إِذَا
جَاءَ نَصْرُ اللَّهِ وَالْفَتْحُ١
“Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan
(semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah).”
Tafsir Ayat 1:
Apabila datang kepadamu - wahai Rasulullah - pertolongan
Allah dan bantuan-Nya ke terhadap sesiapa yang memusuhimu dari kalangan
Quraisy, dan sempurnalah bagimu pembukaan (penaklukan) Makkah.
وَرَأَيْتَ
النَّاسَ يَدْخُلُونَ فِي دِينِ اللَّهِ أَفْوَاجًا٢
“Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah
beramai-ramai.”
Tafsir Ayat 2:
Engkau melihat ramai manusia masuk ke dalam agama Allah
secara berkelompok-kelompok dan berbondong-bondong, (yakni) sesebuah kabilah secara
keseluruhannya, dan sesuatu kaum secara kesemuanya, tanpa peperangan.
فَسَبِّحْ
بِحَمْدِ رَبِّكَ وَاسْتَغْفِرْهُ إِنَّهُ
كَانَ تَوَّابًا٣
“Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan
mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat.”
Tafsir Ayat 3:
Itu adalah tanda hampirnya
ajalmu, dan dekatnya pertemuanmu dengan Tuhanmu.
Maka, sucikanlah Tuhanmu
daripada apa yang tidak layak dengan keagungan-Nya dan kebesaran kekuasaan-Nya,
dengan penyucian yang diiringi dengan pujian kepada Allah dengan sifat-sifat
kesempurnaan-Nya. Ucapkanlah:
سُبْحَانَ اللهِ
وَبِحَمْدِهِ
Maha suci Allah dan segala puji
bagi-Nya.
Solatlah kepada-Nya sebagai
tanda syukur, dan mohonlah keampunan-Nya untukmu dan untuk umatmu, kerana sesungguhnya
Dia Maha Penerima taubat hamba-hamba-Nya.
Di dalam ayat ini terdapat dalil akan kelebihan Tasbih, Tahmid dan Istighfar, di mana Allah Taala menjadikan yang demikian itu mencukupi dalam menunaikan apa yang wajib ke atas Baginda sallahu ‘alaihi wasallam berupa kesyukuran atas nikmat kemenangan dan penaklukan. Baginda sallahu ‘alaihi wasallam banyak bertahmid dan beristighfar selepas turunnya surah ini.
Tafsir al-Mu’in – Syeikh Majid Makki.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan