Rabu, 17 Disember 2025

Tafsir al-Mu'in: Surah al-Lahab

تَبَّتْ يَدَا أَبِي لَهَبٍ وَتَبَّ١

Binasalah kedua-dua tangan Abu lahab, dan binasalah ia bersama!”

Tafsir Ayat 1:

Allah telah membinasakan bapa saudara Nabi, iaitu Abu Lahab. Dia sesungguhnya telah binasa dan terbukti kerugiannya pada apa yang diusahakan oleh kedua-dua tangannya daripada harta benda yang digunakannya untuk memperkuatkan dirinya bagi memerangi Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam dan menentang dakwah baginda, serta pada anak-anaknya yang kafir sepertinya, yang dijadikannya sebagai kekuatan dan kebanggaan.

Dia rugi dalam setiap perbuatan yang diusahakan oleh fikirannya, lidahnya, dan gerak-geri tubuhnya, dan dia merugikan seluruh dirinya di dalam api neraka yang marak menjulang, yang dia pasti akan berakhir ke dalamnya tanpa dapat dielakkan.

مَا أَغْنَى عَنْهُ مَالُهُ وَمَا كَسَبَ٢

Hartanya dan segala yang diusahakannya, tidak dapat menolongnya.”

Tafsir Ayat 2:

Tidak memberi manfaat kepadanya harta yang dibanggakannya itu, dan tidak juga berguna apa yang diusahakannya daripada amal perbuatan, malah dia kembali dengan kekecewaan dan kerugian.

سَيَصْلَى نَارًا ذَاتَ لَهَبٍ٣

Ia akan menderita bakaran api neraka yang marak menjulang.”

Tafsir Ayat 3:

Apabila tiba ajal kematiannya, dia akan menemui azab, kehinaan, dan kerendahan. Dia akan memasuki api yang menyala-nyala ke atasnya, yang membakarnya dengan kepanasannya berulang-ulang kali secara berterusan dan diperbaharui, bermula dari alam Barzakh antara kematian dan kebangkitan semula, kemudian azabnya pada Hari Pembalasan adalah bakaran api neraka Jahannam, kekal abadi di dalamnya selama-lamanya.

Maka janganlah dia terpedaya dengan dirinya sendiri bahawa kaumnya melihat kemerahan wajahnya dan kecantikannya lalu menjulukinya Abu Lahab (Bapa Api yang Menyala-Nyala), kerana sesungguhnya kegelapan jiwanya, hatinya, kekufurannya, dan kejahatan amalnya akan menjadikan balasan yang adil baginya, iaitu seksaan dengan bakaran nyalaan api neraka.

وَامْرَأَتُهُ حَمَّالَةَ الْحَطَبِ٤

Dan juga isterinya, seorang perempuan pemunggah kayu api.”

Tafsir Ayat 4:

Dia akan masuk ke dalamnya bersama isterinya, Ummu Jamil binti Harb bin Umayyah, saudari perempuan Abu Sufyan, ke dalam api yang marak menyala. Maka wanita itu diseksa sepertimana seksaannya, kerana dia bersubahat dengan suaminya dalam menyakiti Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam.

Aku mencela wanita pembawa kayu api berduri yang dahulunya diletakkan pada waktu malam di jalan yang dilalui Nabi sallahu ‘alaihi wasallam untuk menyakiti baginda dan para sahabatnya, serta wanita yang dahulunya berjalan ke sana sini membawa fitnah (mengadu domba) untuk menjauhkan manusia daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam dan menentang dakwah baginda.

فِي جِيدِهَا حَبْلٌ مِنْ مَسَدٍ٥

Di lehernya sejenis tali, dari tali-tali yang dipintal.”

Tafsir Ayat 5:

Di lehernya terdapat tali yang kukuh daripada sabut yang sangat kasar, yang digunakan untuk menarik binatang tunggangan yang hina seperti keldai. Dia adalah wanita yang bodoh, tidak berakal, dan tiada kebijaksanaan padanya. 

Dia tidak bertindak melainkan mengikut emosi dan hawa nafsunya yang melulu, seperti binatang hina yang cukup dipimpin dengan tali sabut yang kasar, dan dia akan dikalungkan dengannya di dalam neraka Jahanam sebagai penghinaan dan kerendahan baginya. 

Sumber:

Tafsir al-Mu’in – Syeikh Majid Makki.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan