Selasa, 26 Disember 2017

Hukum Beri Salam Kepada Ahli Kubur



Soalan:

Assalamualaikum. Nak tanya. Memberi salam apabila lalu depan kubur perlu ke? Dikira hukum apa?

Jawapan:

Waalaikumsalam.

Kata al-Imam al-Nawawi (m. 676 H) dalam kitab al-Majmu' Syarah al-Muhazzab [(jilid 5, hlm. 286), terbitan: Maktabah al-Irsyad]: 

"Kata ulama mazhab kami (semoga Allah merahmati mereka): Disunatkan bagi penziarah untuk memberi salam kepada ahli kubur dan mendoakan bagi ahli kubur yang diziarahinya dan seluruh ahli kubur. Dan yang afdalnya (lafaz) salam dan doa tersebut adalah sebagaimana yang sabit dalam hadis..."

Lafaz Salam Dalam Hadis

Terdapat beberapa buah lafaz salam kepada ahli kubur sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis. Pembaca boleh memilih mana-mana lafaz yang mudah untuk diamalkan. Saya letakkan di sini beberapa buah lafaz yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi dalam kitab al-Azkar:

Lafaz Pertama:

Daripada Aisyah, beliau berkata:

“Adalah Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam bila tiba gilirannya pada malamku, beliau seringkali di akhir malam pergi ke perkuburan Baqi' dan mengucapkan:

السَّلامُ عَلَيْكُمْ دَارَ قَوْمٍ مُؤْمِنِينَ، وَأَتَاكُمْ مَا تُوعَدُونَ، غَدًا مُؤَجَّلُونَ، وَإنَّا إنْ شَاءَ اللَّهُ بِكُمْ لَاحِقُونَ.

Selamat sejahtera ke atas kamu, wahai penghuni tempat kaum mukminin! Telah datang kepada kamu apa yang dijanjikan, dan besok kamu akan menundanya, dan kami insya Allah akan menyusul kamu. 

Riwayat Muslim (no. 974).

Lafaz Kedua:

Daripada Aisyah, katanya:

"Wahai Rasulullah! Bagaimana ucapan ketika menziarahi perkuburan? Jawab baginda: Katakanlah:

السَّلامُ عَلَى أَهْلِ الدِّيَارِ مِنَ المُؤْمِنِينَ وَالمُسْلِمِينَ، وَيَرْحَمُ اللَّهُ المُسْتَقْدِمِينَ مِنْكُمْ وَمِنَّا وَالمُسْتَأْخِرِينَ، وَإنَّا إنْ شَاءَ اللَّهُ بِكُمْ لَاحِقُونَ.

Selamat sejahtera ke atas sekalian penghuni perkuburan ini dari kaum Mukminin dan Muslimin, dan moga-moga Allah merahmati yang terdahulu daripada kamu dan yang terkemudian daripada kami, dan kami pula insya Allah akan menyusul kamu."

Riwayat Muslim (no. 974).

Lafaz Ketiga:

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam pernah keluar ke perkuburan, lalu mengucapkan:

السَّلامُ عَلَيكُمْ دَارَ قَوْمٍ مُؤْمِنِينَ، وإنَّا إنْ شَاءَ اللَّهُ بِكُمْ لاحِقُونَ.

Selamat sejahtera ke atas kamu, wahai penghuni perkampungan kaum mukminin, dan kami insya-Allah akan menyusul kamu.

Riwayat Abu Daud (no. 3237), al-Nasa'ie (no. 150), dan Ibnu Majah (no. 4306).

Lafaz Keempat:

Daripada Ibnu Abbas, beliau berkata:

“Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam melalui perkuburan Madinah, lalu beliau menghadap mereka dengan wajahnya seraya mengucapkan:

السَّلامُ عَلَيْكُمْ يَا أهْلَ القُبُورِ! يَغْفِرُ اللَّهُ لَنا وَلَكُمْ، أنْتُمْ سَلَفُنَا وَنَحْنُ بالأثَرِ.

Selamat sejahtera ke atas kamu, wahai penghuni perkuburan! Moga-moga Allah mengampuni kita dan kamu juga, kamu telah mendahului kami dan kami akan segera mengikuti kamu."

Riwayat al-Tirmizi (no. 1053).

Lafaz Kelima:

Daripada Buraidah, dia berkata:

“Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam pernah mengajar para sahabat apabila hendak berziarah kubur untuk membaca:

السَّلامُ عَلَيْكُمْ أهْلَ الدِّيَارِ مِنَ المُؤْمِنِينَ، وإنَّا إنْ شاءَ اللَّهُ بِكُمْ لَاحِقُونَ، أَسْأَلُ اللَّهُ لَنَا ولَكُمُ العافيَةَ.

Selamat sejahtera ke atas kamu, wahai penghuni kuburan dari kaum mukminin, dan bahwa kami insyaAllah akan menyusul kamu. Aku memohon kepada Allah keafiatan bagi diri kami dan kamu.”

Riwayat Muslim (no. 975).

Al-Nasa’ie (no. 2040) dan Ibnu Majah (no. 1547) juga meriwayatkan lafaz yang sama tetapi dengan sedikit penambahan lafaz berikut di hujungnya:

أَنْتُمْ لَنَا فَرَطٌ، وَنَحْنُ لَكُمْ تَبَعٌ.

“Kamulah orang yang terdahulu dan kami orang yang mengikut.”

Lafaz Keenam:

Daripada Aisyah, Nabis pernah datang ke perkuburan Baqi' lalu mengucapkan:

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ دَارَ قَوْمٍ مُؤْمِنِينَ، أَنْتُمْ لَنَا فَرَطٌ، وَإِنَّا بِكُمْ لَاحِقُونَ؛ اللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُمْ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُمْ.

“Selamat sejahtera ke atas kamu, wahai penghuni perkuburan kaum mukminin. Kamulah yang mendahului kami, dan bahwa kami akan menyusuli kamu. Ya Allah, ya Tuhanku! Janganlah haramkan kami dari pahala mereka dan jangan sesatkan kami sesudah mereka.”

Riwayat Ibnu al-Sunni (no. 596).

Apa Yang Perlu Dilakukan Oleh Penziarah Kubur

Imam al-Nawawi dalam kitab al-Azkar juga menyebutkan:

"Disunatkan bagi penziarah kubur untuk memperbanyakkan membaca al-Quran, zikir dan doa untuk ahli perkuburan tersebut, seluruh orang lain yang telah meninggal dunia serta kaum Muslimin keseluruhannya. Disunatkan juga selalu menziarahi kubur dan selalu berada di sisi kubur-kubur orang yang baik dan soleh. "

Tiada ulasan:

Catat Ulasan