مَنْ أَدَّى إِلَى أُمَّتِي حَدِيثًا يُقِيمُ بِهِ
سَنَةً أَوْ يَلْثُمُ بِهِ بِدْعَةً فَلَهُ الْجَنَّةُ
“Sesiapa yang
menyampaikan sebuah hadis kepada umatku untuk menzahirkan sunnah dan menghancurkan
bid’ah, maka baginya syurga.”
Riwayat Abu Nu’aim dalam Hilyah
al-Auliya’ melalui jalur perawi Abdul Rahim bin Habib daripada Ismail bin
Yahya al-Taimi daripada hadis Ibnu ‘Abbas.
Kata al-Munawi dalam al-Taisir:
فِي
اسناده كَذَّاب
“Dalam sanadnya ada
pendusta.”
Kata al-Munawi dalam Faidh
al-Qadir:
وفيه عبد
الرحيم بن حبيب أورده الذهبي في الضعفاء وقال: متهم بالوضع وإسماعيل بن يحيى
التيمي قال أعني الذهبي: كذاب عدم
“Dalam sanadnya ada
Abdul Rahim bin Habib. Al-Zahabi menyebutkannya dalam al-Dhu’afa’ dan beliau
berkata: Dituduh memalsukan [hadis]. Dan Ismail bin Yahya al-Taimi, berkata -yakni
al-Zahabi-: Pendusta [dan] tidak bernilai sedikit pun.”
Kata al-Hafiz Ahmad al-Siddiq
al-Ghumari dalam al-Mudawi:
علة
الحديث إسماعيل التيمى وحده، أما عبد الرحيم بن حبيب فقد توبع عليه.
“Illah [kelemahan
atau kepalsuan] hadis adalah [disebabkan] oleh Ismail al-Taimi sahaja. Adapun
Abdul Rahim bin Habib, dia disokong [oleh perawi yang lain].”
Abdul Rahim tidak bersendirian
meriwayatkan hadis ini daripada Ismail al-Taimi kerana al-Ala’ bin Maslamah
turut meriwayatkan daripada beliau, cuma al-Ala’ bin Maslamah juga matruk [ditinggalkan
hadisnya] dan dituduh memalsukan hadis.
Agak menghairankan kerana apa
yang dinukilkan oleh al-Munawi tentang Ismail bin Yahya al-Taimi berbeza dengan
apa yang disebutkan oleh al-Hafiz al-Zahabi.
Kata al-Hafiz al-Zahabi dalam Diwan
al-Dhu’afa’ Wa al-Matrukin:
متروك
كأبيه
“Matruk seperti
ayahnya.”
Kata al-Hafiz al-Zahabi dalam al-Mughni
Fi al-Dhu’afa’:
قَالَ
ابْن عدي يحدث عَن الثِّقَات بِالْبَوَاطِيل وَقَالَ غَيره كَذَّاب
“Berkata Ibnu ‘Adi: [Dia] meriwayatkan
hadis-hadis batil daripada perawi thiqah. Berkata selainnya: Dia pendusta.”
Kata al-Hafiz al-Zahabi dalam Mizan
al-I’tidal:
مجمع
على تركه
“Disepakati untuk ditinggalkan
[hadisnya].”
Ibrahim bin Yahya al-Taimi
dituduh oleh ramai ahli hadis sebagai pendusta dan pemalsu hadis.
Kata Ibnu Hibban dalam al-Majruhin:
كَانَ
مِمَّن يروي الموضوعات عَن الثِّقَات وَمَا لَا أصل عَن الْأَثْبَات لَا يحل
الرِّوَايَة عَنْهُ وَلَا الِاحْتِجَاج بِهِ بِحَال
“Dia salah seorang yang
meriwayatkan hadis-hadis palsu daripada perawi thiqah dan hadis-hadis yang
tidak ada asalnya daripada perawi yang thabit. Tidak halal meriwayatkan
daripadanya dan berhujjah dengannya dalam apa hal sekalipun.”
Kata Ibnu ‘Adi dalam al-Kamil
Fi Dhu’afa’ al-Rijal:
يحدث
عن الثقات بالبواطيل
“Meriwayatkan hadis-hadis
batil daripada perawi-perawi thiqah.”
Kata al-Daraqutni dalam al-Dhu’afa’
Wa al-Matrukin:
متروك
كذاب
“Matruk pendusta.”
Kata Soleh Jazarah:
كان
يضع الحديث
“Dia memalsukan
hadis.”
Kata al-Azdi:
ركن
من أركان الكذب لا تحل الرواية عنه
“Salah satu daripada rukun-rukun
pendusta. Tidak halal meriwayatkan daripadanya.”
Hadis ini dimuatkan oleh al-Hafiz
al-Sayuthi dalam al-Jami’ al-Saghir dan beliau mengisyaratkannya sebagai
daif.
Hadis ini juga dimuatkan oleh
al-Imam Ibnu Abi Jamrah dalam mukadimah Mukhtasar Sahih al-Bukhari
dengan sighah jazam sebagaimana hadis sebelumnya.
Kata al-Syeikh al-Syanwani dalam Hashiyyah
‘Ala Mukhtasar Ibnu Abi Jamrah:
“Hadis ini daif kerana amalan
yang sedikit, jika banyak pahalanya, itu menjadi dalil kedaifannya.”
Kata al-Syeikh al-Syarif Hatim
dalam Syarah al-Muqizoh:
“Menghukum sesebuah hadis
sebagai palsu tidak mencukupi sekadar wujud di dalam sanadnya perawi pendusta,
bahkan tidak dapat tidak mesti wujud petanda-petanda tertentu yang menunjukkan
kepalsuannya kerana boleh jadi seorang pendusta berkata benar. Jika perawinya
pendusta dan tidak terdapat petanda yang menunjukkan kepalsuan hadis, maka
hadis tersebut akan menjadi sangat daif yang tidak dapat dijadikan al-mutaba’at
dan al-syawahid [riwayat sokongan] kerana ia adalah riwayat daripada perawi
yang tidak adil. Dan tetapi ia tidak menjadi palsu kerana tidak wujud petanda
kepalsuannya.”
Jika hadis ini tidak palsu, maka
ia adalah hadis yang sangat daif. Wallahu a’lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan