Rabu, 24 Julai 2019

Hadis Palsu: Bercakap Di Masjid Menghilangkan Pahala

 

الحَدِيث فِي الْمَسْجِد يَأْكُل الْحَسَنَات كَمَا تَأْكُل الْبَهِيمَة الْحَشِيش

"Bercakap di dalam masjid akan memakan kebaikan (pahala) sebagaimana haiwan memakan rumput."

Dalam lafaz yang lain:

الكلام المباح في المسجد يأكل الحسنات كما تأكل النار الحطب

"Bercakap perkara yang harus di dalam masjid memakan kebaikan (pahala) sebagaimana api memakan kayu bakar."

Penilaian Ahli Hadis

Hadis ini tidak ditemui sumber asalnya oleh al-Hafiz al-'Iraqi dalam Takhrij Hadis Ihya'

Menurut al-Fairuzzabadi juga, ia tidak ditemui sumber asalnya.

Hukum ini diikuti oleh para ulama selepasnya seperti Mulla 'Ali al-Qari dalam al-Masnu' dan al-Asrar al-Marfu'ah, al-'Ajluni dalam Kasyf al-Khafa, al-Fattani dalam Tazkirah al-Maudhu'at dan al-Syaukani dalam al-Fawaid al-Majmu'ah.

Hadis Lain

مَنْ تَكَلَّمَ بِكَلامِ الدُّنْيَا فِي الْمَسَاجِدِ - أَوْ فِي الْمَسْجِدِ - أَحْبَطَ اللَّهُ أَعْمَالَهُ أَرْبَعِينَ سَنَةً

"Sesiapa yang bercakap tentang suatu ucapan yang berkaitan dengan urusan dunia di dalam masjid-masjid - atau di sebuah masjid - nescaya Allah akan membatalkan (pahala) amalannya selama empat puluh tahun."

Syeikh Abdul Aziz al-Ghumari dalam kitab al-Tihani mengulas tentang hadis ini:

“Ia adalah batil (palsu) dari sudut asal-usulnya. Percakapan yang mempunyai hukum harus adalah harus untuk dibicarakan di dalam masjid sepertimana yang telah terdapat di dalam hadis yang sahih.

Antara kaedah yang telah ditetapkan di sisi ahli hadis ialah, apabila sesuatu hadis itu mengkhabarkan tentang ganjaran yang sangat besar ke atas amalan yang sedikit, atau ancaman yang sangat dahsyat ke atas dosa yang kecil, maka perkara itu menjadi bukti ke atas kepalsuannya (iaitu ia adalah hadis rekaan), sepertimana dalam hadis ini. Ini kerana bercakap di dalam masjid pada asalnya adalah harus, dan kalau pun ia tidak harus, hukumnya tidak akan lebih daripada tahap makruh, maka bagaimana ia boleh membatalkan amalan pelakunya?

Al-Hafiz al-Suyuti telah berkata di dalam bait-bait Alfiyyah beliau ketika menerangkan tentang ciri-ciri yang melaluinya dapat dikenali suatu hadis palsu: "Dan apa jua yang padanya terdapat janji (ganjaran) yang besar, atau ancaman yang dahsyat ke atas perkara yang remeh dan (dosa) kecil, maka ketahuilah perkara ini dan sentiasalah beringat tentangnya."

Oleh itu, kedua-dua hadis ini tidak boleh disebarkan dan dinisbahkan kepada Nabi SAW.

Hukum Bercakap Dalam Masjid

Imam Ibnu 'Abidin al-Hanafi dalam kitab Radd al-Muhtar berpendapat bahawa harus untuk bercakap perkara yang harus hukumnya di dalam masjid berdasarkan perbuatan Ahli Suffah yang sentiasa melazimi masjid, tidur dan bercakap-cakap di dalamnya.

Begitu juga Imam Ibnu Hazm dalam kitab al-Muhalla menghimpunkan dalil-dalil akan keharusan bercakap di dalam masjid tentang perkara yang tiada dosa padanya.

Di dalam Sahih Muslim juga ada diriwayatkan bahawa para sahabat bersembang di dalam masjid selepas solat Subuh tentang kehidupan mereka sewaktu zaman jahiliyyah dan mereka saling ketawa. Rasulullah SAW  pula tersenyum mendengar kisah mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan