Sabtu, 30 Disember 2017

Dalil Galakan Jimak Pada Hari Dan Malam Jumaat

Soalan: 

Assalammualaikum.saya ingin bertanya mengenai hubungan intim malam jumaat. Benar kah ia sunnah rasulullah saw.? 

Jawapan: 

Imam al-Ghazali menyebutkan dalam kitab Ihya' 'Ulum al-Din (jilid 3, hlm. 199, terbitan: Dar al-Minhaj):

"Dan ada di kalangan ulama yang menggalakan jimak pada hari Jumaat dan malamnya. Pendapat tersebut adalah sebagai satu pelaksanaan terhadap salah satu daripada dua takwilan bagi sabda Nabi sallahu 'alaihi wasallam:

مَنْ غَسَّلَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ وَاغْتَسَلَ، ثُمَّ بَكَّرَ وَابْتَكَرَ، وَمَشَى وَلَمْ يَرْكَبْ، وَدَنَا مِنَ الْإِمَامِ فَاسْتَمَعَ وَلَمْ يَلْغُ كَانَ لَهُ بِكُلِّ خُطْوَةٍ عَمَلُ سَنَةٍ أَجْرُ صِيَامِهَا وَقِيَامِهَا

"Sesiapa yang memandikan (kepalanya) pada hari Jumaat dan mandi (seluruh tubuhnya), lalu dia pergi untuk solat Jumaat pada awal waktu dan sempat mendapatkan awal khutbah, berjalan kaki dan tidak berkenderaan, lalu duduk dekat dengan imam untuk mendengarkan khutbah dengan penuh perhatian, maka setiap langkahnya dicatat pahala puasa dan ibadah malam satu tahun."

Hadis yang disebutkan oleh Imam al-Ghazali di atas diriwayatkan oleh Abu Daud (245), al-Tirmizi (496), al-Nasa'ie (1381) (1384) dan Ibnu Majah (1087) daripada hadis Aus bin Aus al-Thaqafi. Kata al-Tirmizi: "Hadis hasan."

Ulama berbeza pandangan tentang tafsiran perkataan غَسَّلَ  (memandikan) dan اغْتَسَلَ (mandi).

Ada yang menafsirkannya sebagai memandikan/membasuh kepalanya dan mandi seluruh badannya.

Ada pendapat lain yang  menafsirkannya sebagai bersetubuh dengan isterinya sehingga menyebabkan isterinya perlu mandi. Perbuatannya yang bersetubuh dengan isterinya itu dianggap seolah-olah dia memandikan isterinya dan dia sendiri perlu mandi pada tubuhnya sendiri.  

(Lihat: Nail al-Author, jil. 2, hlm. 353, terbitan: Dar Ibnu al-Jauzi, Tuhfah al-Ahwazi Syarah Jami' al-Termizi, jil. 3, hlm. 3, terbitan: Dar al-Fikr)

Jika diterima tafsiran sebagai jimak/setubuh, terjemahan hadisnya akan menjadi:

"Sesiapa yang memandikan (isterinya dengan sebab jimak) pada hari Jumaat dan mandi (tubuhnya sendiri)..."

Begitu juga ada sebuah hadis berstatus daif yang diriwayatkan berkenaan galakan bersetubuh pada hari Jumaat. Al-Baihaqi meriwayatkan dalam Syu'ab al-Iman (jil. 4, hlm. 409, hadis no. 2731, terbitan: Maktabah al-Rusyd) daripada hadis Abu Hurairah:

أَيَعْجِزُ أَحَدُكُمْ أَنْ يُجَامِعَ أَهْلَهُ فِي كُلِّ جُمُعَةٍ فَإِنَّ لَهُ أَجْرَيْنِ أَجْرُ غُسْلِهِ، وَأَجْرُ غُسْلِ امْرَأَتِهِ

"Adakah kamu tidak mampu untuk bersetubuh dengan isterimu pada setiap hari Jumaat kerana sesungguhnya baginya dua pahala; pahala mandinya dan pahala mandi isterinya."

Hadis ini didaifkan sendiri oleh al-Baihaqi. Namun begitu tidak ada masalah untuk beramal dengannya kerana ia hanya melibatkan fadhail a'mal (kelebihan amalan).

Bahkan al-Baihaqi sendiri berpandangan sekiranya diamalkan hadis ini dapat membantu untuk menjaga pandangan ketika pergi ke masjid untuk solat Jumaat. Kata al-Imam al-Baihaqi: 

"Jika dia melakukan perkara tersebut (jimak), ia membantu menundukkan pandangannya ketika kepergian ke masjid. Dahulu para wanita turut sama hadir (solat) Jumaat."

Selasa, 26 Disember 2017

Hadis Palsu: "Sesiapa yang menziarahi orang alim seolah-olah dia menziarahiku.."

Soalan:

Assalamualaikum asatizah sekalian. Mohon diberi penjelasan mengenai hadith ini:

وقال النبي صلى الله عليه وسلم: مَنْ زَارَ عَالِمًا فَكَأَنَمَّا زَارَنِي، وَمَنْ صَافَحَ عَالِمًا فَكَأَنَّما صَافَحَنِي، وَمَنْ جَالَسَ عَالِمًا فَكَأَنَّما جَالَسَنِي في الدُّنْيَا، وَمَنْ جَالَسَنِي في الدُّنْيَا أَجْلَسْتُهُ مَعِيْ يَوْمَ القِيَامَةِ

Jawapan:

مَنْ زَارَ عَالِمًا فَكَأَنَمَّا زَارَنِي، وَمَنْ صَافَحَ عَالِمًا فَكَأَنَّما صَافَحَنِي، وَمَنْ جَالَسَ عَالِمًا فَكَأَنَّما جَالَسَنِي في الدُّنْيَا، وَمَنْ جَالَسَنِي في الدُّنْيَا أَجْلَسْتُهُ مَعِيْ يَوْمَ القِيَامَةِ

"Sesiapa yang menziarahi orang alim seolah-olah dia menziarahiku. Sesiapa yang bersalam dengan orang alim seolah-olah dia bersalam denganku. Sesiapa yang duduk bersama dengan orang alim seolah-olah dia duduk bersamaku di dunia. Sesiapa yang duduk bersamaku di dunia, aku akan mendudukkan dia bersamaku di hari kiamat." 

Diriwayatkan oleh al-Sahmi (m. 427H) dalam Tarikh Jurjan, Abu Nu'aim (m. 430H) dalam Tarikh Asbahan dan al-Dailami (m. 558H) dalam Musnad al-Firdaus daripada hadis Ibnu 'Abbas.

Hadis ini dinilai sebagai palsu oleh al-Hafiz al-Sayuthi (m. 911H) dalam Zail al-Laali al-Masnu'ah [(1/159), no. 172, c: Maktabah al-Ma'arif].  

Hukum beliau terhadap hadis ini diikuti oleh beberapa ulama yang lain seperti Ibnu 'Arraq (m. 963H) dalam Tanzih al-Syari'ah al-Marfu'ah (1/272), Mulla 'Ali al-Qari (m. 1014H) dalam al-Masnu' (no. 335) dan al-Asrar al-Marfu'ah (no. 490), al-Qawuqji (m. 1305H) dalam al-Lu'lu' al-Marsu' (no. 568) dan lain-lain.

Takhrij Hadis: "Barangsiapa berkata sesuatu yang tidak pernah dia lakukan.."

Soalan:

Assalamualaikum ustaz. Saya nak tahu kesahihan dan keterangan tentang hadith ni ya: 
Rasulullah saw. pernah berkata:

"Barangsiapa berkata sesuatu yang tidak pernah dia lakukan, maka tempatnya adalah neraka.”

Jawapan:

Mungkin terjemahan yang diberikan adalah silap. 

Setakat yang saya temui:

مَنْ يَقُلْ عَلَيَّ مَا لَمْ أَقُلْ فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

"Sesiapa yang mengatakan sesuatu atas namaku yang hakikatnya tidak pernah aku katakan sedemikian, maka siaplah tempatnya di neraka."

Riwayat al-Bukhari daripada hadis Salamah bin al-Akwa'.

Kalau larangan menyuruh perkara yang diri sendiri tidak lakukan, larangannya ada dalam al-Quran:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لِمَ تَقُولُونَ مَا لَا تَفْعَلُونَ (2) كَبُرَ مَقْتًا عِندَ اللَّهِ أَن تَقُولُوا مَا لَا تَفْعَلُونَ (3)

"Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! (2) Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya. (3)

 (Surah al-Saff, ayat: 2-3)

Hadis Tidak Ada Asal: Menziarahi Orang Alim Seolah-olah Menziarahi Baitul Maqdis


Soalan:


Salam ustaz. Minta tolong sahkan status hadis ini.


Nabi SAW bersabda:


 “Sesiapa menziarahi orang alim seolah-olah ia menziarahi Baitul Maqdis hal keadaan mengira-ngira (untuk dapatkan pahala) ia dan mengharam oleh Allah akan dagingnya dan tubuhnya atas api neraka dan barang siapa mendapat ia akan majlis orang alim maka tiada atasnya kesengsaraan huru hara pada hari kiamat dan tidak dihisab.”


Terima kasih.


Jawapan:

من زار عالما فكأنما زار بيت المقدس وحرم لحمه وجسده على النار  ومن أدرك مجلس عالم فليس عليه في القيامة شدة ولا عذاب

Ia disebutkan dalam kitab Syarah Sabth al-Mardini 'Ala al-Rahabiyyah (hlm. 108).  Kata Dr Mustafa al-Bugha yang mentahqiq kitab tersebut: "Aku tidak temui hadis tersebut dalam rujukan hadis yang masyhur." 


Wallahu a'lam.