Sebelum terjadinya peristiwa Israk dan
Mikraj adalah kerana bumi merasa bangga dengan langit. Berkata bumi kepada
langit,
"Hai langit, aku lebih baik dari kamu
kerana Allah SWT telah menghiaskan aku dengan berbagai-bagai negara, beberapa
laut, sungai-sungai, tanam-anaman, beberapa gunung dan lain-lain."
Langit pun menjawab "Hai bumi, aku
juga lebih elok dari kamu kerana matahari, bulan, bintang-bintang, beberapa
falak, buruj, 'arasy, kursi dan syurga ada padaku."
Berkata pula bumi, "Hai langit,
ditempatku ada rumah yang dikunjungi dan untuk bertawaf para nabi, para utusan
dan arwah para wali dan solihin (orang-orang yang baik)."
Bumi berkata lagi, "Hai langit,
sesungguhnya pemimpin para nabi dan utusan bahkan sebagai penutup para nabi dan
kekasih Allah seru sekalian alam, seutama-utamanya segala yang wujud serta
kepadanya penghormatan yang paling sempurna itu tinggal di tempatku. Dan dia
menjalankan syari'atnya juga di tempatku."
Langit tidak dapat berkata apa-apa, apabila
bumi berkata demikian. Langit mendiamkan diri dan dia mengadap Allah S.W.T
dengan berkata,
"Ya Allah, Engkau telah mengabulkan
permintaan orang yang tertimpa bahaya, apabila mereka berdoa kepada Engkau. Aku
tidak dapat menjawab soalan bumi, oleh itu aku minta kepada-Mu Ya Allah supaya
kekasih-Mu yakni Muhammad dinaikkan kepadaku (langit) sehingga aku menjadi
mulia dengan kebagusannya dan berbangga dengannya kelak."
Lalu Allah S.W.T mengabulkan permintaan
langit. Allah SWT memberi wahyu kepada Jibrail AS pada malam tanggal 27 Rejab,
"Janganlah engkau (Jibril) bertasbih
pada malam ini dan engkau 'Izrail, jangan engkau mencabut nyawa pada malam
ini."
Jibrail A.S. bertanya, " Ya Allah,
apakah kiamat telah sampai?"
Allah S.W.T berfirman, maksudnya,
"Tidak, wahai Jibrail. Tetapi pergilah engkau ke Syurga dan ambillah Buraq
dan terus pergi kepada Muhammad dengan buraq itu."
Kemudian Jibrail A.S. pun pergi ke Syurga
dan dia melihat 40,000 buraq sedang bersenang-lenang di taman Syurga dan di
wajah masing-masing terdapat nama Muhammad. Di antara 40,000 buraq itu, Jibrail
A.S. terpandang pada seekor buraq yang sedang menangis bercucuran air matanya.
Jibrail A.S. menghampiri buraq itu lalu bertanya, "Mengapa engkau
menangis, ya buraq?"
Berkata buraq, "Ya Jibrail,
sesungguhnya aku telah mendengar nama Muhammad sejak 40 tahun, maka pemilik
nama itu telah tertanam dalam hatiku dan aku sesudah itu menjadi rindu kepadanya
dan aku tidak mahu makan dan minum lagi. Aku laksana dibakar oleh api
kerinduan."
Berkata Jibrail A.S., "Aku akan
menyampaikan engkau kepada orang yang engkau rindukan itu."
Kemudian Jibrail A.S. memakaikan pelana dan
kekang kepada buraq itu dan membawanya kepada Nabi Muhammad S.A.W.Buraq yang
diceritakan inilah yang membawa Rasulullah S.A.W dalam perjalanan Israk dan
Mikraj.
Ulasan:
Kisah ini disebutkan dalam beberapa buah laman
web tanpa dinyatakan sumber asal kisah ini. Saya cuba cari asalnya kisah ini
dan saya hanya temui dalam kitab Durrah al-Nasihin karangan al-Khubawi.
Kisah ini tidak dapat dipastikan sumber asalnya dan ia menyerupai ucapan tukang
cerita (القُصَّاص).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan