- Sebagaimana yang diketahui umum, Sunan Ibnu Majah berada di tahap yang terbawah di kalangan Kutub al-Sittah.
- Ini kerana Imam Ibnu Majah (m. 273 H) banyak meriwayatkan hadis daripada perawi-perawi yang dituduh berdusta dan mencuri hadis seperti Habib bin Abi Habib, jurutulis Imam Malik (matruk, didustakan oleh Abu Daud dan sekumpulan ulama), al-‘Ala’ bin Zaidal (matruk, dituduh berdusta oleh Abu al-Walid), Daud bin al-Muhabbar (matruk, kebanyakan hadis dalam kitab al-‘Aql yang dia karang adalah palsu), Abdul Wahab bin al-Dhahhak (matruk, didustakan oleh Abu Hatim), Ismai’il bin Ziyad al-Sakuni (matruk, didustakan oleh ahli hadis), Abdul Salam bin Abi al-Janub (matruk) dan perawi-perawi yang lain.
- Kata al-Hafiz al-‘Alla’ie (m. 761 H): “Seharusnya kitab al-Darimi menjadi kitab yang keenam bagi lima kitab tersebut mengantikannya (Sunan Ibnu Majah). Ianya lebih sedikit perawi yang daif, sangat nadir hadisnya yang mungkar dan syaz. Walaupun di dalamnya ada hadis-hadis yang mursal dan mauquf, ia lebih aula daripada Sunan Ibnu Majah.”
- Sebahagian ulama pula seperti Razin al-Saraqusti (m. 525 H atau 535 H) dan Ibnu al-Athir (m. 606 H) dalam Jami’ al-Usul menjadikan al-Muwatta’ sebagai kitab yang keenam.
- Ulama pertama yang menjadikan Sunan Ibnu Majah sebagai kitab yang keenam ialah Ibnu Thahir al-Maqdisi (m. 507 H) dalam kitab al-Athraf dan Syurut al-Aimmah al-Sittah. Lalu diikuti oleh Abdul Ghani al-Maqdisi (m. 600 H) dalam kitab al-Kamal Fi Asma’ al-Rijal yang kemudiannya diringkaskan oleh al-Mizzi (m. 742 H) dalam Tahzib al-Kamal.
- Mereka mendahulukan kitab Sunan Ibnu Majah berbanding al-Muwatta’ kerana hadis-hadis marfu’ tambahan (zawaid) yang terdapat dalam al-Muwatta’ adalah lebih sedikit jika dibandingkan dengan apa yang terdapat dalam Sunan Ibnu Majah. Mereka menggabungkan Sunan Ibnu Majah bersama Kutub al-Khamsah supaya lebih banyak hadis marfu’.
Rujukan:
- Al-Nukat ‘Ala Kitab Ibnu al-Solah, al-Hafiz Ibnu Hajar.
- Fath al-Mughith Syarah Bi Syarah Alfiyah al-Hadith, al-Hafiz al-Sakhawi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan