Ahad, 19 Oktober 2025

Mendidik Anak Dengan Rotan dan Pukulan

Diriwayatkan oleh Abu Daud dan al-Hakim daripada Amru bin Syuaib, daripada ayahnya, daripada datuknya, bahawa Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Suruhlah anak-anak kamu menunaikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun, dan pukulah mereka (kerana meninggalkannya) ketika mereka berumur sepuluh tahun, serta pisahkanlah tempat tidur mereka.”

Dalam Surah An-Nisa’: “Dan wanita-wanita yang kamu bimbangi akan nusyuz mereka, maka nasihatilah mereka, dan pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan pukulah mereka. Kemudian jika mereka mentaati kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka.”

Syeikh Abdullah Nasir ‘Ulwan menyebutkan dalam kitab Tarbiyah al-Aulad Fi al-Islam:

“Saya berpendapat bahawa hukuman dengan pukulan adalah perkara yang diakui oleh Islam, dan ia datang pada peringkat terakhir selepas nasihat dan pemulauan (di tempat tidur).

Susunan ini memberi faedah bahawa seorang pendidik tidak boleh beralih kepada cara yang lebih keras sekiranya cara yang lebih ringan masih berkesan, agar pukulan itu menjadi hukuman yang paling keras secara mutlak, dan tidak boleh menggunakannya melainkan setelah putus asa daripada setiap cara pembetulan dan pemulihan!

Perlu diketahui bahawa Baginda sallahu ‘alaihi wasallam tidak pernah memukul seorang pun daripada isteri-isterinya sama sekali.

Akan tetapi, Islam apabila ia mengiktiraf hukuman pukulan ia telah mengelilingi hukuman ini dengan batasan dan syarat supaya pukulan itu tidak terkeluar daripada tujuan pencegahan dan pemulihan kepada tujuan melepaskan geram dan dendam!

Syarat-syarat bagi hukuman melalui pukulan ini adalah seperti berikut:

1 - Pendidik tidak boleh beralih kepada pukulan melainkan setelah habis menggunakan semua cara-cara pendidikan dan pencegahan lain yang ada.

2 - Tidak memukul dalam keadaan marah yang teruk kerana bimbang akan mencederakan anak, dengan berpegang kepada wasiat Nabi sallahu ‘alaihi wasallam: “Janganlah kamu marah” seperti yang diriwayatkan oleh al-Bukhari.

3 - Hendaklah mengelakkan pukulan pada tempat-tempat yang mencederakan (sensitif) seperti kepala, muka, dada, dan perut berdasarkan sabda Baginda sallahu ‘alaihi wasallam (seperti yang diriwayatkan oleh Abu Daud): “...dan janganlah pukul di muka...”, dan apa yang menguatkan larangan ini adalah bahawa Nabi sallahu ‘alaihi wasallam ketika memerintahkan rejam ke atas wanita al-Ghamidiyyah, baginda mengambil batu kerikil seperti kacang kuda lalu melontarnya, kemudian baginda bersabda kepada orang ramai: "Rejamlah dia dan elakkanlah muka..."

Sekiranya baginda melarang memukul muka dalam hukuman rejam yang padanya terdapat pemusnahan dan kebinasaan jiwa, maka memukul muka dalam keadaan yang tidak melibatkan pemusnahan jiwa seperti hukuman ta'zir dan pendidikan adalah dilarang secara lebih utama lagi kerana muka atau kepala adalah tempat terletaknya pancaindera, dan pukulan padanya boleh menghilangkan sebahagian pancaindera, dan ia dikira sebagai menyakiti dan merosakkan.

Adapun pukulan pada dada atau perut, maka ia juga dilarang kerana ia membawa kepada kemudaratan yang besar yang kadang-kadang boleh membawa kepada kematian, dan larangan ini termasuk di bawah keumuman sabda baginda sallahu ‘alaihi wasallam: “Tidak boleh melakukan kemudaratan dan tidak boleh membalas kemudaratan.”

4 - Hendaklah pukulan pada kali pertama hukuman itu tidak keras dan tidak menyakitkan, dan hendaklah dilakukan pada tangan atau kaki dengan rotan yang tidak tebal.

Hendaklah pukulan itu berjumlah dari satu hingga tiga sekiranya anak itu belum baligh.

Sekiranya anak itu menghampiri usia baligh dan seorang pendidik berpendapat bahawa tiga pukulan tidak mencegah anak itu (daripada mengulangi kesalahannya), maka dia boleh menambah sehingga sepuluh berdasarkan sabda baginda sallahu ‘alaihi wasallam: “Tidak boleh seseorang menyebat lebih daripada sepuluh sebatan melainkan pada salah satu had (hukuman) daripada had-had Allah Taala.”

5 - Jangan memukul kanak-kanak sebelum dia mencapai umur sepuluh tahun berdasarkan hadis yang telah dijelaskan sebelumnya: “Suruhlah anak-anak kamu menunaikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun, dan pukulah mereka (kerana meninggalkannya) ketika mereka berumur sepuluh tahun.”

6 - Sekiranya kesilapan itu berlaku daripada anak buat kali pertama, maka hendaklah diberi peluang kepadanya untuk menyesali daripada apa yang telah dilakukannya, dan memohon maaf atas apa yang telah diperbuatnya, dan diberi ruang kepadanya untuk mendapatkan orang tengah agar mereka dapat menghalang perlaksanaan hukuman berserta membuat perjanjian daripadanya supaya dia tidak kembali melakukan kesilapan buat kali kedua. Ini adalah lebih baik daripada terus beralih kepada pukulan atau mendedahkannya di hadapan orang ramai.

7 - Hendaklah pendidik itu sendiri yang memukul anak itu, dan tidak menyerahkan urusan ini kepada sesiapa pun daripada kalangan saudara-saudaranya, atau rakan-rakannya supaya tidak menyemarakkan api dendam kesumat dan pertelingkahan di antara mereka.

8 - Apabila anak menghampiri usia baligh dan ihtilam (keluar mani), dan pendidik melihat bahawa sepuluh pukulan tidak mencukupi untuk mencegahnya, maka dia boleh menambah, boleh memberi kesan sakit, dan boleh mengulanginya sehinggalah dia melihat anak itu telah lurus di atas jalan yang benar, dan berjalan dalam kehidupan di atas petunjuk dan jalan yang lurus.

Daripada ini, jelaslah bahawa pendidikan Islam telah memberikan perhatian yang sangat mendalam terhadap persoalan hukuman, sama ada ia hukuman berbentuk maknawi mahupun fizikal.

Hukuman ini telah dibatasi oleh pelbagai syarat dan sekatan, maka para pendidik tidak boleh melampauinya dan tidak boleh mengabaikannya, jika mereka inginkan pendidikan yang terbaik untuk anak-anak mereka, dan pembaharuan yang agung untuk generasi mereka.

Alangkah berjayanya dan bijaksananya seorang pendidik apabila dia meletakkan hukuman pada tempatnya yang sesuai, sebagaimana dia meletakkan kelembutan dan kelunakan di tempat yang sewajarnya?

Alangkah bodoh dan jahilnya seorang pendidik apabila dia bersikap lemah lembut di tempat yang memerlukan ketegasan dan ketetapan hati, dan bersikap keras di tempat-tempat yang memerlukan belas kasihan dan kemaafan?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan