1- Melihat kepada hal ehwal perawi dari segi menjaga ketaatan dan menjauhi maksiat serta bertanya kepada orang yang mengetahui tentang hal perawi tersebut.
Kata al-Hasan bin Soleh bin Hayy:
“Kami jika ingin menulis (hadis)
daripada seseorang, kami akan bertanya tentangnya sehingga dikatakan, adakah
kamu ingin mengahwininya?”
[Al-Kifayah Fi ‘Ilm al-Riwayah,
al-Khatib al-Baghdadi, hlm. 93, c: Dairah al-Ma’arif al-‘Uthmaniyyah]
2 – Jika seorang
perawi meriwayatkan hadis daripada seorang syeikh yang masih hidup, akan
ditanya kepada syeikh tersebut tentang hadis tersebut.
Kata Syu’bah bin al-Hajjaj:
“Kata al-Hasan bin ‘Umarah:
Telah menceritakan kepadaku al-Hakam (bin ‘Utaibah) daripada Yahya al-Jazzar daripada
Ali (bin Abi Thalib) tujuh buah hadis.
Aku (Syu’bah) berkata: Aku
bertanya kepada al-Hakam tentang hadis-hadis tersebut, lalu beliau menjawab:
Aku tak pernah dengar tentangnya sedikit pun.”
[Tarikh Baghdad (8/326), al-Khatib
al-Baghdadi, tahqiq: Dr Basyar ‘Awad Ma’ruf]
3 - Jika seorang
perawi meriwayatkan hadis daripada seorang syeikh yang telah meninggal dunia,
akan ditanya kepada perawi tersebut: Bilakan kamu dilahirkan? Bilakah kamu
bertemu dengan syeikh tersebut? Di mana kamu bertemu dengannya?
Kemudian akan dibuat perbandingan
apa yang dijawab oleh perawi tersebut dengan maklumat yang telah dihafal
berkenaan syeikh tersebut dari segi tarikh kewafatan syeikh tersebut, tempat
tinggalnya dan sejarah-sejarah perpindahannya ke tempat lain.
Misalnya sebagaimana yang berlaku kepada
Ghufair bin Ma’dan. Beliau bertemu dengan ‘Umar bin Musa bin Wajih yang
dikatakan meriwayatkan hadis daripada Khalid bin Mi’dan.
Kata Ghufair: “Aku bertanya
kepada ‘Umar bin Musa bin Wajih: Tahun bilakah kamu bertemu dengannya (Khalid
bin Mi’dan)?”
Dia menjawab: “Pada tahun 108 (Hijrah),
sewaktu peperangan di Armenia.”
Aku lalu berkata: “Takutlah
Allah, wahai syeikh. Jangan menipu. Khalid meninggal dunia pada 104 (Hijrah).
Aku ingin beritahu kamu lagi. Dia tidak pernah langsung menyertai peperangan di
Armenia. Dia tidak pernah menyertai peperangan kecuali sewaktu menentang Rom.”
[Al-Jarh Wa al-Ta’dil
(6/133), Ibnu Abi Hatim, c: Dairah al-Ma’arif al-‘Uthmaniyyah]
4 - Jika seorang
perawi mendengar hadis-hadis daripada para syeikh dan syeikh-syeikh tersebut telah
meninggal dunia, akan dipertimbangkan hadis-hadis perawi tersebut berdasarkan apa yang
diriwayatkan oleh perawi-perawi yang thiqah daripada syeikh tersebut
untuk melihat:
(i) Adakah perawi tersebut
bersendirian dalam meriwayatkan sesuatu hadis atau (ii) dia berselisih dengan
perawi-perawi yang lain atau (iii) dia menambah atau mengurangkan kandungan
sesuatu hadis.
Kamu akan dapati para imam hadis
akan berkata ketika mengkritik perawi:
(i) Dia bersendirian meriwayatkan
hadis daripada perawi-perawi thiqah yang tidak ditemui sokongan bagi
hadisnya.
(ii) Pada hadisnya terdapat unsur
hadis mungkar.
(iii) Dia melakukan kesilapan dan
bercanggah dengan perawi-perawi yang thiqah.
5 – Dengar daripada perawi
tersebut beberapa buah hadis lalu dihafal atau ditulis hadis tersebut. Kemudian
tanya semula tentang hadis-hadis tersebut selepas beberapa ketika.
Kadang kala, sengaja
diulang-ulang soalan beberapa kali untuk melihat, adakah dia mengubah atau menukar
atau menambah atau mengurangkan isi kandungan hadis tersebut.
Sebahagian pemimpin memanggil Abu
Hurairah dan meminta beliau untuk menyampaikan hadis. Pemimpin tersebut
menyembunyikan seorang tukang tulis supaya tidak dilihat oleh Abu Hurairah.
Ketika Abu Hurairah menyampaikan hadis, tukang tulis tersebut menulis
hadis-hadis tersebut.
Selepas setahun, pemimpin
tersebut memanggil semula Abu Hurairah untuk menyampaikan semula hadis-hadis
tersebut sambil tukang tulis tersebut melihat catatannya. Didapati tiada yang bertambah
dan tiada yang kurang.
Sumber:
Fawaid Wa Qawa’id Fi al-Jarh
Wa al-Ta’dil, Abdul Rahman bin Yahya al-Mu’allimi, hlm. 126, c: Adhawa’
al-Salaf.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan