1. Sufyan al-Thauri (w. 161H)
- Al-Hussein bin Waqid berkata: “Aku berasa ragu-ragu
tentang suatu masalah ketika aku berada di Merv [Turkmenistan] dan aku
mendapati tidak ada seorang pun yang mengetahuinya. Maka aku pergi ke Iraq lalu
aku bertanya kepada Sufyan al-Thauri. Beliau menjawab: Wahai Hussein, aku tidak
mengetahuinya -yakni selepas beliau terdiam selama beberapa ketika-. Aku
berkata kepadanya: Kamu katakan bahawa kamu tidak tahu sedangkan kamu adalah
imam. Beliau menjawab: Aku kata sebagaimana yang dikatakan oleh Ibnu ‘Umar:
Jika ditanya tentang sesuatu yang tidak diketahui maka jawablah: Aku tidak
tahu. Lalu aku bertemu dengan Abu Hanifah maka aku bertanya kepadanya. Beliau
lalu menjawabnya. Aku menceritakan kepada Sufyan lalu dia bertanya: Apa yang
beliau katakan kepada kamu? Aku katakan: Beliau menjawab begini dan begitu.
Beliau lalu terdiam seketika lalu berkata: Wahai Hussein, benar apa yang
dikatakan oleh Abu Hanifah kepada kamu.”
- Marwan bin Mu’awiyah berkata: “Aku menyaksikan bahawa
Sufyan al-Thauri pernah ditanya tentang satu masalah berkenaan talak lalu beliau
mendiamkan diri.” Beliau lalu berkata: “Sesungguhnya ia adalah satu kelegaan
[yakni lega kerana tidak perlu menjawab soalan].”
2. Imam Malik bin Anas (w. 179H)
-Abdul Rahman bin Ghazwan berkata: “Kadang-kadang beliau
ditanya tentang 50 buah persoalan dan beliau tidak jawab walaupun satu.”
- Al-Fadl bin Dukain berkata: “Aku tidak pernah melihat
orang lebih banyak berkata ‘aku tidak tahu’ lebih daripada Malik bin Anas.”
- Al-Haitham bin Jamil al-Anthaki berkata: “Aku melihat
Malik ditanya tentang 48 buah masalah. Beliau menjawab 32 buah masalah
daripadanya dengan berkata: “Aku tidak tahu.”
- Khalid bin Khidasy al-Muhallabi berkata: “Aku datang
dari Iraq [ke Madinah] untuk bertemu dengan Malik bin Anas untuk menanyakan
40 buah masalah. Maka aku bertanya kepadanya. Beliau tidak menjawab
masalah-masalah tersebut kecuali hanya lima masalah.”
- Abdullah bin Wahb berkata: “Malik pernah berkata
kepadaku: Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam adalah imam bagi kaum Muslimin.
Apabila baginda ditanya tentang sesuatu, baginda tidak menjawab sehinggalah turun
kepadanya wahyu dari langit.”
- Seseorang pernah berkata kepadanya: “Kamu wahai Abu
Abdillah [gelaran Imam Malik] berkata: Aku tidak tahu. Maka siapa yang tahu?”
Beliau menjawab: “Kamu tidak kenal aku! Siapakah aku? Apakah kedudukan aku
sehingga aku tahu apa yang kamu tidak tahu? Ibnu ‘Umar pernah berkata ‘aku
tidak tahu’. Maka, siapakah aku [nak dibandingkan dengan Ibnu ‘Umar]?”
3. Sufyan bin ‘Uyainah (w. 198 H)
- Ahmad bin Hanbal berkata: “Aku tidak pernah melihat
orang seperti Ibnu ‘Uyainah dalam bidang fatwa. Sebaik-baik fatwa adalah
daripadanya. Beliau sangat mudah untuk berkata: Aku tidak tahu.”
- Ali bin al-Madini berkata: “Sufyan jika ditanya tentang
sesuatu beliau akan berkata: Aku tidak layak [untuk menjawab]. Maka beliau
ditanya: Kepada siapa kami hendak bertanya? Beliau menjawab: Tanyalah pada
ulama dan mohonlah daripada Allah petunjuk.”
4. Al-Imam al-Syafi’e (w. 204 H)
- Al-Syafi’e ditanya tentang satu masalah lalu beliau
mendiamkan diri. Penanya soalan lalu berkata: “Tidakkah kamu mahu menjawab.
Semoga Allah merahmatimu.” Maka beliau menjawab: “Aku tidak akan
menjawab sehinggalah aku mengetahui adakah lebih baik aku diam atau aku
menjawab.”
5. Ahmad bin Hanbal (w. 241 H)
- Abu Daud berkata: “Aku tidak mampu untuk mengira berapa
kali aku mendengar Ahmad bin Hanbal ditanya tentang sesuatu masalah yang banyak
diperselisihkan lalu beliau menjawab: Aku tidak tahu.”
- Abdullah bin Ahmad bin Hanbal berkata: “Aku banyak kali
mendengar ayahku apabila ditanya tentang suatu masalah maka beliau menjawab:
Aku tidak tahu. Beliau akan bertawaquf [mendiamkan diri] jika masalah tersebut ada khilaf dan
banyak kali beliau akan berkata: Tanyalah orang lain. Jika beliau ditanya:
Kepada siapa kami hendak bertanya? Beliau akan menjawab: Tanyalah kepada ulama.”
-Al-Ulama’ Wa ‘Ilm La Adri oleh Abdul Rahman Yusuf al-Farhan-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan