Selasa, 23 April 2019

Zuhud Walaupun Berharta


Seseorang bertanya kepada Sufyan al-Thauri:

"Adakah seseorang itu boleh menjadi ahli zuhud walaupun dia seorang yang berharta?"

Sufyan al-Thauri menjawab:

"Ya boleh, jika sekiranya dia diuji (dengan kehilangan harta) dia bersabar, apabila dia diberikan (harta) dia bersyukur."

[Hilyah al-Auliya', Abu Nu'aim al-Asbahani]
___________________

Sufyan bin Sa'id bin Masruq al-Thauri dilahirkan pada tahun 97 Hijrah dan meninggal dunia pada tahun 126 Hijrah.

Imam al-Zahabi memuji beliau dengan gelaran Syeikh al-Islam, imam para huffaz, ketua para ulama pada zamannya dan seorang mujtahid.

Guru beliau sangat ramai, dikatakan mencapai 600 orang guru antaranya ialah Ayyub al-Sakhtiyani, Ja'far al-Sodiq, al-A'masy, Syu'bah bin al-Hajjaj dan lain-lain.

Murid-murid beliau juga sangat ramai sehinggakan Ibnu al-Jauzi menyebut jumlahnya mencapai 20 ribu orang tetapi al-Zahabi menolak pendapat ini. Antara murid beliau ialah Sufyan bin 'Uyainah, Abu Daud al-Thayalisi, Abdullah bin al-Mubarak, Imam Malik bin Anas, Waki' bin al-Jarrah, Yahya al-Qathan dan lain-lain.

Syu'bah, Sufyan bin 'Uyainah, Yahya bin Ma'in dan orang selain mereka sepakat bahawa Sufyan al-Thauri adalah Amir al-Mu'minin dalam hadis.

Abdullah bin al-Mubarak berkata: "Aku belajar dengan 1100 orang syeikh dan aku tidak pernah belajar daripada seseorang yang lebih afdal daripada Sufyan (al-Thauri)."

'Abbas al-Duri berkata: "Aku melihat Yahya bin Ma'in tidak pernah menyanjungi seseorang melebihi Sufyan (al-Thauri) di kalangan orang zamannya, sama ada dalam fiqh, hadis, kezuhudan dan segala sesuatu."

Ahmad bin Hanbal berkata: "Sufyan bin 'Uyainah berkata kepadaku: Kedua matamu tidak akan pernah melihat seseorang seperti Sufyan al-Thauri sehinggalah kamu mati."

 [Siyar A'lam al-Nubala', al-Zahabi]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan