Ahad, 29 Januari 2023

Status Hadis: Doa Agar Dikurnai Anak Laki-Laki

Dari RasūliLlāh, seseorang yang menghendaki istrinya melahirkan anak laki-laki, hendaknya ia meletakkan tangannya pada perut istrinya di awal kehamilannya, dan membaca do'a ini :

 بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ اللَّهُمَّ إنِّي أُسَمِّي مَا فِي بَطْنِهَا محمدا فَاجْعَلْهُ لِي ذَكَرًا

"Bismi-Llāhi-r Rahmāni-r Rahīm.

Ya Allāh, sesungguhnya bayi yang ada di perutnya (ini) akan aku beri nama "Muhammad", maka jadikan ia untukku  laki-laki",

...maka bayi yang ada di perut istrinya akan lahir sebagai laki-laki, in syā Allāh.

Ulasan:

1 – Riwayat ini telah disebutkan oleh al-Bujairimi dalam Hashiyyah al-Bujairimi ‘Ala Syarah al-Khatib ‘Ala Abi Syuja’ (jil. 1, hlm. 352, terbitan: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah). Al-Bujairmi tidak menyebutkan sumber rujukan bagi hadis ini.

2 - Tidak ditemui sumber asal bagi riwayat ini dalam mana-mana rujukan hadis bersanad. Sesuatu hadis perlu dibuktikan kewujudannya dalam kitab-kitab hadis bersanad. Jika tidak dapat dibuktikan maka ia dianggap sebagai riwayat yang tidak ada asal baginya (la asla lahu). Ini adalah disiplin yang perlu dipatuhi di sisi ulama hadis. Kewujudannya dalam kitab Hashiyyah al-Bujairimi adalah tidak memadai kerana kitab Hashiyyah al-Bujairimi bukanlah rujukan asli hadis yang bersanad.

3 – Dakwaan bahawa hadis ini benar berdasarkan tajribah (pengalaman atau ujikaji) juga tidak dapat diterima di sisi ahli hadis kerana ahli hadis menilai kebenaran sesuatu hadis berdasarkan penilaian sanad dan matannya. Kebenaran matannya tidak memestikan ia diucapkan oleh Nabi sallahu ‘alihi wasallam walaupun semua yang baginda ucapkan adalah benar. Tambahan lagi tidak ditemui sanad bagi riwayat ini.

4 – Baca tulisan saya sebelum ini berkenaan peringatan Imam Muhammad Abdul Hayy al-Laknawi bahawa bukan semua hadis-hadis dalam kitab fiqh dapat dipegang secara pasti:

Bukan semua hadis yang disebutkan dalam kitab-kitab fiqh dapat dipegang

 

 

Status Hadis: Syurga Merindukan Empat Golongan

الْجَنَّةُ مُشْتَاقَةٌ اِلَى أَرْبَعَةِ نَفَرٍ: تَالِى الْقُرْانِ، وَحَافِظِ اللِّسَانِ، وَمُطْعِمِ الْجِيْعَانِ، وَصَائِمٍ فِى شَهْرِ رَمَضَانَ.

“Syurga merindukan empat golongan; Orang yang membaca al-Quran, yang menjaga lisan, pemberi makan orang lapar, dan yang berpuasa di bulan Ramadan.”

Ulasan:

1 – Riwayat ini disebutkan oleh al-Khubawi dalam Durrah al-Nasihin (Majlis pertama: Kelebihan bulan Ramadan, hlm. 8, terbitan: Dar Ihya’ al-Kutub al-‘Arabiyyah). Beliau menukilkan daripada kitab Raunaq al-Majalis.

2 – Kitab Raunaq al-Majalis tersebut telah disebutkan oleh Haji Khalifah dalam Kasyf al-Zunun (jil. 4, hlm. 264, terbitan: Muassasah al-Furqan). Menurut Haji Khalifah, pengarang kitab ini adalah Abu Hafs Umar bin Abdullah/al-Hasan al-Naisaburi al-Samarqandi. Kitab ini mempunyai 22 bab dan pada setiap bab mengandungi 10 buah hikayat atau cerita. Menurut Isma’il Basya al-Baghdadi dalam Hadiyyah al-‘Arifin (jil 1, hlm. 793, terbitan: Muassasah al-Tarikh al-'Arabi), Abu Hafs al-Samarqandi ini meninggal dunia sekitar tahun 840 Hijrah.

3 – Menurut Dr Ahmad Lutfi dalam Nilai Hadis Dalam Durrat al-Nasihin (hlm. 185, terbitan: Penerbit UKM), hadis ini belum dapat dikesan perawinya. Selain itu, kitab Raunaq al-Majalis yang menjadi rujukan al-Khubawi adalah kitab cerita/hikayat. Oleh kerana itu hadis ini kemungkinan hanya buatan tukang cerita.  Keempat-empat golongan yang dikatakan dalam hadis ini sebagai dirindui oleh syurga adalah benar-benar termasuk ahli syurga, tetapi apakah syurga itu merinduinya atau tidak, belum dapat dikesan hadis yang mengisyaratkan ke arah ini. Hadis seperti ini lebih mendekati palsu.

4 – Oleh itu tidak harus disebarkan riwayat ini dan dinisbahkan kepada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam.