Imam al-Nawawi menukilkan dalam al-Majmu’:
قال الشافعي والاصحاب يستحب للساجدان يُفَرِّجَ بَيْنَ رُكْبَتَيْهِ وَبَيْنَ قَدَمَيْهِ قَالَ الْقَاضِي أَبُو الطَّيِّبِ فِي تَعْلِيقِهِ قَالَ أَصْحَابُنَا يَكُونُ بَيْنَ قَدَمَيْهِ قَدْرُ شِبْرٍ
“Al-Syafi’e dan para pengikutnya berkata: Disunatkan bagi orang yang bersujud untuk menjarakkan antara dua lututnya dan antara dua kakinya. Al-Qadhi Abu al-Tayyib berkata dalam kitab Ta’liqah: Ulama kami berkata: Hendaklah jarak antara dua kaki tersebut sekadar sejengkal.”
Ini berdasarkan hadis:
وَإِذَا سَجَدَ فَرَّجَ بَيْنَ فَخِذَيْهِ
“Apabila baginda sujud, baginda akan menjarakkan antara
dua pahanya.”
Riwayat Abu Daud (735).
Al-Syaukani berkata dalam Nail al-Author: “(Termasuklah)
menjarakkan antara dua lutut dan dua kakinya.”
Al-Syaukani berkata lagi: “Hadis ini menunjukkan
disyariatkan menjarakkan antara dua paha ketika sujud...dan tiada khilaf
tentang perkara tersebut.”
Adapun hadis tentang merapatkan dua tumit:
راصّاً عقبيه
“Baginda merapatkan kedua tumitnya (ketika sujud)”
Hadis ini diriwayatkan Ibnu Khuzaimah dalam Sahihnya,
Ibnu Hibban dalam Sahihnya, al-Hakim dalam al-Mustadrak,
al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra dan lain-lain.
Al-Hakim mensahihkannya menurut syarat al-Bukhari dan Muslim.
Ibnu al-Mulaqqin turut mensahihkan sanadnya dalam al-Badr al-Munir. Ibnu
Abdil Barr dalam al-Tamhid mengatakan ia sahih dan sabit.
Saya tidak pasti kenapa ulama tidak mengambil hukum daripada
hadis ini. Cuma ulama aliran Salafi seperti Ibnu ‘Uthaimin dan al-Albani yang
berpegang dengan hadis ini.
Setelah itu baru saya temui ulasan Syeikh Bakr Abu Zaid
dalam kitab La Jadid Fi Ahkam al-Salah yang menyebutkan bahawa walaupun
hadis ini pada asalnya terdapat dalam Sahih Muslim, namun tambahan
tentang Nabi SAW merapatkan tumitnya ketika sujud itu tidak ada.
Sebaliknya penambahan tersebut dibawa oleh seorang perawi
yang bernama Yahya bin Ayyub al-Misri yang ulama hadis berbeza pendapat tentangnya
antara yang menthiqahkannya dan menkritiknya. Al-Hakim sendiri walaupun
mensahihkan hadis ini beliau menyebutkan:
“Aku tidak ketahui seorang pun yang menyebutkan tentang merapatkan
tumit ketika sujud melainkan yang terdapat dalam hadis ini.”
Menurut Syeikh Bakr Abu Zaid, ucapan al-Hakim ini
menunjukkan penambahan tersebut adalah syaz dan munkar.
Begitu juga tidak ada sebarang riwayat daripada Sahabat dan orang
selepas mereka yang menyebutkan merapatkan tumit ketika sujud. Oleh itu yang
disyariatkan adalah merenggangkan tumit ketika sujud kerana mengekali hukum asal
sebagaimana disyariatkan merenggangkan kaki ketika qiyam dalam solat.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan