Isnin, 13 Oktober 2025

Penulisan Hadis Di Zaman Nabi

Penumpuan Para Sahabat terhadap al-Quran al-Karim

Pada zaman Rasulullah SAW, segala usaha tertumpu kepada penerimaan al-Quran al-Karim, di mana para Sahabat dengan kerelaan mereka sendiri telah menumpukan perhatian untuk menerima, memahami, dan menghafalnya di dalam dada dan pada tulisan. 

Usaha ini telah mengambil sebahagian besar waktu mereka, di samping ia juga menguasai seluruh semangat mereka. Ini kerana kedudukan al-Quran sebagai sumber perundangan yang pertama dan mukjizat yang abadi bagi agama ini. 

Maka mereka memberikan sepenuh perhatian dan pemeliharaan untuk menjaganya daripada ditambah atau dikurangkan walau sedikit pun. Ini kerana tidak dibenarkan meriwayatkan al-Quran secara makna dan tidak boleh menggantikan mana-mana ungkapan, lafaz, atau hatta satu huruf pun dengan ungkapan, lafaz, atau huruf yang lain.

Kesukaran Penulisan Hadis pada Zaman Awal Islam

Hadis Rasulullah SAW pula terlalu banyak untuk dihitung, maka manalah mungkin para penulis di kalangan Sahabat mempunyai waktu untuk sentiasa mengikuti Rasulullah SAW bagi menulis kata-kata, perbuatan, dan perakuan Baginda (taqrir) terhadap orang lain? 

Jika ia mungkin dilakukan sekalipun, wujud pula kebimbangan akan berlakunya kekeliruan antara ucapan, penjelasan, dan sirah Baginda dengan al-Quran al-Karim, lebih-lebih lagi jika kesemuanya ditulis pada helaian yang sama.

Larangan Menulis Selain al-Quran pada Peringkat Awal

Oleh itu, Baginda melarang untuk menulis selain al-Quran supaya segala usaha ditumpukan untuk berkhidmat kepada al-Quran, memberikannya perhatian, dan memeliharanya serta agar perkara yang lain tidak bercampur aduk dengannya, terutamanya pada peringkat awal penurunan wahyu.

Kebenaran Menulis Hadis Setelah al-Quran Difahami dengan Mantap

Setelah para Sahabat sudah terbiasa dengan gaya bahasa al-Quran al-Karim, menghayatinya, mendalaminya, dan menjadi sebati dengannya, serta tidak ada lagi kebimbangan akan berlakunya kekeliruan antara al-Quran dengan selainnya, Rasulullah SAW pun mengizinkan penulisan hadis-hadis Baginda. Dengan itu, penulisan hadis-hadis Nabawi sudah bermula pada masa hayat Nabi SAW lagi dan berterusan dengan pertambahan yang pesat pada zaman-zaman berikutnya.

Peranan Hafalan di Samping Menulis Hadis

Ini tidaklah bermaksud menafikan wujudnya periwayatan hadis secara lisan atau menafikan pergantungan kepada ingatan bagi menghafal dan meriwayatkan hadis. Bahkan, hafalan tetap menjadi sandaran utama dalam penyampaian dan penyebaran hadis. 

Ini juga tidak bermakna bahawa penulisan hadis pada zaman ini adalah sesuatu yang jarang berlaku sepertimana yang dibayangkan oleh sesetengah pihak.

Bukti Penulisan Hadis pada Zaman Rasulullah SAW 

Telah terbukti bahawa banyak hadis telah ditulis pada zaman Rasulullah SAW. Sebahagiannya ditulis atas perintah Baginda sendiri dan sebahagiannya pula ditulis dengan keizinan dan keredaan Baginda. Maka tiada ruang lagi untuk menafikan hakikat fakta sejarah ini.

Helaian-helaian Bertulis (Suhuf) Mengenai Hadis pada Zaman Nabi:

1 - Perlembagaan Nabi SAW di Madinah:

Apabila Nabi SAW berhijrah ke Madinah, Baginda telah menetapkan undang-undang untuk penduduknya dan memerintahkan agar ia ditulis pada satu helaian, iaitu pada tahun pertama Hijrah. Ia hampir menyerupai "perlembagaan" bagi sebuah negara yang baru ditubuhkan, dan ia merangkumi hak-hak kaum Muhajirin, Ansar, Yahudi, dan orang Arab Madinah.

2 - Surat Nabi SAW mengenai Zakat:

Rasulullah SAW mempunyai sebuah surat mengenai zakat. Kemudian, Khalifah Abu Bakar al-Siddiq telah menghantarnya kepada Anas bin Malik dan selainnya, dan ia dicap dengan cop mohor Nabi SAW. Ia telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Musnadnya.

3 - Kitab Sa'ad bin 'Ubadah:

Sa'ad bin 'Ubadah al-Ansari mempunyai sebuah atau beberapa buah kitab yang di dalamnya mengandungi sekumpulan hadis-hadis Nabi SAW

Imam al-Bukhari telah meriwayatkan bahawa lembaran tulisan tersebut sebenarnya adalah satu salinan daripada lembaran tulisan milik 'Abdullah bin Abi Awfa, yang mana 'Abdullah telah menyalin hadis-hadis tersebut dengan tangannya sendiri pada zaman Nabi SAW.

4 - Surat Nabi SAW untuk penduduk Hadramaut:

Rasulullah SAW telah menyerahkan sebuah surat kepada Wa'il bin Hujr untuk diamalkan oleh penduduk Hadramaut. Di dalamnya terkandung rukun-rukun Islam, ajaran-ajarannya, kewajipan zakat, serta hukuman bagi zina dan arak.

5 - Surat Nabi SAW untuk penduduk Yaman:

Apabila Rasulullah SAW  melantik 'Amr bin Hazm sebagai gabenor Yaman, baginda memberikannya sebuah surat yang di dalamnya terkandung hukum-hukum faraid, sunnah, diyat dan lain-lain. Surat ini telah dikenali dengan nama Sahifah 'Amr bin Hazm. Abu Dawud telah meriwayatkan surat ini dalam Sunannya, begitu juga al-Nasa'i, Ibn Hibban, al-Baihaqi, al-Hakim dan al-Daraqutni.

6 - Al-Sahifah al-Sadiqah:

Terdapat sebuah helaian yang dikenali sebagai "al-Sahifah al-Sadiqah" milik 'Abdullah bin 'Amr bin al-'As, yang telah diizinkan oleh Nabi SAW untuk menulis hadis. 

Sanadnya telah dikenali dalam kitab-kitab hadis dengan nama: "Amr bin Syu'aib daripada bapanya daripada datuknya". Datuknya ialah pemilik sahifah tersebut, iaitu Sahabat Nabi SAW, 'Abdullah bin 'Amr bin al-'As. Imam Ahmad telah menukilkan kandungannya dalam Musnadnya sepertimana ulama-ulama lain juga telah menukil daripadanya.

7 - Sahifah Jabir bin 'Abdullah:

Ia telah disebutkan oleh Ibn Sa'ad dalam biografi Mujahid.

8 - Surat-surat Rasulullah SAW kepada Raja-raja dan Para Pemerintah:

Di dalam surat tersebut baginda telah menyeru mereka kepada Islam, seperti surat baginda kepada Heraclius, pembesar Rom.

9 - Surat baginda kepada al-Dahhak bin Sufyan:

Beliau telah dilantik oleh Nabi SAW sebagai ketua bagi orang-orang Arab Badwi. 

Telah diriwayatkan daripada al-Dahhak bahawa beliau berkata: "Rasulullah SAW telah menulis kepadaku agar aku mewariskan kepada isteri Asyyam al-Dibbiyani akan diyat (wang pampasan darah) suaminya".

10 - Al-Sahifah al-Sahihah:

Hammam bin Munabbih telah bertemu Abu Hurairah dan menulis banyak hadis Rasulullah SAW daripadanya. Lalu beliau menghimpunkannya dalam sebuah atau beberapa buah helaian yang dinamakan sebagai al-Sahifah al-Sahihah.

Ia telah sampai kepada kita secara lengkap, sama seperti yang ia diriwayatkan dan ditulis oleh Hammam daripada Abu Hurairah.

Dr. Muhammad Hamidullah telah menemui helaian ini dalam dua manuskrip yang serupa di Damsyik. Keyakinan terhadap helaian ini bertambah kerana Imam Ahmad telah menukilkannya secara keseluruhannya di dalam Musnadnya, sepertimana Imam al-Bukhari juga telah menukilkan sebilangan besar hadis-hadisnya di dalam Sahihnya pada bab-bab yang berbeza.

Dr Muhammad Hamidullah (1908-2002)

Walaupun helaian ini tidak boleh dianggap termasuk dalam kalangan penulisan hadis yang ditulis pada zaman Nabi kerana Hammam dilahirkan sejurus sebelum tahun 40 Hijrah dan gurunya, Abu Hurairah, meninggal dunia pada tahun 58 Hijrah, namun helaian ini mempunyai kepentingan sejarah berkaitan penulisan hadis. 

Ini kerana ia adalah hujah yang kukuh dan bukti yang jelas bahawa sesungguhnya hadis Nabi telah ditulis sebahagian daripadanya pada waktu yang awal kerana penulisan helaian ini bertarikh pertengahan kurun pertama Hijrah. Begitu juga ia juga membetulkan kesilapan yang tersebar luas bahawa tiada satu pun hadis yang ditulis melainkan pada awal kurun kedua Hijrah.

Hadis-Hadis yang Membenarkan Penulisan Hadis:

1 - Ucapan Abdullah bin 'Amr bin al-'As: "Dahulu aku menulis segala sesuatu yang aku dengar daripada Rasulullah SAW  dengan tujuan untuk menghafalnya. 

Lalu orang Quraisy melarangku, dan mereka berkata: Adakah engkau menulis segala sesuatu yang engkau dengar daripada Rasulullah SAW, sedangkan Rasulullah SAW adalah seorang manusia yang bercakap dalam keadaan marah dan suka? 

Maka aku pun berhenti menulis. Lalu aku menyebutkan hal itu kepada Rasulullah SAW, maka baginda menunjuk dengan jarinya ke mulutnya dan bersabda: "Tulislah. Demi Tuhan yang jiwaku berada di dalam kekuasaan-Nya, tidak keluar daripadanya (mulut ini) melainkan kebenaran." (Riwayat al-Darimi)

2 - Ucapan Abu Hurairah: "Tidak ada seorang pun daripada kalangan Sahabat Nabi SAW yang lebih banyak meriwayatkan hadis daripada Baginda berbanding aku, melainkan hadis yang ada pada Abdullah bin Umar kerana sesungguhnya beliau  menulis, sedangkan aku tidak menulis." (Riwayat al-Bukhari)

3 - Hadis Abu Hurairah: "Seorang lelaki Ansar telah mengadu kepada Nabi SAW tentang lemahnya hafalannya, lalu Baginda bersabda: "Mintalah bantuan dengan tangan kananmu (yakni tulislah)". (Riwayat al-Khatib al-Baghdadi dalam Taqyid al-‘Ilm)

4 - Seorang lelaki dari kalangan penduduk Yaman telah meminta daripada para Sahabat pada hari pembukaan kota Makkah agar mereka menuliskan untuknya khutbah Nabi SAW selepas pembukaan tersebut, lalu mereka meminta izin Nabi SAW mengenai perkara tersebut, maka baginda bersabda: "Tulislah untuk Abu Syah". (Riwayat al-Bukhari)

5 - Hadis: "Ikatlah ilmu dengan tulisan". (Riwayat Ibnu Abdil Bar dalam Jami’ Bayan al-‘Ilm)

6 - Ucapan Rafi' bin Khadij: "Aku berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami mendengar pelbagai perkara daripada tuan, adakah patut kami menulisnya?" Baginda bersabda: "Tulislah, dan tiada halangan." (Riwayat al-Khatib al-Baghdadi dalam Taqyid al-‘Ilm)

Hadis-hadis ini dan helaian-helaian yang disebutkan sebelum ini adalah antara dalil-dalil yang kukuh akan keharusan menulis hadis dan membuktikan ia telah pun berlaku pada masa hayat Rasulullah SAW.

Sumber:

Al-Mustasyriqun Wa al-Hadith al-Nabawi oleh Dr Muhammad Bahauddin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan