Saya kumpulkan beberapa buah riwayat yang menunjukkan selawat tidak akan ditolak dan yang semakna dengannya. Perinciannya seperti berikut:
Hadis Pertama
كُلُّ الْأَعْمَالِ فِيهَا الْمَقْبُولُ
وَالْمَرْدُودُ إِلَّا الصَّلَاةَ عَلَيَّ فَإِنَّهَا مَقْبُولَةٌ غَيْرَ
مَرْدُودَةٍ.
“Setiap amalan itu ada yang diterima dan ada
yang ditolak kecuali selawat ke atasku. Sesungguhnya ia diterima tanpa
ditolak.”
Status
Hadis
Hadis ini tidak
diketahui sumber asal baginya.
Al-Hafiz Al-Sakhawi
dalam al-Maqasid al-Hasanah (no. 816) menukilkan daripada guru
beliau, al-Hafiz Ibnu Hajar yang menilainya sebagai sangat daif tetapi sumber
asal baginya tidak disebutkan dan tidak ada mana-mana ulama lain yang
menyatakan sumber asalnya.
Mulla ‘Ali al-Qari
dalam al-Asrar al-Marfu’ah (no. 345) berkata:
“(Ibnu Hajar)
al-‘Asqalani berkata ianya sangat daif tetapi beliau tidak menyatakan (nama) seorang
pun yang meriwayatkannya dan tidak menyebutkan sanadnya supaya dapat menjadi sanad pegangan.”
Hadis Kedua
عُرِضَتْ عَلَيَّ أَعْمَالُ أُمَّتي فَوَجَدْتُ
مِنْهَا المَقْبُولَ وَالمَرْدُودَ إِلاَّ الصَّلاَةَ عَلَيَّ.
"Ditunjukkan kepadaku amalan umatku. Aku mendapati ada diantaranya yang
diterima dan ada yang ditolak kecuali selawat ke atasku.
Status
Hadis
Hadis ini juga tidak
ditemui sumber asal baginya.
Al-Hafiz al-Sayuthi
dalam al-Durar al-Muntathirah (no. 298) berkata:
“Aku tidak temui
sanad baginya.”
Apabila seorang ahli
hadis bertaraf al-Hafiz tidak menemui atau tidak mengetahui sanad bagi sesuatu
hadis, maka sudah memadai untuk menafikan kewujudan hadis tersebut. Al-Hafiz
al-Sayuthi menyebutkan dalam Tadrib al-Rawi:
“Jika seorang al-Hafiz, al-Mutthali’ (yang
luas telaahnya), al-Naqid (seorang pakar hadis) berkata pada sesuatu hadis ‘aku
tidak mengetahuinya’ dipegang pada perkataanya pada menafikannya (yakni dinafikan
kewujudan hadis tersebut, sebagaimana yang disebutkan oleh Syeikh al-Islam (al-Hafiz
Ibnu Hajar).”
Hadis Ketiga
الصلاةُ على النبيِّ لا تردُ.
“Selawat
ke atas Nabi tidak akan ditolak.”
Dalam lafaz yang lain:
الصَّلاةُ على النَّبِيِّ صلَّى اللَّهُ عليهِ وسلَّم
مقبولَةٌ.
“Selawat ke atas Nabi sallahu ‘alaihi wasallam diterima.”
Dalam lafaz yang
lain:
إنَّ اللَّهَ يقبلُ الصَّلاةَ على النَّبيِّ صلَّى اللَّهُ عليهِ وسلَّمَ.
“Sesungguhnya Allah menerima selawat ke atas
Nabi sallahu ‘alaihi wasallam.”
Status
Hadis
Tidak benar
dinisbahkan kalam ini kepada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam.
Al-Syaukani
dalam al-Fawaid al-Majmu’ah (hlm. 328, tahqiq: al-Mu’allimi) berkata:
“Tidak
sahih memarfu’kannya (kepada Rasulullah).”
Sebaliknya
ia adalah kalam Abu Sulaiman al-Darani sebagaimana yang dimaklumkan oleh
al-Hafiz al-Sakhawi dalam al-Maqasid al-Hasanah (no. 631). Dalam al-Qaul
al-Badi’ (hlm. 435, tahqiq: ‘Awwamah) pula, al-Sakhawi menyatakan
bahawa Al-Namiri meriwayatkannya dengan dua lafaz:
Pertama
من أراد أن يسأل الله حاجته
فليبدأ بالصلاة على النبي صلى الله عليه وسلم ويسأل حاجته وليختم بالصلاة على
النبي صلى الله عليه وسلم إن الله يتقبل الصلاة وهو أكرم من أن يرد ما يبنهما.
“Sesiapa yang ingin memohon kepada Allah hajatnya, maka
mulakanlah dengan berselawat ke atas Nabi sallahu ‘alaihi wasallam lalu
mintalah hajatnya dan akhirilah dengan selawat ke atas Nabi sallahu ‘alaihi
wasallam. Sesunggunya Allah menerima selawat dan dia lebih Maha Pemurah daripada
menolak doa yang berada di antara keduanya.”
Kedua
إذا أرادت أن تسأل الله حاجة
فصل على محمد ثم سل حاجتك ثم صل على النبي صلى الله عليه وسلم - فإن الصلاة على
النبي صلى الله عليه وسلم مقبولة والله عز وجل أكرم من أن يرد ما بينهما.
“Apabila
kami ingin meminta kepada Allah sesuatu hajat, maka berselawatlah ke atas
Muhammad, kemudian mintalah hajat kamu itu. Setelah itu, berselawatlah ke atas
Nabi sallahu ‘alaihi wasallam kerana sesungguhnya selawat ke Atas Nabi sallahu ‘alaihi
wasallam itu diterima dan Allah lebih Maha Pemurah daripada menolak doa yang
berada di antara keduanya.”
Al-‘Ajluni
dalam Kasyf al-Khafa (no. 1620) pula mengatakan bahawa Ibnu al-Jazari
dalam al-Hisn al-Hasin menbawakannya dengan lafaz:
إِذَا سَأَلْتَ
اللَّهَ حَاجَةً فَابْدَأْهُ بِالصَّلَاةِ عَلَى النَّبِيِّ ثُمَّ ادْعُ بِمَا
شِئْتَ ثُمَّ اخْتِمْ بِالصَّلَاةِ عَلَيْهِ فَإِنَّ اللَّهَ سُبْحَانَهُ
بِكَرَمِهِ يَقْبَلُ الصَّلَاتَيْنِ وَهُوَ أَكْرَمُ مِنْ أَنْ يدع مَا بَينهمَا
“Apabila kamu ingin meminta kepada Allah
sesuatu hajat maka mulakanlah dengan berselawat ke atas Nabi, kemudian
berdoalah apa yang kamu kehendaki. Kemudian akhirilah dengan berselawat ke atas
Nabi. Sesungguhnya Allah dengan sifat pemurahNya akan menerima dua selawat tersebut dan Dia lebih Maha Pemurah daripada menolak
doa yang berada di antara dua selawat itu.”
Abu
Sulaiman al-Darani tersebut nama sebenarnya ialah Abdul Rahman bin Ahmad bin ‘Athiyyah.
Beliau seorang tokoh tabi’ tabi’in yang terkenal dengan kezuhudan. Dilahirkan
sekitar tahun 140 Hijrah dan meninggal dunia pada 205 Hijrah atau 215 Hijrah.
Hadis Keempat
إِذَا سَأَلْتُم الله حَاجَة فابدوؤا بَالصَّلَاةُ
عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَإِنَّ اللَّهَ أَكْرَمُ
مِنْ أَنْ يُسْأَلَ حَاجَتَيْنِ فَيَقْضِيَ إِحْدَاهُمَا وَيَرُدَّ الْأُخْرَى.
“Apabila kamu semua ingin meminta kepada Allah sesuatu hajat maka
mulakanlah dengan berselawat ke atas Nabi sallahu ‘alaihi wasallam kerana sesungguhnya
Allah itu lebih Maha Pemurah daripada hanya mengurniakan salah
satu hajat sahaja dan menolak yang lain apabila diminta dua hajat (daripadaNya).”
Status
Hadis
Ini adalah
ucapan Abu al-Darda’.
Al-Hafiz
al-Iraqi dalam Takhrij al-Ihya’ berkata:
“Aku
tidak mendapatinya marfu’, sebaliknya ia adalah mauquf atas Abu al-Darda’.
Al-Hafiz al-Sakhawi dalam al-Maqasid al-Hasanah (no.
631) pula berkata:
“(Disebutkan) dalam
al-Ihya’ secara marfu’ yang aku tidak temui ia (sumbernya), sebaliknya ia
adalah perkataan Abu al-Darda’.”
Hadis Kelima
الصَّلَاة عَلَيْهِ صلى الله عَلَيْهِ وَسلم لَا
يُبْطِلهَا الْرِيَاء.
“Selawat ke atas Nabi tidak akan dirosakkan dengan riyak.”
Status
Hadis
Palsu dan
tidak ada asal baginya.
Syeikh Muhammad
Darwish al-Hut dalam Asna al-Mathalib (no. 842) berkata:
“Ia disebutkan oleh
sebahagian ulama dan ianya tidak sahih kerana sesungguhnya riyak boleh merosakkan
seluruh amalan. Bagaimana boleh dihadiahkan kepada nabi perkara yang buruk (selawat
dengan riya) sedangkan baginda itu baik lagi suci (daripada dosa).”
Kesimpulan
Tidak ada riwayat yang marfu' (berasal daripada Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam) bahawa selawat itu langsung tidak akan ditolak sebaliknya riwayat yang ada adalah daripada ucapan sahabat iaitu Abu al-Darda' dan ucapan tabi' tabi'in iaitu Abu Sulaiman al-Darani.
*Tulisan ini saya telah kemas kini semula pada 13/11/2022. Semoga bermanfaat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan