Terdapat dua versi tentang kisah taubat al-Fudhail bin ‘Iyadh:
Versi Pertama
Imam Ibnu Qudamah meriwayatkan dalam kitab al-Tawwabin
daripada Ali bin Khasyram yang berkata:
“Seorang lelaki dari kalangan jiran al-Fudhail bin 'Iyadh telah mengkhabarkan kepadaku , dia berkata:
Dahulu al-Fudhail merompak di jalanan seorang diri.
Pada suatu malam, dia keluar untuk merompak, tiba-tiba dia bertemu dengan sebuah kafilah yang telah sampai berhampiran dengannya pada
waktu malam.
Sebahagian mereka berkata kepada sebahagian yang lain: "Lencongkanlah kita ke kampung ini, kerana di hadapan kita ada seorang lelaki yang merompak di jalanan, yang dikenali sebagai: al-Fudhail."
Al-Fudhail mendengarnya, dan dia gementar seraya berkata: "Wahai kalian! Akulah al-Fudhail, teruskanlah perjalanan. Demi Allah, sesungguhnya aku akan bersungguh-sungguh untuk tidak lagi menderhakai Allah selama-lamanya."
Lalu dia bertaubat daripada apa yang dilakukannya
sebelum ini.”
Diriwayatkan dari sanad yang lain bahawa beliau
telah melayani mereka sebagai tetamunya pada malam itu dan berkata: "Kamu
semua selamat daripada al-Fudhail."
Beliau keluar untuk mencari makanan ternakan untuk mereka,
kemudian beliau kembali lalu mendengar seorang qari membaca:
﴿أَلَمْ يَأْنِ لِلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَن
تَخْشَعَ قُلُوبُهُمْ لِذِكْرِ ٱللَّهِ﴾.
"Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman,
untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan Allah." (Surah al-Hadid, ayat 6)
Al-Fudhail berkata: "Bahkan, demi Allah, sesungguhnya
masanya telah tiba."
Maka inilah permulaan taubatnya.
Versi Kedua
Al-Hafiz Ibn Hajar menyebutkan dalam Tahzib al-Tahzib
satu sebab lain bagi taubatnya, beliau berkata:
“Al-Fadl bin Musa berkata:
"Dahulu al-Fudhail bin 'Iyadh ialah seorang perompak yang
merompak di jalanan antara Abiward (Turkmenistan) dan Sarakhs (Iran).
Sebab taubatnya ialah beliau telah jatuh cinta dengan seorang
gadis. Ketika beliau sedang memanjat dinding untuk menemuinya, tiba-tiba
beliau mendengar seorang qari membaca:
﴿أَلَمْ يَأْنِ لِلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَن
تَخْشَعَ قُلُوبُهُمْ لِذِكْرِ ٱللَّهِ﴾.
"Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman,
untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan Allah." (Surah al-Hadid, ayat 6)
Apabila beliau mendengarnya, beliau berkata: "Bahkan, wahai
Tuhanku, sesungguhnya masanya telah tiba."
Lalu beliau berpatah balik.
Malam tersebut telah membawanya untuk berlindung di sebuah runtuhan, dan ternyata di dalamnya terdapat sekumpulan
musafir. Sebahagian mereka berkata: "Mari kita berangkat", dan sebahagian
yang lain berkata: "Tunggu sehingga pagi, kerana Fudhail ada di jalanan dan dia akan merompak kita."
Fudhail berkata: "Aku lalu berfikir. Aku berkata (kepada diriku): "Aku berusaha pada waktu malam untuk melakukan maksiat, dan sekumpulan orang Islam di sini pula takut kepadaku. Aku tidak merasa Allah membawaku kepada mereka melainkan supaya aku insaf. Ya Allah, sesungguhnya aku telah bertaubat kepada-Mu, dan aku menjadikan taubatku ini dengan menetap di Baitul Haram (Mekah)."
___________________
Beliau ialah al-Fudhail bin 'Iyadh bin Mas'ud bin Bisyr al-Tamimi al-Yarbu'i, seorang zahid yang masyhur.
Beliau berasal dari Khurasan, Iran dan menetap di Mekah.
Beliau seorang yang thiqah (terpercaya), ahli ibadah, seorang imam, dari kalangan Tabi’ Tabi'in.
Beliau berguru dengan beberapa orang ulama seperti Ja’far al-Sadiq, al-A’masy, Laith bin Sa’ad, Ibnu Abi Laila dan lain-lain.
Murid beliau seperti Imam al-Syafi’i, Abdullah bin al-Mubrak, Abdul Rahman bin Mahdi, Sufyan bin ‘Uyainah, al-Sari al-Saqti dan lain-lain.
Abdullah bin al-Mubarak pernah berkata: "Tidak ada lagi yang tinggal di muka bumi ini pada pandanganku, orang yang lebih utama daripada al-Fudhail bin 'Iyadh."
Muhammad bin 'Abduwaih berkata tentangnya: "Kami, apabila keluar bersama al-Fudhail mengiringi jenazah, beliau tidak henti-henti memberi nasihat, mengingatkan (kepada akhirat) dan menangis. Seolah-olah dia ingin mengucapkan selamat tinggal kepada para sahabatnya dan akan berangkat ke akhirat, sehinggalah kami sampai ke perkuburan.
Apabila tiba di sana, beliau akan duduk, maka seolah-olah beliau duduk di antara orang-orang yang telah mati kerana terlalu sedih dan menangis, sehinggalah beliau bangun dan seolah-olah beliau telah kembali dari akhirat lalu menceritakan tentangnya."
Antara ucapan beliau yang masyhur ialah: "Meninggalkan amalan kerana manusia adalah riak, dan beramal kerana manusia adalah syirik. Ikhlas ialah Allah menyelamatkanmu daripada kedua-duanya."
Beliau meninggal dunia di Mekah pada tahun 187 Hijrah, dan dikatakan sebelum itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan