Pendahuluan
1 – Dalil
yang dijadikan hujah oleh seluruh ulama Islam ialah al-Quran dan al-Sunnah dan
tidak ada khilaf di kalangan ulama tentang perkara tersebut.
2 – Para
ulama berkhilaf tentang berhujah dengan ijmak dan qiyas. Jumhur ulama
menjadikannya sebagai hujah dan pendapat ini yang rajih.
3 –
Terdapat dalil-dalil yang diperselisihkan di kalangan ulama empat mazhab iaitu
hadis mursal, pendapat sahabat, syariat umat sebelum kita, istishab,
istihsan dan amalan penduduk Madinah.
Apa Itu Hukum Syarak?
4 – Hukum
syarak adalah khitab (firman) Allah yang berkaitan dengan perbuatan mukallaf
dan ia terbahagi kepada lima bahagian:
i) Wajib
atau fardhu: Sesuatu yang diberi pahala bagi orang yang melakukannya dan
diazab orang yang meninggalkannya. Contoh: Solat, zakat, puasa bulan Ramadan
dan berbuat baik kepada ibu bapa.
ii) Haram: Sesuatu yang diazab bagi orang yang
melakukannya dan diberi pahala bagi orang yang meninggalkannya. Contoh: Riba,
zina, derhaka ibu bapa dan minum arak.
iii) Sunat:
Sesuatu yang diberi pahala bagi orang yang melakukannya dan tidak diazab orang
yang meninggalkannya. Contoh: Solat sunat.
iv) Makruh:
Sesuatu yang diberi pahala bagi orang yang meninggalkannya dan tidak diazab
orang yang melakukannya. Contoh: Solat sunat selepas subuh dan asar.
v) Harus
atau halal: Sesuatu yang tidak diberi pahala mahupun azab bagi orang yang
melakukannya mahupun meninggalkannya. Contoh: Makan makanan yang baik dan
berniaga.
5 – Ini
adalah jenis-jenis hukum yang berlegar di dalamnya fiqh Islam dan tidak harus
bagi seorang mujtahid sama ada daripada kalangan sahabat mahupun selainnya
untuk mengeluarkan hukum daripada hukum-hukum ini melainkan berpandukan dalil daripada
dalil-dalil yang disebutkan sebelum ini. Ini adalah perkara asas yang
diketahui dalam agama (ma’lum min al-din bi al-darurah) dan tidak perlu
lagi kepada penjelasan.
Apa itu al-Tark?
6 – Al-Tark
adalah sesuatu yang ditinggalkan oleh Nabi sallahu ‘alaihi wasallam dan
baginda tidak melakukannya atau ia ditinggalkan oleh golongan salafus soleh
tanpa adanya hadis atau athar yang melarang melakukan perbuatan tersebut
lalu menunjukkan perbuatan itu haram atau makruh.
7 – Ramai
di kalangan orang yang terkemudian (mutaakhirin) yang berdalilkan dengan
al-Tark untuk mengharamkan sesuatu perkara atau untuk mencelanya. Ibnu
Taimiyyah antara yang kerap menggunakannya serta berpegang dengannya dalam
beberapa isu yang nanti akan diterangkan.
Jenis al-Tark
8 – Apabila
Nabi sallahu ‘alaihi wasallam meninggalkan sesuatu maka ia mempunyai
beberapa kemungkinan selain kerana sesuatu itu haram:
i)
Meninggalkannya kerana adat:
Seekor dhab
panggang dihidangkan kepada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam. Baginda
menghulurkan tangan baginda yang mulia untuk memakannya. Lalu dikatakan kepada
baginda: “Itu adalah dhab.” Baginda tidak jadi untuk memakannya. Baginda
ditanya: “Adakah ia haram?” Baginda menjawab: “Tidak, tetapi ia tidak
terdapat di bumi kaumku. Aku merasa jijik dengannya.” Hadis ini terdapat
dalam al-Sahihain. Hadis ini
menunjukkan dua perkara:
a)
Perbuatan Nabi sallahu ‘alaihi wasallam yang meninggalkan sesuatu
walaupun pada mula baginda menerimanya tidak menunjukkan akan pengharamannya.
b)
Menganggap jijik sesuatu perkara tidak menunjukkan keharamannya.
ii)
Meninggalkannya kerana lupa:
Nabi sallahu
‘alaihi wasallam terlupa dalam solat sehingga baginda tertinggal rakaat
dalam solatnya. Baginda ditanya: “Adakah berlaku sesuatu dalam solat?”
Baginda menjawab: “Sesungguhnya aku juga manusia yang terlupa sebagaimana
kamu semua juga terlupa. Apabila aku terlupa maka ingatkan aku.”
iii)
Meninggalkannya kerana bimbang difardukan ke atas umatnya
Sepertimana
baginda meninggalkan solat Tarawih ketika mana para sahabat berkumpul untuk
solat Tarawih bersama baginda.
iv)
Meninggalkannya kerana baginda tidak pernah terfikir tentangnya dan tidak
pernah terlintas di fikiran baginda:
Nabi sallahu
‘alaihi wasallam menyampaikan khutbah dengan bersandar pada batang kurma.
Baginda tidak terfikir untuk membuat kursi untuk baginda berdiri di atasnya
ketika menyampaikan khutbah. Apabila baginda dicadangkan untuk dibuat mimbar
supaya dapat berkhutbah di atasnya baginda bersetuju dan memperakuinya kerana
ia lebih membantu untuk menyampaikan suara khutbah.
Para
sahabat juga mencadangkan supaya dibina untuk baginda suatu tempat duduk yang
dibuat daripada tanah supaya baginda dapat duduk di atasnya agar orang asing
yang datang dapat mengenali baginda.
v)
Meninggalkannya kerana ia termasuk dalam (perintah) al-Quran dan hadis yang
umum (yang dibenarkan melakukannya atau meninggalkannya):
Seperti
perbuatan baginda yang meninggalkan solat Dhuha dan banyak amalan sunat yang
lain kerana ia termasuk dalam firman Allah:
وَٱفْعَلُواْ ٱلْخَيْرَ
لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
“Kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu berjaya.”
(Surah al-Hajj: Ayat 77)
vi) Meninggalkan kerana bimbang hati sahabat akan
berubah:
Seperti perbuatan Nabi sallahu ‘alaihi wasallam yang
meninggalkan pengubahsuaian binaan Kaabah kerana ingin menjaga hati para sahabat
baginda di kalangan penduduk Mekah yang baru sahaja masuk Islam.
9 – Begitu juga ada kemungkinan-kemungkinan lain baginda
meninggalkan sesuatu perkara yang dapat diketahui bagi orang yang membaca
kitab-kitab Sunnah.
10 – Tidak ada langsung hadis mahupun athar yang
menunjukkan secara jelas bahawa baginda meninggalkan sesuatu perkara kerana perkara
tersebut haram semata-mata, bahkan ada sebab-sebab yang lain.
Al-Tark
Tidak Menunjukkan Pengharaman
11 – Al-Tark semata-mata tanpa disertai dalil yang
menunjukkan bahawa perkara yang ditinggalkan itu haram tidak menunjukkan
pengharaman. Bahkan sebaliknya menunjukkan bahawa bolehnya meninggalkan perkara
tersebut.
12 – Imam Abu Sa’id bin Lubb menyebutkan ketika mana beliau
mengkritik orang yang memakruhkan berdoa selepas solat:
“Hujah yang paling kuat yang dipegang oleh orang yang
mengingkari berdoa selepas solat adalah kerana perbuatan berterusan berdoa
selepas solat bukanlah daripada amalan golongan Salaf. Kalaulah benar penukilan
ini, maka al-Tark tersebut tidaklah lain melainkan menunjukkan bahawa harus
untuk meninggalkan perkara yang ditinggalkan tersebut dan tidak ada dosa
padanya. Adapun untuk mengharamkannya atau memakruhkannya maka tidak, apatah lagi
perkara tersebut mempunyai asas yang umum daripada syarak seperti doa.”
13 – Ibnu Hazm dalam al-Muhalla menyebutkan bahawa
ulama memakruhkan solat dua rakaat sebelum maghrib berdasarkan ucapan Ibrahim
al-Nakha’ie yang menyebutkan bahawa Abu Bakar, Umar dan Uthman tidak
melakukannya. Beliau menolak pendapat mereka dengan berkata:
“Kalaulah benar perkara tersebut maka ia tidak menjadi
hujah kerana mereka tidak melarang perkara tersebut.”
14 – Kata Ibnu Hazm lagi:
“Disebutkan daripada Ibnu Umar bahawa beliau berkata: Aku
tidak pernah melihat sesiapa pun yang solat dua rakaat tersebut.” Beliau
menolak pendapat tersebut dengan berkata: “Kalaulah benar perkara tersebut
maka ini juga tidak menunjukkan larangan untuk melakukannya.”
15 – Kata Ibnu Hazm dalam al-Muhalla berkenaan solat
dua rakaat selepas Asar:
“Adapun hadis Ali maka ia langsung tidak ada hujah
padanya kerana di dalamnya tidak ada apa melainkan pengkhabaran berdasarkan apa
yang diketahuinya bahawa beliau tidak pernah melihat Rasulullah sallahu ‘alihi
wasallam bersolat dua rakaat tersebut. Ini tidak menunjukkan larangan dan
makruh untuk melakukannya. Baginda tidak pernah puasa sunat secara penuh selama
sebulan melainkan pada bulan Ramadan. Ini tidak menunjukkan makruh untuk
berpuasa sunat selama sebulan penuh.”
16 – Nas-nas ini menunjukkan bahawa al-Tark tidak
menunjukkan kemakruhan apatah lagi keharaman.
Dalil-Dalil yang
Menunjukkan al-Tark Tidak Bermaksud Pengharaman
17 – Sebahagian orang
mengingkari kaedah ini dan menafikan ia sebahagian daripada ilmu usul fiqh.
Pengingkaran ini menunjukkan kejahilan yang bersangatan dan akal yang sakit. Di
sini akan disebutkan dalil-dalilnya yang diterangkan dari beberapa aspek:
Pertama: Terdapat tiga perkara yang menunjukkan
pengharaman:
1 – Larangan. Seperti ayat berikut:
وَلَا
تَقْرَبُوا الزِّنَ
“Dan janganlah kamu menghampiri zina.” (Surah al-Isra’:
Ayat 32)
وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم
بِالْبَاطِلِ
“Dan janganlah kamu makan (atau mengambil)
harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah.” (Surah
al-Baqarah: Ayat 188)
2 – Lafaz pengharaman,
seperti:
حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ
“Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai
(binatang yang tidak disembelih).” (Surah al-Maidah: Ayat
3)
3 – Celaan terhadap
perbuatannya atau janji seksaan terhadap pelakunya, seperti:
من غش فليس منا
“Sesiapa
yang menipu maka dia bukan daripada kalangan kami.”
Al-Tark bukanlah salah satu daripada tiga
perkara ini maka ia tidak menunjukkan pengharaman.
Kedua: Allah Ta’ala berfirman:
وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ
فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا
“Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah kepada kamu maka
terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangnya kamu melakukannya maka
patuhilah larangannya.” (Surah al-Hasyr: Ayat 7)
Allah tidak mengatakan: Apa yang ditinggalkannya maka jangan lakukannya.
Oleh itu al-Tark tidak menunjukkan pengharaman.
Ketiga: Sabda Nabi sallahu ‘alaihi wasallam:
وما أمرتكم به فَأْتُوا
منه ما استطعتم، ما نهيتُكم عنه فاجتنبوه.
“Apa yang
aku perintahkan maka lakukan semampu kamu dan apa yang aku larang maka jauhilah
ia.”
Baginda tidak
mengatakan: Apa yang aku tinggalkan maka jauhilah ia.
Lalu bagimana al-Tark
boleh menunjukkan pengharaman?
Keempat: Ulama usul fiqh mentakrifkan sunnah sebagai ucapan
Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam, perbuatannya dan pengakuannya.
Mereka tidak mengatakan: Apa yang ditinggalkannya kerana ia bukan dalil.
Kelima: Telah lalu disebutkan bahawa hukum adalah khitab
(firman) Allah. Ulama usul fiqh menyebutkan bahawa perkara yang menunjukkan
akan khitab Allah adalah al-Quran, Sunnah, ijmak dan qiyas. Al-Tark
bukan salah satu daripadanya maka ia bukan dalil.
Keenam: Telah lalu juga disebutkan bahawa al-Tark mempunyai
beberapa kemungkinan selain daripada pengharaman. Kaedah usul fiqh menyebutkan:
Sesuatu yang masuk di dalamnya kemungkinan maka gugurlah peranannya sebagai
dalil. Bahkan telah lalu juga disebutkan bahawa tidak diriwayatkan bahawa Nabi sallahu
‘alaihi wasallam meninggalkan sesuatu kerana ia haram semata-mata. Ini
sahaja sudah memadai untuk menunjukkan terbatalnya al-Tark sebagai
hujah.
Ketujuh: Al-Tark itu adalah yang asal kerana ia
bermaksud tidak melakukan sesuatu perbuatan. Sesuatu yang tidak ada (al-‘adam)
adalah yang asal kerana perbuatan adalah sesuatu yang datang kemudian. Sesuatu
yang asal tidak menunjukkan apa-apa pun sama ada dari segi bahasa mahupun
syarak. Maka al-Tark tidak menunjukkan pengharaman.
Pendapat yang Tidak Tepat
18 – Ibnu al-Sam’ani
menyebutkan:
“Apabila Rasulullah
sallahu ‘alaihi wasallam meninggalkan sesuatu perkara maka wajib kita
mengikutinya pada meninggalkannya. Dalilnya adalah apabila sahabat melihat Nabi
sallahu ‘alaihi wasallam menahan tangannya daripada mengambil dhab sahabat juga
berhenti dan menanyakan kepada baginda tentangnya.”
19 – Akan tetapi
jawapan baginda sendiri bahawa dhab itu tidak haram menunjukkan apa yang
baginda tinggalkan itu tidak haram. Maka hadis ini tidak menjadi hujah bagi
pengharaman bahkan sebaliknya menjadi hujah ke atas orang yang mengharamkannya.
20 - Telah lalu juga
disebutkan bahawa al-Tark mempunyai beberapa jenis kemungkinan.
Bagaimana wajib untuk mengikuti baginda pada meninggalkan sesuatu perkara yang
ada kemungkinan berlaku kerana adat, terlupa dan lain-lain sebagaimana yang telah
disebutkan sebelum ini.
Pendalilan Ibnu Taimiyyah Dengan al-Tark dan Kritikan Ke Atas Beliau
21 – Beliau ditanya
tentang orang yang berziarah ke kuburan dan meminta bantuan dengan penghuni
kuburan tentang sakit yang dialaminya atau sakit yang menimpa kudanya dan
untanya lalu orang tersebut meminta untuk dihilangkan sakit yang menimpa tersebut
dan sebagainya.
22 – Beliau menjawab
dengan jawapan yang panjang lebar dan antaranya ialah jawapan beliau:
“Tidak ada walaupun
seorang pun daripada sahabat dan tabi’in yang melakukannya dan tidak ada
seorang pun daripada kalangan imam-iman yang menyuruhnya.”
Maksud jawapan beliau
tersebut ialah mereka tidak meminta doa daripada Nabi sallahu ‘alaihi
wasallam selepas kewafatan baginda sebagaimana mereka meminta kepadanya
ketika baginda masih hidup.
23 - Kritikan balas terhadap Ibnu Taimiyyah ini
dapat diterangkan seperti berikut:
Para sahabat tidak
melakukan sedemikian boleh jadi kerana mereka bersepakat yakni mereka
bersepakat untuk tidak meminta doa daripada baginda selepas kewafatannya. Boleh
jadi juga kerana perkara tersebut tidak harus di sisi mereka atau perkara
tersebut harus tetapi ada perkara lain yang lebih afdal daripadanya maka mereka
meninggalkannya kerana mengambil yang lebih afdal. Boleh jadi juga ada
kemungkinan yang lain. Kaedah menyebutkan: Sesuatu yang masuk di dalamnya
kemungkinan maka gugurlah peranannya sebagai dalil.
Bukti yang menguatkan
fakta bahawa mereka tidak meninggalkan meminta doa daripada baginda selepas
kewafatannya kerana keharamannya perkara tersebut ialah seorang sahabat bernama Bilal bin al-Harith
al-Muzani pada tahun kemarau telah pergi ke kubur Nabi sallahu ‘alaihi
sallam dan berkata: “Wahai Rasulullah, mintalah hujan untuk
umatmu.” Baginda datang dalam mimpinya lalu berkata: “Pergilah kepada
Umar dan khabarkan kepadanya bahawa kamu semua akan diberikan hujan dan katakan
kepadanya: Hendaklah kamu bijak (dalam mengurus rakyat).” Dikhabarkan
kepada Umar tentang perkara tersebut lalu beliau menangis dan berkata: "Ya Allah, aku akan kerahkan semua
upayaku melainkan pada apa yang aku tidak mampu."
Umar tidak mencela apa
yang dilakukan oleh Bilal bin al-Harith tersebut. Kalaulah perkara tersebut
tidak harus di sisi para sahabat nescaya Umar akan mencelanya.
Hadis Sahih Tidak Bercangah Dengan Pandangan Ini
24 – Al-Bukhari
menyebutkan dalam Sahihnya, bab mengikuti perbuatan Nabi sallahu ‘alaihi
wasallam. Lalu meriwayatkan hadis daripada Ibnu Umar yang berkata:
“Nabi sallau ‘alaihi
wasallam memakai cincin emas. Lalu orang ramai pun memakai cincin emas. Baginda
bersabda: Aku memakai cincin emas. Lalu baginda menanggalkannya dan bersabda:
Aku tidak akan memakainya selama-lamanya. Maka orang ramai pun menanggalkan
cincin-cincin mereka.”
25 – Al-Hafiz Ibnu
Hajar al-Asqalani berkata:
“Al-Bukhari cukup
membawakan hadis ini sebagai contoh kerana ia mengandungi pendirian sahabat
yang mengikuti Nabi sallahu ‘alaihi wasallam dalam melakukan atau meninggalkan
sesuatu perkara.”
Penjelasan beliau
tentang al-Tark tersebut betul kerana menanggalkan cincin itu adalah
perbuatan. Para sahabat mengikut beliau pada perbuatan dan al-Tark pula
terbit daripada perbuatan itu.
26 – Begitu juga
apabila baginda menanggalkan kasut baginda dalam solat maka orang ramai juga
ikut menanggalkan kasut-kasut mereka. Mereka mengikuti baginda dalam perbuatan
menanggalkan kasut. Ia adalah perbuatan yang hasilnya adalah al-Tark.
27 – Kita tidak
mengingkari perbuatan mengikuti Nabi sallahu ‘alaihi wasallam pada
setiap perkara yang dilakukan oleh baginda. Bahkan padanyalah ada kejayaan dan
kebahagian di dunia dan akhirat. Tetapi setiap perkara yang tidak dilakukan
oleh baginda seperti perayaan Maulidur Rasul dan malam Israk Mikraj, kita tidak
mengatakannya sebagai haram kerana ia adalah satu kebohongan atas nama Allah
kerana al-Tark tidak menunjukkan pengharaman.
28 – Begitu juga
apabila golongan Salaf meninggalkan sesuatu perkara, yakni mereka tidak
melakukan perkara tersebut maka ia tidak menunjukkan pengharaman. Imam
al-Syafi’e berkata: “Setiap perkara yang mempunyai sandaran daripada syarak
maka ia bukan bid’ah walaupun perkara tersebut tidak pernah dilakukan oleh
generasi Salaf.” Ini kerana tindakan mereka yang tidak beramal dengannya
boleh jadi kerana keuzuran yang ada pada waktu tersebut atau kerana ada perkara
lain yang lebih afdal daripadanya atau kerana perkara tersebut tidak sampai ke
pengetahuan mereka.
Apa Peranan al-Tark?
29 – Sebelum ini telah
diterangkan bahawa al-Tark tidak menunjukkan pengharaman sebaliknya ia
menunjukkan bahawa harus untuk meninggalkan perkara tersebut. Inilah yang
disebutkan oleh ulama dalam kitab-kitab hadis.
30 – Abu Daud dan al-Nasa’ie
meriwayatkan daripada Jabir, beliau berkata:
“Perbuatan yang
terakhir dari dua perbuatan Rasulullah SAW ialah meninggalkan berwuduk apabila memakan
makanan yang dimasak dengan api.”
Mereka meletakkan hadis ini di bawah tajuk: Meninggalkan wuduk
apabila memakan makanan yang dimasak dengan api.
31 – Berdalilkan dengan
hadis ini untuk tajuk tersebut adalah jelas kerana kalaulah berwuduk selepas
memakan makanan yang dimasak dengan api itu wajib nescaya Nabi sallahu
‘alaihi wasallam tidak akan meninggalkannya. Oleh itu apabila baginda
meninggalkannya maka ia menunjukkan bahawa ia tidak wajib.
32 – Imam Abu Abdillah
al-Tilimsani menyebutkan dalam Miftah al-Wusul:
“Al-Tark juga
mengikuti perbuatan (al-Fi’il) pada memberikan suatu petunjuk kerana
sebagaimana perbuatan Nabi sallahu ‘alaihi wasallam menjadi petunjuk bukan
pengharaman maka tinggalnya baginda akan sesuatu perkara menjadi petunjuk tidak
wajib. Ini sebagaimana yang dipegang oleh ulama mazhab kami bahawa tidak wajib
berwuduk apabila memakan makanan yang dimasak dengan api.
Diriwayatkan juga
bahawa Nabi sallahu ‘alaihi wasallam memakan bahu kambing kemudian baginda
solat tanpa berwuduk. Dan begitu juga sebagaimana sebahagian mereka (ulama)
yang berhujah bahawa berbekam tidak membatalkan wuduk berdasarkan riwayat Nabi
sallahu ‘alaihi wasallam berbekam dan baginda tidak berwuduk lalu baginda
bersolat.”
Daripada sinilah
muncul kaedah usul fiqh: Bolehnya meninggalkan sesuatu perkara menunjukkan ia
tidak wajib.
Menghilangkan Keraguan
33 – Ulama
membahagikan al-Tark kepada dua jenis:
Pertama: Perkara yang tidak ada keperluan untuk melakukannya
pada zaman Nabi sallahu ‘alaihi wasallam kemudian ada keperluan untuk
melakukannya selepas zaman baginda. Ini pada asalnya hukumnya adalah harus.
Kedua: Perkara yang ditinggalkan oleh Nabi sallahu
‘alaihi wasallam berserta wujudnya keperluan untuk melakukannya pada zaman
baginda. Al-Tark jenis ini menunjukkan larangan untuk melakukan perkara
yang ditinggalkan tersebut kerana kalaulah perkara tersebut ada kebaikannya
dari segi syarak nescaya baginda akan melakukannya. Oleh kerana baginda tidak
melakukannya maka ia menunjukkan perkara tersebut tidak harus untuk dilakukan.
Ibnu Taimiyyah
memberikan contoh bagi al-Tark jenis ini dengan azan untuk solat dua
hari raya yang baru diadakan oleh sebahagian pemerintah. Kata Ibnu Taimiyyah:
“Perbuatan seperti ini
ditinggalkan oleh Nabi sallahu ‘alaihi wasallam berserta wujudnya keperluan
untuk melakukannya yang mungkin akan digunakan sebagai dalil bagi orang yang
baru mengadakannya kerana ia adalah zikir kepada Allah dan seruan kepada
manusia untuk beribadah kepada Allah serta mereka mengiaskannya dengan azan
solat Jumaat.
Bilamana Rasulullah
sallahu ‘alaihi wasallam mengarahkan untuk azan solat Jumaat dan baginda solat
dua hari raya tanpa azan dan iqamah maka perbuatan baginda yang meninggalkan
azan tersebutlah merupakan yang sunnah. Maka tidak ada seorang pun yang boleh
menambah perkara tersebut.”
34 – Al-Syatibi, Ibnu
Hajar al-Haitami dan ulama-ulama lain juga berpendapat dengan pendapat yang
sama. Mereka kesamaran antara masalah ini dengan masalah al-sukut fi maqam
al-bayan (berdiam diri sedangkan ada keperluan untuk menerangkan).
35 – Benar, azan untuk
solat dua hari raya adalah bidaah dan tidak disyariatkan tetapi bukan kerana
Nabi sallahu ‘alaihi wasallam meninggalkannya sebaliknya kerana baginda
telah menerangkan dalam hadis perkara yang perlu dilakukan pada dua hari raya
dan baginda tidak menyebutkan tentang azan. Maka diamnya baginda daripada
perkara tersebut menunjukkan bahawa ia tidak disyariatkan. Kaedah menyebutkan:
Berdiam diri sedangkan ada keperluan untuk menerangkan menunjukkan pembatasan (الحصر).
36 – Ada beberapa hadis yang
mengisyaratkan kepada kaedah ini bahawa dilarang untuk bertanya ketika Nabi sallahu
‘alaihi wasallam sedang menjelaskan sesuatu.
Pertama: Al-Bazzar meriwayatkan daripada Abu al-Darda’,
beliau berkata: Nabi sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Apa yang dihalalkan
oleh Allah dalam kitabNya maka ia adalah halal. Apa yang diharamkanNya maka ia
haram. Apa yang didiamkanNya maka ia diberikan kelonggaran. Maka terimalah
daripada Allah kelonggaranNya itu kerana sesungguhnya Allah tidak melupakan
sesuatu apa pun.”
Kemudian baginda
membaca:
وَمَا كَانَ رَبُّكَ نَسِيًّا
“Dan tiadalah Tuhanmu itu lupa.” (Surah Maryam, ayat 64)
Kata al-Bazzar: “Sanadnya
baik.” Al-Hakim mensahihkannya.
Kedua: Al-Daraqutni meriwayatkan daripada Abu Tha’labah
al-Khusyani daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam, baginda
bersabda:
“Sesungguhnya Allah
telah mewajibkan perkara-perkara yang fardu, maka janganlah kamu
mengabaikannya. Dan Dia telah menetapkan sempadan, maka janganlah kamu
melampauinya. Dan Dia telah mengharamkan beberapa perkara, maka janganlah kamu
melakukannya. Dan Dia telah diam daripada (menerangkan hukum bagi) beberapa
perkara kerana rahmatNya kepada kamu, dan bukan kerana lupa, maka janganlah
kamu mencari-carinya."
37 – Dalam kedua hadis
ini terdapat isyarat yang jelas tentang kaedah yang telah disebutkan sebelum
ini dan ia bukanlah al-Tark yang kita sedang bincangkan ini. Maka tidak
patut untuk mencampuradukkan antara keduanya.
Penyempurnaan
38 – Abdullah bin
al-Mubarak meriwayatkan daripada Sallam bin Abu Muthi’ daripada Ibnu Abi Dakhilah daripada bapanya, beliau
berkata:
“Aku berada di sisi
Ibnu Umar. Beliau berkata: Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam melarang kismis
dan kurma (yakni mencampurkan kedua-duanya). Seorang lelaki di belakangku
bertanya: Apa yang beliau ucapkan? Aku menjawab: Rasulullah sallahu ‘alaihi
wasallam mengharamkan (mencampur) kismis dan kurma. Lalu Abdullah bin Umar
berkata: Kamu silap. Aku bertanya: Bukankah kamu mengatakan Rasulullah sallahu
‘alaihi wasallam melarang perkara tersebut? Maka ia adalah haram. Beliau berkata: Adakah kamu menyaksikan perkara
tersebut?”
Sallam bin Abu Muthi’
berkata: “Seolah-olah Ibnu Umar mengatakan: Rasulullah sallahu ‘alaihi
wasallam tidak melarang perkara tersebut sebaliknya ia termasuk dalam bab adab.”
39 – Lihat bagaimana
Ibnu Umar (beliau salah seorang fuqaha di kalangan sahabat) menyalahkan
pandangan orang yang menafsirkan larangan dengan maksud haram walaupun
kebiasaannya larangan membawa maksud pengharaman. Tetapi dalam hadis tersebut
tidak secara jelas menyebutkan pengharaman sebaliknya maksudnya adalah makruh.
Ia adalah maksud ucapan Sallam tersebut: “Ia termasuk dalam bab adab.” Makna
ucapan Ibnu Umar: Tidak harus bagi seorang Muslim untuk berani menghukum haram
melainkan dengan dalil yang jelas daripada al-Quran dan Sunnah. Inilah jalan
para sahabat, tabi’in dan para imam.
40 – Ibrahim al-Nakha’ie
(seorang tabi’in) berkata: “Mereka (para sahabat) membenci beberapa perkara
tetapi mereka tidak mengharamkannya.”
Begitu jugalah dengan
Malik, al-Syafi’e dan Ahmad. Mereka menahan diri daripada mengungkapkan lafaz
haram pada perkara yang mereka tidak yakin akan keharamannya kerana ada
keraguan atau khilaf padanya. Bahkan mereka mengatakan: Aku membencinya. Dan
mereka tidak menambah lebih daripada itu.
41 – Kadang-kala Imam
al-Syafi’e berkata: “Aku bimbang perkara tersebut haram.” Beliau tidak
secara pasti mengharamkannya kerana bimbang sekiranya beliau secara yakin
mengharamkannya maka beliau akan termasuk dalam firman Allah:
وَلَا تَقُولُوا لِمَا
تَصِفُ أَلْسِنَتُكُمُ الْكَذِبَ هَٰذَا حَلَالٌ وَهَٰذَا حَرَامٌ لِّتَفْتَرُوا
عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ ۚ إِنَّ الَّذِينَ يَفْتَرُونَ عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ
لَا يُفْلِحُونَ."
“Dan
janganlah kamu berdusta dengan sebab apa yang disifatkan oleh lidah kamu:
"Ini halal dan ini haram", untuk mengada-adakan sesuatu yang dusta
terhadap Allah; sesungguhnya orang-orang yang berdusta terhadap Allah tidak
akan berjaya.” (Surah al-Nahl, ayat 116)
42 – Bagaimana agaknya dengan mereka yang pada hari ini dengan
yakinnya mengharamkan beberapa perkara berserta berlebih-lebihan mencelanya
tanpa sebarang dalil melainkan dengan dakwaan bahawa Nabi sallahu ‘alaihi
wasallam tidak melakukannya dan perkara ini langsung tidak menunjukkan
hukum haram dan makruh. Maka mereka juga termasuk dalam ayat ini.
Contoh
al-Tark
43 – Ini contoh beberapa perkara yang tidak pernah dilakukan oleh
Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam:
1 – Sambutan Maulidur Rasul.
2 – Sambutan malam Israk dan Mikraj.
3 – Menghidupkan malam Nisfu Sya’ban.
4 – Mengiringi jenazah dengan bacaan zikir.
5 – Membaca al-Quran di rumah untuk si mati.
6 - Membaca al-Quran di kubur untuk si mati, sama ada sebelum
pengebumian mahupun selepasnya.
7 – Solat Tarawih lebih daripada lapan rakaat.
44 – Sesiapa yang mengharamkan perkara ini dengan dakwaan bahawa
Nabi sallahu ‘alaihi wasallam tidak pernah melakukannya, maka bacakan
ayat ini kepadanya:
ءَآللَّهُ أَذِنَ لَكُمْ
ۖ أَمْ عَلَى ٱللَّهِ تَفْتَرُونَ
"Adakah Allah izinkan bagi kamu
berbuat demikian, atau kamu hanya mengada-adakan secara dusta terhadap
Allah?" (Surah Yunus, ayat 59).
45 – Tidak dikatakan: Harusnya perkara ini dan yang seumpama
dengannya kerana ia termasuk dalam ayat-ayat al-Quran yang umum, sebaliknya
kita katakan: Perkara yang tidak ada larangan padanya yang menunjukkan
pengharamannya atau kemakruhannya maka hukum asalnya adalah harus sebagaimana
sabda Nabi sallahu ‘alaihi wasallam:
“Apa yang didiamkanNya
maka ia diberikan kelonggaran (yakni diharuskan).”
Rujukan:
Husn Al-Tafahhum Wa Al-Dark Li Mas'alah Al-Tark karangan Syeikh Abdullah bin al-Siddiq al-Ghumari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan