Ahad, 2 Februari 2014

Imam Abu Hasan al-Asy’ari

Imam Abu Hasan al-Ay'ari merupakan Imam Ahli Sunnah wal Jama'ah. Apabila disebut Ahli Sunnah wal Jama'ah, ianya merujuk kepada Asya'irah dan Maturidiyyah.

Nama beliau

Nama lengkap beliau adalah Ali bin Ismail bin Abi Bisyir Ishaq bin Salim bin Ismail bin Abdullah bin Musa bin Bilal bin Abi Burdah Amir bin Abu Musa Abdullah bin Qais al- Asy’ari.

Nama Asy’ari merupakan gelaran kepada seorang lelaki dari suku Qathan yang kemudian menjadi nama suku yang tinggal di Yaman. Daripada suku Asy’ar ini lahir seorang sahabat terkemuka yang terkenal sangat alim sehingga termasuk salah satu fuqaha di kalangan sahabat Nabi S.A.W iaitu Abu Musa Abdullah bin Qais al-Asy’ari yang di lahirkan pada 22 tahun sebelum Hijrah dan wafat tahun 44 H/665M.

Kelahiran beliau

Imam al-Asy’ari lahir di kota Bashrah pada tahun 260H/873M. Beliau lahir dan membesar dalam lingkungan fahaman Ahlus Sunnah wal Jama’ah. Ayahnya, Ismail adalah seorang ulama hadith yang menganut fahaman Ahlus Sunnah wal Jama’ah. Hal ini terbukti bahwa ketika Ismail menjelang wafatnya, beliau berwasiat agar Imam al-Asy’ari diasuh oleh Imam al-Hafiz Zakaria bin Yahya as-Saji (285H), pakar hadith dan faqih mazhab Syafie yang sangat terkenal di kota Basrah.

Pada masa kecilnya, Imam al-Asy’ari selain berguru kepada Imam as-Saji, beliau juga menimba ilmu kepada ulama-ulama hadith yang lain seperti Abdur Rahman bin Khalaf al-Dhabbi, Sahal bin Nuh al-Bashri, Muhammad bin Yaqub al-Maqburi dan lain lain.

Beliau lahir dengan keadaan kedua-dua orang tuanya yang sudah sangat tua. Setelah ayahnya meninggal dunia, maka keluarganya melaksanakan wasiat ayahnya untuk menyerahkan tanggungjawab mendidiknya kepada Imam Zakariya bin Yahya as-Saji. Hanya saja setelah beliau berusia 10 tahun ada unsur asing yang sangat mempengaruhi dan bahkan mengubah jalan hidupnya, iaitu kehadiran Abu Ali al-Jubai, seorang tokoh Mutazilah yang terkemuka di kota Basrah,  dalam keluarganya yang menjadi ayah tiri dengan menikahi ibunya dan kemudian mengarahkan al Asy’ari menjadi penganut Mutazilah sehingga berusia 40 tahun.

Dari negeri Yaman lahirlah Imam Asy’ari

Negeri Yaman memiliki peradaban yang lebih maju pada masa awal Islam melebihi daerah-daerah yang lain di semenanjung Arab. Ini memberikan pengaruh positif terhadap pembentukan karakter penduduk Yaman yang mudah menerima dan mengikuti kebenaran. Mereka memberi perhatian yang tinggi terhadap ilmu pengetahuan dan sentiasa berfikiran positif terhadap keadaan yang mereka hadapi. Hal ini dapat kita lihat dengan memperhatikan beberapa hadith sahih yang menyebutkan keutamaan penduduk Yaman.

Dalam beberapa hadith dijelaskan, ketika Abu Musa al-Asy’ari akan datang ke Madinah bersama rombongannya dari suku Asy’ar Nabi Saw bersabda :

”Keimanan yang sempurna itu datang dari Yaman dan hikmah juga datang dari Yaman. Penduduk Yaman hati mereka lebih halus dan lebih lembut daripada pada hati kalian” (Hadith ini diriwayatkan oleh al-Bukhari no. 4037 dan Muslim no. 73)

Karakter penduduk Yaman yang penuh dengan kelembutan dan kehalusan sehingga mudah menerima dan mengikuti petunjuk dan kebenaran dapat pula kita lihat dengan memperhatikan teks hadith sahih yang berikut :

Dari Imran bin Husain r.a berkata : Ketika aku bersama Nabi S.A.W, tiba-tiba datanglah kaum daripada golongan Bani Tamim(penduduk Najd). Nabi S.A.W berkata kepada mereka: “Terimalah khabar gembira wahai Bani Tamim!” Mereka menjawab: “Engkau telah memberi  khabar gembira kepada kami, oleh kerena itu berilah kami (harta benda). Lalu datanglah orang-orang dari penduduk Yaman. Nabi S.A.W bekata kepada mereka : “Terimalah khabar gembira wahai penduduk Yaman kerena Bani Tamim tidak mahu menerimanya!”. Penduduk Yaman menjawab: “Kami menerima khabar gembira itu wahai Rasulullah dengan senang hati. Kami datang ke sini untuk mempelajari ilmu agama dan untuk menanyakan mengenai permulaan dunia ini”. Nabi Saw menjawab : “Allah itu ada pada saat sesuatu pun belum ada. ‘Arasy Allah itu ada di air. Kemudian Allah menciptakan langit dan bumi dan mencatat segala sesuatu dalam Lauh Mahfuz”. (Hadith riwayat Bukhari no. 6868).

Teks hadith di atas memberikan gambaran yang sangat jelas bagi kita tentang perbezaan  karakter penduduk Yaman dengan penduduk Bani Tamim yang tinggal di Najd. Penduduk Yaman hatinya sangat lembut dan sangat halus. Mereka lebih mudah menerima dan mematuhi kebenaran serta mementingkan ilmu agama melebihi harta benda dan kepentingan duniawi. Hal tersebut berbeza dengan kaum Bani Tamim yang tinggal di Najd yang tidak memberi perhatian kepada ilmu agama tetapi lebih mementingkan harta benda dan kekayaan duniawi.

Penduduk Yaman memiliki keinginan yang tinggi untuk mengetahui dan menanyakan perkara yang penting dalam pandangan agama, iaitu mengenai keesaan Allah Ta’ala yang bersifat Qadim dan penciptaan Alam yang bersifat huduth(baharu) yang merupakan perbincangan yang penting dalam perbahasan Ilmu Tauhid.

Berdasarkan hadith tersebut, para ulama hadith seperti al-Hafiz Baihaqi dan lain-lain berpendapat bahawa sifat Imam Abu Hasan al-Asy’ari yang suka mendalami ilmu aqidah dan  seterusnya menjadi pemimpin Ahlus Sunnah wal Jama’ah dalam bidang aqidah, merupakan sifat yang lahir dari keturunannya yang memiliki cita-cita yang luhur untuk menguasai ilmu pengetahuan dan mendalami persoalan Aqidah yang sangat penting dengan bertanya secara langsung kepada Nabi S.A.W. Dalam hal ini Imam al-Hafiz  al-Baihaqi berkata : “Pertanyaan penduduk Yaman kepada Nabi S.A.W tersebut menjadi bukti bahawa kajian tentang ilmu Aqidah dan barunya alam ini telah menjadi warisan keluarga Asy’ari dari keturunan mereka secara turun-temurun”.

Berdasarkan keterangan di atas, tidaklah ganjil bila di kemudian hari daripada kalangan suku al-Asy’ari lahirlah seorang ulama yang menjadi pemimpin Ahlus Sunnah wal Jama’ah dalam memahami dan mempertahankan aqidah yang di ajarkan oleh Nabi S.A.W dan sahabatnya.

Guru-guru Imam Abu Hasan al-Asy'ari

1. Imam al-Hafizh Zakaria bin Yahya al-Saji

Abu Yahya Zakaria bin Yahya Al Saji Al Syafi’i (220-307H/835-920M). Hafiz besar, muhadith kota Bashrah pada masanya dan faqih bermadzhab Syafi’i. Beliau telah menulis kitab ‘Ilal hadits yang membuktikan kepakarannya dalam bidang hadith. Beliau juga menulis kitab Ikhtilaf Fuqaha dan Usul Fiqh yang membuktikan kepakarannya dalam bidang usul fiqih. Menurut Imam az-Zahabi, Imam Asy’ari belajar hadith dan metodogi ahli hadith kepada Zakaria al-Saji ketika masih kecil dan sebelum memasuki aliran Mutazilah.

2. Imam Abu Khalifah al-Jumahi

Abu Khalifah Fadhl bin Hubab al-Jumahi al-Bashri (206-305H/821-917M). Muhadith kota Basrah yang dianggap thiqah. Beliau seorang ahli hadith yang jujur dan banyak meriwayatkan hadith. Usianya hampir mencapai 100 tahun. Imam Asy’ari banyak meriwayatkan hadith dari Abu Khalifah dalam kitab tafsirnya.

3. Abdur Rahman bin Khalaf al-Dhabbi

Abu Muhammad Abdur Rahman bin Khalaf bin Husain al-Dhabbi al-Bashri. Muhadith yang tinggal di Basrah dan periwayatan hadithnya diterima oleh para ulama. Beliau belajar hadith kepada Ubaidillah bin Abdul Majid al-Hanafi, Hajjaj bin Nushair al-Fasathithi dan lain lain. Beliau wafat pada 279H/893M.

4. Sahal bin Nuh al-Basri

Abu Hasan Sahal bin Nuh bin Yahya al-Bazzaz al-Bashri. Seorang Muhadith yang tinggal di Basrah, Guru kepada Imam Asy’ari dalam bidang hadith.

5. Muhammad bi Yaqub al-Maqburi

Menurut al-Hafiz Ibnu Asakir, Imam Asy’ari banyak meriwayatkan hadith dalam tafsirnya melalui jalur Zakariya al-Saji, Abu Khalifah al-Jumahi, Abdur Rahman bin Khalaf al-Dhabbi, Sahal bin Nuh al-Bazzaz dan Muhammad bin Yaqub al-Maqburi yang semuanya tinggal di Bashrah.

6. Imam Abu Ishaq al-Mawarzi asy-Syafie

Abu Ishaq Ibrahim bin Ahmad al-Marwazi, seorang ulama besar dan pemimpin mazhab Syafie di Baghdad dan Mesir. Beliau merupakan murid kanan Imam Abu ‘Abbas bin Suraij al-Baghdadi (249-306H/863-918 M). Pada mulanya Abu Ishaq al-Mawarzi ini menyebaran mazhab Syafie di Baghdad, menggantikan posisi gurunya Ibn Suraij. Namun pada akhir usianya, beliau berpindah ke Mesir dan menyebarkan mazhab Syafie di Mesir, hingga wafat di sana pada tahun 340 H/ 951M dan jenazahnya dimakamkan bersebelahan dengan makam Imam Syafie. al-Hafiz Khatib al-Baghdadi menyebutkan dalam kitabnya Tarikh Baghdad, bahawa Imam al-Asy’ari selalu menghadiri kuliah fiqh mazhab Syafie Abu Ishaq al-Mawarzi setiap hari Jumaat di masjid jami’ al-Manshur. Maklumat lain menyebutkan bahawa Imam Asy’ari belajar ilmu fiqh dari Abu Ishaq al-Mawarzi, sedangkan al-Mawarzi belajar ilmu kalam kepada Imam Asy’ari.

7. Abu Ali al-Jubba’i

Abu Ali Muhammad bin Abdul Wahab bin Salam al-Jubba’i (235-303H/849-916M) merupakan pakar teologi dan tokoh mu’tazilah terkemuka dan pengasas aliran Jubba’iah salah satu aliran dalam mutazillah. Hubungan yang sangat dekat antara guru dan murid ini menjadikan al-Asy’ari menjadi penerus aliran mu’tazilah dan pada akhirnya menjadi salah seorang tokoh mu’tazilah terkemuka. Imam al-Asy’ari memiliki kecerdasan yang luar biasa dan kemampuan yang hebat dalam menundukkan lawan debatnya, sehingga Imam al-Asy’ari kerap mewakili gurunya, al-Jubba’i dalam perdebatan. Al-Jubba’i sering berkata kepada al- Asy’ari : “Gantilah aku dalam perdebatan.”

8. Abu Hasim al-Jubba’i

Abu Hasyim Abdus Salam bin Muhammad bin Abdul Wahab al-Jubba’i (247-321H/861-933M), anak kepada al-Jubba’i, merupakan seorang pakar teologi dan tokoh mu’tazilah. Beliau mendirikan aliran Bashamiyyah, satu aliran dalam mu’tazilah.

Daripada maklumat di atas dapat disimpulkan bahawa al-Asy’ari telah mempelajari ilmu-ilmu keislaman seperti hadith, tafsir, fiqh, usul fiqh dan lain-lain kepada beberapa ulama ahli hadith di kota Basrah, sehingga hal ini menegaskan bahawa Imam al-Asy’ari membesar dalam keluarga yang berfahaman Sunni. Hanya saja perkembangan ini berubah setelah al- Asy’ari berusia 10 tahun dan ibunya berkahwin dengan Abu Ali al-Jubba’I, seorang tokoh muktazilah terkemuka di Basrah. Sejak saat itu al-Asy’ari menekuni aqidah Muktazilah kepada ayah tirinya tersebut sehingga Imam al-Asy’ari benar-benar menjadi pakar terkemuka di kalangan mutazilah.

Kisah keluarnya Imam al-Asy’ari dari Mu’tazilah

Menurut data sejarah yang pernah disampaikan oleh para ulama seperti al-Hafizh Ibn ‘Asakir al-Dimasyqi, Syamsudin Ibnu Kholikan, Imam Tajuddin al-Subki dan lain-lain,  ada 2 sebab yang menyebabkan perpindahan Imam al-Asy’ari daripada fahaman Mu’tazilah kepada Ahlu Sunnah wal Jama’ah.

Pertama: Ketidakpuasan Imam al-Asy’ari terhadap ideologi Mu’tazillah yang selalu mendahulukan akal tetapi selalu menemui jalan buntu dan mudah dipatahkan oleh dalil akal yang sama.

Ketidakpuasan Imam al-Asy’ari dapat dilihat  dengan memperhatikan beberapa hal antara lain dengan memperhatikan riwayat yang menyatakan bahawa sebelum al- Asy’ari keluar dari aliran Mu’tazilah, beliau tidak keluar rumah selama 15 hari, kemudian pada hari Jumaat setelahnya, beliau keluar ke masjid jami’ dan menaiki mimbar dengan berpidato :

“Sebenarnya saya telah menghilang selama 15 hari kerana selama itu saya meneliti semua dalil-dalil yang ada dan ternyata saya tidak menemukan jalan keluar. Dalil yang satu tidak lebih kuat dari pada dalil yang lain lalu aku memohon petunjuk kepada Allah dan ternyata Allah memberikan petunjuk-Nya kepadaku untuk meyakini apa yang saya tulis dalam beberapa kitab ini. Mulai saat ini aku keluar dari ajaran yang selama ini aku yakini.”

Kemudian al-Asy’ari menyerahkan beberapa kitab yang ditulisnya sesuai dengan ajaran Ahlu Sunnah wal Jama’ah kepada orang-orang ramai. Di antaranya adalah kitab al-luma fi al-radd’ala ahl al-zaygh wa al-bida. Kitab ini memaparkan kesilapan kitab Mu’tazilah yang bejudul kasyf al-astar wa hatk al asrar dan kitab-kitab lain. Setelah kitab tersebut dibaca oleh kalangan ahli hadith dan fuqaha daripada kalangan Ahlu Sunnah wal Jama’ah mereka mengambil isinya, menggunakannya sebagai hujah, meyakini kehebatan Imam al-Asy’ari dan menjadikan beliau sebagai rujukan.

Ketidakpuasan al-Asy’ari dengan faham Mu’tazilah tersebut dapat dilihat dengan memperhatikan riwayat lain yang mengisahkan perdebatan beliau dengan al-Jubba’i.

Al-Asy’ari : “Bagaimana pendapatmu tentang nasib 3 orang yang   meninggal dunia;  orang mukmin, orang kafir dan  anak kecil?”

Al-Jubba’i : “Orang mukmin akan memperolehi darjat yang tinggi, orang kafir akan celaka dan anak kecil akan selama.”

Al-Asy’ari : “Mungkinkah anak kecil tersebut meminta darajat yang tinggi kepada Allah?”

Al-Jubba’I : “Tidak mungkin kerena Allah akan berkata kepada anak itu : “Orang mukmin itu memperolehi darjat yang tinggi kerena amalannya, sedangkan kamu belum sempat beramal,  jadi kamu tidak boleh memperolehi darjat itu.”

Al-Asy’ari : “Bagaimana kalau anak kecil itu berkata kepada Allah : “Tuhan, itu bukan salahku. Andaikan aku diberi umur yang panjang tentu aku akan beramal seperti orang mukmin itu.”

Al-Jubba’I : “Tidak mungkin. Allah akan menjawab : “Aku telah mengetahui bahawa apabila kamu diberikan umur panjang maka kamu akan derhaka, sehingga nanti kamu akan diseksa di akhirat kelak. Oleh kerena itu, demi menjaga masa depanmu, kumatikan kamu sewaktu masih kecil sebelum kamu menginjak usia taklif.”

Al-Asy’ari : “Bagaimana seandainya orang kafir tersebut berkata kepada Allah : “Tuhan, engkau telah mengetahui masa depan anak kecil itu dan juga masa depanku, tetapi mengapa engkau tidak memperhatikan masa depanku, dengan mematikan aku sewaktu masih kecil dulu sehingga aku tergolong orang yang selamat seperti anak kecil itu dan mengapa engkau biarkan aku hidup hingga dewasa sehingga aku menjadi kafir dan akhirnya aku diseksa seperti sekarang ini.”

Mendengar pertanyaan Imam al-Asy’ari tersebut al-Jubba’i menemui jalan buntu dan tidak mampu memberikan jawapan. Al-Jubba’i hanya berkata : “Kamu hanya bermaksud merosakkan keyakinan yang telah ada.”

Al-Asy’ari : “Aku tidak bermaksud untuk merosakkan keyakinan yang telah ada tetapi engkau yang tidak mampu menjawab pertanyaanku.”

Kedua: Bermimpi bertemu Nabi Saw.

Suatu ketika pada permulaan bulan Ramadhan, Imam al-Asy’ari tertidur dan bertemu Nabi S.A.W.
Baginda berkata : “Wahai Ali tolonglah bela pendapat-pendapat yang diriwayatkan dariku, kerana itulah yang benar.”

Setelah terbangun dari tidur, Imam al-Asy’ari merasakan mimpi itu sangat berat dalam fikirannya dan beliau terus memikirkan apa yang dia alami dalam mimpi itu.

Pada pertengahan bulan Ramadhan, beliau bermimpi lagi bertemu Nabi S.A.W dan baginda berkata : “Apa yang kamu lakukan dengan perintahku dulu?”

Al-Asy’ari menjawab : “Aku telah cuba memahami pendapat-pendapat yang diriwayatkan darimu.”

Nabi Saw berkata : “Tolonglah bela pendapat-pendapat yang diriwayatkan dariku, kerana itu yang benar.”

Setelah terbangun dari tidurnnya, Imam al-Asy’ari merasa terbeban dengan mimpi itu. Sehingga beliau berasa ingin meninggalkan ilmu kalam dan beliau akan mengikuti hadith dan akan terus membaca al-Qur’an.

Tetapi pada malam 27 Ramadhan, tidak seperti biasanya rasa mengantuk yang begitu hebat menyerang beliau sehingga beliau pun tertidur dengan rasa kesal dalam hatinya, kerena beliau meninggalkan kebiasaannya untuk beribadah kepada Allah. Dalam tidur, beliau bermimpi bertemu lagi dengan  Nabi Saw untuk kali ketiga.

Nabi S.A.W berkata : “Apa yang kamu lakukan dengan perintah ku dulu?”

Al-Asy’ari menjawab : “Aku telah meninggalkan ilmu kalam dan menumpukan sepenuh tumpuanku menekuni al-Qur’an dan hadith.”

Nabi Saw berkata : “Aku tidak menyuruhmu meninggalkan ilmu kalam tetapi aku hanya memerintahkanmu membela pendapat-pendapat yang diriwayatkan dariku, kerana itu yang benar.”

Al-Asy’ari menjawab : “Wahai Rasulullah, bagaimana aku mampu meninggalkan mazhab yang yang telah aku ketahui masalah-masalah dan dalil-dalilnya sejak 30 tahun yang lalu hanya kerana mimpi?”

Nabi Saw berkata : “Andaikan aku tidak tahu bahawa Allah akan menolongmu dengan pertolongan-Nya, tentu aku menjelaskan semua jawapan kepada masalah-masalah(ajaran mu’tazilah)itu. Bersungguh-sungguhlah kamu dalam masalah ini, Allah akan menolongmu dengan pertolongan-Nya”.

Setelah terbangun dari tidurnya al-Asy’ari berkata : “Selain kebenaran pasti hanya kesesatan.”

Lalu beliau mula membela hadith-hadith yang berkenaan dengan ru’yah (melihat Allah di akhirat), syafa’at dan lain-lain. Ternyata setelah itu Imam al-Asy’ari mampu mengemukakan kajian-kajian dan dalil–dalil yang belum pernah dipelajarinya daripada guru-gurunya serta tidak dapat dibantah oleh lawannya dan belum pernah dibacanya dalam suatu kitab.

Kitab-kitab karya Imam Abu Hasan al-Asy'ari

1. Al-Ibanah 'An Usul Al-Diyanah. Kitab ini menurut sebahagian para ulama telah diselewengkan oleh musuh-musuh Islam. Kata Imam Muhammad Zahid Al-Kauthari dalam pendahuluan kitab Tabyin Kazb Al-Muftari: "Dan satu salinan kitab al-Ibanah yang dicetak di India merupakan salinan kitab Ibanah yang telah diubah oleh tangan-tangan yang berdosa. Oleh itu kita berkewajipan mengembalikannya kepada cetakan asal yang dipercayai."



2. Al-Luma' Fi Al-Radd 'Ala Ahli Al-Zaigh Wa Al-Bida'



3. Risalah ila ahli al-thighar



4. Maqalat Al-Islamiyyin Wa Ikhtikaf Al-Mushollin


Adapun kitab-kitab yang lainnya masih diragukan apakah kitab-kitab tersebut adakah karya beliau, akan tetapi kitab-kitab tersebut tetap dijadikan rujukan kerena isinya adalah sesuai dengan akidah Ahlus Sunnah Wal Jama'ah.

Beberapa manhaj Imam Abu Hasan al-Asy’ari dalam beraqidah

Daripada beberapa kitab karya beliau seperti Maqalat Islamiyyin, al-Ibanah, dan Risalah ila ahli thaghir, dapat disimpulkan beberapa perkara pokok dalam akidah iaitu seperti berikut :

1. Beliau berpendapat bahawa fungsi akal manusia atas al-Quran'an dan Sunnah adalah sebagai sebuah alat untuk menyingkap hikmah yang Allah berikan melalui al-Qur'an dan melalui Nabi Muhammad SAW. Dengan bukti-bukti aqliyyah, maka akal adalah penjelas bagi al-Qur'an dan Sunnah kerana pada hakikatnya kewujudan al-Qur'an dan sunnah itu selaras dan sejalan dengan akal yang sihat.

2. Pada mulanya, ilmu kalam tidak begitu diberikan perhatian oleh ulama Islam tetapi kewujudan ilmu kalam itu sangat diperlukan ketika semakin banyak orang yang menyimpang dari manhaj salafus sholih, seperti Mu'tazilah, Hasyawiyah, Qadariyah dan lain-lain. Beliau berpedoman kepada kaedah mala yatimmul wajib illa bihi fahuwa wajib.  Imam al-Subki berkata : “Imam al –Asya’ri tidak pernah berbincang mengenai ilmu kalam kecuali ada dorongan untuk membela agama dan menolak terhadap faham-faham sesat.”

3. Wajib berpegang kepada hadith sahih, baik hadith itu mutawatir ataupun ahad dan mengambil  apa yang telah diamalkan oleh para sahabat. Beliau berkata dalam kitab al-Ibanah: "Dan kami berpedoman pada riwayat yang sahih dari Rasulullah yang diriwayatkan oleh perawi-perawi yang thiqah, yang adil, dari orang yang adil, sampai riwayat itu sambung kepada Rasulullah dan mereka yang dikatakan kufur adalah mereka yang mengingkari hadits mutawatir dan perkara perkara yang maklum minad din bid doruroh.

Beliau berpandangan bahawa al-Qur'an tidak dapat dinasakh kecuali dengan al-Quran, dan Sunnah tidak dapat dinasakh kecuali dengan Sunnah pula, maka apabila ada sunnah lalu menaskah al-Qur'an maka Sunnah tersebut harus ada al-Qur'an yang menguatkan penasakhan tersebut, dan begitu pula sebaliknya. Hal ini sesuai dengan mazhab Imam Syafi'e.

4. Setiap ayat-ayat yang mutasyabihat (ayat-ayat yang membawa kesamaran bahawa Allah menyerupai makhluk) baik sifat mahupun af'al, maka kita wajib menyerahkan (tafwidh) maknanya kepada Allah S.W.T dan menyucikan Allah S.W.T daripada menyerupai makhluk. Manakala konsep takwil juga turut digunapakai dalam memahami ayat-ayat mutasyabihat.

Penjelasan Syeikh Dr Hamzah al-Bakri Tentang Kitab al-Ibanah:







Tiada ulasan:

Catat Ulasan