- Syeikh al-Albani رحمه الله meninggalkan lebih 80 buah karangan yang
masih dalah bentuk makhthut (manuskrip tulisan tangan), salah satunya
kitab Mu’jam al-Hadith al-Nabawi setebal 40 jilid.
- Kitab ini merupakan himpunan hadis-hadis
terpilih yang dipilih oleh Syeikh al-Albani berserta dengan sanad-sanadnya daripada
ratusan buah rujukan yang masih dalam bentuk manuskrip yang terpelihara di
Maktabah al-Zahiriyyah di Damsyik, Maktabah al-Auqaf al-Islamiyyah di Halab,
Maktabah al-Mahmudiyyah di Masjid al-Nabawi, Maktabah ‘Arif Hikmat di Madinah
al-Munawwarah dan lain-lain.
- Hadis-hadis dalam kitab ini
disusun berdasarkan huruf-huruf mu’jam (alif, ba, ta...).
- Kata Syeikh al-Albani:
“Antara kelebihan yang Allah
kurniakan kepadaku adalah Allah memudahkan bagiku untuk menelaah kitab-kitab
hadis dan manuskrip yang berharga di Maktabah al-Zahiriyyah, mengkajinya serta
mengeluarkan hadis-hadis Nabawi yang terkandung di dalamnya meskipun berbeza
lafaznya, berserta jalan-jalan sanadnya yang banyak. Aku telah himpunkannya
dalam beberapa jilid yang mencapai 40 buah jilid, disusun berdasarkan
huruf-huruf mu’jam, supaya mudah untukku merujuk kepadanya dan mengeluarkan hadis
yang aku perlukan daripadanya ketika berhajat.”
- Kata Syeikh al-Albani dalam Irwa’
al-Ghalil (8/308):
“Aku telah rujuk kepada Mu’jam
al-Hadith yang telah aku himpunkannya daripada manuskrip-manuskrip Maktabah
al-Zahiriyyah. Ianya sekitar 40 jilid. Dalam setiap jilid sekitar 400 helaian
kertas. Dalam setiap helaian tersebut terdapat sebuah hadis yang disebutkan di bawahnya
rujukan-rujukan hadis daripada manuskrip-manuskrip tersebut.”
- Kitab ini masih belum dicetak.
__________
Rujukan:
- Thabat Muallafat
al-Albani, Abdullah bin Muhammad al-Syamrani, hlm. 86, c: Dar Ibn al-Jauzi.
- Hayah al-Albani, Muhammad
bin Ibrahim al-Syaibani, hlm. 577, c: Maktabah al-Saddawi.
- Mu’jam al-Muallifin al-Mu’asirin,
Muhammad Khair Ramadhan Yusuf, jil. 1, hlm. 16, c: Maktabah al-Malik Fahd al-Wathaniyyah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan