Sabtu, 23 Disember 2017

Ahli Hadis Hanya Sedikit

- Kata al-Imam al-Bukhari (m. 256H):  

“Sebaik-baik orang Muslimin adalah orang yang menghidupkan sunnah daripada sunnah-sunnah Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam yang telah mati. Bersabarlah wahai Ashab al-Sunan (ahli hadis), semoga Allah merahmati kamu semua. Sesungguhnya kamu adalah golongan manusia yang paling sedikit.”

- Kata al-Khatib al-Baghdadi (m. 463H):

“Kata al-Bukhari: ‘Sesungguhnya Ashab al-Sunan adalah golongan manusia yang paling sedikit’, yang dimaksudkan dengannya (ashab al-sunan) adalah para huffaz hadis, yang mengetahui tentang sanad-sanadnya dan boleh membezakan antara yang sahih dan yang daif. 

Benar kata beliau - semoga Allah merahmatinya -, kerana jika engkau perhatikan, engkau tidak akan dapati satu negara pun daripada negara-negara Islam yang kurang daripada golongan faqih dan mutafaqqih (penuntut ilmu fiqh) yang menjadi rujukan ahli negaranya dan ahli negaranya berpegang dengan fatwa-fatwa mereka. 

Dan engkau akan dapati banyak negara yang kosong daripada golongan ahli hadis yang arif dengannya dan bersungguh-sungguh mempelajarinya dek kerana kepayahan dan keagungan ilmunya. Dan sangat sedikit orang yang hebat daripada kalangan pelajarnya dan para penulisnya.
Ilmu (hadis) pada zaman al-Bukhari tumbuh subur dan mekar. Muncul orang-orang yang mencintai dan gemar terhadapnya. Pendorong terhadapnya juga besar dan keinginan terhadapnya banyak. 

Ini adalah perkataan yang dihikayatkan daripada beliau (al-Bukhari ketika zaman beliau). Bagaimana hendak kita katakan pada zaman ini yang mana kurangnya para penuntut ilmu hadis dan sedikitnya keinginan terhadapnya.” 

- Itu adalah di zaman al-Khatib al-Baghdadi, bagaimana dengan zaman ini?

Sumber:

- Al-Jami’ Li Akhlaq al-Rawi Wa Adab al-Sami’, al-Khatib al-Baghdadi, jil. 1, hlm. 112, c: Maktabah al-Ma'arif, tahqiq: Mahmud al-Thahan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan