(a) Pertembungan Jarh
dan Ta'dil pada Seorang Perawi
Apabila bertembung Jarh (kritikan) dan Ta'dil
(pujian) pada seorang perawi, dengan adanya kritikan dan pujian mengenainya,
maka terdapat beberapa pendapat yang telah disebutkan oleh para ulama.
Pendapat yang sahih yang dinukilkan oleh al-Khatib
al-Baghdadi daripada jumhur ulama, dan disahihkan oleh Ibn al-Salah dan selain
mereka daripada kalangan ahli hadis, serta sekumpulan ahli usul fiqh: kritikan
(jarh) didahulukan ke atas pujian (ta'dil), walaupun bilangan
orang yang memuji (mu'addilun) lebih ramai, kerana orang yang memuji (mu'addil)
memberitahu tentang keadaan (perawi) yang zahir, manakala orang yang mengkritik
(jarih) memberitahu tentang perkara dalaman (batin) yang tersembunyi
daripada pengetahuan orang yang memuji.
Akan tetapi, kaedah ini tidaklah mutlak dalam
mendahulukan kritikan, kerana kita dapati mereka (para ulama) mendahulukan
pujian ke atas kritikan dalam banyak keadaan. Kita boleh katakan: Sesungguhnya
kaedah ini terikat dengan syarat-syarat berikut:
1 - Kritikan (jarh) itu dihuraikan (mufassar),
serta memenuhi segala syarat yang telah ditetapkan oleh para ulama dalam bidang
ini.
2 - Si pengkritik tidak bersikap taasub (fanatik) terhadap
orang yang dikritik, atau terlalu keras dalam kritikannya.
Maka tidak diterima perkataan al-Nasa'i terhadap Ahmad bin
Salih al-Masri kerana perselisihan yang wujud antara mereka.
3 - Si pemuji menjelaskan bahawa kritikan itu tertolak
daripada perawi tersebut, dan membuktikannya dengan dalil yang sahih.
Contohnya: Thabit bin 'Ajlan al-Ansari, al-'Uqaili berkata: “Tiada
sokongan bagi hadisnya (la yutaba' 'ala hadithihi).”
Abu al-Hasan bin al-Qattan mengulasnya dengan menyatakan
bahawa perkara itu tidak memudaratkannya melainkan jika dia banyak meriwayatkan
hadis-hadis munkar dan menyalahi perawi-perawi yang thiqah
(terpercaya), dan al-Hafiz Ibn Hajar bersetuju dengannya, lalu berkata: “Ia adalah sebagaimana yang dikatakannya.”
Ini menunjukkan bahawa perbezaan sudut pandang para
pengkritik membawa kepada perbezaan mereka dalam kritikan (jarh) dan
pujian (ta'dil). Oleh itu, al-Hafiz al-Dhahabi berkata: “Tidak pernah
bersepakat dua orang ulama dalam bidang ini sama sekali untuk menganggap thiqah
seorang perawi yang lemah, dan tidak pula untuk melemahkan seorang perawi yang thiqah.”
Maksudnya: kerana seorang perawi yang thiqah apabila
dilemahkan, ia adalah berpunca daripada memandang suatu sebab yang tidak
mencacatkan (tidak sampai menjadi sebab jarh), dan seorang perawi yang
lemah apabila dianggap thiqah, maka pengiktirafannya sebagai thiqah
itu adalah berpunca daripada hanya mengambil kira zahir luaran semata-mata.
Maka, ketahuilah akan syarat-syarat yang telah disebutkan
bagi kaedah “mendahulukan kritikan" ini, kerana sesungguhnya telah tergelincir
kaki ramai para pengkaji disebabkan kelalaian mereka terhadap syarat dan
perincian ini, disebabkan sangkaan mereka bahawa kritikan secara mutlak - apa
jua kritikan sekalipun - didahulukan ke atas pujian secara mutlak - apa jua
pujian sekalipun, daripada mana-mana pemuji sekalipun, terhadap mana-mana
perawi sekalipun - lalu mereka jatuh ke dalam kesilapan disebabkan hal itu.
(b) Pertembungan Jarh
dan Ta'dil daripada seorang pengkritik yang sama terhadap perawi yang
sama:
Kadang-kadang bertembung kritikan (jarh) dan pujian (ta'dil)
daripada seorang pengkritik yang sama terhadap seorang perawi yang sama, dan
sebab bagi pertembungan ini adalah perubahan hukum si pengkritik mengikut
perubahan keadaan perawi, atau kerana perubahan ijtihad si pengkritik, atau
kritikan itu disebut sekali secara perbandingan dengan perawi lain, dan pada
kali yang lain disebut secara tersendiri tanpa perbandingan.
Abu al-Walid al-Baji berkata: “Ketahuilah bahawa
kadang-kadang seorang pemuji (mu'addil) berkata: Si fulan itu thiqah
(terpercaya), tetapi dia tidak bermaksud bahawa dia termasuk orang yang
hadisnya dijadikan hujah, dan dia berkata: Si polan itu tidak mengapa (la
ba'sa bih), tetapi dia bermaksud bahawa hadisnya boleh dijadikan hujah. Sesungguhnya
ia bergantung kepada konteksnya, dan bentuk soalan yang diajukan kepadanya...
Telah disebutkan kepada Abu Abd al-Rahman al-Nasawi (bahawa)
Ibn Wahb melebihkan al-Layth ke atas Malik, lalu beliau berkata: Apa sangat
yang ada pada al-Layth! Kalaulah bukan kerana Allah memeliharanya, nescaya dia
sudah menjadi seperti Ibn Lahi'ah (perawi yang hafalannya bercampur aduk).
Tiada perselisihan bahawa al-Layth adalah seorang yang thiqah
(terpercaya) dan teliti (tathabbut), tetapi beliau (al-Nasawi) hanyalah
mengingkari (pendapat yang) melebihkannya ke atas Malik, atau menyamakannya
dengan Malik...
Maka berdasarkan hal ini, lafaz-lafaz jarh dan ta'dil
itu difahami oleh orang yang mengerti akan perkataan-perkataan dan
tujuan-tujuan mereka, dan hal itu tidak akan (difahami) melainkan oleh sesiapa
yang tergolong dalam kalangan ahli bidang ini (ahl al-sina'ah), dan yang
berilmu tentangnya.
Adapun sesiapa yang tidak mengetahui hal itu, dan tidak ada
padanya pengetahuan tentang keadaan para ahli hadis melainkan apa yang
diambilnya daripada lafaz-lafaz jarh dan ta'dil semata-mata, maka
sesungguhnya dia tidak mampu untuk meletakkan lafaz-lafaz itu pada kedudukannya
yang sebenar.”
Kadar pertembungan jarh dan ta'dil daripada
seorang pengkritik yang sama terhadap seorang perawi yang sama adalah sangat
sedikit.
Sumber:
Al-Muyassar Fi 'Ilm al-Jarh Wa al-Ta'dil oleh Sayyid
Abdul Majid al-Ghauri

Tiada ulasan:
Catat Ulasan