عَنْ حَبِيبِ بْنِ أَبِي ثَابِتٍ، عَنْ عُرْوَةَ، عَنْ عَائِشَةَ، عَنِ النَّبِيِّ ﷺ أَنَّهُ قَبَّلَ بَعْضَ نِسَائِهِ، ثُمَّ خَرَجَ إِلَى الصَّلَاةِ وَلَمْ يَتَوَضَّأْ. فَقُلْتُ: مَنْ هِيَ إِلَّا أَنْتِ، فَضَحِكَتْ.
Diriwayatkan daripada Habib bin Abi Thabit, daripada 'Urwah, daripada 'Aisyah radhiyallahu 'anha bahawa Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam telah mencium sebahagian isteri-isterinya, kemudian baginda keluar untuk menunaikan solat, dan tidak berwuduk (semula).
'Urwah berkata: Aku bertanya kepada 'Aisyah: “Siapakah dia
(isteri itu) kalau bukan engkau?”
Lalu Aisyah tertawa.
Sumber Hadis:
Hadis ini telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Abu Daud, Ibnu
Majah, al-Tirmizi, al-Nasa’i dan lain-lain.
Ulasan:
1 – Hadis ini secara zahirnya dilihat bertentangan dengan mazhab
al-Syafi’i yang berpendapat bahawa menyetuh wanita bukan mahram tanpa lapik
akan membatalkan wuduk.
2 – Mazhab al-Syafi’i berpendapat bahawa ciuman dan sentuhan
seorang lelaki terhadap wanita ajnabiyyah (bukan mahram) membatalkan
wuduk, walau bagaimana pun sentuhan itu sama ada dengan syahwat atau tidak.
Mereka berdalilkan ayat:
أَوْ لَامَسْتُمُ النِّسَاءَ
“…atau kamu menyentuh perempuan…” (al-Maidah: ayat 5)
Mereka menafsirkan mulamasah (sentuhan) itu dengan
makna hakikinya, bukan persetubuhan. Maka ayat itu telah menyatakan dengan
jelas bahawa sentuhan adalah sebahagian daripada perkara yang menyebabkan hadas,
dan ia adalah sentuhan tangan secara hakiki. Sama ada yang menyentuh itu lelaki
atau perempuan, maka batallah wuduk setiap seorang daripada mereka berdua.
3 – Mazhab al-Syafi’i tidak beramal dengan hadis 'Aisyah ini
kerana keadaan sanadnya di sisi mereka dan pandangan mereka mengenainya.
Imam al-Nawawi berkata dalam kitab al-Majmu’: “Adapun
jawapan terhadap hujah mereka dengan hadis Habib bin Abi Thabit adalah dari dua
sudut: yang terbaik dan yang paling masyhur di antara keduanya ialah bahawa ia
adalah hadis daif dengan kesepakatan para Huffaz (ahli hadis terkemuka).
Antara mereka yang telah melemahkannya ialah Sufyan
al-Thawri, Yahya bin Sa'id al-Qattan, Ahmad bin Hanbal, Abu Dawud, Abu Bakr
al-Naisaburi, Abu al-Hasan al-Daraqutni, Abu Bakr al-Baihaqi, dan lain-lain
daripada kalangan ulama terdahulu dan terkemudian.”
Ahli hadis lain yang turut mendaifkan hadis ini ialah al-Bukhari,
Abu Zur'ah, Abu Hatim, dan al-Tirmizi.
4 - Hadis ini mempunyai beberapa kelemahan:
Pertama: Penggunaan lafaz 'an'anah (tidak
menyatakan mendengar hadis secara langsung sebaliknya hanya menyatakan ‘daripada’)
oleh Habib bin Abi Thabit, dan beliau adalah seorang mudallis (perawi
yang melakukan tadlis/menyembunyikan kecacatan sanad) yang banyak melakukannya.
Beliau telah disenaraikan dalam kalangan mudallisin
oleh al-Zahabi, al-'Ala'i, al-Maqdisi, al-Halabi, dan Ibn Hajar.
Dalam kitab Taqrib al-Tahzib dinyatakan beliau
seorang yang thiqah (dipercayai), faqih (ahli fiqh), lagi
disegani, tetapi beliau banyak melakukan irsal (menggugurkan sahabat
dari sanad) dan tadlis.
Kedua: Terdapat perselisihan pendapat dalam menentukan siapakah 'Urwah, adakah beliau Ibn al-Zubair atau al-Muzani?
Jika beliau 'Urwah al-Muzani, maka jadilah beliau seorang
yang majhul (tidak dikenali), atau jika beliau ialah Ibn al-Zubair, maka
jadilah sanadnya munqati' (terputus) kerana Habib tidak pernah mendengar
apa-apa hadis pun daripada 'Urwah bin al-Zubair.
Ketiga: Percanggahan pada matan kerana sesungguhnya
hadis 'Urwah daripada 'Aisyah sebenarnya adalah mengenai ciuman bagi orang yang
berpuasa, dan bukannya mengenai tidak mengambil wuduk semula selepas mencium.
Begitulah yang diriwayatkan oleh Hisyam bin 'Urwah, daripada bapanya, daripada
'Aisyah
5 – Sebahagian ulama berpandangan bahawa jika hadis ini
sahih sekalipun tindakan baginda tersebut adalah sebelum turunnya ayat al-Quran
yang menyuruh berwuduk selepas menyentuh wanita bukan mahram.
Ibn Hazm dalam kitab al-Muhalla berkata: “Tidak ada
apa-apa pun yang sahih dalam bab ini. Jika ia sahih sekalipun, maka ia difahami
merujuk kepada keadaan sebelum turunnya (hukum) wuduk disebabkan sentuhan.”
Kesimpulan:
1 - Hadis ini tidak kuat dari segi sanad dan matan dan telah
didaifkan oleh sekumpulan besar ahli hadis.
2 - Mazhab al-Syafi’i tetap berpegang bahawa menyentuh
wanita ajnabiyyah membatalkan wuduk.
3 - Tindakan Nabi sallahu ‘alaihi wasallam dalam hadis ini tidak boleh dijadikan hujah yang kukuh kerana kelemahan sanadnya dan kemungkinan berlaku sebelum turunnya hukum yang memansuhkannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan