-tandanya :

1) Takut berlaku dusta dan keji
2) Menjauhi kejahatan
3) Memohon yang halal kerana takut jatuh dalam keharaman

Wahai Ali, bagi orang yang jujur itu ada 3 tanda-tandanya :

1) Merahsiakan ibadahnya
2) Merahsiakan sedekahnya
3) Merahsiakan ujian yang menimpanya

Wahai Ali, bagi ahli ibadah itu ada 3 tanda-tandanya :

1) Mengawasi dirinya
2) Menghisab dirinya
3) Memperbanyakkan ibadah kepada ALLAH.

Penilaian


يَا عَلِيُّ إِنَّ لِلْمُؤْمِنِ ثَلاثَ عَلامَاتٍ: الصَّلاةُ وَالزَّكَاةُ وَالصَّوْمُ.

للعالم ثلاث علامات: صدق الكلام ,إجتناب الحرام ,التواضع.

للتقي ثلاث علامات: يتقي الكذب ,الخبث ,جليس السوء – و يدع شطر الحلال مخافة أن يقع في الحرام

للصدق ثلاث علامات  كتمان العبادة – كتمان الصدقة – كتمان المصيبة.

للعابد ثلاث علامات يمقت نفسه لإنها دائماً تأمره فقط بالسوء و يمقت نفسه دائماً و يحاسبها و يطيل القيام بين يدي الله

“Wahai Ali, bagi orang mukmin itu tiga tanda: Solat, zakat dan puasa.”

“Bagi orang alim itu tiga tanda: Kata-kata yang benar, menjauhi perkara yang haram dan merendah diri.”

“Bagi orang yang bertakwa itu tiga tanda: Takut untuk berkata dusta dan kata-kata yang buruk, menjauhi teman yang buruk, berdoa memohon perkara yang halal supaya tidak terlibat dengan perkara yang haram.”

“Bagi orang yang jujur itu tiga tanda: Merahsiakan ibadahnya, merahsiakan sedekah yang diberikannya, merahsiakan musibah yang menimpanya.”

“Bagi ahli ibadat itu tiga tanda: Membenci dirinya kerana dirinya hanya menyuruh berbuat jahat, sentiasa membenci dirinya dan menghitung [amalannya] dan memanjangkan solat di hadapan Allah.”

‘Hadis’ ini sepakat ahli hadis mengatakannya palsu, antaranya:

1. Ibnu Jauzi dalam al-Maudhu’at.

Kata beliau: “Hadis ini palsu. Yang dituduh memalsukannya adalah Hammad bin ‘Amru. Kata Yahya [bin Ma’in]: Dia seorang pendusta dan pemalsu hadis. Kata al-Nasa’ie: Matruk al-hadis.”

2. Al-Soghoni dalam al-Maudhu’at.

Kata beliau: “Semuanya direka oleh Hammad bin ‘Amru al-Nasibi. Dia di sisi ahli hadis adalah matruk dan pendusta.”

3. Al-Sayuthi dalam al-Laali’ al-Masnu’ah. Beliau menukilkan penilaian Ibnu Jauzi tanpa bantahan.

4. Ibnu ‘Arraq al-Kinani dalam Tanzih al-Syari’ah al-Marfu’ah.

Kata beliau: “Dalam sanadnya ada Muhammad bin Ibrahim al-Samarqandi. Al-Zahabi menuduhnya memalsukan wasiat ini.”

5. Mulla ‘Ali al-Qari dalam al-Asrar al-Marfu’ah dan al-Masnu’.

6. Al-Baihaqi dalam al-Dalail al-Nubuwah.

Kata beliau: “Ini hadis palsu.”

7. Ibnu Kathir dalam al-Bidayah Wa al-Nihayah. Beliau menukilkan penilaian al-Baihaqi tanpa bantahan.

8. Al-Zahabi dalam beberapa penulisan beliau: Siyar A’lam al-Nubala’, Tarikh al-Islam dan Talkhis al-Maudhu’at.

9. Al-Syaukani dalam al-Fawaid al-Majmu’ah.

10. Al-‘Ajluni dalam Kasyf al-Khafa.

11. Al-Fattani dalam Tazkirah al-Maudhu’at.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan