Selasa, 23 Disember 2025

Apa Itu Ilmu Mantik?


1 - Takrifnya:

Satu ilmu yang dibahaskan di dalamnya tentang maklumat-maklumat yang bersifat tasawwuri (konseptual) dan tasdiqi (penghukuman), dari sudut bahawa ia membawa kepada pengetahuan tentang sesuatu yang asalnya majhul (tidak diketahui), sama ada ia bersifat tasawwuri atau tasdiqi.

Ia adalah satu undang-undang yang mana dengan mematuhinya akan memelihara minda daripada kesilapan dalam pemikirannya.

Maksud Tasawwur

Tasawwur adalah proses membentuk satu gambaran mental atau konsep sesuatu perkara dalam fikiran. Ia adalah pengetahuan tunggal (single concept) yang belum dihubungkan dengan apa-apa.

Tujuannya hanyalah untuk memahami makna sesuatu perkataan atau idea. Ia tidak melibatkan sebarang penghakiman sama ada ia benar atau salah.

Misalnya, apabila anda mendengar perkataan "rumah", satu imej atau konsep tentang sebuah bangunan tempat tinggal terbentuk dalam minda anda. Ini adalah tasawwur. Anda belum menilai apa-apa tentang rumah itu.

Maksud Tasdiq

Tasdīq adalah proses menghubungkan dua atau lebih tasawwur (konsep) dan kemudian meletakkan satu hukum atau penilaian ke atas hubungan tersebut, sama ada ia benar atau salah.

Tujuannya adalah untuk membentuk satu penyata atau proposisi yang boleh dinilai benar atau salah.

Contohnya: "Rumah itu besar."

Di sini, anda telah menghubungkan konsep "rumah" dengan konsep "besar".

Anda kemudian membuat satu penghakiman bahawa hubungan ini adalah benar. Penyata ini boleh jadi benar atau salah. Ini adalah tasdiq.

2 - Tujuannya:

Sesiapa yang mematuhi kaedah-kaedah ilmu ini, kesilapan tidak akan menyusup ke dalam pemikirannya, sebagaimana orang yang mematuhi kaedah-kaedah Nahu, kesilapan tidak akan menyusup ke dalam percakapannya atau tulisannya.

3 - Topiknya (Mawdu'):

Maklumat-maklumat tasawwuri (konseptual) dan tasdiqi (pembenaran), dari sudut bahawa ia membawa kepada pengetahuan tentang sesuatu yang asalnya majhul (tidak diketahui), sama ada ia bersifat tasawwuri atau tasdiqi.

4 - Pengasasnya (Wadhi'):

Aristotle.

5 – Namanya:

(i) Ilmu Mantik.

(ii) Mi’yar al-‘Ulum.

(iii) Ilmu al-Mizan.

6 - Sumber pengambilannya (Istimdad):

Daripada akal.

7 - Perbahasannya (Masa'il):

Kaedah-kaedah teori yang membahaskan tentang bentuk Definisi (al-mu'arrifat) dan Qiyas/Silogisme (al-aqyisah) serta apa yang berkaitan dengan kedua-duanya, yang mana kaedah-kaedah ini dibuktikan kebenarannya di dalam ilmu ini.

8 - Kelebihannya:

Ilmu Mantik mengatasi dan melebihi ilmu-ilmu lain kerana manfaatnya yang umum di dalamnya, memandangkan setiap ilmu adalah tasawwur atau tasdiq, dan ilmu Mantik membahaskan tentang kedua-duanya.

Akan tetapi sebahagian ilmu mengatasinya dari sudut yang lain.

9 - Hubungannya dengan ilmu-ilmu lain:

Dari sudut pandang topiknya (mawdu'), ia adalah menyeluruh (kulli) kepada ilmu-ilmu lain, kerana setiap ilmu terdiri daripada tasawwur atau tasdiq, dan topik ilmu Mantik adalah tasawwur atau tasdiq."

Dari sudut pandang konsepnya (mafhum), ia adalah berbeza daripada ilmu-ilmu lain kerana ia mempunyai definisi, fokus, dan persoalan utamanya yang tersendiri (iaitu mengkaji proses berfikir), yang tidak sama dengan fokus ilmu-ilmu lain. Ia adalah ilmu yang berdiri sendiri. Maka dari sudut pandang ini, ilmu Mantik adalah satu disiplin yang berbeza dan terpisah daripada ilmu-ilmu lain.

10 – Hukumnya:

Ulama berselisih pendapat mengenai hukum melibatkan diri dengan ilmu Mantik kepada tiga pendapat:

Pertama: Haram.

Ini adalah pendapat al-Nawawi dan Ibn al-Salah.

Alasan mereka mengharamkannya ialah kerana ia bercampur dengan kekufuran para ahli falsafah. Maka dikhuatiri seseorang yang mendalami ilmu Mantik akan meresap ke dalam hatinya sebahagian daripada akidah yang menyeleweng, sebagaimana yang telah berlaku kepada kaum Mu'tazilah.

Kedua: Harus. 

Ini adalah pendapat sekumpulan ulama, antaranya al-Ghazali. Beliau berkata: “Sesiapa yang tidak mengetahuinya, maka tidak boleh dipercayai ilmunya."

Maksudnya seseorang yang tidak menguasai Mantik, dia sentiasa terdedah kepada risiko membuat kesilapan logik kerana dia tidak mempunyai kaedah-kaedah atau prinsip-prinsip yang mengawal, mendisiplinkan, dan menjaga proses berfikir.

Ketiga: Perlu kepada perincian.

Ia adalah pendapat yang masyhur lagi sahih

Jika orang yang melibatkan diri dengan ilmu Mantik itu cerdas akalnya, kuat kefahamannya, serta mahir dengan al-Quran dan as-Sunnah, haruslah baginya untuk mempelajari ilmu Mantik, dan jika tidak, maka tidak boleh.

Peringatan: Ketahuilah bahawa perselisihan ini hanyalah untuk ilmu Mantik yang bercampur dengan kalam ahli Falsafah, seperti yang terdapat dalam kitab al-Tawali' oleh al-Baidawi.

Adapun yang murni daripada kalam ahli Falsafah seperti al-Mukhtasar oleh al-Sanusi, dan al-Syamsiyyah oleh Najmuddin al-Katibi, Sullam al-Munawraq oleh al-Akhdari dan Isaghuji oleh Athiruddin al-Abhari, maka tiada perselisihan tentang keharusan mempelajarinya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan