Sabtu, 7 Julai 2018

Keajaiban Hafalan Imam al-Bukhari

Ketajaman Hafalan al-Bukhari di Usia Kanak-Kanak

Muhammad bin Abi Hatim al-Warraq berkata: Aku telah mendengar Hasyid bin Isma'il dan seorang yang lain berkata:

“Abu 'Abdillah Muhammad bin Isma'il al-Bukhari sering berulang-alik bersama kami ke (majlis) para syeikh di Basrah ketika beliau masih seorang kanak-kanak. Beliau tidak menulis (apa-apa). Keadaan itu berlanjutan selama beberapa hari.

Maka kami pun berkata kepadanya: Sesungguhnya engkau berulang-alik bersama kami tetapi tidak menulis. Apakah tujuanmu pada apa yang engkau lakukan ini?

Lalu pada suatu hari, selepas enam belas hari, beliau berkata kepada kami: Sesungguhnya kamu berdua telah banyak bertanya dan mendesakku. Maka, bentangkanlah kepadaku apa yang telah kamu berdua tulis.

Lalu kami pun mengeluarkan apa yang ada pada kami, yang jumlahnya melebihi 15 ribu hadis. Maka beliau membacakan kesemuanya melalui hafalan, sehinggakan kami terpaksa membetulkan kitab-kitab kami berdasarkan hafalannya!

Kemudian beliau berkata: Adakah kamu berdua menyangka bahawa aku berulang-alik secara sia-sia dan membazirkan hari-hariku?! 

Maka kami pun mengetahui (sejak itu) bahawa tiada siapa yang dapat mendahuluinya.”

Menulis Hadis Daripada Hafalan

Muhammad bin al-Azhar al-Sijzi berkata:

“Aku berada di Basrah, di majlis Sulaiman bin Harb. Al-Bukhari duduk tanpa menulis. Lalu aku bertanya kepada sebahagian mereka (yang hadir): Mengapakah Abu 'Abdillah (al-Bukhari) tidak menulis?

Maka dia menjawab: Beliau akan kembali ke Bukhara lalu menulisnya daripada hafalannya.”

Tawaduk al-Bukhari dalam Ilmu dan Catatannya

Abu Muhammad 'Abdullah bin Muhammad bin 'Umar al-Adib berkata: Aku telah mendengar Ahayd bin Abi Ja'far, gabenor Bukhara, berkata:

“Pada suatu hari Muhammad bin Isma'il berkata: Betapa banyak hadis yang telah aku dengar di Basrah, lalu aku menulisnya di Syam. Betapa banyak hadis yang telah aku dengar di Syam, lalu aku menulisnya di Mesir.

Beliau ('Abdullah) berkata: Lalu aku bertanya kepadanya: Wahai Abu 'Abdillah, (adakah engkau menulisnya) dengan lengkap keseluruhannya?

Beliau ('Abdullah) berkata: Maka dia (al-Bukhari) pun terdiam.”

Diamnya al-Bukhari tersebut mungkin kerana sikap tawaduknya yang tidak ingin menunjuk-nunjuk kelebihan dirinya.

Hafalan Sempurna Terhadap Kandungan Sahih al-Bukhari

Muhammad bin Yusuf al-Firabri berkata: Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Abi Hatim, beliau berkata:

"Aku bertanya kepada Abu 'Abdillah Muhammad bin Isma'il: Adakah tuan menghafal kesemua apa yang telah tuan masukkan ke dalam al-Musannaf (yakni Sahih al-Bukhari)?

Maka beliau menjawab: Tidak ada satu pun yang tersembunyi daripadaku daripada kesemua apa yang ada di dalamnya.”

Kanak-Kanak yang Menghafal 70 Ribu Hadis

Muhammad bin Yusuf al-Firabri berkata: Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Abi Hatim al-Warraq, beliau berkata: Aku telah mendengar Sulaim bin Mujahid berkata:

“Aku berada di sisi Muhammad bin Sallam al-Bikandi. Lalu beliau berkata kepadaku: Kalaulah engkau datang lebih awal, nescaya engkau akan melihat seorang kanak-kanak yang menghafal 70 ribu hadis!

Beliau (Sulaim) berkata: Maka aku pun keluar mencarinya sehinggalah aku menemuinya. Lalu aku bertanya: Adakah engkau orang yang mengatakan: Aku menghafal 70 ribu hadis?

Beliau (al-Bukhari) menjawab: Ya, dan lebih banyak daripada itu. Tidak aku datangkan kepadamu satu hadis pun daripada para sahabat atau tabiin, melainkan aku mengetahui tempat kelahiran majoriti mereka, waktu kewafatan mereka, dan tempat tinggal mereka. Tidak aku riwayatkan satu hadis pun daripada hadis para sahabat atau tabiin, melainkan aku mempunyai asal (sumber) mengenainya, yang aku hafal sebagaimana hafalan terhadap Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah.”

Ilmu Sanad daripada Seribu Guru

Muhibb bin Sulaim meriwayatkan, daripada Ja'far bin Muhammad al-Qattan, beliau berkata: Aku telah mendengar Muhammad bin Isma'il (al-Bukhari) berkata:

Aku telah menulis (hadis) daripada 1000 orang syeikh (guru) atau lebih. Daripada setiap seorang daripada mereka, (aku menulis) 10 ribu (hadis) atau lebih. Tiada satu hadis pun di sisiku, melainkan aku dapat menyebutkan sanadnya.”

Keajaiban Hafalan al-Bukhari di Basrah

Abu Muhammad 'Abdullah bin Muhammad bin Ibrahim al-Daghuni berkata: Aku telah mendengar Yusuf bin Musa al-Marwarrudzi berkata:

“Aku berada di Basrah, di dalam masjid jami'nya. Tiba-tiba aku mendengar seorang penyeru menyeru: Wahai ahli ilmu, sesungguhnya Muhammad bin Isma'il al-Bukhari telah tiba! Maka mereka pun bangun mencarinya, dan aku turut bersama mereka. Lalu kami melihat seorang lelaki muda, yang belum ada sehelai uban pun pada janggutnya, sedang solat di belakang sebuah tiang.

Apabila beliau selesai solat, mereka mengerumuninya dan memintanya untuk mengadakan majlis imlak (pengajaran hadis untuk ditulis) untuk mereka. Beliau pun bersetuju. Lalu penyeru itu pun bangun kali kedua dan menyeru di masjid jami' Basrah: Sesungguhnya Abu 'Abdillah Muhammad bin Isma'il al-Bukhari telah tiba. Kami telah memintanya untuk mengadakan majlis imlak, dan beliau telah bersetuju untuk mengadakannya esok di tempat sekian-sekian.

Beliau (Yusuf) berkata: Apabila tiba keesokan harinya, hadirlah para fuqaha, para muhaddithin, para huffaz (pakar-pakar hadis), dan para ahli nazar (pemikir), sehingga berkumpullah hampir sekian-sekian ribu orang.

Lalu Abu 'Abdillah Muhammad bin Isma'il pun duduk untuk memulakan imlak. Sebelum beliau mula mengimlakkan (hadis), beliau berkata: Wahai penduduk Basrah, aku seorang pemuda, dan kamu semua telah memintaku untuk menyampaikan hadis kepada kamu. Aku akan sampaikan kepada kamu hadis-hadis daripada (riwayat) penduduk negeri kamu sendiri, yang mana kamu semua akan mendapat faedah.

Maka orang ramai pun terdiam kehairanan dan takjub dengan kata-katanya!

Kemudian beliau mula mengimlakkan, lalu berkata: Telah menceritakan kepada kami 'Abdullah bin 'Uthman bin Jabalah bin Abi Rawwad al-'Ataki, orang negerimu, beliau berkata: Telah menceritakan kepada kami bapaku, daripada Syu'bah, daripada Mansur dan selainnya, daripada Salim bin Abi al-Ja'd, daripada Anas bin Malik: bahawa seorang Arab Badwi telah datang kepada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam, lalu berkata: Wahai Rasulullah, seseorang itu mencintai sesuatu kaum... lalu beliau menyebutkan hadis: Seseorang itu akan bersama orang yang dicintainya.

Kemudian Muhammad bin Isma'il berkata: Hadis ini tidak ada di sisi kamu (dengan sanad ini), sesungguhnya yang ada di sisi kamu adalah daripada (riwayat) selain Mansur daripada Salim.

Yusuf bin Musa berkata: Beliau (al-Bukhari) mengimlakkan kepada mereka satu majlis dengan cara sebegini. Pada setiap hadis, beliau akan berkata: Syu'bah meriwayatkan hadis ini di sisi kamu begini, adapun daripada riwayat si fulan, ia tidak ada di sisi kamu. Atau perkataan yang seumpama maknanya.”

Ini adalah satu peristiwa yang menakjubkan lagi mengagumkan, yang menunjukkan bahawa al-Bukhari telah menghafal, menguasai, dan memantapkan hadis penduduk Basrah, sedangkan ia adalah sebuah kota besar yang penuh sesak dengan para ulama. Beliau mengetahui bahawa tiada seorang pun daripada kalangan orang Basrah yang meriwayatkan hadis-hadis ini melalui jalan-jalan perawi yang telah beliau sandarkan hadis-hadis tersebut daripadanya. Ini mengesahkan kebenaran perkataan Imam al-Bukhari: “Tidak aku tinggalkan satu hadis pun di Basrah melainkan telah aku tulis.”

Hafalan Seperti Menyaksikan 200 Ribu Hadis dalam Kitab

'Ali bin al-Husain bin 'Asim al-Bikandi berkata:

“Telah datang kepada kami Muhammad bin Isma'il (al-Bukhari), lalu kami berkumpul di sisinya. Tidak ada seorang pun daripada kalangan para syeikh yang tidak hadir. Lalu kami saling berbincang (mengenai hadis) di sisinya. Maka seorang lelaki daripada kalangan sahabat kami – aku rasa dia Hamid bin Hafs – berkata: Aku telah mendengar Ishaq bin Rahawayh berkata: Seolah-olah aku dapat melihat 70 ribu hadis daripada kitabku (melalui ingatanku)!

Beliau ('Ali) berkata: Lalu Muhammad bin Isma'il berkata: Adakah engkau takjub dengan ini? Mungkin pada zaman ini ada orang yang dapat melihat 200 ribu hadis daripada kitabnya!

Sesungguhnya yang dimaksudkannya ialah dirinya sendiri (yakni al-Bukhari).”

Menghafal 100 Ribu Hadis Sahih dan 200 Ribu Tidak Sahih

Abu Ahmad 'Abdullah bin 'Adi al-Hafiz berkata: Telah menceritakan kepadaku Muhammad bin Ahmad al-Qumisi, beliau berkata: Aku telah mendengar Muhammad bin Hamduwayh berkata: Aku telah mendengar Muhammad bin Isma'il berkata:

“Aku menghafal seratus ribu hadis sahih, dan aku menghafal dua ratus ribu hadis yang tidak sahih.”

Dituduh Tidak Pandai Solat, Lalu Menawarkan 10 Ribu Hadis tentang Solat

Muhammad bin Abi Hatim al-Warraq berkata: Aku telah mendengar Abu 'Abdillah (al-Bukhari) berkata:

“Aku berada di Naisabur duduk (mengajar) di masjid jami'. Lalu 'Amr bin Zurarah dan Ishaq bin Rahawayh pergi bertemu Ya'qub bin 'Abdillah, gabenor Naisabur, lalu mereka memberitahunya tentang kedudukanku (sebagai pengajar). Maka dia (gabenor) memberikan alasan kepada mereka dan berkata: Kebiasaan kami ialah, apabila dilaporkan kepada kami seorang asing yang tidak kami kenali, kami akan menahannya sehinggalah jelas kepada kami perihalnya.

Maka sebahagian mereka berkata kepadanya (al-Bukhari): Telah sampai kepadaku bahawa dia (gabenor) berkata kepadamu: Engkau tidak pandai solat, maka bagaimana engkau boleh duduk mengajar?!

Lalu beliau (al-Bukhari) berkata: Kalaulah dikatakan kepadaku sesuatu seperti ini, nescaya aku tidak akan bangkit dari majlis itu sehinggalah aku meriwayatkan 10 ribu hadis mengenai solat sahaja!”

Ujian Besar di Baghdad dan Ketepatan Hafalannya yang Mengagumkan

Abu Ahmad 'Abdullah bin 'Adi al-Hafiz berkata: Aku telah mendengar beberapa orang syeikh menceritakan:

“Muhammad bin Isma'il al-Bukhari telah tiba di Baghdad. Lalu para ahli hadis mendengar tentangnya, maka mereka pun berkumpul. Mereka mengambil 100 buah hadis, lalu mereka menukar-balikkan matan dan sanadnya. Mereka menjadikan matan bagi sanad ini untuk sanad yang lain, dan sanad bagi matan ini untuk matan yang lain. Mereka menyerahkannya kepada 10 orang lelaki, setiap seorang (diberikan) 10 buah hadis. Mereka memerintahkan mereka, apabila mereka hadir di majlis itu, agar mereka mengemukakan (soalan) itu kepada al-Bukhari. Mereka pun menetapkan waktu untuk majlis tersebut.

Maka hadirlah ke majlis itu sekumpulan ahli hadis dari kalangan orang luar, dari Khurasan dan selainnya, serta dari kalangan penduduk Baghdad. Apabila majlis itu telah tenang dengan para hadirinnya, seorang lelaki daripada sepuluh orang itu pun bangun menghadapnya, lalu bertanya tentang sebuah hadis daripada hadis-hadis yang telah ditukar-balikkan itu. Al-Bukhari berkata: Aku tidak mengetahuinya. Lelaki itu bertanya lagi tentang hadis yang lain, beliau berkata: Aku tidak mengetahuinya. Lelaki itu terus mengemukakan kepadanya satu demi satu sehinggalah dia selesai daripada sepuluh hadisnya, dan al-Bukhari (tetap) berkata: Aku tidak mengetahuinya.

Maka orang-orang yang faham di kalangan hadirin majlis itu saling berpaling antara satu sama lain dan berkata: Lelaki ini telah faham (akan helah mereka)!

Sesiapa yang selain daripada itu, akan menghukum al-Bukhari sebagai seorang yang lemah, kekurangan dan kurang faham.

Kemudian bangunlah seorang lelaki lain daripada 10 orang itu, lalu bertanya tentang sebuah hadis daripada hadis-hadis yang telah ditukar-balikkan itu. Al-Bukhari berkata: Aku tidak mengetahuinya. Lelaki itu bertanya lagi tentang hadis yang lain, beliau berkata: Aku tidak mengetahuinya. Lelaki itu bertanya lagi tentang hadis yang lain, beliau berkata: Aku tidak mengetahuinya. Dia terus mengemukakan kepadanya satu demi satu sehinggalah dia selesai daripada 10 hadisnya, dan al-Bukhari (tetap) berkata: Aku tidak mengetahuinya.

Kemudian bangunlah orang yang ketiga dan keempat, sehinggalah selesai kesepuluh-sepuluh orang itu. Sehingga mereka semua selesai daripada hadis-hadis yang telah ditukar-balikkan itu, dan al-Bukhari tidak menambah apa-apa selain: Aku tidak mengetahuinya.

Apabila al-Bukhari mengetahui bahawa mereka telah selesai, beliau berpaling kepada orang yang pertama daripada mereka dan berkata: Adapun hadismu yang pertama, ia adalah begini (sanad dan matan yang betul). Hadismu yang kedua, ia adalah begini. Yang ketiga dan keempat secara berturut-turut, sehinggalah beliau selesai dengan kesemua 10 hadis. Beliau mengembalikan setiap matan kepada sanadnya, dan setiap sanad kepada matannya. Beliau melakukan perkara yang sama kepada yang lain-lainnya. Beliau mengembalikan matan-matan kesemua hadis kepada sanad-sanadnya, dan sanad-sanadnya kepada matan-matannya.

Maka orang ramai pun mengakui kekuatan hafalannya, dan tunduk akan kelebihannya.”

Al-Hafiz Ibn Hajar telah mengemukakan kisah ini secara keseluruhannya di dalam al-Nukat 'ala Kitab Ibn al-Salah dengan sanadnya hingga kepada Ibn 'Adi, melalui jalan gurunya, al-Hafiz Abu al-Fadl 'Abd al-Rahim bin al-Husain al-'Iraqi. Beliau menukilkan ulasan gurunya lalu berkata:

“Aku telah mendengar guru kami lebih daripada sekali berkata: Bukanlah suatu yang menghairankan akan pengetahuan al-Bukhari tentang yang salah daripada yang benar dalam hadis-hadis, kerana luasnya pengetahuannya. Akan tetapi, yang menghairankan daripadanya dalam hal ini ialah kerana beliau dapat menghafal susunan hadis-hadis yang salah itu melalui sekali dengar sahaja!”

Al-Hafiz Ibn Hajar menyebutkannya juga di dalam Taghliq al-Ta'liq dan Huda al-Sari, dan beliau mengulasnya lalu berkata:

“Aku berkata: Di sinilah orang tunduk kepada al-Bukhari. Bukanlah suatu yang menghairankan tindakannya membetulkan yang salah kepada yang benar, kerana sesungguhnya beliau seorang penghafal. Akan tetapi, yang menghairankan ialah hafalannya terhadap (susunan) yang salah itu mengikut urutan yang mereka sampaikan kepadanya melalui sekali dengar sahaja.”

Al-Hafiz al-Sakhawi berkata selepas mengemukakan kisah tersebut: “Kemudian, sesungguhnya bukanlah sesuatu yang menghairankan hafalan al-Bukhari terhadapnya, dan kepekaannya untuk membezakan yang benar daripadanya daripada yang salah, kerana beliau dalam (bidang) hafalan berada pada kedudukan yang tinggi. Akan tetapi, yang menghairankan ialah hafalannya terhadap urutan (hadis-hadis salah itu) sepertimana ia disampaikan kepadanya melalui sekali dengar sahaja!”

Kegagalan 400 Penuntut Hadis Mengelirukan Imam al-Bukhari

Muhammad bin Abi Hatim al-Warraq berkata: Aku telah mendengar Sulaim bin Mujahid berkata: Aku telah mendengar Abu al-Azhar berkata:

“Dahulu di Samarqand, terdapat 400 orang penuntut hadis. Lalu mereka berkumpul selama 7 hari, dan mereka berniat untuk mengelirukan Muhammad bin Isma'il.

Maka, mereka memasukkan sanad Syam ke dalam sanad Iraq, dan sanad Iraq ke dalam sanad Syam, dan sanad Yaman ke dalam sanad Haramain (Makkah dan Madinah). Namun, mereka tidak dapat menemui walau satu kesilapan pun daripada al-Bukhari, baik pada sanad mahupun pada matan.”

Sumber:

Imam al-Bukhari: Ustaz al-Ustazin wa Imam al-Muhaddithin wa Hujjah al-Mujtahidin wa Sahib al-Jami‘ al-Musnad al-Sahih oleh ‘Abd al-Sattar al-Syaikh.

Imam al-Bukhari Menegur Gurunya Ketika Berusia 11 Tahun


Muhammad bin Abi Hatim berkata:

Aku bertanya kepada Abu 'Abdillah (al-Bukhari): "Bagaimana kamu mula menuntut ilmu?"

Beliau menjawab: "Aku diilhamkan untuk menghafal hadis ketika aku berada di kuttab (sekolah rendah/tadika)."

Aku bertanya: "Umur berapakan kamu ketika itu?"

Beliau menjawab: "10 tahun atau kurang. Kemudian aku keluar dari kuttab selepas umur 10 tahun. Aku berulang-alik belajar dengan al-Dakhili dan orang lain selain beliau. Suatu hari beliau membaca (sanad hadis) kepada orang ramai: Sufyan (meriwayatkan hadis) daripada Abi al-Zubair daripada Ibrahim. Aku berkata kepada beliau (al-Dakhili): Abu al-Zubair tidak meriwayatkan daripada Ibrahim. Beliau lalu memarahiku. Aku berkata kepadanya: Rujuk semula kitab kamu. Beliau masuk ke dalam (rumahnya) dan melihat kitab beliau lalu keluar. Beliau berkata kepadaku: Wahai budak, siapa dia (perawi yang sebenar)? Aku menjawab: Dia ialah al-Zubair bin 'Adi daripada Ibrahim. Beliau lalu mengambil pena daripadaku dan membetulkan kitabnya lalu berkata: Engkau betul."

Ditanya kepada Imam al-Bukhari: "Ketika umur berapakah kamu menegur al-Dakhili"

Beliau menjawab: "11 tahun."

[Siyar A'lam al-Nubala', al-Zahabi, jil. 12, hlm. 393, c: Muassasah al-Risalah]


Jumaat, 6 Julai 2018

Hadis Palsu: Selawat 10 Kali Seperti Selawat Seluruh Makhluk

Al-Imam as-Suyuthi dalam kitabnya, Jam'u al-Jawami', menceritakan tentang satu riwayat daripada Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq r.a., beliau berkata :

"Aku pernah duduk di sisi Rasulullah saw, lalu seorang lelaki datang kepada Nabi saw dan memberi salam kepada Baginda Nabi, lalu Baginda menjawab salamnya."

"Wajah Baginda berseri-seri dan menyuruhnya duduk di sisi Baginda saw. Setelah lelaki itu menyelesaikan hajatnya dengan Rasulullah saw, lalu beredar, Baginda bersabda :"

"Wahai Abu Bakar, amalan lelaki ini pada setiap hari diangkat (ke langit) seperti amalan seluruh penduduk Bumi."

Aku (Abu Bakar) bertanya : "Bagaimanakah boleh begitu?"

Baginda menjawab : "Sesungguhnya pada waktu pagi, dia berselawat ke atasku 10 kali seperti selawat seluruh makhluk."

Aku (Abu Bakar) bertanya lagi : "Bagaimanakah boleh begitu?"

Baginda bersabda : "Dia membaca (selawat ini):

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ(نِ) النَّبِيِّ عَدَدَ مَنْ صَلَّى عَلَيْهِ مِنْ خَلْقِكَ،

وَصَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ(نِ) النَّبِيِّ كَمَا يَنْبَغِي لَنَا أَنْ نُّصَلِّيَ عَلَيْهِ،

وَصَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ(نِ) النَّبِيِّ كَمَا أمَرْتَنَا أَن نُّصَلِّيَ عَلَيْهِ.

 [Riwayat ad-Daruquthni]

Dipetik daripada buku : Amalan Orang Soleh susunan al-Fadhil Ustaz Muhadir Haji Joll as-Sanariy hafizahullah.

Ulasan:

Hadis ini diriwayatkan oleh al-Daraqutni dalam al-Afrad melalui sanad:

Sulaiman bin al-Rabi’ al-Nahdi daripada Kadih bin Rahmah al-Zahid daripada Ibnu Lahi’ah al-Hadhrami daripada Salim bin ‘Amir daripada Ausath bin ‘Amru al-Bajali daripada Abu Bakar al-Siddiq daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam:

 كُنْتُ عند النبي صلى الله عليه وسلم فجاءه رجل فسلَّم، فردَّ النبيُّ صلى الله عليه وسلم وأطلق وجهه وأجلسه إلى جنبه، فلمّا قضى الرجلُ حاجتَه نهض، فقال النبي صلى الله عليه وسلم: يا أبا بكر هذا رجل يُرفع له كلّ يومٍ كعمل أهل الأرض. فقلتُ: ولم ذاك؟ قال: إنّه كلما أصبح صلى عليَّ عشر مرات كصلاة الخلق أجمع. قلتُ: وما ذاك؟ قال: يقول: اللهم صلِّ على محمد النبي عدد مَن صلى عليه مِن خلقك، وصلِّ على محمد النبي كما ينبغي لنا أن نصلِّي عليه، وصلِّ على محمد النبي كما أمرتنا أن نصلي عليه.

Sulaiman bin al-Rabi’ al-Nahdi adalah perawi matruk (yang ditinggalkan hadisnya) sebagaimana kata al-Daraqutni dalam al-'Ilal.

Kadih bin Rahmah pula, kata al-Azdi: “Pendusta.”

Kata Ibnu ‘Adi dalam al-Kamil Fi al-Dhu’afa’:

عامة أحاديثه غير محفوظة، وَلا يتابع في أسانيده، وَلا في متونه.

“Secara umumnya hadis-hadisnya tidak terpelihara (yakni mungkar dan silap) dan tidak ada sokongan (daripada perawi-perawi yang lain) pada sanad-sanadnya dan pada matan-matannya (yang diriwayatkannya).”

Kata al-Hakim dan Abu Nu’aim:

روى عن مسعر والثوري أحاديث موضوعة.

“Dia meriwayatkan daripada Mis’ar dan al-Thauri hadis-hadis palsu.”

Kata Ibnu Hibban dalam al-Majruhin:

كان ممن يروي عن الثقات الأشياء المقلوبات، حتى يسبق إلى القلب أنه المتعمد لها، أو غفل عن الإتقان حتى غلب عليه الأوهام الكثيرة، فكثر المناكير في رواياته، فاستحق بها الترك.

 “Dia dikalangan perawi yang meriwayatkan hadis-hadis maqlub (yakni palsu) daripada perawi-perawi thiqah sehinggakan hati merasakan bahawa dia sengaja memalsukannya atau dia lalai daripada bersikap teliti (ketika meriwayatkan hadis) sehingga berlaku keatasnya kesilapan yang banyak. Maka banyak hadis-hadis mungkar pada periwayatannya. Maka dengan sebab itu dia layak untuk ditinggalkan.”

Al-Hafiz al-Sayuthi menghukumkan hadis ini sebagai palsu dan beliau menyebutkannya dalam kitab al-Ziyadat ‘Ala al-Maudhu’at (no. 735, terbitan: Maktabah al-Ma’arif) lalu diikuti Ibnu ‘Arraq dalam Tanzih al-Syari’ah al-Marfu’ah (2/328, terbitan Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah) dan al-Syaukani dalam al-Fawaid al-Majmu’ah (hlm. 329, tahqiq: Abdul Rahman al-Mu’allimi).

Khamis, 5 Julai 2018

Istilah Ilmu Hadis 27: Maqthu’ (المَقْطُوعُ)


Apa yang disandarkan kepada Tabi’in daripada perkataan atau perbuatan, tidak kira sama ada bersambung sanad ataupun tidak.

Al-Hafiz Ibnu Hajar telah memasukkan ke dalam kategori Maqthu’ setiap yang disandarkan kepada golongan selepas para Tabi’in daripada kalangan Tabi’ al-Tabi’in dan juga golongan selepas mereka.

Hukum berhujah dengannya

Maqthu’ tidak boleh dijadikan hujah dalam suatu apapun daripada hukum-hukum Syara’, walaupun penisbahannya adalah sahih kepada pengucapnya.

Ini kerana ia adalah kata-kata atau perbuatan daripada seorang Muslim. Tetapi jika terdapat bukti menunjukkan ia adalah Marfu’ seperti kata-kata perawi – setelah menyebut nama Tabi’in -: “Beliau memarfu’kannya”  sebagai contoh, maka ia dikira sebagai mempunyai hukum Marfu’ Mursal.

Buku Yang terdapat Khabar Maqthu’

1 – Musannaf Ibnu Abi Syaibah oleh Ibnu Abi Syaibah (w. 235 H).

2 – Musannaf Abdul Razzaq oleh Abdul Razzaq al-San’ani (w. 276 H).

3 – Tafsir Ibnu Abi Hatim oleh Ibnu Abi Hatim al-Razi (w. 277 H).

4 – Tafsir al-Thabari oleh Ibnu Jarir al-Thabari (w. 310 H).

5 – Tafsir Ibnu al-Munzir oleh Ibnu al-Munzir al-Naisaburi (w. 319 H)

[Kamus Istilah Hadis, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri, hlm. 532]

Istilah Ilmu Hadis 26: Marfu’ secara hukumnya (المَرْفُوعُ حُكْماً)


Sesuatu yang dinyatakan oleh Sahabat radiallahu ‘anhum yang tidak diambil daripada riwayat-riwayat Israiliyat dan ianya bukan sesuatu yang boleh diijtihadkan seperti penetapan waktu-waktu ibadat, penetapan pahala dan dosa, dan sebagainya.

Hukumnya

Ia adalah hujah di sisi jumhur ahli hadis.

Mereka telah mengambil daripada kata-kata Abu Hurairah radiallahu ‘anhu:

“Sesiapa yang berpuasa pada hari syak, maka dia telah mengingkari Abu al-Qasim (Nabi sallahu ‘alaihi wasallam).”

[Diriwayatkan oleh Ashab al-Sunan al-Arba’ah]

Kata-kata ‘Aisyah radiallahu ‘anha:

“Kami diarahkan untuk mengganti (qada’) puasa.”

Kata-kata Ibnu Mas’ud:

“Sesiapa yang berjumpa tukang tilik atau ahli sihir, maka dia telah mengkufuri apa yang diturunkan ke atas Muhammad sallahu ‘alaihi wasallam”

Semua yang diriwayatkan ini memiliki hukum marfu’ di sisi ulama.

Termasuk jenis  marfu’ ini juga lafaz yang diungkapkan apabila menyebut nama Sahabat radiallahu ‘anhum seperti: (يَرْفَعُ الْحَدِيثُ) [mengangkatkannya/memarfu’kan hadis], atau (يَبْلُغُ بِهِ) [menyampaikan sehingga kepada Nabi], atau (يَنْمِيهِ) [memarfu’kannya]. 

Begitu juga kata-kata Sahabat radiallahu ‘anhum seperti: (أُمِرْنَا بِكَذَا) [kami diperintahkan melakukan demikian], atau (نُهِينَا عَنْ كَذَا) [kami dilarang daripada perkara sekian], atau (مِنْ الْسُنَّةِ كَذا) [termasuk sunnah ialah begini].

Kesemua ini memiliki hukum marfu’.

[Kamus Istilah Hadis, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri, hlm. 488]


Istilah Ilmu Hadis 25: Mawquf (المَوْقُوفُ)

Dari segi bahasa:

Mawquf ialah isim maf'ul daripada al-Waqf. Waqafa, yaqifu, wuqufan, iaitu: kekal berdiri.

Dari segi istilah:

Ia adalah apa yang diriwayatkan daripada para Sahabat Radiallahu ‘anhum berupa perkataan mereka, atau perbuatan, atau perakuan (taqrir), sama ada sanadnya bersambung atau tidak bersambung.

Sebahagian ulama menamakannya ‘Athar’ dan menamakan Marfu' sebagai ‘Khabar’.

Boleh dikatakan penggunaan istilah ‘Athar’ untuk hadis Mawquf adalah yang lazim di sisi ulama terkemudian dan kontemporari.

Di antara ulama ada yang menghimpunkan dalam karya-karya mereka antara riwayat Mawquf dan Marfu', lalu menamakan kitabnya: as-Sunan wa al-Athar, seperti kitab Ma'rifah as-Sunan wa al-Athar karya al-Baihaqi, iaitu Abu Bakar Ahmad bin al-Husain al-Baihaqi (meninggal dunia pada tahun 458 Hijrah).

Contoh-Contoh Hadis Mawquf:

1 - Ibnu Abi Syaibah berkata dalam Musannafnya: Telah menceritakan kepada kami 'Aqqan, beliau berkata: Telah menceritakan kepada kami Sa'id bin Zaid, beliau berkata: Telah menceritakan kepada kami 'Asim bin Bahdalah, beliau berkata: Telah menceritakan kepada kami Abu Wa'il daripada 'Aisyah - radiallahuanha - beliau berkata:

“Uthman sedang menulis wasiat Abu Bakar radiallahuanhuma. 'Aisyah berkata: Lalu beliau (Abu Bakar) pengsan, maka dia ('Uthman) segera menulis: Umar bin al-Khattab. Apabila beliau sedar, Abu Bakar bertanya kepadanya: Siapa yang engkau tulis? Dia menjawab: Umar bin al-Khattab. Beliau berkata: Engkau telah menulis orang yang aku ingin perintahkan kepadamu. Kalaulah engkau menulis namamu sendiri, nescaya engkau layak untuknya."

2 - Ibnu Abi Syaibah berkata dalam Musannafnya: Telah menceritakan kepada kami 'Abdurrahim bin Sulaiman, daripada Hajjaj bin Artah, daripada 'Abdurrahman bin Zaid bin Jud'an, daripada Yahya bin Abi Muti':

“Abu Bakar as-Siddiq telah menghantar sepasukan tentera lalu berkata: Pergilah berperang dengan nama Allah. Ya Allah, jadikanlah kematian mereka sebagai syahid di jalan-Mu. Kemudian sesungguhnya kamu akan mendatangi suatu kaum di dalam biara-biara mereka, maka biarkanlah mereka dan apa yang telah mereka peruntukkan diri mereka untuknya. Kamu akan mendatangi suatu kaum yang telah mencukur bahagian tengah kepala mereka seperti al-'asab (jalur), maka pukullah (pancunglah) bahagian tengah kepala mereka yang telah mereka cukur itu.”

3 - 'Abdurrazzaq as-San'ani berkata dalam Musannafnya: Telah mengkhabarkan kepada kami Ibnu Juraij, beliau berkata: Telah mengkhabarkan kepadaku Abu Bakar daripada Sa'id bin al-Musayyab, daripada Umar bin al-Khattab Radiallahuanhu, beliau berkata: “Diterima kesaksian orang kafir, kanak-kanak, dan hamba, sekiranya mereka tidak menyampaikannya dalam keadaan mereka yang sedemikian itu, dan mereka memberikan kesaksian selepas orang kafir itu memeluk Islam, kanak-kanak itu menjadi dewasa, dan hamba itu dimerdekakan, sekiranya mereka ketika memberikan kesaksian itu adalah orang-orang yang adil.”

Perkara-perkara berkaitan dengan Marfu' secara hukum:

Terdapat beberapa bentuk Mawquf dari segi lafaz dan rupanya, tetapi orang yang meneliti hakikatnya akan mendapati bahawa ia membawa makna hadis Marfu'. Oleh itu, para ulama menamakannya sebagai: Marfu' secara hukum, iaitu: ia tergolong dalam Mawquf dari segi lafaz dan Marfu' dari segi hukum.

Di antara bentuk-bentuk ini ialah:

1 - Apabila seorang Sahabat - yang tidak dikenali sebagai orang yang mengambil riwayat daripada Ahli Kitab - mengatakan suatu perkataan yang tiada ruang untuk ijtihad padanya, dan tidak pula berkaitan dengan penjelasan bahasa atau huraian perkataan yang asing (gharib), seperti: Pemberitahuan tentang perkara-perkara yang telah lalu, seperti permulaan penciptaan.

2 - Atau pemberitahuan tentang perkara-perkara yang akan datang, seperti peperangan besar, fitnah-fitnah, dan keadaan hari Kiamat.

3 - Atau pemberitahuan tentang ganjaran khusus atau hukuman khusus yang diperoleh daripada sesuatu perbuatan, seperti perkataannya: “Sesiapa melakukan sekian, maka baginya pahala sekian.”

4 - Atau seorang Sahabat melakukan sesuatu yang tiada ruang untuk ijtihad padanya: seperti solat Ali radiallahuanhu, iaitu solat gerhana, yang pada setiap rakaatnya terdapat lebih daripada dua rukuk.

5 - Atau seorang Sahabat memberitahu: bahawa mereka biasa berkata, atau melakukan sekian, atau mereka tidak melihat ada masalah dengan sekian.

Maka jika dia menyandarkannya kepada zaman Nabi Sallahu ‘alaihi wasallam, maka pendapat yang sahih ialah: ia adalah Marfu', seperti perkataan Jabir: “Kami biasa melakukan 'azl (pancut di luar faraj isteri) pada zaman Rasulullah.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim).

Jika dia tidak menyandarkannya kepada zaman baginda; maka ia adalah Mawquf di sisi jumhur, seperti perkataan Jabir: “Kami apabila menaiki (tempat tinggi), kami bertakbir, dan apabila kami menuruni (tempat rendah), kami bertasbih.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari).

Atau seorang Sahabat berkata: “Kami diperintahkan dengan sekian, atau kami dilarang daripada sekian, atau adalah daripada Sunnah sekian, seperti perkataan sebahagian Sahabat: “Bilal diperintahkan untuk menggenapkan azan dan mengganjilkan iqamah.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim).

Dan seperti perkataan Ummu 'Atiyyah: “Kami dilarang daripada mengiringi jenazah, dan larangan itu tidak diwajibkan ke atas kami.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim).

Dan seperti perkataan Abu Qilabah daripada Anas: “Adalah daripada Sunnah apabila seseorang mengahwini seorang gadis (perawan) setelah mempunyai isteri janda, dia hendaklah tinggal bersamanya selama tujuh hari.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

Atau perawi berkata dalam hadis ketika menyebutkan Sahabat, salah satu daripada empat perkataan ini iaitu:

i) Dia menyandarkannya.

ii) Dia menisbahkannya.

iii) Dia menyampaikannya.

iv) Secara riwayat.

Seperti hadis al-A'raj daripada Abu Hurairah, secara riwayat: “Kamu akan memerangi suatu kaum yang kecil mata mereka.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari).

Atau seorang Sahabat mentafsirkan sesuatu tafsiran yang berkaitan dengan sebab turunnya sesuatu ayat: seperti perkataan Jabir: “Orang-orang Yahudi biasa berkata: Sesiapa yang mendatangi isterinya dari arah belakang pada farajnya, nescaya anaknya akan lahir dalam keadaan juling. Maka Allah Ta'ala menurunkan ayat: Isteri-isterimu adalah (seperti) tanah tempat kamu bercucuk tanam ...dan seterusnya.” (Diriwayatkan oleh Muslim).

Adakah riwayat Mawquf boleh dijadikan hujah?

Riwayat Mawquf boleh jadi sahih, atau hasan, atau daif. Akan tetapi, sekalipun telah sabit kesahihannya, adakah ia boleh dijadikan hujah?

Jawapannya ialah: Hukum asal bagi Mawquf adalah tidak dijadikan hujah kerana ia merupakan perkataan dan perbuatan para sahabat.

Akan tetapi, jika ia sabit kesahihannya, maka ia boleh menguatkan sebahagian hadis-hadis yang daif kerana keadaan para Sahabat adalah beramal dengan Sunnah. Ini adalah sekiranya ia tidak mempunyai hukum Marfu'.

Adapun jika ia tergolong dalam riwayat yang mempunyai hukum Marfu', maka ia adalah hujah sepertimana riwayat Marfu'.

Mawquf kepada selain Sahabat:

Jika dikatakan pada suatu hadis: “Ini adalah hadis Mawquf”, maka yang dimaksudkan dengannya adalah apa yang telah kami sebutkan dalam takrif hadis Mawquf, iaitu: Apa yang disandarkan kepada para Sahabat.

Ini adalah ketika penggunaan istilah Mawquf secara mutlak.

Adakalanya dinamakan juga apa yang disandarkan kepada para Tabi'in daripada hadis-hadis Maqtu' sebagai Mawquf, tetapi secara terikat (muqayyad), maka dikatakan: “Ia adalah Mawquf kepada az-Zuhri”, misalnya dan begitulah seterusnya.

Begitu juga, adakalanya dinamakan juga apa yang disandarkan kepada Tabi’ Tabi'in sebagai Mawquf dalam keadaan ia terikat, maka dikatakan: “Ia adalah Mawquf kepada Malik”, misalnya dan begitulah seterusnya.

Sumber-Sumber Hadis Mawquf:

Kita dapati hadis Mawquf secara asasnya di dalam kitab-kitab: Musannafat dan Muwatta'at, Tafsir bil-Ma'thur, dan sebahagian kitab-kitab yang menulis biografi para Sahabat, dan sebahagian Juz' hadis seperti:

1 - Al-Musannaf: karya Abu Bakar Abdullah bin Muhammad bin Abi Syaibah al-'Absi (meninggal dunia pada tahun: 235 Hijrah).

2 - Al-Musannaf: karya Abu Bakar 'Abdurrazzaq bin Hammam as-San'ani (meninggal dunia pada tahun: 211 Hijrah).

3 - Al-Muwatta': karya Imam Malik bin Anas al-Asbahi (meninggal dunia pada tahun: 179 Hijrah).

4 - Jami' al-Bayan 'an Ta'wil Ay al-Qur'an yang masyhur dengan Tafsir at-Tabari: karya Abu Ja'far Muhammad bin Jarir at-Tabari (meninggal dunia pada tahun: 310 Hijrah), yang mana Imam an-Nawawi berkata tentangnya: “Umat telah berijmak bahawa tidak pernah dikarang (kitab tafsir) sepertinya” dan as-Suyuti berkata: “Ia adalah tafsir yang paling agung dan paling hebat.”

5 - At-Tafsir karya Ibnu Abi Hatim ar-Razi, 'Abdurrahman bin Muhammad (meninggal dunia pada tahun: 327 Hijrah), kebanyakannya adalah riwayat-riwayat Athar yang bersanad.

6 - At-Tafsir karya Abu Bakar Muhammad bin Ibrahim bin al-Munzir an-Naisaburi (meninggal dunia sekitar tahun: 316 Hijrah).

7 - Hilyah al-Auliya' wa Tabaqat al-Asfiya' karya Abu Nu'aim al-Asbahani, Ahmad bin Abdullah asy-Syafi'i (meninggal dunia pada tahun: 430 Hijrah).

8 - Al-Ajza' al-Hadithiyyah (Koleksi-koleksi kecil hadis): karya Imam Abu Bakar Abdullah bin Muhammad bin Abi ad-Dunya al-Qurasyi al-Baghdadi (meninggal dunia pada tahun: 281 Hijrah), antaranya: al-Ikhwan, Istina' al-Ma'ruf, at-Tahajjud, at-Tawakkul, asy-Syukr, al-Hilm, as-Samt, Dzamm ad-Dunya, as-Sabr, al-'Azamah dan lain-lain. 

Sumber: 

Mausu'ah 'Ulum al-Hadis Wa Fununuhu oleh Dr Sayyid Abdul Majid al-Ghauri