Soalan:
Assalammualaikum.saya ingin bertanya mengenai
hubungan intim malam jumaat. Benar kah ia sunnah rasulullah saw.?
Jawapan:
Imam al-Ghazali menyebutkan dalam kitab Ihya'
'Ulum al-Din (jilid 3, hlm. 199, terbitan: Dar al-Minhaj):
"Dan ada di kalangan ulama yang
menggalakan jimak pada hari Jumaat dan malamnya. Pendapat tersebut adalah
sebagai satu pelaksanaan terhadap salah satu daripada dua takwilan bagi sabda
Nabi sallahu 'alaihi wasallam:
مَنْ غَسَّلَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ
وَاغْتَسَلَ، ثُمَّ بَكَّرَ وَابْتَكَرَ، وَمَشَى وَلَمْ يَرْكَبْ، وَدَنَا مِنَ
الْإِمَامِ فَاسْتَمَعَ وَلَمْ يَلْغُ كَانَ لَهُ بِكُلِّ خُطْوَةٍ عَمَلُ سَنَةٍ
أَجْرُ صِيَامِهَا وَقِيَامِهَا
"Sesiapa yang memandikan (kepalanya)
pada hari Jumaat dan mandi (seluruh tubuhnya), lalu dia pergi untuk solat
Jumaat pada awal waktu dan sempat mendapatkan awal khutbah, berjalan kaki dan
tidak berkenderaan, lalu duduk dekat dengan imam untuk mendengarkan khutbah
dengan penuh perhatian, maka setiap langkahnya dicatat pahala puasa dan ibadah
malam satu tahun."
Hadis yang disebutkan oleh Imam al-Ghazali di atas diriwayatkan oleh Abu Daud (245), al-Tirmizi (496),
al-Nasa'ie (1381) (1384) dan Ibnu Majah (1087) daripada hadis Aus bin Aus
al-Thaqafi. Kata al-Tirmizi: "Hadis hasan."
Ulama berbeza pandangan tentang tafsiran
perkataan غَسَّلَ (memandikan) dan اغْتَسَلَ (mandi).
Ada yang menafsirkannya sebagai memandikan/membasuh kepalanya dan mandi seluruh badannya.
Ada pendapat lain yang menafsirkannya sebagai bersetubuh dengan isterinya sehingga menyebabkan isterinya perlu mandi. Perbuatannya yang bersetubuh dengan isterinya itu dianggap seolah-olah dia memandikan isterinya dan dia sendiri perlu mandi pada tubuhnya sendiri.
(Lihat: Nail al-Author, jil.
2, hlm. 353, terbitan: Dar Ibnu al-Jauzi, Tuhfah al-Ahwazi Syarah Jami'
al-Termizi, jil. 3, hlm. 3, terbitan: Dar al-Fikr)
Jika diterima tafsiran sebagai
jimak/setubuh, terjemahan hadisnya akan menjadi:
"Sesiapa yang memandikan (isterinya
dengan sebab jimak) pada hari Jumaat dan mandi (tubuhnya sendiri)..."
Begitu juga ada sebuah hadis berstatus daif
yang diriwayatkan berkenaan galakan bersetubuh pada hari Jumaat. Al-Baihaqi
meriwayatkan dalam Syu'ab al-Iman (jil. 4, hlm. 409, hadis no.
2731, terbitan: Maktabah al-Rusyd) daripada hadis Abu Hurairah:
أَيَعْجِزُ أَحَدُكُمْ أَنْ يُجَامِعَ أَهْلَهُ فِي
كُلِّ جُمُعَةٍ فَإِنَّ لَهُ أَجْرَيْنِ أَجْرُ غُسْلِهِ، وَأَجْرُ غُسْلِ
امْرَأَتِهِ
"Adakah kamu tidak mampu untuk
bersetubuh dengan isterimu pada setiap hari Jumaat kerana sesungguhnya baginya
dua pahala; pahala mandinya dan pahala mandi isterinya."
Hadis ini didaifkan sendiri oleh al-Baihaqi.
Namun begitu tidak ada masalah untuk beramal dengannya kerana ia hanya
melibatkan fadhail a'mal (kelebihan amalan).
Bahkan al-Baihaqi sendiri berpandangan
sekiranya diamalkan hadis ini dapat membantu untuk menjaga pandangan ketika
pergi ke masjid untuk solat Jumaat. Kata al-Imam al-Baihaqi:
"Jika dia melakukan perkara tersebut (jimak), ia membantu menundukkan pandangannya ketika kepergian ke masjid. Dahulu para wanita turut sama hadir (solat) Jumaat."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan