Khamis, 27 Jun 2019

Belajarlah Setiap Hari

- Ahmad bin al-Furat[1] tidak meninggalkan sehari pun melainkan beliau akan menghafal sesuatu (daripada ilmu) meskipun sedikit.

- Kata sebahagian ulama: "Aku menghadiri majlis seorang syeikh pada pagi hari Jumaat walaupun tidak ada pengajian (pada hari tersebut) supaya tidak hilang daripadaku kebiasaan menghadiri (majlis ilmu)."

[Al-Hath 'Ala Thalab al-'Ilm, Abu Hilal al-'Askari]
_________

(1) Ahmad bin al-Furat atau dikenali juga sebagai Abu Mas'ud al-Razi merupakan seorang muhaddith di Asbahan. Beliau dilahirkan selepas tahun 180 Hijrah. Beliau menuntut ilmu sejak dari kecil. Beliau dianggap sebagai hafiz hadis ketika masih muda belia. Beliau mengembara menuntut ilmu ke beberapa tempat seperti Iraq, Syam, Hijaz dan Yaman. Antara guru beliau yang terkenal ialah Abu Daud al-Thayalisi dan Abdul Razak al-San'ani manakala murid beliau yang terkenal ialah Abu Daud al-Sijistani. Diceritakan bahawa ketika beliau tiba di Asbahan tidak ada kitab catatan hadis bersamanya. Beliau lalu mengimlak 1000 buah hadis daripada hafalannya. Setelah itu barulah kitab beliau tiba. Lalu dibuat perbandingan hadis-hadis yang beliau sampaikan melalui ingatan dan hadis-hadis yang dicatat di dalam kitabnya. Didapati tidak ada yang berbeza kecuali hanya sedikit. Imam Ahmad bin Hanbal berkata: "Tidak ada di bawah naungan langit ini orang yang lebih hafal tentang hadis-hadis Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam lebih daripada Abu Mas'ud al-Razi."  Beliau meninggal dunia pada tahun 258 Hijrah.

[Siyar A'lam al-Nubala', al-Zahabi, jil. 12, hlm. 480, c: Muassasah al-Risalah]

Istilah Ilmu Hadis 42: Hasan Li zatihi (حَسَنُ لِذَاتِهِ)

Hadis yang bersambung sanadnya, dinukilkan oleh perawi yang ’adil, namun kurang (sedikit daripada perawi yang sempurna hafalannya) dari sudut hafalannya, tidak syaz (ganjil, bertentangan) dan tiada ‘illah (kerosakan yang mencacatkan).

Beza antara sahih dan hasan

Apabila dibandingkan antara pengertian hasan dan pengertian sahih, kita dapati antaranya adalah persamaan yang besar. Di mana kedua-duanya adalah bersepakat dan sama pada keseluruhan pengertian kecuali pada syarat yang berkaitan dengan hafalan. Perawi bagi sahih adalah memiliki kekuatan hafalan yang sempurna, daripada kalangan ahli hifz dan penuh penelitian, manakala perawi hasan pula sudut hafalannya rendah sedikit daripada perawi sahih.

Contoh hadis hasan

Hadis yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi dengan katanya: Telah menceritakan kepada kami Qutaybah, telah menceritakan kepada kami Ja’far bin Sulaymanal-Ruba’i, daripada Abi ‘Imran al-Jawni, daripada Abu Bakr bin Abu Musa al-Asy’ari, berkata: Saya mendengar bapa saya berkata ketika sedang menghadapi musuh: Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Sesungguhnya pintu-pintu syurga di bawah bayangan pedang-pedang."

Hadis ini disebutkan oleh al-Imam al-Tirmizi: "Hadis hasan gharib."

Kesemua empat perawi hadis ini adalah thiqah kecuali Ja’far bin Sulayman al-Ruba’i, dia ialah seorang yang baik hadisnya (gambaran yang rendah sedikit berbanding sifat thiqah), dengan sebab itu hadis ini telah turun darjatnya kepada martabat hadis hasan.

Hukum Hadis Hasan

Hadis hasan adalah مَقْبُولُ (diterima) oleh ulama fiqah keseluruhannya untuk dijadikan sebagi hujah dan beramal dengannya. Begitu juga pandangan kebanyakan muhaddithin. Ini ialah kerana kebenaran perawi itu telah diketahui dan penukilannya selamat dengan menggunakan sanad. Sifat kekurangan pada sudut hafalan (jika dibandingkan dengan perawi hadis sahih) tidaklah mengeluarkannya daripada memiliki kelayakan untuk menyampaikan apa yang didengarinya. Maksud hasan ini hanya menyatakan bahawa darjatnya rendah daripada hadis sahih tanpa menidakkan sudut hafalannya.

Sumber-sumber Hadis Hasan

Tiada ulama terdahulu yang mengkhususkan sebuah karya hanya untuk mengumpulkan hadis-hadis hasan, bahkan mereka mengumpulkan sekali bersamanya hadis-hadis sahih dan juga yang lebih rendah iaitu daif.

Antara sumber-sumber hadis hasan yang utama ialah: 

1 – Jami’ al-Tirmizi : Oleh al-Imam Abu ‘Isa Muhammad bin ‘Isa al-Tirmizi (w. 279 H).

2 – Al-Sunan atau lebih dikenali dengan Sunan Abu Daud : Oleh al-Imam Abu Daud Sulayman bin Asy’ath al-Sijistani (w. 273 H).

3 – Al-Mujtaba atau lebih dikenali dengan Sunan al-Nasa’i : Oleh al-Imam Abu ‘Abd al-Rahman Ahmad bin Syu’aib al-Nasa’i (w. 303 H).

4 – Sunan al-Mustafa atau lebih dikenali dengan Sunan Ibnu Majah : Oleh al-Imam Ibnu Majah, Muhammad bin Yazid al-Qazwini (w. 273 H).

5 – Al-Musnad  : Oleh al-Imam Ahmad bin Hanbal al-Syaibani (w. 241 H).

6 – Al-Musnad  : Oleh al-Imam Abu Ya’la al-Mausili, Ahmad bin ‘Ali bin al-Muthanna (w. 307 H). 

 [Kamus Istilah Hadis, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri, hlm. 216, terbitan: Darul Syakir]

Rabu, 19 Jun 2019

Kedukaan Bila Terbakarnya Kitab

Abu 'Ali al-Farisi (seorang imam dalam ilmu bahasa Arab, meninggal dunia tahun 366 H) berkata:

"Berlaku kebakaran di Baghdad dan ia memakan seluruh kitab-kitabku. Aku telah menulis kitab-kitabku itu dengan tulisan tanganku sendiri. Selama dua bulan aku tidak bercakap dengan seorang pun kerana bersangatannya kesedihan dan kedukaanku. Selama beberapa ketika aku dalam keadaan kebingungan dan ketidakkeruanan."

[Mu'jam al-Udaba', Yaqut al-Hamawi]


Selasa, 18 Jun 2019

Mencontohi Tabiat Gagak, Khinzir Dan Keldai, Ketika Menuntut Ilmu

Ditanya kepada Bozorgmehr بزرجمهر (bangsawan dari Parsi, meninggal kurun ke-6 Masihi):

"Dengan apakah kamu menghimpunkan ilmu yang banyak ini?"

Beliau menjawab:

"Dengan bersegera (menuntut ilmu) sebagaimana bersegeranya gagak (keluar mencari makanan), loba (terhadap ilmu) sebagaimana lobanya khinzir (terhadap makanan) dan sabar (menuntut ilmu) sebagaimana sabarnya keldai (melakukan kerja yang disuruh tuannya)." 

[Al-Hath 'Ala Thalab al-'Ilm, Abu Hilal al-'Askari]

Isnin, 17 Jun 2019

Istilah Ilmu Hadis 41: Syaz (الشَاذٌ)

Hadis Syaz Di Sisi Ahli Hadis

Para ulama hadis telah berbeza pendapat dalam mendefinisikan hadis syaz. Perbezaan ini pada hakikatnya berpunca daripada hakikat bahawa setiap seorang daripada mereka hanya mentakrifkan satu jenis daripada jenis-jenis syaz, bukan kesemuanya. Oleh itu, tiada satu pun takrifan ini yang boleh dianggap menyeluruh untuk semua jenisnya. Pandangan-pandangan mereka boleh diringkaskan seperti berikut:

(1) Percanggahan seorang perawi yang thiqah (dipercayai) dengan perawi yang lebih rajih (lebih kuat) daripadanya dan inilah yang paling umum dalam perbahasan dan amalan mereka.

(2) Periwayatan hadis secara bersendirian oleh perawi yang thiqah dan ini banyak didapati dalam perbahasan mereka.

(3) Periwayatan hadis secara bersendirian oleh seorang syeikh, sama ada dia thiqah atau daif (lemah).

Ini adalah pandangan para huffaz (pakar) hadis dan ia hampir sama dengan jenis yang kedua. Syeikh dalam istilah mereka (ulama hadis) ialah perawi yang kedudukannya di bawah para imam pakar hadis (huffaz) dan ia merangkumi perawi yang thiqah dan daif.

(4) Riwayat oleh perawi yang kurang dhabit (ketepatan hafalan) dan ini merupakan istilah yang jarang digunakan oleh sebahagian ulama hadis.

Berdasarkan hal ini, hadis syaz menurut ulama hadis boleh dibahagikan kepada empat jenis, dan berikut adalah huraiannya secara terperinci:

Jenis Pertama: Apa yang diriwayatkan oleh perawi thiqah (dipercayai) yang bercanggah dengan riwayat perawi yang lebih thiqah daripadanya.

Ini adalah takrifan Imam al-Syafi’i.

Maksud ‘lebih thiqah’ ialah lebih kuat hafalan atau lebih ramai bilangannya, bukan lebih dari segi ‘adalah-nya (sifat adil).

Gambaran percanggahan ini adalah apabila sekumpulan perawi meriwayatkan satu hadis yang sama daripada seorang syeikh yang sama, lalu sebahagian daripada mereka menambah atau mengurangkan sesuatu pada sanad atau matannya dan dengan itu bercanggah dengan riwayat para perawi lain yang meriwayatkannya daripada syeikh tersebut.

Lawan bagi jenis hadis syaz ini disebut sebagai ‘mahfuz’.

Imam al-Syafi'i berkata: “Hadis syaz bukanlah apabila seorang perawi thiqah meriwayatkan suatu hadis yang tidak diriwayatkan oleh orang lain, sebaliknya, hadis syaz ialah apabila para perawi thiqah meriwayatkan suatu hadis, lalu seorang daripada mereka menyendiri (syaz) dan bercanggah dengan riwayat mereka.”

Imam al-Syafi’i juga berkata: “Sesungguhnya hadis syaz ialah apabila para perawi thiqah meriwayatkan suatu hadis dengan satu lafaz, kemudian seorang perawi thiqah lain meriwayatkannya bercanggah dengan riwayat mereka, maka inilah yang dikatakan: dia telah syaz (menyendiri) daripada mereka.”

Jenis Kedua: Apa yang diriwayatkan secara bersendirian oleh seorang perawi thiqah dan ia tidak mempunyai sumber asal melalui riwayat sokongan (mutabi’) serta terdetik di hati seorang pakar hadis (naqid) bahawa ia adalah satu kesilapan, namun beliau tidak mampu mengemukakan dalil untuk membuktikannya.

Jenis ini tidak ditemui padanya sebarang illah (kecacatan) seperti percampuran satu hadis ke dalam hadis lain atau menjadikan riwayat mursal (terputus sanad) sebagai mausul (bersambung sanad) atau menjadikan riwayat mawquf (berasal daripada sahabt) sebagai marfu’ (berasal daripada Nabi) dan seumpamanya.

Ia berbeza daripada hadis mu'allal (yang mempunyai kecacatan tersembunyi) kerana pada hadis mu'allal, illah yang tertentu telah dikenal pasti.

Gambaran percanggahan dalam jenis ini ialah apabila sebahagian perawi thiqah meriwayatkan suatu hadis daripada gurunya secara bersendirian tanpa sokongan daripada perawi-perawi lain yang turut meriwayatkan daripada guru yang sama.

Riwayat sebegini disebut sebagai ‘fard’.

Sufyan al-Thawri berkata kepada Zaidah bin Qudamah: “Sesungguhnya engkau seorang yang thiqah dan sesungguhnya engkau meriwayatkan kepada kami daripada seorang yang thiqah, tetapi hatiku tidak dapat menerima bahawa ini adalah hadis Salamah bin Kuhail!”

Maka, al-Thawri dalam menolak hadis Za’idah telah bergantung pada perasaannya tentang kesilapan Zaidah pada riwayat tersebut.

Abu Zur'ah berkata tentang sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Yahya bin 'Abdak daripada Musaddad: “Yahya seorang yang saduq (benar), tetapi ini bukan daripada hadis Musaddad.”

Maka, Abu Zur'ah telah menolak hadis Yahya —dan beliau seorang yang thiqah— daripada Musaddad kerana pengetahuannya tentang hadis-hadis Musaddad dan perasaannya bahawa Yahya telah melakukan kesilapan padanya.

Jenis Ketiga: Apa yang diriwayatkan secara bersendirian oleh seorang syeikh dan tidak mempunyai riwayat sokongan (mutabi’ dan syahid). Maka riwayat daripada (syeikh) yang daif (lemah) adalah ditolak, manakala riwayat daripada (syeikh) yang thiqah (dipercayai) ditangguhkan hukumnya.

Takrifan ini dinisbahkan oleh al-Hafiz al-Khalili kepada para huffaz hadis.

Beliau berkata: “Pandangan yang dipegang oleh para huffaz hadis, hadis syaz ialah apa yang tidak mempunyai melainkan satu sanad sahaja yang diriwayatkan secara bersendirian oleh seorang syeikh, sama ada syeikh itu thiqah atau tidak.

Maka, apa yang diriwayatkan daripada (syeikh) yang tidak thiqah adalah matruk (ditinggalkan) dan tidak diterima, manakala apa yang diriwayatkan daripada (syeikh) yang thiqah, hukumnya ditangguhkan dan tidak dijadikan hujah.”

Ibnu Rajab berkata: “Perkataan al-Khalili ini adalah mengenai periwayatan secara bersendirian oleh para syeikh. Syeikh dalam istilah ilmu ini ialah gelaran bagi mereka yang kedudukannya di bawah para imam dan pakar hadis (huffaz) dan dalam kalangan mereka mungkin ada yang thiqah dan ada yang selainnya.”

Jenis Keempat: Apa yang diriwayatkan oleh perawi yang kurang dhabit dan ini adalah takrifan sebahagian ulama hadis.

Ibnu Hajar berkata: “Dan ia —iaitu hafalan yang buruk— terbahagi kepada dua bahagian: jika ia (hafalan yang buruk) sentiasa ada pada perawi dalam semua keadaannya, maka ia adalah syaz menurut pandangan sebahagian ulama hadis.”

Hadis Syaz Di Sisi Ulama Mazhab Hanafi

Syaz menurut ulama mazhab Hanafi terbahagi kepada dua jenis:

(1) Periwayatan secara bersendirian oleh perawi thiqah mengenai sesuatu yang sepatutnya sudah diketahui umum atau biasa berlaku (umum al-balwa).

(2) Periwayatan secara bersendirian oleh perawi thiqah mengenai sesuatu yang bercanggah dengan al-Quran, hadis mutawatir, ijmak, atau akal.

Berdasarkan takrifan ulama mazhab Hanafi inilah, Syeikh Abdullah al-Siddiq al-Ghumari telah menyusun kitabnya, al-Fawa'id al-Maqsudah fi Bayan al-Ahadith al-Syazzah al-Mardudah.

Maksud perawi thiqah di sini menurut ulama mazhab Hanafi ialah Sahabat, yang berkemungkinan telah tersilap dalam riwayatnya atau belum sampai kepadanya dalil yang menasakhkan hadis yang diriwayatkannya.

Berikut adalah huraian kedua-duanya secara terperinci:

Jenis Pertama: Apa yang diriwayatkan secara bersendirian oleh perawi thiqah mengenai sesuatu yang sepatutnya sudah menjadi umum diketahui.

Maka ia ditolak kerana jika hadis ini wujud, nescaya ia akan masyhur disebabkan banyaknya pendorong untuk meriwayatkannya dan keumuman keperluan manusia kepadanya.

Ini menunjukkan adanya kesilapan pada apa yang diriwayatkannya secara bersendirian itu atau ia telah dinasakhkan.

Gambaran percanggahan dalam jenis ini ialah apabila perawi thiqah menjadi bercanggah dengan sekumpulan perawi kerana meriwayatkannya secara bersendirian, maka hadisnya adalah syaz.

Antara contohnya ialah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasa'i, dan Ibn Majah daripada jalur riwayat 'Urwah bin al-Zubair, daripada Marwan bin al-Hakam, daripada Busrah binti Safwan, bahawa beliau mendengar Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesiapa yang menyentuh kemaluannya, maka hendaklah dia berwuduk.”

Ulama mazhab Hanafi berkata: “Hadis Busrah adalah syaz kerana beliau meriwayatkannya secara bersendirian sedangkan perbuatan menyentuh kemaluan adalah perkara yang berulang pada setiap masa, soalan dan jawapan mengenainya banyak dan pendorong untuk meriwayatkannya amat kuat.

Maka, sekiranya wuduk batal disebabkan perbuatan itu, nescaya wajib bagi Nabi untuk menyebarluaskannya dan tidak hanya menyampaikannya kepada individu, bahkan menyampaikannya kepada bilangan (perawi) peringkat mutawatir sebagai usaha bersungguh-sungguh untuk menyebarkannya agar ia tidak membawa kepada terbatalnya solat majoriti umat sedangkan mereka tidak menyedarinya.

Oleh kerana ia tidak diriwayatkan melainkan oleh seorang sahaja, ini menunjukkan bahawa ia adalah satu kesilapan atau telah dinasakhkan kerana pandangan yang mengatakan bahawa Nabi - alaihis salam - telah mengkhususkan pengajaran hukum ini kepadanya (Busrah) —sedangkan beliau tidak memerlukannya dan tidak mengajarkannya kepada para Sahabat yang lain meskipun mereka sangat memerlukannya— adalah sesuatu yang hampir mustahil.

Janganlah dikatakan: Hadis ini juga telah diriwayatkan oleh Ibn Umar, Abu Hurairah, Jabir, Salim, Zaid bin Khalid, 'Aisyah, Ummu Habibah, dan lain-lain, maka bagaimana ia boleh menjadi syaz sedangkan ia diriwayatkan oleh tokoh-tokoh besar ini?

Kerana kami menjawab: Riwayat-riwayat tersebut sanadnya bercelaru (mudtarib), tidak sahih kerana kelemahan para perawinya dan juga kerana ia bercanggah dengan riwayat-riwayat sahih yang lain.”

Jenis Kedua: Apa yang bercanggah dengan akal, al-Quran, hadis mutawatir, atau ijmak.

Terdapat dalam perbahasan para ulama besar mazhab Imam Abu Hanifah penolakan hadis dengan dakwaan ia bercanggah dengan al-Quran.

Syeikh Abdullah al-Ghumari telah mengarang kitabnya al-Fawa'id al-Maqsudah fi Bayan al-Ahadith al-Syazzah al-Mardudah dan tujuan beliau adalah untuk mengumpulkan sebilangan hadis syaz kerana tiada kitab khusus mengenainya.

Al-Ghumari membina kitabnya berdasarkan takrifan ulama mazhab Hanafi bagi hadis syaz dan ia merangkumi empat puluh tiga buah hadis.

Beliau berkata pada penutup kitabnya: “Hadis syaz yang saya sebutkan dalam juzuk ini: sebahagiannya ada yang bercanggah dengan al-Quran, sebahagiannya ada yang bercanggah dengan hadis mutawatir, sebahagiannya ada yang bercanggah dengan ijmak dan sebahagiannya ada yang bercanggah dengan salah satu prinsip yang telah ditetapkan (dalam Islam)”.

Kemudian beliau berkata: “Ramai daripada kalangan huffaz telah menulis tentang al-Afrad dan al-Ghara'ib, tetapi tiada seorang pun daripada mereka — sepanjang pengetahuan saya — yang menulis tentang hadis-hadis syaz. Maka, juzuk ini adalah yang pertama ditulis mengenainya.”

Rujukan:

Al-Hadith al-Syaz Ta'sil Wa Tashil – Dr Ahmad Asyraf Umar Lubi.



Ahad, 16 Jun 2019

Istilah ilmu hadis 40: al-‘Illah (kecacatan) (العِلَّةُ)

Dari Segi Bahasa:

'Illah dari segi bahasa bermaksud:

1 – Penyakit.

2 - Kejadian yang menyibukkan pemiliknya daripada hajatnya.

3 - Sebab.

Dari Segi Istilah:

Ia adalah satu sebab yang samar lagi tersembunyi yang mencacatkan hadis, sedangkan pada zahirnya ia kelihatan selamat daripadanya.

Bagaimana ‘Illah Dapat Diketahui

‘Illah ini dapat diketahui melalui:

1 – Periwayatan hadis seorang perawi secara bersendirian (tafarrud).

2 - Melalui percanggahannya (mukhalafah) dengan perawi lain.

3 - Petunjuk-petunjuk (qarain) lain yang menyertainya yang menyedarkan seorang pakar dalam bidang ini tentang suatu kesilapan (wahm) yang telah berlaku seperti:

(i) Menjadikan riwayat yang bersambung (mausul) sebagai mursal (terputus sanad).

(ii) Atau menjadikan riwayat marfu' (disandarkan kepada Nabi) sebagai mawquf (disandarkan kepada sahabat).

(iii) Atau kemasukan satu hadis ke dalam hadis yang lain.

(iv) Atau selainnya.

Sehinggakan beratnya pada sangkaannya lalu beliau menghukumkan hadis itu sebagai tidak sahih, atau beliau menjadi ragu-ragu lalu mengambil sikap tawaqquf (menangguhkan hukum) mengenainya.

Adakalanya seorang ahli hadis yang menilai ‘illah pada hadis tidak mampu untuk mengemukakan hujah bagi dakwaannya itu sepertimana seorang pengurup wang dalam menilai keaslian dinar dan dirham.

Cara Mengetahui ‘Illah

Cara untuk mengetahuinya ialah dengan:

1 - Mengumpulkan jalan-jalan periwayatan hadis.

2 - Meneliti perbezaan para perawinya serta ketepatan (dhabt) dan ketelitian (itqan) mereka.

Bentuk-Bentuk 'Illah:

Al-Hakim an-Naisaburi telah membahagikan jenis-jenis 'illah kepada sepuluh bahagian, lalu al-Hafiz as-Suyuti meringkaskannya di dalam Tadrib ar-Rawi, ringkasannya adalah seperti berikut:

Pertama: Sanadnya pada zahirnya adalah sahih, dan di dalamnya terdapat perawi yang tidak diketahui mendengar hadis daripada orang yang diriwayatkannya.

Seperti hadis Musa bin 'Uqbah, daripada Suhail bin Abi Salih, daripada bapanya, daripada Abu Hurairah, daripada Nabi Sallahu ‘alaihi wasallam, baginda bersabda:

“Sesiapa yang duduk dalam sesuatu majlis lalu banyak laghanya di dalamnya, kemudian dia berkata sebelum dia bangun: Maha Suci Engkau, ya Allah, dan dengan pujian-Mu, tiada tuhan melainkan Engkau, aku memohon ampun kepada-Mu dan aku bertaubat kepada-Mu, nescaya akan diampunkan baginya apa yang telah berlaku di dalam majlisnya itu.”

Maka diriwayatkan bahawa Muslim telah datang kepada al-Bukhari, dan bertanya kepadanya tentang hadis itu, lalu beliau berkata:

“Ini adalah hadis yang malih (baik), tetapi ia ma'lul (mempunyai 'illah). Telah menceritakan kepada kami mengenainya Musa bin Isma'il, (dia berkata) telah menceritakan kepada kami Wuhaib, (dia berkata) telah menceritakan kepada kami Suhail, daripada 'Aun bin 'Abdillah sebagai perkataannya. (Riwayat) ini adalah lebih utama kerana tidak pernah disebutkan bahawa Musa bin 'Uqbah pernah mendengar hadis daripada Suhail.”

Kedua: Hadis itu adalah mursal (terputus sanad) dari satu sanad yang diriwayatkan oleh para perawi yang thiqah lagi pakar hadis (huffaz), dan diriwayatkan secara musnad (bersambung sanad) dari jalan yang lain yang zahirnya adalah sahih.

Seperti hadis Qabisah bin 'Uqbah, daripada Sufyan, daripada Khalid al-Hazza' dan 'Asim, daripada Abu Qilabah, daripada Anas secara marfu':

“Orang yang paling pengasih dalam umatku ialah Abu Bakar, dan yang paling tegas dalam agama Allah ialah 'Umar....”

Al-Hakim berkata: “Maka kalaulah sanadnya sahih, nescaya ia akan diriwayatkan di dalam kitab al-Sahih (Sahih al-Bukhari atau Muslim). Sesungguhnya Khalid al-Hazza' hanya meriwayatkan daripada Abu Qilabah secara mursal.

Ketiga: Hadis itu mahfuz (diriwayatkan secara tepat) sebagai riwayat daripada seorang sahabat, dan ia diriwayatkan daripada sahabat yang lain kerana perbezaan negeri para perawinya. Seperti riwayat para perawi Madinah daripada para perawi Kufah.

Seperti hadis Musa bin 'Uqbah (perawi Madinah) daripada Abu Ishaq (perawi Kufah), daripada Abu Burdah daripada bapanya (Abu Musa al-Asy’ari), secara marfu': “Sesungguhnya aku benar-benar memohon ampun kepada Allah dan bertaubat kepada-Nya dalam sehari sebanyak seratus kali.”

Al-Hakim berkata: “Ini adalah sanad yang tidak akan dilihat oleh seorang ahli hadis melainkan dia akan menyangka bahawa ia memenuhi syarat sahih. Para perawi Madinah apabila mereka meriwayatkan daripada para perawi Kufah, mereka tergelincir (melakukan kesilapan). Sesungguhnya hadis ini mahfuz sebagai riwayat Abu Burdah daripada al-Agharr al-Muzani.

Syeikh Dr Nuruddin ‘Itr berkata: “Maka kesilapan itu berlaku kerana ingatan perawi beralih daripada al-Agharr al-Muzani kepada Abu Musa al-Asy'ari, kerana dia, iaitu Musa bin 'Uqbah, tidak menguasai hadis Abu Ishaq. Maka apabila dia sampai kepada Abu Burdah, dia berkata: 'daripada Abu Musa', kerana banyaknya riwayat Abu Burdah daripada bapanya, iaitu Abu Musa.”

Keempat: Hadis itu mahfuz daripada seorang sahabat, lalu ia diriwayatkan daripada seorang tabi'i, dan berlakulah wahm (kesilapan) dengan menyatakan dia mendengar hadis secara langsung (tasrih) dalam bentuk yang menunjukkan kesahihannya, bahkan ia tidak pun dikenali datang daripada riwayatnya (tabi’i tersebut).

Seperti hadis Zuhair bin Muhammad daripada 'Uthman bin Sulaiman, daripada bapanya, bahawa dia mendengar Rasulullah Sallahu ‘alaihi wasallam membaca surah at-Tur dalam solat Maghrib.

Al-Hakim berkata: “Al-'Askari dan selainnya telah meriwayatkan hadis ini dalam kategori al-Wuhdan (perawi yang tidak diriwayatkan daripadanya melainkan seorang murid sahaja), dan ia adalah ma'lul. Bapa kepada 'Uthman tidak pernah mendengar hadis daripada Nabi Sallahu ‘alaihi wasallam, dan tidak pernah melihat baginda. 'Uthman sebenarnya meriwayatkannya daripada Nafi' bin Jubair bin Mut'im daripada bapanya, dan sebenarnya dia ialah 'Uthman bin Abi Sulaiman.”

Kelima: Hadis itu diriwayatkan dengan lafaz 'an'anah (daripada), dan telah gugur seorang perawi daripadanya, yang mana hal itu ditunjukkan oleh jalan periwayatan lain yang mahfuz.

Seperti hadis Yunus daripada Ibnu Syihab al-Zuhri, daripada 'Ali bin al-Husain, daripada seorang lelaki dari kalangan Ansar: “Mereka pernah bersama Rasulullah Sallahu ‘alaihi wasallam pada suatu malam, lalu sebuah bintang jatuh, maka suasana menjadi terang-benderang disebabkannya...”

Al-Hakim berkata: “'Illahnya ialah: Yunus, walaupun mempunyai kedudukan yang tinggi, telah melakukan kesilapan. Sesungguhnya ia adalah daripada Ibnu 'Abbas, (yang berkata) telah menceritakan kepadaku beberapa orang lelaki. Begitulah ia diriwayatkan oleh Ibnu 'Uyainah, Syu'aib, Salih al-Auza'i dan selain mereka daripada az-Zuhri.

Syeikh Dr Nuruddin ‘Itr berkata: “Maka 'illah di sini adalah pada riwayat Ibnu Wahb daripada Yunus, iaitu beliau meriwayatkan hadis tersebut daripada 'Ali bin al-Husain daripada beberapa orang lelaki dari kalangan Ansar dan tidak menyebutkan Ibnu 'Abbas, manakala riwayat yang betul ialah daripada 'Ali bin al-Husain daripada Ibnu 'Abbas yang berkata: telah menceritakan kepadaku beberapa orang lelaki dari kalangan Ansar.”

Keenam: Berlaku perbezaan riwayat daripada seorang perawi, yang diriwayatkan dengan sanad (yang bersambung) dan selainnya. Yang mahfuz daripadanya adalah yang berlawanan dengan sanad (yang bersambung) itu (iaitu terputus sanad).

Seperti hadis 'Ali bin al-Husain bin Waqid, daripada bapanya, daripada 'Abdullah bin Buraidah, daripada bapanya, daripada 'Umar bin al-Khattab, beliau berkata: Aku berkata, wahai Rasulullah: Mengapakah engkau orang yang paling fasih di antara kami...?”

Al-Hakim berkata: “'Illahnya ialah apa yang telah diriwayatkan secara bersanad daripada 'Ali bin Khasyram, (beliau berkata) telah menceritakan kepada kami 'Ali bin al-Husain bin Waqid, (katanya) telah sampai kepadaku bahawa 'Umar..., lalu beliau menyebutkannya.”

Ketujuh: Perbezaan pada seorang perawi dalam menamakan gurunya atau menyamarkannya.

Seperti hadis az-Zuhri, daripada Sufyan ats-Tsauri, daripada Hajjaj bin Furafisah, daripada Yahya bin Abi Kathir, daripada Abu Salamah, daripada Abu Hurairah, secara marfu': “Orang mukmin itu bersifat naif lagi mulia, dan orang jahat itu bersifat licik lagi tercela.”

Al-Hakim berkata: “'Illahnya ialah apa yang telah diriwayatkan secara bersanad daripada Muhammad bin Kathir, (katanya) telah menceritakan kepada kami Sufyan, daripada Hajjaj, daripada seorang lelaki, daripada Abu Salamah..., lalu beliau menyebutkannya.”

Kelapan: Seorang perawi meriwayatkan daripada seseorang yang pernah ditemuinya dan pernah mendengar (hadis) daripadanya, akan tetapi, dia tidak mendengar hadis-hadis tertentu daripadanya. Maka, apabila dia meriwayatkannya daripada orang itu tanpa perantara, ‘illahnya adalah dia tidak mendengar hadis tersebut daripadanya.

Contohnya seperti hadis Yahya bin Abi Kathir daripada Anas, bahawa Nabi Sallahu ‘alaihi wasallam apabila berbuka puasa di rumah suatu keluarga, Baginda bersabda: “Telah berbuka puasa di sisimu orang-orang yang berpuasa…”

Al-Hakim berkata: “Yahya pernah bertemu Anas, dan telah jelas dari jalur yang lain bahawa dia tidak mendengar hadis ini daripadanya. Kemudian, diriwayatkan dengan sanad daripada Yahya, dia berkata: "Aku telah diceritakan (oleh seseorang) daripada Anas," lalu dia menyebutkan hadis tersebut.

Kesembilan: Jalur periwayatan suatu hadis adalah masyhur. Kemudian, salah seorang perawinya meriwayatkan suatu hadis melalui jalur yang lain, maka orang yang meriwayatkannya melalui jalur yang masyhur itu — berdasarkan kebiasaan — telah melakukan kesilapan.

Contohnya seperti hadis al-Munzir bin Abdullah al-Hizami daripada Abdul Aziz bin al-Majishun, daripada Abdullah bin Dinar, daripada Ibnu Umar: “Rasulullah Sallahu ‘alaihi wasallam apabila memulakan solat, Baginda membaca: Subhanakallahumma…”  

Al-Hakim berkata: “Dalam hal ini, al-Munzir telah mengambil jalur yang biasa (masyhur), padahal sebenarnya ia adalah daripada hadis Abdul Aziz, (yang meriwayatkan) daripada Abdullah bin al-Fadhl, daripada al-A’raj, daripada Abdullah bin Abi Rafi’, daripada Ali.”

Kesepuluh: Suatu hadis diriwayatkan secara marfu’ melalui satu jalur, dan secara mauquf melalui jalur yang lain.

Contohnya seperti hadis Abu Farwah Yazid bin Muhammad, (dia berkata) ayahku telah menceritakan kepadaku daripada ayahnya, daripada al-A’mash, daripada Abu Sufyan, daripada Jabir, secara marfu’: “Sesiapa yang ketawa dalam solatnya, dia hendaklah mengulangi solat, tetapi tidak perlu mengulangi wuduk.”

Al-Hakim berkata: “’Illahnya ialah apa yang diriwayatkan oleh Waki’ dengan sanadnya daripada al-A’mash daripada Abu Sufyan, dia berkata: Jabir telah ditanya… lalu dia menyebutkannya.”

Rujukan:

- Lamahat Mujazah Fi Usul 'Ilal al-Hadith oleh Dr Nuruddin 'Itr.

- Mausu'ah 'Ulum al-Hadis Wa Fununihi oleh Dr Sayyid Abdul Majid al-Ghauri. 

Baca juga: 

Istilah Ilmu Hadis 23: Ilmu ‘Ilal al-Hadith (عِلْمُ عِلَلِ الحَدِيثِ)


Istilah Ilmu Hadis 39: Thiqah (الثِّقَةٌ)

Thiqah ialah seorang perawi yang ‘adil lagi dhabit.

Faedah Mengetahuinya:

Ia merupakan satu ilmu yang penting dan antara ilmu-ilmu hadis yang paling agung kerana melaluinya, hadis yang sahih dapat dibezakan daripada yang daif.

Maka, mengetahui keadaan para perawi dari sudut ketepatan (dhabt) dan keadilan ('adalah) mereka adalah asas dalam memastikan kesahihan khabar-khabar yang disandarkan kepada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam, yang mana ia tidak sampai kepada kita melainkan melalui mereka.

Syarat-syarat terpenting yang perlu ada pada seorang perawi:

Antara syarat terpenting bagi seorang perawi ialah dia mestilah seorang yang adil lagi dhabit.

1 - Al-'Adalah (Keadilan):

Satu sifat yang memastikan agar seorang perawi itu dipercayai dalam urusan agamanya.

Untuk merealisasikan sifat 'adalah ini, seorang perawi itu mestilah seorang:

i) Muslim.

ii) Baligh.

iii) Berakal.

iv) Selamat daripada sebab-sebab yang menyebabkan kefasikan.

v) Selamat daripada perkara-perkara yang mencemarkan maruah (khawarim al-muru'ah).

Al-Muru'ah (maruah) ialah adab-adab jiwa yang mendorong pemiliknya untuk menghiasi diri dengan sifat-sifat terpuji dan meninggalkan sifat-sifat tercela.

Justeru, tidak diterima riwayat seorang kafir, kanak-kanak yang belum mumayyiz, orang gila, orang fasik, dan sesiapa yang melakukan perbuatan hina yang mencemarkan maruah, seperti kencing di jalanan awam dan seumpamanya.

2 - Al-Dhabt (Ketepatan):

Iaitu seorang perawi itu dipercayai dalam riwayatnya, seorang yang menghafal lagi teliti (mutqin) terhadap apa yang diriwayatkannya jika dia meriwayatkannya daripada hafalannya.

Dia hendaklah seorang yang alim tentang makna-makna dan pengertian lafaz-lafaz jika dia meriwayatkan secara makna, sehingga dia mampu menyampaikannya dengan lafaznya atau maknanya pada bila-bila masa yang dia kehendaki dan ini dinamakan dhabt sadr (ketepatan hafalan).

Adapun jika dia meriwayatkan daripada kitabnya, maka dia mestilah menjaga kitabnya daripada sebarang tangan yang melakukan pengubahan (tahrif) atau kesalahan tulisan (tashif), dan dia mampu menunjukkannya pada bila-bila masa yang dikehendaki, dan ini dinamakan dhabt kitab (ketepatan tulisan/kitab).

Bagaimanakah Sifat 'Adalah Diketahui?

1 - Ia dinyatakan oleh salah seorang ulama al-Jarh wa al-Ta'dil.

2 - Tersebar luas dan kemasyhuran.

Maka sesiapa yang masyhur sifat keadilannya dalam kalangan ahli ilmu dan tersebar pujian terhadapnya, maka dia adalah seorang yang adil, seperti Imam-imam yang Empat dan Sufyanain (Sufyan al-Thawri dan Sufyan ibn Uyaynah).

Bagaimanakah Dhabt Seseorang Perawi Diketahui?

Ketepatan (dhabt) seorang perawi diketahui dengan riwayatnya yang selari dengan para perawi thiqah yang teliti (mutqin). Ini adalah pada kebiasaannya. Percanggahan yang jarang berlaku tidak memudaratkannya, kerana ia termasuk dalam kategori syaz (kesalahan yang jarang-jarang berlaku).

Adapun percanggahan yang banyak dan kerap berlaku, maka ia termasuk dalam kategori nakarah (kesalahan teruk), atau taghfil (kelalaian), atau fuhsy al-ghalat (kesalahan yang keterlaluan), dan kesemuanya ini mencacatkan sifat dhabt.

Apabila sifat 'adalah (keadilan) dan dhabt (ketepatan) terdapat pada seorang perawi, dia disifatkan sebagai thiqah. Maka lafaz thiqah sudah mencukupi dan tidak perlu lagi kita berkata: 'adl dhabit.

Sumber:

Bulugh al-Amal Min Mustholah al-Hadith Wa al-Rijal oleh Prof Dr Muhammad Mahmud Ahmad Bakkar

Jumaat, 14 Jun 2019

Istilah Ilmu Hadith 38: Penjagaan, Pemeliharaan (الضَّبْطُ)

Seorang perawi mendengar akan hadis-hadis daripada syeikhnya dengan penuh kesedaran dan tidak lalai, di mana beliau dapat menghafalnya jika ia menyampaikannya semula melalui hafalannya dan dapat menghadirkannya pada bila-bila masa, dan bersifat teliti jika beliau menyampaikannya melalui kitabnya, di samping berpengetahuan dengan maknanya, jika beliau hendak meriwayatkan hadis tanpa lafaznya yang sebenar (yakni melalui makna sahaja).

Jenis-jenis al-Dabt:

Pertama: Penjagaan Hafalan (ضَبْطُ الصَّدْرِ):

Iaitu hafalan seorang perawi yang mampu memastikan apa-apa yang didengarinya daripada syeikh, mengingatinya dan menyampaikannya ketika diperlukan. 

Dengan kata lain: Seorang perawi yang hatinya dalam keadaan penuh kepastian, akalnya hadir, cerdas serta tidak lalai, tidak seumpama orang yang tidak mampu membezakan antara kebenaran dan kesalahan, seperti orang yang tidur atau tidak bersungguh-sungguh.

Kedua: Penjagaan Kitab (ضَبْطُ الكِتَابُ):

Iaitu seorang perawi yang menjaga dan memelihara kitabnya daripada sebarang perubahan atau penyelewengan, dan mempertahan kitab tersebut sejak dari beliau mendengarnya serta membetulkan kesalahan yang ada sehinggalah beliau menyampaikan hadis daripada kitabnya itu.

Dengan kata lain: Seorang perawi yang memelihara kitabnya yang ditulis dengan riwayat-riwayat hadis dan dijaga daripada sebarang bentuk kesalahan sejak dari beliau mendengarnya (daripada syeikh) dan menulisnya sehinggalah beliau menyampaikannya semula. 

Beliau turut menghalang daripada segala bentuk perubahan isi kandungannya, terutama jika beliau hanya bergantung kepadanya ketika menyampaikan hadis, sama ada dari segi penambahan, pengurangan atau penukaran. 

Di samping merujuk semula pada perkara yang boleh jadi ia menyalahinya pada matan hadis atau pada sanadnya dari segi lafaz atau nama. Dan beliau juga tidak terus menerima sebarang bentuk talqin (periwayatan asing). 

[Kamus Istilah Hadis, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri, hlm. 325]

Istilah Ilmu Hadis 37: Sifat ‘adil (العَدَلَةُ)

Suatu kekuatan (penguasaan diri) yang membawa seseorang itu kepada sentiasa bersifat taqwa, menjauhi diri dari perkara-perkara keji seperti perbuatan dosa mensyirikkan Allah, atau fasiq ataupun bid’ah atau segala apa perbuatan tidak baik yang mencalarkan maruah seseorang.

Syarat-syarat ‘adil adalah seperti berikut:

1 - Islam: Maka tidak diterima riwayat orang yang kafir menurut ijma’.

2 – Baligh: Kerana balighnya seseorang itu adalah kayu ukur kepada kemampuannya memikul beban tanggungawab dengan melakukan perkara yang diwajibkan serta meninggalkan perkara yang dilarang. Dengan itu, riwayat kanak-kanak adalah sesuatu yang tidak diterima menurut pandangan yang paling sahih di sisi jumhur ulama. Adapun sekiranya dia mengambil hadis itu sebelum baligh dan meriwayatkannya sesudah baligh, maka riwayatnya boleh diterima.

3 – Berakal: Kerana dengan akal, seseorang dapat dipastikan kebenaran kata-katanya serta kekuatan ingatannya. Dengan itu, menurut ijma’ riwayat orang gila tidak boleh diterima.

4 – Taqwa: Iaitu menjauhi dosa besar serta tidak berterusan dalam melakukan dosa kecil. Mereka yang melakukan dosa besar dianggap fasiq secara pasti, begitu juga mereka yang berterusan melakukan dosa kecil kerana dosa kecil yang dilakukan secara berterusan menjadikan dosa tersebut seperti dosa besar. Umpama kata-kata ulama: “Tidak dinamakan dosa kecil sekiranya dilakukan berterusan.”

5 – Menjaga muru’ah (maruah): Dengan meninggalkan segala perlakuan yang dapat mencemarkannya, iaitu semua perkara yang dapat merendahkan kedudukan seseorang berdasarkan tatasusila kehidupan yang betul. Contohnya seperti kencing di jalanan, dan banyak mempersenda serta memperlekehkan orang lain. Mereka yang melakukan perlakuan ini ialah golongan yang rendah moralnya, dan menjadikannya tidak boleh dipercayai dalam menyampaikan sesuatu yang diriwayatkan daripada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam.

Kesemua sifat ini sekiranya ada pada seorang perawi maka ia digelar sebagai seorang yang ’adil  bahkan seorang yang benar. Kerana sekiranya seluruh sifat ini terkandung dalam dirinya, maka ia akan mem bawanya kepada bersifat benar dan menjauhkannya daripada bersifat penipu.

[Kamus Istilah Hadis, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri, hlm. 353]

Khamis, 13 Jun 2019

Kisah Palsu: Usman Terlupa Membayar Zakat Fitrah

Teks Kisah:

Pada zaman Rasulullah SAW, pernah seorang sahabat baginda, Usman R.A terlupa membayar zakat fitrah hingga selesai solat Aidilfitri.

Apabila teringat, beliau segera pulang dan mengambil seekor unta yang paling bagus miliknya lalu dijualnya, kemudian wang hasil penjualan unta tersebut beliau guna untuk memerdekakan seorang budak.

 Setelah itu, beliau menghadap Rasulullah SAW dan berkata:

“Ya, Rasulullah, bahwasannya saya telah lupa membayar zakat fitrah, namun saya telah menjual seekor unta yang paling bagus dan saya gunakan untuk memerdekakan seorang budak. Apakah itu setara nilainya dengan zakat fitrah yang saya terlupa membayar itu?”

 Di hadapan para sahabat, Rasulullah SAW kemudian menjawab:

“Sangat merugikan bagi sesiapa pun yang tidak membayar zakat fitrah, kerana pahala zakat fitrah itu sangatlah tidak terhingga.

Jangankan memerdekakan seorang budak, memerdekakan 100 orang budak pun tak akan dapat menyamai pahala zakat fitrah.”


 Ulasan:

Kisah ini disebutkan oleh al-Khubawi dalam kitab Durrah al-Nasihin (hlm. 278, c: Dar Ihya' al-Kutub al-'Arabiyyah). 

Kata Dr Ahmad Lutfi Fadlullah dalam kitab Nilai Hadis Dalam Durrah al-Nasihin (hlm. 219):

"Hadis ini belum dapat dikesan perawinya. Al-Khubawi menukilkannya daripada kitab Zubdah al-Wa'izin...Hadis ini dihukumkan palsu sebab, selain ia belum dikesan dalam kitab yang muktabar, ia dinukilkan daripada kitab yang tidak muktabar iaitu Zubdah al-Wa'izin."


Istilah Ilmu Hadis 36: Al-Sahih (الصَحِيحُ)

Hadis yang bersambung sanadnya dengan dinukilkan oleh perawi yang adil lagi dabit (sempurna hafalan/jagaannya) daripada perawi yang ‘adil lagi dabit juga sehingga ke akhir sanadnya, serta ia tidak syaz dan tidak mempunyai ‘illah (kecacatan).

Jelas daripada pengertian ini, syarat-syarat hadis sahih yang wajib ada bagi menjadikan sesuatu hadis itu sahih ada lima, iaitu:

1. Sanad yang bersambung.

2. Para perawi yang ‘adil.

3. Para perawi yang dabit (sempurna hafalan/jagaannya).

4. Tidak mempunyai ‘illah (kecacatan).

5. Tidak ada syaz.

Jika salah satu daripada syarat yang lima ini tidak ada, maka hadis tersebut tidak dinamakan hadis sahih.

Contohnya:

Hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam kitab Sahihnya, beliau berkata: Telah menceritakan kepada kami ‘Abd Allah bin Yusuf, beliau berkata: Telah memberitahu kepada kami Malik daripada Ibnu Syihab daripada Muhammad bin Jubair bin Mut’im daripada bapanya, beliau berkata:

“Saya mendengar Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam membaca pada waktu Maghrib surah al-Tur.”

Hadis ini sahih berdasarkan kepada perkara berikut:

1. Sanadnya bersambung: Setiap perawi daripada semua perawinya mendengar daripada syeikh masing-masing. Manakala penggunaan ‘an (iaitu ‘daripada’ dalam sanad hadis) yang digunakan oleh Malik, Ibnu Syihab dan Ibnu Jubair, dihukumkan sebagai bersambung disebabkan perawi-perawi tersebut bukanlah bersifat mudallis (menyembunyikan keburukan sanad).

2. Kesemua perawinya memiliki sifat ‘adil dan hafiz. Berikut adalah sifat-sifat mereka di sisi ulama al-jarh wa al-ta’dil:

- ‘Abd Allah bin Yusuf: Thiqah. Mutqin.

- Malik bin Anas: Imam, Hafiz.

- Ibnu Syihab al-Zuhri: Faqih, Hafiz, disepakati kehebatan dan ketelitiannya.

- Muhammad bin Jubair: Thiqah.

- Jubair bin Mut’im: Seorang sahabat.

3. Tiada dalam sanad atau matan hadis sebarang ‘illah sama ada yang zahir atau tersembunyi.

Hukumnya:

Wajib beramal dengan hadis yang sahih berdasarkan ijmak ulama. Ia adalah hujah atau dalil daripada hujah-hujah syarak, tidak seharusnya bagi seorang muslim meninggalkannya.

Sumber-sumber hadis sahih:

Sumber-sumber hadis sahih cukup banyak, dan memadai di bawah ini disebutkan sumber-sumber yang hanya memuatkan hadis sahih semata-mata, iaitu:

1. Sahih al-Bukhari oleh al-Imam Muhammad bin Isma’il al-Bukhari (w. 256H).

2. Sahih Muslim oleh al-Imam Muslim bin al-Hajjaj (w. 261H).

Kedua-dua kitab ini merupakan kitab yang paling utama bagi hadis sahih. Di samping itu terdapat sumber-sumber lain yang dalamnya terdapat banyak hadis sahih, di samping jenis-jenis hadis yang lain, contohnya:

1. Al-Muwatta’ oleh al-Imam Malik bin Anas (w. 179H).

2. Al-Musnad oleh al-Imam Ahmad bin Hanbal (w. 241H).

3. Sunan Abu Daud oleh al-Imam Abu Daud Sulaiman bin al-Asy’ath al-Sijistani (w. 275H).

4. Sunan Ibnu Majah oleh al-Imam Muhammad bin Yazid bin Majah al-Qazwini (w. 273H atau 274H).

5. Sunan al-Termizi oleh al-Imam Abu ‘Isa Muhammad bin ‘Isa al-Termizi (w. 279H).

6. Sunan al-Nasa’ie oleh al-Imam Ahmad bin Syu’aib al-Nasa’ie (w. 303H).

7. Sahih Ibnu Khuzaimah oleh al-Imam Muhammad bin Ishaq bin Khuzaimah (w. 311H).

8. Al-Mustakhraj ‘Ala Sahih Muslim oleh al-Imam Abu ‘Awanah (w. 316H).

9. Sahih Ibnu Hibban oleh al-Imam Abu Hatim Muhammad bin Hibban al-Busti (w. 354H).

10. Al-Mustakhraj ‘Ala Sahih al-Bukhari oleh al-Imam Abu Bakr al-Isma’ili (w. 371H).

11. Al-Mustadrak ‘Ala al-Sahihain oleh al-Imam Abu ‘Abdillah al-Hakim al-Naisaburi (w. 405H).

12. Al-Mustakhraj ‘Ala al-Sahihain oleh al-Imam Abu Nu’aim al-Asbahani (w. 430H).

Kebanyakan hadis-hadis dalam kitab-kitab ini adalah sahih, malah kebanyakannya tiada dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim, atau salah satu daripadanya.

[Kamus Istilah Hadis, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri, hlm. 312]

Jumaat, 7 Jun 2019

Istilah Ilmu Hadis 35: Gharib Nisbi atau Fard Nisbi (الغَرِيبُ النِسْبِيُّ أَوْ الفَرْدُ النِسْبِيُّ)

Hadis yang terdapat dalamnya sifat kebersendirian (tafarrud) dengan dinisbahkan kepada sudut tertentu, dan tidak kira apa jua sudut berkenaan.

Hadis ini juga dinamakan sebagai al-Gharib yang kebanyakan ulama lebih gemar menggunakan istilah ini.

Ibnu Hajar telah membahagikan al-Fard ini kepada empat bahagian dan perinciannya adalah seperti berikut:

Pertama: Tafarrud (bersendirian) daripada seorang kepada seorang.

Sebagai contoh:

Hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Sahihnya, beliau berkata:

Telah menceritakan kepada kami Khallad bin Yahya, telah menceritakan kepada kami Abdul Wahin bin Aiman, daripada ayahnya, dia (ayahnya) berkata: Saya telah mendatangi Jabir, dan Jabir berkata:   

“Ketika berlakunya perang Khandak, sedang kami mengali parit, kami telah dibantutkan oleh sebiji batu yang besar dan keras. Para sahabat pergi berjumpa dengan Nabi sallahu ‘alaihi wasallam untuk mengadu mengenai perkara tersebut. Mereka berkata: Inilah batu yang menghalang kami dalam parit. Lalu baginda bersabda: Saya akan turut (untuk memecahkan batu itu.”

Dalam hadis ini, hanya Abdul Wahid sahaja yang meriwayatkannya daripada ayahnya daripada hadis Jabir bin Abdillah. Sedangkan terdapat juga riwayat lain yang diriwayatkan daripada selain hadis Jabir.

Kedua: Tafarrud (bersendirian) ahli sesebuah negeri seorang perawi.

Hadis yang diriwayatkan oleh ‘Abd Allah bin Buraidah daripada ayahnya, Buraidah, beliau berkata: Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda:

“Kadi itu ada tiga. Dua orang pasti masuk neraka. Hanya seorang yang akan ke syurga. Adapun kadi yang berada di syurga itu adalah kerana dia telah melaksanakan hhukum yang benar dan dia masuk ke syurga.” 

[Hadis riwayat al-Bukhari]

Dalam sanad hadis ini kesemua perawinya adalah dari Khurasan. Al-Hakim berkata: “Perawi-perawinya semua adalah Marawizah (yakni orang-orang Marw di Khurasan).”

Ketiga: Tafarrud (bersendirian) seorang perawi daripada ahli sesebuah negeri.

Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata:

“Jenis ini adalah bertentangan dengan jenis yang sebelumnya iaitu jenis kedua. Hadis jenis ini sangat sedikit. Gambarannya ialah seorang perawi bersendirian mengambil suatu hadis dari sekumpulan perawi sesebuah negeri yang hanya meriwayatkan hadis tersebut.”

Keempat: Tafarrud (bersendirian) ahli sesebuah negeri mengambil riwayat dari ahli sesebuah negeri yang lain.

Sebagai contoh:

Hadis yang diriwayatkan oleh al-Hakim daripada hadis al-Husain bin Dawud al-Balkhi, beliau berkata:

Telah menceritakan kepada kami al-Fudhail bin ‘Iyadh, telah menceritakan kepada kami Mansur, daripada Ibrahim, daripada ‘Abd Allah bin Mas’ud, beliau berkata: Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda:

“Allah pernah berfirman kepada dunia: Wahai dunia, perhambakan dirimu kepada mereka yang menghambakan dirinya padaKu, dan jadikanlah mereka penat dan lelah sekiranya mereka menghamakan diri padamu.”

Al-Hakim berkata:

Hadis ini diriwayatkan oleh perawi-perawi Khurasan daripada perawi-perawi Mekah. Sesungguhnya al-Husain bin Dawud al-Balkhi dan al-Fudhail bin ‘Iyadh adalah perawi-perawi Mekah.”

[Kamus Istilah Hadis, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri, hlm. 390]