Jumaat, 26 April 2019

Lima Jenis Perawi Yang Berlaku Kepalsuan Pada Hadis Mereka

Ada lima jenis perawi yang berlaku kepalsuan pada hadis mereka:

Pertama: Perawi yang diseliputi kehidupan mereka dengan kezuhudan sehingga lalai untuk menghafaz hadis dan meneliti riwayat. Ada di antara mereka yang hilang, terbakar atau membuang kitab catatan hadis mereka, kemudian mereka menyampaikan hadis daripada ingatan mereka sehingga mereka melakukan kesilapan. Mereka ini kadang-kala memarfu'kan hadis mursal, memusnadkan hadis mauquf, tertukar sanad hadis dan mencampur adukkan antara satu hadis dengan hadis yang lain.

Kedua: Perawi yang tidak mengambil berat tentang ilmu naql (ilmu hadis) sehingga melakukan kesalahan yang banyak dan teruk sebagaimana perawi jenis pertama.

Ketiga: Perawi yang thiqah tetapi akal mereka bercampur aduk ketika akhir umur mereka (nyanyuk) lalu mereka melakukan kesilapan dalam riwayat.

Keempat: Perawi yang ditimpa kebodohan dan kelalaian. Mereka terbahagi kepada beberapa jenis. Ada perawi yang menerima talqin (1). Ada sebahagian perawi anak-anaknya atau tukang tulisnya memalsukan hadis untuknya lalu dia meriwayatkan hadis tersebut tanpa dia sedari akan kepalsuannya. Ada juga perawi yang meriwayatkan hadis walaupun hadis tersebut bukanlah hasil sama' (hadis yang didengari) daripada gurunya kerana menyangka perkara tersebut boleh. Ditanya kepada sebahagian perawi yang bodoh ini: "Adakah helaian kertas ini hasil sama' kamu?" Dia menjawab: "Tidak, tetapi orang yang meriwayatkan hadis ini telah mati maka saya meriwayatkannya untuk mengantikan tempatnya."

Kelima: Perawi yang sengaja berdusta.

[Al-Maudhu'at, Ibnu al-Jauzi]
______________

(1) Seseorang berkata kepada syeikh: "Adakah si fulan telah membacakan sekian hadis kepada tuan?", sambil menyebutkan kepada syeikh nama si fulan tersebut sedangkan syeikh tersebut tidak pernah mendengar hadis itu hadis daripadanya, lalu syeikh tersebut menjawab: "Ya," tanpa memastikan terlebih dahulu hadis yang dia dengar daripadanya. Perawi yang menerima taliqn walaupun sekali maka gugurlah kesemua hadisnya kerana dia tidak mempunyai kefahaman tentang urusan agama Allah dan dia tidak menghafal apa yang dia dengar.  [Kamus Istilah Hadis, Sayyid Abdul Majid Ghouri]






Selasa, 23 April 2019

Zuhud Walaupun Berharta


Seseorang bertanya kepada Sufyan al-Thauri:

"Adakah seseorang itu boleh menjadi ahli zuhud walaupun dia seorang yang berharta?"

Sufyan al-Thauri menjawab:

"Ya boleh, jika sekiranya dia diuji (dengan kehilangan harta) dia bersabar, apabila dia diberikan (harta) dia bersyukur."

[Hilyah al-Auliya', Abu Nu'aim al-Asbahani]
___________________

Sufyan bin Sa'id bin Masruq al-Thauri dilahirkan pada tahun 97 Hijrah dan meninggal dunia pada tahun 126 Hijrah.

Imam al-Zahabi memuji beliau dengan gelaran Syeikh al-Islam, imam para huffaz, ketua para ulama pada zamannya dan seorang mujtahid.

Guru beliau sangat ramai, dikatakan mencapai 600 orang guru antaranya ialah Ayyub al-Sakhtiyani, Ja'far al-Sodiq, al-A'masy, Syu'bah bin al-Hajjaj dan lain-lain.

Murid-murid beliau juga sangat ramai sehinggakan Ibnu al-Jauzi menyebut jumlahnya mencapai 20 ribu orang tetapi al-Zahabi menolak pendapat ini. Antara murid beliau ialah Sufyan bin 'Uyainah, Abu Daud al-Thayalisi, Abdullah bin al-Mubarak, Imam Malik bin Anas, Waki' bin al-Jarrah, Yahya al-Qathan dan lain-lain.

Syu'bah, Sufyan bin 'Uyainah, Yahya bin Ma'in dan orang selain mereka sepakat bahawa Sufyan al-Thauri adalah Amir al-Mu'minin dalam hadis.

Abdullah bin al-Mubarak berkata: "Aku belajar dengan 1100 orang syeikh dan aku tidak pernah belajar daripada seseorang yang lebih afdal daripada Sufyan (al-Thauri)."

'Abbas al-Duri berkata: "Aku melihat Yahya bin Ma'in tidak pernah menyanjungi seseorang melebihi Sufyan (al-Thauri) di kalangan orang zamannya, sama ada dalam fiqh, hadis, kezuhudan dan segala sesuatu."

Ahmad bin Hanbal berkata: "Sufyan bin 'Uyainah berkata kepadaku: Kedua matamu tidak akan pernah melihat seseorang seperti Sufyan al-Thauri sehinggalah kamu mati."

 [Siyar A'lam al-Nubala', al-Zahabi]

Ahad, 14 April 2019

Takzim Imam Malik Terhadap Hadis

- Ibrahim bin Abdullah bin Quraim al-Ansari, Qadhi Madinah menceritakan:

"Malik bin Anas melintasi Ibnu Hazim yang sedang menyampaikan hadis. Beliau terus berlalu (tanpa berhenti). Lalu beliau ditanya tentang tindakan beliau tersebut. Beliau lalu menjawab: Aku tidak dapati tempat untuk aku duduk. Aku tidak suka meriwayatkan hadis Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam dalam keadaan aku berdiri."

[Hilyah al-Auliya', Abu Nu'aim al-Asbahani]

- Ibnu Abi Uwais berkata:

"Malik apabila hendak menyampaikan hadis beliau akan berwuduk dan duduk di atas tempat duduknya. Beliau akan menyisir janggutnya. Beliau membetulkan duduknya dalam keadaan penuh ketenangan dan wibawa. Kemudian barulah beliau menyampaikan hadis.

Beliau ditanya tentang perbuatannya tersebut. Beliau lalu menjawab: Aku ingin memuliakan hadis Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam. Aku tidak akan menyampaikan hadis kecuali dalam keadaan suci lagi penuh wibawa.

Beliau tidak suka menyampaikan hadis ketika beliau sedang berdiri di jalanan atau ketika sedang tergesa-gesa. Beliau berkata: Aku ingin memahami apa yang aku sampaikan daripada Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam."

[Hilyah al-Auliya', Abu Nu'aim al-Asbahani]

- Abu Mus'ab berkata:

"Malik tidak akan menyampaikan hadis kecuali dalam keadaan berwuduk sebagai satu penghormatan daripada beliau kepada hadis-hadis Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam."

[Tartib al-Madarik, al-Qadhi 'Iyadh]

- Abdullah bin al-Mubarak berkata:

"Aku berada bersama-sama dengan Malik ketika beliau sedang menyampaikan hadis. Seekor kala jengking menyengatnya sebanyak 16 kali sehingga Malik berubah warna (wajahnya). Tetapi beliau tetap bersabar dan tidak memutuskan (bacaan) hadis Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam.

Apabila selesai majlis dan orang ramai telah beredar, aku berkata kepada beliau: Wahai Abu 'Abdullah, aku melihat perkara yang ajaib daripada kamu hari ini. Beliau lalu menjawab: Sesungguhnya aku tetap bersabar kerana ingin memuliakan hadis Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam."

[Tartib al-Madarik, al-Qadhi 'Iyadh]

Sabtu, 13 April 2019

Sumber Asal Kisah Langit Dan Bumi Sebelum Israk Dan Mikraj

Teks Kisah:

Sebelum terjadinya peristiwa Israk dan Mikraj adalah kerana bumi merasa bangga dengan langit. Berkata bumi kepada langit,

"Hai langit, aku lebih baik dari kamu kerana Allah SWT telah menghiaskan aku dengan berbagai-bagai negara, beberapa laut, sungai-sungai, tanam-anaman, beberapa gunung dan lain-lain."

Langit pun menjawab "Hai bumi, aku juga lebih elok dari kamu kerana matahari, bulan, bintang-bintang, beberapa falak, buruj, 'arasy, kursi dan syurga ada padaku."

Berkata pula bumi, "Hai langit, ditempatku ada rumah yang dikunjungi dan untuk bertawaf para nabi, para utusan dan arwah para wali dan solihin (orang-orang yang baik)."

Bumi berkata lagi, "Hai langit, sesungguhnya pemimpin para nabi dan utusan bahkan sebagai penutup para nabi dan kekasih Allah seru sekalian alam, seutama-utamanya segala yang wujud serta kepadanya penghormatan yang paling sempurna itu tinggal di tempatku. Dan dia menjalankan syari'atnya juga di tempatku."

Langit tidak dapat berkata apa-apa, apabila bumi berkata demikian. Langit mendiamkan diri dan dia mengadap Allah S.W.T dengan berkata,

"Ya Allah, Engkau telah mengabulkan permintaan orang yang tertimpa bahaya, apabila mereka berdoa kepada Engkau. Aku tidak dapat menjawab soalan bumi, oleh itu aku minta kepada-Mu Ya Allah supaya kekasih-Mu yakni Muhammad dinaikkan kepadaku (langit) sehingga aku menjadi mulia dengan kebagusannya dan berbangga dengannya kelak."

Lalu Allah S.W.T mengabulkan permintaan langit. Allah SWT memberi wahyu kepada Jibrail AS pada malam tanggal 27 Rejab,

"Janganlah engkau (Jibril) bertasbih pada malam ini dan engkau 'Izrail, jangan engkau mencabut nyawa pada malam ini."

Jibrail A.S. bertanya, " Ya Allah, apakah kiamat telah sampai?"

Allah S.W.T berfirman, maksudnya, "Tidak, wahai Jibrail. Tetapi pergilah engkau ke Syurga dan ambillah Buraq dan terus pergi kepada Muhammad dengan buraq itu."

Kemudian Jibrail A.S. pun pergi ke Syurga dan dia melihat 40,000 buraq sedang bersenang-lenang di taman Syurga dan di wajah masing-masing terdapat nama Muhammad. Di antara 40,000 buraq itu, Jibrail A.S. terpandang pada seekor buraq yang sedang menangis bercucuran air matanya. Jibrail A.S. menghampiri buraq itu lalu bertanya, "Mengapa engkau menangis, ya buraq?"

Berkata buraq, "Ya Jibrail, sesungguhnya aku telah mendengar nama Muhammad sejak 40 tahun, maka pemilik nama itu telah tertanam dalam hatiku dan aku sesudah itu menjadi rindu kepadanya dan aku tidak mahu makan dan minum lagi. Aku laksana dibakar oleh api kerinduan."

Berkata Jibrail A.S., "Aku akan menyampaikan engkau kepada orang yang engkau rindukan itu."

Kemudian Jibrail A.S. memakaikan pelana dan kekang kepada buraq itu dan membawanya kepada Nabi Muhammad S.A.W.Buraq yang diceritakan inilah yang membawa Rasulullah S.A.W dalam perjalanan Israk dan Mikraj.

Ulasan:

Kisah ini disebutkan dalam beberapa buah laman web tanpa dinyatakan sumber asal kisah ini. Saya cuba cari asalnya kisah ini dan saya hanya temui dalam kitab Durrah al-Nasihin karangan al-Khubawi. Kisah ini tidak dapat dipastikan sumber asalnya dan ia menyerupai ucapan tukang cerita (القُصَّاص).




Status Hadis: Amalan Selepas Solat Jumaat Untuk Kaya



Sabda baginda Nabi صلى الله عليه واله وصحبه وسلم:

Barangsiapa yang membaca selepas solat Jumaat:

1 - Surah Al-Ikhlas sebanyak 100x.

2 - Berselawat kepada baginda Nabi sebanyak 100x.

3 - اللهم اكفني بحلالك عن حرامك وأغنني بفضلك عمن sebanyak 70x.

Belum sampai Jumaat seterusnya, sehinggalah dikayakan oleh Allah.

Tambahan dalam satu riwayat:

Ditunaikan baginya 100 hajat, 70 hajat akhirat dan 30 hajat dunia.

Ulasan:

Riwayat ini saya tidak temui dalam kitab-kitab hadis bersanad karangan ulama Ahli Sunnah Wal Jama’ah, sebaliknya saya temui dalam kitab-kitab Syi’ah berikut (dengan sedikit perbezaan lafaz):

1 - Misbah al-Mutahajjad (hlm. 264, c: Muassasah al-A’lami) karangan Syeikh al-Thusi (m. 460 H).


 2 - Bihar al-Anwar (jil. 18, bahagian 4, hlm. 162, c: Ihya' al-Kutub al-Islamiyyah) karangan Muhammad Baqir al-Majlisi (m. 1111 H).



3 - Mustadrak al-Wasail (jil. 6, hlm. 97, c: Muassasah Ali Bait) karangan Hussein al-Nuri (m. 1320 H).



Oleh itu tidak boleh mengamalkan dan menyebarkan riwayat ini kerana ia bersumberkan kitab-kitab hadis Syiah yang penuh dengan riwayat yang dusta dan tidak muktabar di sisi Ahli Sunnah Wal Jama'ah.

Rabu, 10 April 2019

Perbandingan Antara Al-Tazkirah Fi 'Ulum al-Hadith dan Manzumah al-Baiquniyyah



Al-Tazkirah Fi 'Ulum al-Hadith - Al-Hafiz Ibnu al-Mulaqqin

- Pengarangnya seorang alim yang masyhur. Pengarang kepada penulisan yang banyak. Guru kepada al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani.

- Perbahasan ilmu hadis yang terkandung di dalamnya hampir 80 jenis perbahasan.

- Kritikan ke atasnya sedikit.

- Mempunyai kaitan dengan kitab utama dalam ilmu hadis iaitu Muqaddimah Ibnu al-Solah. Ia adalah ringkasan kepada kitab al-Muqni' (karangan Ibnu al-Mulaqqin sendiri). Manakala kitab al-Muqni' adalah ringkasan kepada Muqaddimah Ibnu al-Solah.

- Kitab ini kurang masyhur dan syarahnya tidak banyak. Antara yang mensyarahkannya ialah al-Hafiz al-Sakhawi dengan kitabnya yang berjudul al-Taudhih al-Abhar Li Tazkirah Ibnu al-Mulaqqin Fi 'Ilm al-Athar.

Manzumah al-Baiquniyyah

- Penazamnya tidak masyhur sehingga berlaku khilaf pada menentukan namanya.

- Perbahasan ilmu hadis yang terkandung di dalamnya hanya 30 jenis perbahasan sahaja.

- Kritikan ke atasnya lebih kuat dan banyak (seperti takrif penazam bagi hadis mursal dan selainnya).

- Ia adalah nazam ringkas secara umum sahaja dalam ilmu hadis. Tidak berkaitan dengan mana-mana kitab mustholah hadis yang utama.

- Namun begitu, tidak seharusnya bagi mubtadi ilmu hadis untuk mengabaikan nazam ini kerana ia adalah nazam yang berkat yang telah disyarah dan dipelajari sejak zaman berzaman. Sayarahannya mencapai puluhan, bahkan mungkin ratusan menunjukkan ia diterima dan diberi perhatian oleh ulama, meskipun ada beberapa kritikan padanya. Oleh itu, sayugia bagi mubtadi untuk menghafaz dan mempelajari nazam ini di samping kitab mustholah hadith yang lain.

Jangan Lupa Berdoa Untuk Guru


- Imam Ahmad bin Hanbal (m. 241 H) berkata:

"Aku tidak pernah tidur malam selama 30 tahun melainkan selepas berdoa kepada Allah untuk al-Syafi'e dan memohon keampunan baginya."

- Imam Ahmad berkata lagi:

"Enam orang yang aku doakan pada waktu sahur, salah seorangnya ialah al-Syafi'e."

[Tarikh Baghdad, al-Khatib al-Baghdadi]

Rabu, 3 April 2019

Puji-Pujian Kepada Imam al-Termizi



1 - "Abu 'Isa (al-Termizi) thiqah dan disepakati akan kethiqahannya. Masyhur dengan sifat amanah dan keilmuan."


 - Abu Ya'la al-Khalili -

2 - "Imam pada zamanya tanpa disangkal lagi. Salah seorang imam yang dijadikan ikutan dalam hadis. Beliau mengarang kitab al-Jami', al-Tawarikh dan al-'Ilal yang merupakan penulisan seorang alim yang cermat (mutqin). Beliau dijadikan contoh dari segi kekuatan hafalan dan ketelitian."

- Al-Sam'ani -

3 - "Beliau seorang imam lagi hafiz. Baginya penulisan yang baik. Antaranya al-Jami' al-Kabir dalam ilmu hadis."

- Ibnu al-Athir -

4 - "Muhammad bin Isma'il al-Bukhari meninggal dunia dan beliau tidak meninggalkan (murid) di Khurasan semisal Abu 'Isa dari segi keilmuan dan kewarakan. Beliau banyak menanggis sehingga buta. Beliau kekal buta sehingga beberapa tahun (sebelum kematiannya)."

- 'Umar bin 'Allak -

5 - "Imam ahli hadis (iaitu) Muhammad bin Isma'il al-Bukhari menulis (hadis) daripada Abu 'Isa. Cukuplah itu menjadi kebanggaan baginya."

- Al-Hafiz Taqiyuddin al-Is'ardi -

6 - "Bagi al-Termizi (kepakaran) dalam kesenian ilmu hadis yang tidak ada pada orang lain."

- Abu Ja'far bin al-Zubair -

7 - "Salah seorang imam huffaz yang unggul yang Allah jadikannya manfaat bagi orang muslimin."

- Al-Hafiz al-Mizzi -

8 - "Beliau seorang yang unggul di kalangan rakan-rakannya. Beliau adalah satu keajaiban dari segi kekuatan hafazan dan ketelitian."

- Ibnu al-'Imad -

9 - "Seorang imam lagi hujjah lagi tunggal. Thiqah lagi hafiz lagi mutqin."

- Mulla 'Ali al-Qari -

10 - "Apa yang aku ambil manfaat daripadamu lebih banyak daripada apa yang engkau ambil manfaat daripadaku."

- Imam al-Bukhari -











Selasa, 2 April 2019

'Sarapan' Ibnu Taimiyyah Dan Ibnu Qayyim

Ibnu Qayyim (w. 751 H) menceritakan dalam al-Wabil al-Sayyib:

"Aku menghadiri solat subuh bersama-sama dengan Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyyah pada suatu ketika. Kemudian (setelah selesai solat) beliau duduk berzikir kepada Allah sehingga hampir waktu tengah hari. Beliau lalu menghadap kepadaku seraya berkata: Inilah sarapanku. Jika aku tidak bersarapan dengan sarapan ini nescaya hilanglah kekuatanku."

Amalan Ibnu Taimiyyah (w. 728 H) ini turut sama diamalkan oleh muridnya, Ibnu Qayyim. Al-Hafiz Ibnu Hajar menghikayatkan dalam al-Durar al-Kaminah:

"Beliau apabila selesai solat subuh akan duduk di tempatnya untuk berzikir sehingga terbit waktu siang. Beliau kemudian berkata: Inilah sarapanku. Jika aku tidak menyantapnya nescaya hilanglah kekuatanku."

Isnin, 1 April 2019

Ulama Menulis Kitab Tidak Sekejap

- Imam Malik Menulis al-Muwatta’ Selama 40 Tahun

 ‘Umar bin Abdul Wahid - murid Imam al-Auza’ie - berkata:

“Kami membaca al-Muwatta’ kepada Malik selama 40 hari. Imam Malik lalu berkata: Kitab yang telah aku karang selama 40 tahun kamu membacanya selama 40 hari? Sangat sedikitlah yang kamu akan faham apa yang terkandung di dalamnya.”

[Al-Tamhid (1/694), Ibnu ‘Abd al-Barr, tahqiq: Dr Basyar ‘Awadh Ma’ruf]

- Sahih al-Bukhari Ditulis Selama 16 Tahun

Imam al-Bukhari (w. 256 H) berkata:

“Aku telah menulis kitabku al-Sahih selama 16 tahun. Aku saring hadis-hadisnya daripada 600 ribu buah hadis. Aku jadikannya hujah antaraku dengan Allah Ta’ala.”

[Tarikh Baghdad (2/333), al-Khatib al-Baghdadi, tahqiq: Dr Basyar ‘Awadh Ma’ruf]

- Sahih Muslim Dikarang Selama 15 Tahun

Ahmad bin Salamah - teman rapat Imam Muslim - bekata:

“Aku bersama dengan Muslim ketika beliau menulis kitab Sahihnya selama 15 tahun.”

[Siyar A’lam al-Nubala’ (12/566), al-Zahabi, c: Muassasah al-Risalah]

- Fath al-Bari Ditulis Selama 25 Tahun

Murid al-Hafiz Ibnu Hajar, al-Hafiz al-Sakhawi mencatatkan dalam al-Jawahir Wa al-Durar bahawa al-Hafiz Ibnu Hajar memulakan penulisan kitab Fath al-Bari pada awal tahun 817 Hijrah dan selesai pada hari pertama bulan Rejab tahun 842 Hijrah. Jadi beliau mengambil masa selama 25 tahun untuk menyelesaikan karya beliau ini.

Setelah itu beliau mengadakan kenduri besar sebagai tanda kegembiraan dan kesyukuran kerana dapat menyelesaikan syarah Sahih al-Bukhari.

Majlis tersebut dihadiri oleh para ulama 4 mazhab, para pemimpin, para hakim dan ahli syair.

Kata al-Sakhawi: "Aku pun berada di majlis itu dan aku masih kecil ketika itu."

Sebanyak 500 dinar dihabiskan untuk kenduri tersebut dan dihidangkan pelbagai jenis makanan, minuman, buah-buahan dan manisan.

- Al-Isobah Ditulis Selama Hampir 40 Tahun

Diakhir kitab ini al-Hafiz Ibnu Hajar menulis bahawa beliau memulakan penulisan kitab ini pada 809 Hijrah dan selesai pada 847 Hijrah iaitu selama 38 tahun. Tetapi menurut beliau, kitab ini ditulis secara santai-santai sahaja. Oleh itu, ia mengambil masa yang lama.

Kitab ini mengandungi maklumat mengenai individu-individu yang disifatkan sebagai sahabat Nabi sallahu ‘alaihi wasallam.

- Tafsir al-Tahrir Wa al-Tanwir Dikarang Selama 39 Tahun

Al-Imam Muhammad al-Thahir bin ‘Asyur menulis di akhir kitab tafsir beliau:

“Tafsir ini sempurna pada waktu asar hari Jumaat 12 Rejab tahun 1380 Hijrah. Adalah tempoh penulisannya selama 39 tahun enam bulan.”