Khamis, 15 Disember 2022

Sahabat Iblis Dalam Persembunyian

Wuhaib bin al-Ward berkata:

"Jaga-jagalah kamu daripada mencerca Iblis ketika terang-terangan sedangkan kamu adalah sahabatnya ketika dalam persembunyian."

 (Sumber: Sifah al-Sofwah karangan Ibnu al-Jauzi)

______________________

Wuhaib bin al-Ward merupakan seorang abid (ahli ibadah) yang hidup di zaman tabi'in. Beliau merupakan guru kepada beberapa ulama yang terkenal seperti Abdullah bin al-Mubarak dan Abdul Razzaq al-San'ani. Ibnu Hibban berkata: "Beliau adalah di kalangan abid yang benar-benar meninggalkan dunia dan berlumba-lumba mengejar akhirat." Idris bin Muhammaz al-Ruzi berkata: "Aku tidak pernah melihat orang yang lebih banyak beribadat berbandingnya." Beliau meninggal dunia pada tahun 153 Hijrah.

Sabtu, 10 Disember 2022

Status Hadis: Sebahagian Ilmu Itu Tersembunyi Melainkan Bagi Orang Yang Mengenali Allah

 إِن من الْعلم كَهَيئَةِ الْمكنون لَا يُعلمهُ إِلَّا أهل الْمعرفَة بِاللَّه تَعَالَى، فَإِذا نطقوا بِهِ لم يجهله إِلَّا أهل الاغترار بِاللَّه تَعَالَى.

"Sesungguhnya ada sebahagian daripada ilmu itu yang keadaannya seakan-akan tersembunyi. Tidak ada yang mengetahuinya melainkan orang yang mengenali Allah Ta'ala. Apabila mereka mengucapkannya, maka tidak ada yang tak mengetahuinya melainkan orang-orang yang lalai daripada (mengenali) Allah Ta'ala."

Takhrij:

1 - Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Abdul Rahman al-Sulami dalam al-Arba’in al-Sufiyyah (hadis ke-32) dan al-Dailami dalam Musnad al-Firdaus (lihat: al-Gharaib al-Multaqathah, hadis no. 883) melalui sanad:

Abdul Salam bin Soleh daripada Sufyan bin ‘Uyainah daripada Ibnu Juraij daripada ‘Atha’ daripada Abu Hurairah.

2 - Abdul Salam bin Soleh tersebut ialah Abu al-Salt al-Harawi. Dia dithiqahkan oleh Yahya bin Ma’in namun jumhur ahli hadis mendaifkannya.

3 - Ahmad bin Hanbal berkata: “Dia meriwayatkan hadis-hadis mungkar.”

Ibnu Abi Hatim berkata: “Aku bertanya kepada bapaku tentangnya. Beliau berkata: Dia bukan seorang yang jujur (soduq). Dia adalah daif. Bapaku tidak meriwayatkan hadis yang beliau riwayatkan daripadanya kepadaku. Abu Zur’ah membuang hadisnya dan berkata: Aku tidak akan meriwayatkan hadis daripadanya dan aku tidak menyukainya.”

Al-Nasa’ie berkata: “Dia tidak thiqah.”

Ibnu ‘Adi berkata: “Dia mempunyai hadis-hadis yang mungkar tentang kelebihan Ahli Bait dan dia dituduh memalsukannya.”

Al-‘Uqaili berkata: “Pendusta.”

Muhammad bin Tahir al-Maqdisi berkata: “Dia adalah pendusta.”

Al-Hakim, al-Naqqasy dan Abu Nu’aim berkata: “Dia meriwayatkan hadis-hadis mungkar.”

Ibnu Hibban berkata: “Dia meriwayatkan hadis-hadis palsu tentang kelebihan Ali dan Ahli Bait. Tidak boleh berhujah dengannya apabila dia bersendirian (meriwayatkan sesuatu hadis).”

Al-Hafiz al-‘Iraqi berkata: “Sangat daif.” (Lihat: Takhrij Ahadith Ihya’ Ulum al-Din, hadis no. 83)

Al-Hafiz al-Sakhawi berkata: “Abu al-Salt adalah seorang Syi’ah dan dia didaifkan juga oleh sekumpulan ahli hadis. Bahkan sebahagian mereka menuduhnya memalsukan hadis.” (lihat: Takhrij al-Arba’in al-Sulamiyyah, hlm. 54).

4 - Al-Hafiz al-Munziri dalam al-Targhib Wa al-Tarhib menyebutkan hadis ini dengan sighah al-tamrid (رُوِيَ), isyarat kepada kedaifannya. Al-Hafiz al-‘Iraqi dan al-Hafiz al-Sakhawi turut mendaifkan sanadnya.

5 - Kesimpulannya sanad hadis ini adalah sangat daif disebabkan status Abu al-Salt al-Harawi Abdul Salam bin Soleh yang sangat daif dan dituduh memalsukan hadis.

Isnin, 17 Oktober 2022

Nabi Tak Buat, Bidaahkah?

 


Pendahuluan

1 – Dalil yang dijadikan hujah oleh seluruh ulama Islam ialah al-Quran dan al-Sunnah dan tidak ada khilaf di kalangan ulama tentang perkara tersebut.

2 – Para ulama berkhilaf tentang berhujah dengan ijmak dan qiyas. Jumhur ulama menjadikannya sebagai hujah dan pendapat ini yang rajih.

3 – Terdapat dalil-dalil yang diperselisihkan di kalangan ulama empat mazhab iaitu hadis mursal, pendapat sahabat, syariat umat sebelum kita, istishab, istihsan dan amalan penduduk Madinah.

Apa Itu Hukum Syarak?

4 – Hukum syarak adalah khitab (firman) Allah yang berkaitan dengan perbuatan mukallaf dan ia terbahagi kepada lima bahagian:

i) Wajib atau fardhu: Sesuatu yang diberi pahala bagi orang yang melakukannya dan diazab orang yang meninggalkannya. Contoh: Solat, zakat, puasa bulan Ramadan dan berbuat baik kepada ibu bapa.

ii) Haram:  Sesuatu yang diazab bagi orang yang melakukannya dan diberi pahala bagi orang yang meninggalkannya. Contoh: Riba, zina, derhaka ibu bapa dan minum arak.

iii) Sunat: Sesuatu yang diberi pahala bagi orang yang melakukannya dan tidak diazab orang yang meninggalkannya. Contoh: Solat sunat.

iv) Makruh: Sesuatu yang diberi pahala bagi orang yang meninggalkannya dan tidak diazab orang yang melakukannya. Contoh: Solat sunat selepas subuh dan asar.

v) Harus atau halal: Sesuatu yang tidak diberi pahala mahupun azab bagi orang yang melakukannya mahupun meninggalkannya. Contoh: Makan makanan yang baik dan berniaga.

5 – Ini adalah jenis-jenis hukum yang berlegar di dalamnya fiqh Islam dan tidak harus bagi seorang mujtahid sama ada daripada kalangan sahabat mahupun selainnya untuk mengeluarkan hukum daripada hukum-hukum ini melainkan berpandukan dalil daripada dalil-dalil yang disebutkan sebelum ini. Ini adalah perkara asas yang diketahui dalam agama (ma’lum min al-din bi al-darurah) dan tidak perlu lagi kepada penjelasan.

Apa itu al-Tark?

6 – Al-Tark adalah sesuatu yang ditinggalkan oleh Nabi sallahu ‘alaihi wasallam dan baginda tidak melakukannya atau ia ditinggalkan oleh golongan salafus soleh tanpa adanya hadis atau athar yang melarang melakukan perbuatan tersebut lalu menunjukkan perbuatan itu haram atau makruh.

7 – Ramai di kalangan orang yang terkemudian (mutaakhirin) yang berdalilkan dengan al-Tark untuk mengharamkan sesuatu perkara atau untuk mencelanya. Ibnu Taimiyyah antara yang kerap menggunakannya serta berpegang dengannya dalam beberapa isu yang nanti akan diterangkan. 

Jenis al-Tark

8 – Apabila Nabi sallahu ‘alaihi wasallam meninggalkan sesuatu maka ia mempunyai beberapa kemungkinan selain kerana sesuatu itu haram:

i) Meninggalkannya kerana adat:

Seekor dhab panggang dihidangkan kepada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam. Baginda menghulurkan tangan baginda yang mulia untuk memakannya. Lalu dikatakan kepada baginda: “Itu adalah dhab.” Baginda tidak jadi untuk memakannya. Baginda ditanya: “Adakah ia haram?” Baginda menjawab: “Tidak, tetapi ia tidak terdapat di bumi kaumku. Aku merasa jijik dengannya.” Hadis ini terdapat dalam al-Sahihain.  Hadis ini menunjukkan dua perkara:

a) Perbuatan Nabi sallahu ‘alaihi wasallam yang meninggalkan sesuatu walaupun pada mula baginda menerimanya tidak menunjukkan akan pengharamannya.

b) Menganggap jijik sesuatu perkara tidak menunjukkan keharamannya.

ii) Meninggalkannya kerana lupa:

Nabi sallahu ‘alaihi wasallam terlupa dalam solat sehingga baginda tertinggal rakaat dalam solatnya. Baginda ditanya: “Adakah berlaku sesuatu dalam solat?” Baginda menjawab: “Sesungguhnya aku juga manusia yang terlupa sebagaimana kamu semua juga terlupa. Apabila aku terlupa maka ingatkan aku.”

iii) Meninggalkannya kerana bimbang difardukan ke atas umatnya

Sepertimana baginda meninggalkan solat Tarawih ketika mana para sahabat berkumpul untuk solat Tarawih bersama baginda.

iv) Meninggalkannya kerana baginda tidak pernah terfikir tentangnya dan tidak pernah terlintas di fikiran baginda:

Nabi sallahu ‘alaihi wasallam menyampaikan khutbah dengan bersandar pada batang kurma. Baginda tidak terfikir untuk membuat kursi untuk baginda berdiri di atasnya ketika menyampaikan khutbah. Apabila baginda dicadangkan untuk dibuat mimbar supaya dapat berkhutbah di atasnya baginda bersetuju dan memperakuinya kerana ia lebih membantu untuk menyampaikan suara khutbah.

Para sahabat juga mencadangkan supaya dibina untuk baginda suatu tempat duduk yang dibuat daripada tanah supaya baginda dapat duduk di atasnya agar orang asing yang datang dapat mengenali baginda.

v) Meninggalkannya kerana ia termasuk dalam (perintah) al-Quran dan hadis yang umum (yang dibenarkan melakukannya atau meninggalkannya):

Seperti perbuatan baginda yang meninggalkan solat Dhuha dan banyak amalan sunat yang lain kerana ia termasuk dalam firman Allah:

وَٱفْعَلُواْ ٱلْخَيْرَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

“Kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu berjaya.” (Surah al-Hajj: Ayat 77)

vi) Meninggalkan kerana bimbang hati sahabat akan berubah:

Seperti perbuatan Nabi sallahu ‘alaihi wasallam yang meninggalkan pengubahsuaian binaan Kaabah kerana ingin menjaga hati para sahabat baginda di kalangan penduduk Mekah yang baru sahaja masuk Islam.

9 – Begitu juga ada kemungkinan-kemungkinan lain baginda meninggalkan sesuatu perkara yang dapat diketahui bagi orang yang membaca kitab-kitab Sunnah.

10 – Tidak ada langsung hadis mahupun athar yang menunjukkan secara jelas bahawa baginda meninggalkan sesuatu perkara kerana perkara tersebut haram semata-mata, bahkan ada sebab-sebab yang lain.

Al-Tark Tidak Menunjukkan Pengharaman

11 – Al-Tark semata-mata tanpa disertai dalil yang menunjukkan bahawa perkara yang ditinggalkan itu haram tidak menunjukkan pengharaman. Bahkan sebaliknya menunjukkan bahawa bolehnya meninggalkan perkara tersebut.

12 – Imam Abu Sa’id bin Lubb menyebutkan ketika mana beliau mengkritik orang yang memakruhkan berdoa selepas solat:

“Hujah yang paling kuat yang dipegang oleh orang yang mengingkari berdoa selepas solat adalah kerana perbuatan berterusan berdoa selepas solat bukanlah daripada amalan golongan Salaf. Kalaulah benar penukilan ini, maka al-Tark tersebut tidaklah lain melainkan menunjukkan bahawa harus untuk meninggalkan perkara yang ditinggalkan tersebut dan tidak ada dosa padanya. Adapun untuk mengharamkannya atau memakruhkannya maka tidak, apatah lagi perkara tersebut mempunyai asas yang umum daripada syarak seperti doa.”

13 – Ibnu Hazm dalam al-Muhalla menyebutkan bahawa ulama memakruhkan solat dua rakaat sebelum maghrib berdasarkan ucapan Ibrahim al-Nakha’ie yang menyebutkan bahawa Abu Bakar, Umar dan Uthman tidak melakukannya. Beliau menolak pendapat mereka dengan berkata:

“Kalaulah benar perkara tersebut maka ia tidak menjadi hujah kerana mereka tidak melarang perkara tersebut.”

14 – Kata Ibnu Hazm lagi:

“Disebutkan daripada Ibnu Umar bahawa beliau berkata: Aku tidak pernah melihat sesiapa pun yang solat dua rakaat tersebut.” Beliau menolak pendapat tersebut dengan berkata: “Kalaulah benar perkara tersebut maka ini juga tidak menunjukkan larangan untuk melakukannya.”

15 – Kata Ibnu Hazm dalam al-Muhalla berkenaan solat dua rakaat selepas Asar:

“Adapun hadis Ali maka ia langsung tidak ada hujah padanya kerana di dalamnya tidak ada apa melainkan pengkhabaran berdasarkan apa yang diketahuinya bahawa beliau tidak pernah melihat Rasulullah sallahu ‘alihi wasallam bersolat dua rakaat tersebut. Ini tidak menunjukkan larangan dan makruh untuk melakukannya. Baginda tidak pernah puasa sunat secara penuh selama sebulan melainkan pada bulan Ramadan. Ini tidak menunjukkan makruh untuk berpuasa sunat selama sebulan penuh.”

16 – Nas-nas ini menunjukkan bahawa al-Tark tidak menunjukkan kemakruhan apatah lagi keharaman.

Dalil-Dalil yang Menunjukkan al-Tark Tidak Bermaksud Pengharaman

 17 – Sebahagian orang mengingkari kaedah ini dan menafikan ia sebahagian daripada ilmu usul fiqh. Pengingkaran ini menunjukkan kejahilan yang bersangatan dan akal yang sakit. Di sini akan disebutkan dalil-dalilnya yang diterangkan dari beberapa aspek:

Pertama: Terdapat tiga perkara yang menunjukkan pengharaman:

1 – Larangan. Seperti ayat berikut:

  وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَ

“Dan janganlah kamu menghampiri zina.” (Surah al-Isra’: Ayat 32)

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ

“Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah.” (Surah al-Baqarah: Ayat 188)

2 – Lafaz pengharaman, seperti:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ

“Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih).” (Surah al-Maidah: Ayat 3)

3 – Celaan terhadap perbuatannya atau janji seksaan terhadap pelakunya, seperti:

من غش فليس منا

“Sesiapa yang menipu maka dia bukan daripada kalangan kami.”

Al-Tark bukanlah salah satu daripada tiga perkara ini maka ia tidak menunjukkan pengharaman.

Kedua: Allah Ta’ala berfirman:

وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا

“Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangnya kamu melakukannya maka patuhilah larangannya.” (Surah al-Hasyr: Ayat 7) 

Allah tidak mengatakan: Apa yang ditinggalkannya maka jangan lakukannya.

Oleh itu al-Tark tidak menunjukkan pengharaman.

Ketiga: Sabda Nabi sallahu ‘alaihi wasallam:

وما أمرتكم به فَأْتُوا منه ما استطعتم، ما نهيتُكم عنه فاجتنبوه.

“Apa yang aku perintahkan maka lakukan semampu kamu dan apa yang aku larang maka jauhilah ia.”

Baginda tidak mengatakan: Apa yang aku tinggalkan maka jauhilah ia.

Lalu bagimana al-Tark boleh menunjukkan pengharaman?

Keempat: Ulama usul fiqh mentakrifkan sunnah sebagai ucapan Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam, perbuatannya dan pengakuannya. Mereka tidak mengatakan: Apa yang ditinggalkannya kerana ia bukan dalil.

Kelima: Telah lalu disebutkan bahawa hukum adalah khitab (firman) Allah. Ulama usul fiqh menyebutkan bahawa perkara yang menunjukkan akan khitab Allah adalah al-Quran, Sunnah, ijmak dan qiyas. Al-Tark bukan salah satu daripadanya maka ia bukan dalil.

Keenam: Telah lalu juga disebutkan bahawa al-Tark mempunyai beberapa kemungkinan selain daripada pengharaman. Kaedah usul fiqh menyebutkan: Sesuatu yang masuk di dalamnya kemungkinan maka gugurlah peranannya sebagai dalil. Bahkan telah lalu juga disebutkan bahawa tidak diriwayatkan bahawa Nabi sallahu ‘alaihi wasallam meninggalkan sesuatu kerana ia haram semata-mata. Ini sahaja sudah memadai untuk menunjukkan terbatalnya al-Tark sebagai hujah.

Ketujuh: Al-Tark itu adalah yang asal kerana ia bermaksud tidak melakukan sesuatu perbuatan. Sesuatu yang tidak ada (al-‘adam) adalah yang asal kerana perbuatan adalah sesuatu yang datang kemudian. Sesuatu yang asal tidak menunjukkan apa-apa pun sama ada dari segi bahasa mahupun syarak. Maka al-Tark tidak menunjukkan pengharaman.

Pendapat yang Tidak Tepat

18 – Ibnu al-Sam’ani menyebutkan:

“Apabila Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam meninggalkan sesuatu perkara maka wajib kita mengikutinya pada meninggalkannya. Dalilnya adalah apabila sahabat melihat Nabi sallahu ‘alaihi wasallam menahan tangannya daripada mengambil dhab sahabat juga berhenti dan menanyakan kepada baginda tentangnya.”

19 – Akan tetapi jawapan baginda sendiri bahawa dhab itu tidak haram menunjukkan apa yang baginda tinggalkan itu tidak haram. Maka hadis ini tidak menjadi hujah bagi pengharaman bahkan sebaliknya menjadi hujah ke atas orang yang mengharamkannya.

20 - Telah lalu juga disebutkan bahawa al-Tark mempunyai beberapa jenis kemungkinan. Bagaimana wajib untuk mengikuti baginda pada meninggalkan sesuatu perkara yang ada kemungkinan berlaku kerana adat, terlupa dan lain-lain sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini.

Pendalilan Ibnu Taimiyyah Dengan al-Tark dan Kritikan Ke Atas Beliau

21 – Beliau ditanya tentang orang yang berziarah ke kuburan dan meminta bantuan dengan penghuni kuburan tentang sakit yang dialaminya atau sakit yang menimpa kudanya dan untanya lalu orang tersebut meminta untuk dihilangkan sakit yang menimpa tersebut dan sebagainya.

22 – Beliau menjawab dengan jawapan yang panjang lebar dan antaranya ialah jawapan beliau:

“Tidak ada walaupun seorang pun daripada sahabat dan tabi’in yang melakukannya dan tidak ada seorang pun daripada kalangan imam-iman yang menyuruhnya.”

Maksud jawapan beliau tersebut ialah mereka tidak meminta doa daripada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam selepas kewafatan baginda sebagaimana mereka meminta kepadanya ketika baginda masih hidup.

23 -  Kritikan balas terhadap Ibnu Taimiyyah ini dapat diterangkan seperti berikut:

Para sahabat tidak melakukan sedemikian boleh jadi kerana mereka bersepakat yakni mereka bersepakat untuk tidak meminta doa daripada baginda selepas kewafatannya. Boleh jadi juga kerana perkara tersebut tidak harus di sisi mereka atau perkara tersebut harus tetapi ada perkara lain yang lebih afdal daripadanya maka mereka meninggalkannya kerana mengambil yang lebih afdal. Boleh jadi juga ada kemungkinan yang lain. Kaedah menyebutkan: Sesuatu yang masuk di dalamnya kemungkinan maka gugurlah peranannya sebagai dalil.

Bukti yang menguatkan fakta bahawa mereka tidak meninggalkan meminta doa daripada baginda selepas kewafatannya kerana keharamannya perkara tersebut  ialah seorang sahabat bernama Bilal bin al-Harith al-Muzani pada tahun kemarau telah pergi ke kubur Nabi sallahu ‘alaihi sallam dan berkata: “Wahai Rasulullah, mintalah hujan untuk umatmu.” Baginda datang dalam mimpinya lalu berkata: “Pergilah kepada Umar dan khabarkan kepadanya bahawa kamu semua akan diberikan hujan dan katakan kepadanya: Hendaklah kamu bijak (dalam mengurus rakyat).” Dikhabarkan kepada Umar tentang perkara tersebut lalu beliau menangis dan berkata:  "Ya Allah, aku akan kerahkan semua upayaku melainkan pada apa yang aku tidak mampu."

Umar tidak mencela apa yang dilakukan oleh Bilal bin al-Harith tersebut. Kalaulah perkara tersebut tidak harus di sisi para sahabat nescaya Umar akan mencelanya.

Hadis Sahih Tidak Bercangah Dengan Pandangan Ini

24 – Al-Bukhari menyebutkan dalam Sahihnya, bab mengikuti perbuatan Nabi sallahu ‘alaihi wasallam. Lalu meriwayatkan hadis daripada Ibnu Umar yang berkata:

“Nabi sallau ‘alaihi wasallam memakai cincin emas. Lalu orang ramai pun memakai cincin emas. Baginda bersabda: Aku memakai cincin emas. Lalu baginda menanggalkannya dan bersabda: Aku tidak akan memakainya selama-lamanya. Maka orang ramai pun menanggalkan cincin-cincin mereka.”

25 – Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani berkata:

“Al-Bukhari cukup membawakan hadis ini sebagai contoh kerana ia mengandungi pendirian sahabat yang mengikuti Nabi sallahu ‘alaihi wasallam dalam melakukan atau meninggalkan sesuatu perkara.”

Penjelasan beliau tentang al-Tark tersebut betul kerana menanggalkan cincin itu adalah perbuatan. Para sahabat mengikut beliau pada perbuatan dan al-Tark pula terbit daripada perbuatan itu.

26 – Begitu juga apabila baginda menanggalkan kasut baginda dalam solat maka orang ramai juga ikut menanggalkan kasut-kasut mereka. Mereka mengikuti baginda dalam perbuatan menanggalkan kasut. Ia adalah perbuatan yang hasilnya adalah al-Tark.

27 – Kita tidak mengingkari perbuatan mengikuti Nabi sallahu ‘alaihi wasallam pada setiap perkara yang dilakukan oleh baginda. Bahkan padanyalah ada kejayaan dan kebahagian di dunia dan akhirat. Tetapi setiap perkara yang tidak dilakukan oleh baginda seperti perayaan Maulidur Rasul dan malam Israk Mikraj, kita tidak mengatakannya sebagai haram kerana ia adalah satu kebohongan atas nama Allah kerana al-Tark tidak menunjukkan pengharaman.

28 – Begitu juga apabila golongan Salaf meninggalkan sesuatu perkara, yakni mereka tidak melakukan perkara tersebut maka ia tidak menunjukkan pengharaman. Imam al-Syafi’e berkata: “Setiap perkara yang mempunyai sandaran daripada syarak maka ia bukan bid’ah walaupun perkara tersebut tidak pernah dilakukan oleh generasi Salaf.” Ini kerana tindakan mereka yang tidak beramal dengannya boleh jadi kerana keuzuran yang ada pada waktu tersebut atau kerana ada perkara lain yang lebih afdal daripadanya atau kerana perkara tersebut tidak sampai ke pengetahuan mereka.

Apa Peranan al-Tark?

29 – Sebelum ini telah diterangkan bahawa al-Tark tidak menunjukkan pengharaman sebaliknya ia menunjukkan bahawa harus untuk meninggalkan perkara tersebut. Inilah yang disebutkan oleh ulama dalam kitab-kitab hadis.

30 – Abu Daud dan al-Nasa’ie meriwayatkan daripada Jabir, beliau berkata:

Perbuatan yang terakhir dari dua perbuatan Rasulullah SAW ialah meninggalkan berwuduk apabila memakan makanan yang dimasak dengan api.” 

Mereka meletakkan hadis ini di bawah tajuk: Meninggalkan wuduk apabila memakan makanan yang dimasak dengan api.

31 – Berdalilkan dengan hadis ini untuk tajuk tersebut adalah jelas kerana kalaulah berwuduk selepas memakan makanan yang dimasak dengan api itu wajib nescaya Nabi sallahu ‘alaihi wasallam tidak akan meninggalkannya. Oleh itu apabila baginda meninggalkannya maka ia menunjukkan bahawa ia tidak wajib.

32 – Imam Abu Abdillah al-Tilimsani menyebutkan dalam Miftah al-Wusul:

“Al-Tark juga mengikuti perbuatan (al-Fi’il) pada memberikan suatu petunjuk kerana sebagaimana perbuatan Nabi sallahu ‘alaihi wasallam menjadi petunjuk bukan pengharaman maka tinggalnya baginda akan sesuatu perkara menjadi petunjuk tidak wajib. Ini sebagaimana yang dipegang oleh ulama mazhab kami bahawa tidak wajib berwuduk apabila memakan makanan yang dimasak dengan api.

Diriwayatkan juga bahawa Nabi sallahu ‘alaihi wasallam memakan bahu kambing kemudian baginda solat tanpa berwuduk. Dan begitu juga sebagaimana sebahagian mereka (ulama) yang berhujah bahawa berbekam tidak membatalkan wuduk berdasarkan riwayat Nabi sallahu ‘alaihi wasallam berbekam dan baginda tidak berwuduk lalu baginda bersolat.”

Daripada sinilah muncul kaedah usul fiqh: Bolehnya meninggalkan sesuatu perkara menunjukkan ia tidak wajib.

Menghilangkan Keraguan

33 – Ulama membahagikan al-Tark kepada dua jenis:

Pertama: Perkara yang tidak ada keperluan untuk melakukannya pada zaman Nabi sallahu ‘alaihi wasallam kemudian ada keperluan untuk melakukannya selepas zaman baginda. Ini pada asalnya hukumnya adalah harus.

Kedua: Perkara yang ditinggalkan oleh Nabi sallahu ‘alaihi wasallam berserta wujudnya keperluan untuk melakukannya pada zaman baginda. Al-Tark jenis ini menunjukkan larangan untuk melakukan perkara yang ditinggalkan tersebut kerana kalaulah perkara tersebut ada kebaikannya dari segi syarak nescaya baginda akan melakukannya. Oleh kerana baginda tidak melakukannya maka ia menunjukkan perkara tersebut tidak harus untuk dilakukan.

Ibnu Taimiyyah memberikan contoh bagi al-Tark jenis ini dengan azan untuk solat dua hari raya yang baru diadakan oleh sebahagian pemerintah. Kata Ibnu Taimiyyah:

“Perbuatan seperti ini ditinggalkan oleh Nabi sallahu ‘alaihi wasallam berserta wujudnya keperluan untuk melakukannya yang mungkin akan digunakan sebagai dalil bagi orang yang baru mengadakannya kerana ia adalah zikir kepada Allah dan seruan kepada manusia untuk beribadah kepada Allah serta mereka mengiaskannya dengan azan solat Jumaat.

Bilamana Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam mengarahkan untuk azan solat Jumaat dan baginda solat dua hari raya tanpa azan dan iqamah maka perbuatan baginda yang meninggalkan azan tersebutlah merupakan yang sunnah. Maka tidak ada seorang pun yang boleh menambah perkara tersebut.”

34 – Al-Syatibi, Ibnu Hajar al-Haitami dan ulama-ulama lain juga berpendapat dengan pendapat yang sama. Mereka kesamaran antara masalah ini dengan masalah al-sukut fi maqam al-bayan (berdiam diri sedangkan ada keperluan untuk menerangkan).

35 – Benar, azan untuk solat dua hari raya adalah bidaah dan tidak disyariatkan tetapi bukan kerana Nabi sallahu ‘alaihi wasallam meninggalkannya sebaliknya kerana baginda telah menerangkan dalam hadis perkara yang perlu dilakukan pada dua hari raya dan baginda tidak menyebutkan tentang azan. Maka diamnya baginda daripada perkara tersebut menunjukkan bahawa ia tidak disyariatkan. Kaedah menyebutkan: Berdiam diri sedangkan ada keperluan untuk menerangkan menunjukkan pembatasan (الحصر).

36 – Ada beberapa hadis yang mengisyaratkan kepada kaedah ini bahawa dilarang untuk bertanya ketika Nabi sallahu ‘alaihi wasallam sedang menjelaskan sesuatu.

Pertama: Al-Bazzar meriwayatkan daripada Abu al-Darda’, beliau berkata: Nabi sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Apa yang dihalalkan oleh Allah dalam kitabNya maka ia adalah halal. Apa yang diharamkanNya maka ia haram. Apa yang didiamkanNya maka ia diberikan kelonggaran. Maka terimalah daripada Allah kelonggaranNya itu kerana sesungguhnya Allah tidak melupakan sesuatu apa pun.”

Kemudian baginda membaca:

وَمَا كَانَ رَبُّكَ نَسِيًّا

“Dan tiadalah Tuhanmu itu lupa.” (Surah Maryam, ayat 64)

Kata al-Bazzar: “Sanadnya baik.” Al-Hakim mensahihkannya.

Kedua: Al-Daraqutni meriwayatkan daripada Abu Tha’labah al-Khusyani daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam, baginda bersabda:

“Sesungguhnya Allah telah mewajibkan perkara-perkara yang fardu, maka janganlah kamu mengabaikannya. Dan Dia telah menetapkan sempadan, maka janganlah kamu melampauinya. Dan Dia telah mengharamkan beberapa perkara, maka janganlah kamu melakukannya. Dan Dia telah diam daripada (menerangkan hukum bagi) beberapa perkara kerana rahmatNya kepada kamu, dan bukan kerana lupa, maka janganlah kamu mencari-carinya."

37 – Dalam kedua hadis ini terdapat isyarat yang jelas tentang kaedah yang telah disebutkan sebelum ini dan ia bukanlah al-Tark yang kita sedang bincangkan ini. Maka tidak patut untuk mencampuradukkan antara keduanya.

Penyempurnaan

38 – Abdullah bin al-Mubarak meriwayatkan daripada Sallam bin Abu Muthi’ daripada  Ibnu Abi Dakhilah daripada bapanya, beliau berkata:

“Aku berada di sisi Ibnu Umar. Beliau berkata: Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam melarang kismis dan kurma (yakni mencampurkan kedua-duanya). Seorang lelaki di belakangku bertanya: Apa yang beliau ucapkan? Aku menjawab: Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam mengharamkan (mencampur) kismis dan kurma. Lalu Abdullah bin Umar berkata: Kamu silap. Aku bertanya: Bukankah kamu mengatakan Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam melarang perkara tersebut? Maka ia adalah haram.  Beliau berkata: Adakah kamu menyaksikan perkara tersebut?”

Sallam bin Abu Muthi’ berkata: “Seolah-olah Ibnu Umar mengatakan: Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam tidak melarang perkara tersebut sebaliknya ia termasuk dalam bab adab.”

39 – Lihat bagaimana Ibnu Umar (beliau salah seorang fuqaha di kalangan sahabat) menyalahkan pandangan orang yang menafsirkan larangan dengan maksud haram walaupun kebiasaannya larangan membawa maksud pengharaman. Tetapi dalam hadis tersebut tidak secara jelas menyebutkan pengharaman sebaliknya maksudnya adalah makruh. Ia adalah maksud ucapan Sallam tersebut: “Ia termasuk dalam bab adab.” Makna ucapan Ibnu Umar: Tidak harus bagi seorang Muslim untuk berani menghukum haram melainkan dengan dalil yang jelas daripada al-Quran dan Sunnah. Inilah jalan para sahabat, tabi’in dan para imam.

40 – Ibrahim al-Nakha’ie (seorang tabi’in) berkata: “Mereka (para sahabat) membenci beberapa perkara tetapi mereka tidak mengharamkannya.”

Begitu jugalah dengan Malik, al-Syafi’e dan Ahmad. Mereka menahan diri daripada mengungkapkan lafaz haram pada perkara yang mereka tidak yakin akan keharamannya kerana ada keraguan atau khilaf padanya. Bahkan mereka mengatakan: Aku membencinya. Dan mereka tidak menambah lebih daripada itu.

41 – Kadang-kala Imam al-Syafi’e berkata: “Aku bimbang perkara tersebut haram.” Beliau tidak secara pasti mengharamkannya kerana bimbang sekiranya beliau secara yakin mengharamkannya maka beliau akan termasuk dalam firman Allah:

وَلَا تَقُولُوا لِمَا تَصِفُ أَلْسِنَتُكُمُ الْكَذِبَ هَٰذَا حَلَالٌ وَهَٰذَا حَرَامٌ لِّتَفْتَرُوا عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ ۚ إِنَّ الَّذِينَ يَفْتَرُونَ عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ لَا يُفْلِحُونَ."

Dan janganlah kamu berdusta dengan sebab apa yang disifatkan oleh lidah kamu: "Ini halal dan ini haram", untuk mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah; sesungguhnya orang-orang yang berdusta terhadap Allah tidak akan berjaya.” (Surah al-Nahl, ayat 116)

42 – Bagaimana agaknya dengan mereka yang pada hari ini dengan yakinnya mengharamkan beberapa perkara berserta berlebih-lebihan mencelanya tanpa sebarang dalil melainkan dengan dakwaan bahawa Nabi sallahu ‘alaihi wasallam tidak melakukannya dan perkara ini langsung tidak menunjukkan hukum haram dan makruh. Maka mereka juga termasuk dalam ayat ini.

Contoh al-Tark

43 – Ini contoh beberapa perkara yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam:

1 – Sambutan Maulidur Rasul.

2 – Sambutan malam Israk dan Mikraj.

3 – Menghidupkan malam Nisfu Sya’ban.

4 – Mengiringi jenazah dengan bacaan zikir.

5 – Membaca al-Quran di rumah untuk si mati.

6 - Membaca al-Quran di kubur untuk si mati, sama ada sebelum pengebumian mahupun selepasnya.

7 – Solat Tarawih lebih daripada lapan rakaat.

44 – Sesiapa yang mengharamkan perkara ini dengan dakwaan bahawa Nabi sallahu ‘alaihi wasallam tidak pernah melakukannya, maka bacakan ayat ini kepadanya:

ءَآللَّهُ أَذِنَ لَكُمْ ۖ أَمْ عَلَى ٱللَّهِ تَفْتَرُونَ

"Adakah Allah izinkan bagi kamu berbuat demikian, atau kamu hanya mengada-adakan secara dusta terhadap Allah?"  (Surah Yunus, ayat 59).

45 – Tidak dikatakan: Harusnya perkara ini dan yang seumpama dengannya kerana ia termasuk dalam ayat-ayat al-Quran yang umum, sebaliknya kita katakan: Perkara yang tidak ada larangan padanya yang menunjukkan pengharamannya atau kemakruhannya maka hukum asalnya adalah harus sebagaimana sabda Nabi sallahu ‘alaihi wasallam:

“Apa yang didiamkanNya maka ia diberikan kelonggaran (yakni diharuskan).”

Rujukan:

Husn Al-Tafahhum Wa Al-Dark Li Mas'alah Al-Tark karangan Syeikh Abdullah bin al-Siddiq al-Ghumari.

Khamis, 15 September 2022

Status Hadis: Orang Berzina Dibuka 300 Ribu Pintu Neraka

 


“Siapa yang berzina dengan wanita Islam atau bukan Islam sama ada wanita merdeka atau hamba Allah Ta’ala akan buka 300 ribu pintu-pintu neraka. Untuknya di dalam kuburnya akan keluar dari pintu-pintu itu kala-kala jenngking, ular-ular dan bintang-bintang (meteor) dari api neraka. Maka dia akan terus diazab dengan seksaan itu sehingga ke hari kiamat.”

Ulasan:

1 – Hadis ini saya temui dalam video seorang pengguna Tiktok bernama Along Khair. Beliau menukilkan hadis ini daripada kitab al-Jawahir al-Lu’lu’iyyah Fi Syarah al-Arba’in al-Nawawiyyah (syarah hadis ke-14) karangan Syeikh Muhammad bin Abdullah al-Jurdani.

2 – Hadis ini telah diriwayatkan oleh Al-Harith bin Abi ‘Usamah dalam kitab Musnad al-Harith melalui sanad:

Daud bin al-Muhabbar daripada Maisarah bin ‘Abd Rabbih daripada Abi ‘Aisyah al-Sa’di daripada Yazid bin ‘Umar bin Abdul Aziz daripada Abi Salamah bin Abdul Rahman daripada Ibnu ‘Abbas dan Abu Hurairah daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam, dengan sebuah hadis yang sangat panjang sehingga mencapai beberapa buah muka surat, antaranya ialah hadis yang sedang dibincangkan ini, iaitu:

وَمن زنى بِامْرَأَة مسلمة أَو غير مَسْلَمَةٍ حُرَّةٍ أَوْ أُمَّةٍ فُتِحَ عَلَيْهِ فِي قَبره ثلاث مِائة أَلْفِ بَابٍ مِنْ نَارٍ وَيَخْرُجُ مِنْهَا حَيَّاتٌ وَعَقَارِبُ وشهب مِنَ النَّارِ فَهُوَ يُعَذَّبُ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ...

3 – Al-Hafiz al-Haithami dalam kitab Bughyah al-Bahith (1/353) berkata:

“Hadis ini palsu walaupun sebahagiannya terdapat dalam hadis-hadis (lain) yang berstatus baik tanpa melalui sanad ini kerana sesungguhnya Daud bin al-Muhabbar adalah seorang pendusta.”

Al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani dalam kitab al-Mathalib al-‘Aliyah (9/48) berkata:

“Hadis ini palsu dan yang dituduh memalsukannya ialah Maisarah bin ‘Abd Rabbih.”

4 - Hadis ini juga telah diriwayatkan oleh Ibnu al-Jauzi dalam kitab al-Maudhu’at (no. 1676) dengan lafaz yang sedikit berbeza melalui jalur sanad:

Muhammad bin al-Hasan bin Muhammad daripada Al-Hasan bin ‘Uthman bin Ziyad al-Qanthari daripada Muhammad bin Khirasy al-Balkhi daripada Aswad bin ‘Amir daripada Yazid bin Abdullah al-Hina’ie daripada Muhammad bin Amru bin ‘Alqamah daripada Umar bin Abdul Aziz daripada Abu Salamah bin Abdul Rahman daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam:

وَمَنْ زَنَا بِيَهُودِيَّةٍ أَوْ نَصْرَانِيَّةٍ أَوْ مَجُوسِيَّةٍ أَوْ مُسْلِمَةٍ حُرَّةً كَانَتْ أَوْ أَمَةً، فَتَحَ اللَّهُ عَلَيْهِ فِي قَبره ثَلَاثمِائَة أَلْفِ بَابٍ مِنْ جَهَنَّمَ...

“Sesiapa yang berzina dengan wanita Yahudi atau Nasrani atau Majusi atau Islam, merdeka mahupun hamba maka Allah akan membuka baginya di dalam kuburnya 300 ribu pintu neraka...”

5 – Ibnu al-Jauzi berkata:

“Hadis ini palsu. Adapun Muhammad bin Amru bin ‘Alqamah, Yahya berkata: Manusia (yakni ahli hadis) berterusan menolak hadisnya. Al-Sa’di berkata: Dia tidak kuat.

Muhammad bin Khirasy majhul (tidak dikenali).

Orang yang dituduh memalsukannya ialah al-Hasan bin ‘Uthman. Ibnu ‘Adi berkata: Dia memalsukan hadis. ‘Abdan berkata: Dia kaki menipu.

Muhammad bin al-Hasan tersebut ialah al-Naqqash. Thalhah bin Muhammad berkata: Al-Naqqash menipu.”

Penilaian Ibnu al-Jauzi tersebut turut diakui oleh al-Hafiz al-Suyuthi dalam al-Laali al-Masnu’ah (3/181-182) dan Ibnu ‘Arraq dalam Tanzih al-Syari’ah al-Marfu’ah (2/338).

6 – Rumusannya, hadis ini adalah hadis yang palsu sebagaimana yang telah dihukumkan oleh ahli hadis yang telah saya sebutkan di atas kerana ia telah diriwayatkan oleh perawi-perawi hadis yang terkenal sebagai seorang pendusta dan pemalsu hadis.

Oleh itu tidak boleh untuk diamalkan hadis ini dan dinisbahkan kepada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam. Begitu juga tidak boleh untuk disebarkan hadis ini melainkan untuk tujuan menyatakan kepalsuannya.

Khamis, 1 September 2022

Status Hadis: Perut Tempat Letak Penyakit

Nabi berkata: “Perut adalah tempat letaknya penyakit dan menahan nafsu daripada makan berlebihan adalah asas perubatan.”

Kata-kata yang disandarkan kepada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam ini saya temui dalam buku 365 Tip Sihat Gaya Rasulullah (hlm. 55) karangan Dr Mohammad Ali Toha.

Begitu juga disebutkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dengan terjemahan berikut:

"Perut manusia itu tempat segala penyakit manakala pencegahan itu pokok dari segala pengubatan."


Lafaznya dalam bahasa Arab ada pelbagai, antaranya:

1 - الْمعدة بَيت الدَّاء وَالْحمية رَأس كل دَوَاء.

2 - البطنة أصل الدَّاء وَالْحمية أصل الدَّوَاء.

3 - الْحِمْيَةُ رَأْسُ الدَّوَاءِ، وَالْمَعِدَةُ بَيْتُ الدَّاءِ.

Ucapan ini memang masyhur dinisbahkan kepada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam walaupun pada hakikatnya ia tidak benar disandarkan kepada baginda.

Pandangan Ahli Hadis Tentang Ucapan Ini

1 - Ibnu al-Jauzi (m. 597H) dalam Zad al-Masir (3/118, terbitan: al-Maktab al-Islami) mengatakan ia tidak sabit daripada Nabi sallahu 'alaihi wasallam.

2 - Ibnu Qayyim al-Jauziyyah (m. 751H) dalam Zad al-Ma'ad (4/146, terbitan: Dar 'Alim al-Fawaid) berkata:

"Hadis ini sebenarnya adalah kalam al-Harith bin Kaladah, tabib Arab. Tidak sahih menyandarkannya kepada Nabi sallahu 'alaihi wasallam. Telah mengatakan sedemikian beberapa orang daripada ahli hadis."

3 - Al-Hafiz Ibnu Rajab al-Hanbali (m. 795H) dalam Jami' al-'Ulum Wa al-Hikam (2/468, tahqiq: Syu'aib al-Arnauth) berkata: 

"Sebahagian mereka memarfu'kannya (menyandarkannya kepada Nabi sallahu 'alaihi wasallam) dan ia tidak sahih juga."

4 - Imam al-Zarkasyi (m. 794H) dalam al-Tazkirah Fi al-Ahadith al-Musytahirah (hlm. 145) berkata:

“Ini adalah ucapan doktor, sama ada ucapan al-Harith bin Kaladah atau selainnya. Tidak ada asal baginya daripada Nabi sallahu ‘alihi wasallam.”

5 - ِAl-Hafiz al-'Iraqi (m. 806H) dalam Takhrij al-Ihya' (no. 2776) berkata:

"Aku tidak mendapati asal usulnya (daripada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam)."

Beliau berkata lagi dalam Syarah al-Tabsirah Wa al-Tazkirah (1/315):

"Ini adalah daripada kalam sebahagian doktor dan tidak asal baginya daripada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam."

6 - Al-Hafiz Ibnu Hajar al-'Asqalani (m. 852H) dalam al-Kafi al-Syaf (hlm. 64) berkata:

"Aku tidak mendapatinya (yakni asal usulnya daripada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam)."

7 - Al-Hafiz al-Sakhawi (m. 902H) dalam al-Maqasid al-Hasanah (no. 1035) berkata:

“Tidak sahih memarfu’kannya (menyandarkannya) kepada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam. Bahkan ia adalah daripada kalam al-Harith bin Kaladah, tabib Arab atau selainnya.”

Siapakah al-Harith bin Kaladah?

Al-Harith bin Kaladah merupakan seorang tabib di kalangan bangsa Arab yang masyhur pada zamannya. Beliau berasal dari Taif dan pernah dua kali ke Parsi untuk mempelajari ilmu perubatan.

Beliau lahir sebelum zaman Islam dan hidup sehingga zaman Mu’awiyah. Ulama khilaf sama ada beliau memeluk Islam ataupun tidak. Antara ulama yang mengatakan bahawa beliau tidak memeluk Islam ialah Imam Ibnu Abi Hatim. Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam pernah menyuruh para sahabatnya yang sakit untuk berubat dengannya.

Status Hadis: Selawat 1000 Kali Berlaga Bahu Dengan Rasulullah Di Syurga

من صلى علي صلاة واحدة صلى الله عليه عشراً، ومن صلى علي عشراً صلى الله عليه مائة، ومن صلى علي مائة صلى الله عليه ألفا، ومن صلى علي ألفا زاحمت كتفه كتفي على باب الجنة

“Sesiapa yang berselawat ke atasku sebanyak sekali maka Allah akan berselawat ke atasnya sebanyak 10 kali.

Sesiapa yang berselawat ke atasku sebanyak 10 kali maka Allah akan berselawat keatasnya sebanyak 100 kali. Sesiapa yang berselawat ke atasku sebanyak 100 kali maka Allah akan berselawat keatasnya sebanyak 1000 kali.

Sesiapa yang berselawat ke atasku sebanyak 1000 kali maka akan berlaga bahunya dengan bahuku di depan pintu syurga.”

Ulasan:

1 - Hadis dengan lafaz yang panjang seperti ini menurut al-Hafiz al-Sakhawi dalam al-Qaul al-Badi’ (hlm. 241-242, tahqiq: Muhammad ‘Awwamah) telah disebutkan oleh pengarang kitab al-Dur al-Munazzam. Lalu kata al-Sakhawi:

“Aku tidak menjumpai sumber asalnya sehingga sekarang.”

Menurut Syeikh Muhammad ‘Awwamah, dalam sebahagian cetakan kitab al-Qaul al-Badi’ ada tambahan terhadap ucapan al-Hafiz al-Sakhawi tersebut iaitu:

“...dan aku mengira hadis ini palsu.”

Namun begitu ucapan ini tidak ada dalam 5 buah manuskrip yang digunakan oleh Syeikh Muhammad ‘Awwamah ketika mentahqiq kitab tersebut. Menurut beliau (hlm. 17), tambahan tersebut mungkin berasal daripada pembaca manuskrip tersebut yang menulisnya di bahagian tepi manuskrip tersebut. Lalu datang penyalin manuskrip yang lain lalu memasukkannya ke dalam nas kitab.

2 - Kitab al-Durr al-Munazzam yang dimaksudkan oleh al-Hafiz al-Sakhawi tersebut tajuk lengkapnya ialah al-Durr al-Munazzam Fi al-Maulid al-Mu’azzam karangan Abu al-Qasim al-Busti al-‘Azafi (m. 677 H). Kitab ini sebenarnya ditulis oleh bapa beliau namun bapanya meninggal sebelum sempat menyempurnakannya. Lalu beliau mengambil alih menyelesaikan kitab ini.

Al-Hafiz Al-Sakhawi dalam al-Qaul al-Badi’ banyak menukilkan hadis daripada kitab tersebut misalnya pada halaman 116-117, 263, 268 dan 276 tetapi semua hadis yang disebutkan oleh pengarangnya tidak ditemui sumber asalnya oleh al-Hafiz al-Sakhawi.

3 – Dua bahagian lafaz yang terkandung dalam hadis ini ada diriwayatkan dalam hadis yang lain.

Pertama:

"مَنْ صَلَّى عَلَيَّ وَاحِدَةً صَلَّى الله عَلَيْهِ عَشْرًا."

“Sesiapa yang berselawat ke atasku sebanyak sekali maka Allah akan berselawat ke atasnya sebanyak 10 kali.”

Hadis ini diriwayatkan oleh Muslim dalam Sahihnya (no. 408).

Kedua:

"من صلى علي عشرا صلى الله عليه مائه ومن صلى علي مائة صلى الله عليه ألف..."

“Sesiapa yang berselawat ke atasku sebanyak 10 kali maka Allah akan berselawat keatasnya sebanyak 100 kali. Sesiapa yang berselawat ke atasku sebanyak 100 kali maka Allah akan berselawat keatasnya sebanyak 1000 kali...”

Hadis ini menurut al-Hafiz al-Sakhawi dalam al-Qaul al-Badi’ (hlm. 232) telah diriwayatkan oleh Abu Musa al-Madini (m. 581 H). Lalu beliau menukilkan daripada al-Hafiz Mughlathai (m. 762 H) yang mengatakan bahawa sanadnya tidak ada masalah dengannya (لا بأس به).

4 - Kesimpulannya, bahagian pertama dan kedua hadis tersebut ada diriwayatkan dalam hadis yang lain berstatus sahih dan tidak ada masalah dengannya. Oleh itu bahagian tersebut boleh diamalkan serta disebarkan.

Manakala bahagian ketiga hadis tersebut tidak ditemui sumber asalnya sebagaimana kata al-Hafiz al-Sakhawi. Oleh yang demikian, bahagian tersebut tidak boleh dinisbahkan ucapan ini kepada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam serta tidak boleh  disebarkan.

Apabila seorang ahli hadis bertaraf al-Hafiz berkata bahawa dia tidak menemui sanad bagi sesuatu hadis itu maka sudah memadai untuk dinafikan kewujudan hadis tersebut. Ini sebagaimana yang telah disebutkan oleh al-Hafiz al-Sayuthi dalam Tadrib al-Rawi

“Jika seorang al-Hafiz al-Mutthali’ (yang luas telaahnya), al-Naqid (pakar hadis) berkata pada sesuatu hadis ‘aku tidak mengetahuinya’ dipegang pada perkataanya pada menafikannya (yakni dinafikan kewujudan hadis tersebut), sebagaimana yang disebutkan oleh Syeikh al-Islam (al-Hafiz Ibnu Hajar).”