Pengenalan Sunan Abi Dawud
Sunan Abi Dawud
merupakan karya Imam Abu Dawud, Sulaiman bin al-Asy'ath bin Ishaq al-Sijistani
al-Azdi (meninggal dunia pada tahun 275 Hijrah).
Ia merupakan
antara kitab hadis yang paling bermanfaat bagi sesiapa yang mengambil berat
tentang hadis-hadis hukum mengenai halal dan haram, sehinggakan Imam al-Ghazali
mengatakan ia sudah memadai bagi seorang mujtahid sebagai rujukan hadis.
Metodologi
Pemilihan Hadis oleh Abu Dawud
Abu Dawud telah menyusunnya dan memilihnya daripada 500 ribu buah hadis. Di dalamnya beliau memberikan perhatian yang besar terhadap hadis-hadis hukum dan ingin mengumpulkannya.
Beliau meringkaskan metodologinya di dalam kitab ini dengan katanya: “Apa sahaja hadis di dalam kitabku yang padanya terdapat kelemahan yang amat sangat, maka sesungguhnya aku telah menjelaskannya. Di dalamnya ada hadis yang sanadnya tidak sahih. Apa sahaja hadis yang aku tidak sebutkan apa-apa tentangnya, maka ia adalah salih, dan sebahagiannya lebih sahih daripada sebahagian yang lain.”
Istilah salih
telah ditafsirkan sebagai hadis yang mungkin sahih dan mungkin juga hasan.
Sedia diketahui tentang Abu Dawud bahawa beliau menolak hadis-hadis daripada
perawi yang dikritik (al-majruhin) dan yang daif. Apabila beliau
meriwayatkan hadis yang daif, beliau akan memberi peringatan tentangnya.
Abu Dawud pada
akhir hadis yang diriwayatkannya akan membicarakan tentang para perawi, dan membuat beberapa ulasan yang berkaitan dengan prinsip yang menjadi
sandaran ahli hadis dalam kebanyakan hukum mereka dalam penilaian hadis dan
penentuan 'illah (kecacatan tersembunyi). Ucapannya mengenai perawi dan ulasannya yang berkaitan dengan prinsip ilmu ini mempunyai kesan yang jelas dalam
meletakkan asas dan mengukuhkan ilmu al-jarh wa al-ta'dil dan ilmu-ilmu
hadis.
Abu Dawud amat
teliti dalam syarat-syaratnya mengenai para perawi, yang menjadikan kitabnya
antara kitab yang diyakini. Beliau telah mengikuti sebahagian daripada
syarat-syarat al-Bukhari dan Muslim. Maka terdapat di dalam kitabnya
hadis-hadis sahih yang diriwayatkan dalam kedua-dua kitab Sahih (al-Sahihayn),
sebagaimana terdapat juga di dalamnya hadis-hadis sahih yang menepati syarat
mereka berdua, walaupun tidak diriwayatkan di dalam kedua-dua kitab tersebut.
Struktur
Kandungan Kitab Sunan Abi Dawud
Kitab Abu Dawud
terbahagi kepada 35 kitab (tajuk besar), yang dipecahkan kepada
beberapa bab kecil, kecuali tiga kitab yang tidak dibahagikan kepada bab-bab kecil. Jumlah babnya mencapai 1871 buah bab. Kitab ini mengandungi lebih daripada 5000 buah
hadis.
Syarat-syarat
Abu Dawud dalam Sunannya:
Abu Dawud telah
menyatakan beberapa syarat yang beliau pegang di dalam kitabnya, al-Sunan.
Syarat-syarat ini dapat dihuraikan seperti berikut:
1 -
Pengumpulan hadis-hadis hukum yang paling sahih yang beliau ketahui, iaitu pada kebiasaannya:
Abu Dawud berkata:
“Sesungguhnya kamu semua telah bertanya agar aku dapat menyebutkan kepada kamu
hadis-hadis yang terdapat di dalam kitab al-Sunan, adakah ia hadis yang paling
sahih yang aku ketahui dalam bab tersebut? Maka ketahuilah bahawa sesungguhnya
ia adalah sedemikian kesemuanya, melainkan jika ia diriwayatkan melalui dua jalan
yang sahih, yang mana salah satunya mempunyai sanad yang lebih awal, dan yang
satu lagi perawinya lebih mantap hafalannya, kadangkala aku menuliskan hadis yang
itu, dan aku tidak dapati dalam kitabku perkara seperti ini melebihi sepuluh
hadis.
Sebahagian hadis dalam kitab al-Sunan ada yang tidak bersambung sanadnya, iaitu hadis mursal dan mudallas, dan ia – apabila
tidak ditemui riwayat-riwayat yang sahih – di sisi majoriti ahli hadis dianggap
sebagai (seolah-olah) bersambung sanadnya, seperti (riwayat) al-Hasan daripada Jabir,
dan al-Hasan daripada Abu Hurairah, dan al-Hakam daripada Miqsam daripada Ibn
Abbas, dan ia (sebenarnya) tidak bersambung sanad.
Adapun apa yang
terdapat di dalam kitab al-Sunan yang seumpama ini adalah sedikit. Hadis-hadis
mursal yang diriwayatkan daripada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam,
sebahagiannya tidak sahih, dan sebahagiannya adalah musnad di
sisi (ulama) selainku, dan ia bersambung lagi sahih. Aku tidak menyusun
di dalam kitab al-Sunan melainkan hadis-hadis hukum, dan aku tidak
menyusun kitab-kitab zuhud, kelebihan amalan, dan selainnya.”
Abu Dawud
membataskan dirinya dengan menyebut hadis-hadis hukum yang paling sahih
yang beliau ketahui. Ini adalah pada kebiasaannya dan bukan suatu ketetapan
mutlak kerana beliau kadangkala memilih hadis yang kurang darjat
kesahihannya, lalu meriwayatkannya di dalam bab tersebut walaupun wujud hadis
yang lebih sahih daripadanya. Tujuannya adalah semata-mata untuk
mendapatkan sanad yang lebih pendek (‘uluw), tidak lebih.
Tindakan beliau meriwayatkan hadis yang paling sahih yang beliau ketahui dalam sesuatu bab
tidaklah bermakna kesemua hadis ini adalah sahih dan bersambung
sanadnya, kerana terdapat hadis yang tidak sahih, dan terdapat juga hadis
yang sanadnya tidak bersambung.
2 - Syarat Abu
Dawud mengenai Para Perawi:
Syarat Abu Dawud mengenai para perawi ialah beliau meriwayatkan daripada perawi yang tidak disepakati oleh para pakar hadis (nuqqad) untuk ditinggalkan riwayatnya.
Abu Dawud berkata: “Di dalam kitab al-Sunan yang telah aku
susun ini, tidak ada satu pun hadis daripada seorang perawi yang matruk
al-hadith (ditinggalkan hadisnya). Jika di dalamnya terdapat hadis munkar,
aku akan jelaskan bahawa ia adalah munkar, dan tidak ada hadis lain yang
seumpamanya di dalam bab tersebut.”
Ucapan beliau: “matruk”
hendaklah difahami sebagai merujuk kepada perawi yang telah disepakati oleh
para pakar hadis untuk ditinggalkan. Jika tidak difahami sedemikian, maka di dalam kitabnya
terdapat riwayat daripada perawi yang dikatakan tentangnya bahawa dia matruk,
seperti Ibn al-Baylamani, Ibn Abi Farwah, Abu Janab al-Kalbi, dan lain-lain.
Al-Hafiz Abu
al-Fadl Muhammad bin Tahir al-Maqdisi berkata: “Abu ‘Abdillah bin Mandah telah
menceritakan bahawa syarat Abu Dawud dan al-Nasa’i ialah meriwayatkan
hadis-hadis daripada para perawi yang tidak disepakati untuk ditinggalkan riwayatnya.”
Yang jelasa adalah bahawa yang dimaksudkan bukanlah semata-mata tiadanya kesepakatan untuk
meninggalkan mereka, bahkan mereka ini diperselisihkan (statusnya) untuk
ditinggalkan, dan yang lebih rajih (kuat) di sisi Abu Dawud dan
al-Nasa’i bahawa mereka tidak wajar ditinggalkan.
Jika kita merujuk
kepada pembahagian al-Hazimi mengenai para perawi yang meriwayatkan daripada al-Mukthirin
(perawi-perawi yang terkenal banyak meriwayatkan hadis) – di mana beliau
membahagikan mereka kepada lima kategori – kita dapati beliau berkata: “Kategori
ketiga ialah sekumpulan perawi yang sentiasa mendampingi al-Zuhri seperti
ahli kategori pertama, cuma mereka tidak terlepas daripada kritikan (al-jarh). Maka mereka berada di antara ditolak dan diterima, dan ini adalah syarat Abu
Dawud dan al-Nasa’i.”
Ini adalah bagi
hadis-hadis utama. Adapun bagi al-mutaba'at dan al-syawahid
(riwayat sokongan dan penguat), maka beliau turut meriwayatkan daripada
hadis-hadis ahli kategori keempat, bahkan yang kelima juga.
Al-Hazimi
berkata: “Kategori kelima ialah sekumpulan perawi daripada kalangan yang daif
dan majhul (tidak dikenali). Tidak harus bagi sesiapa yang
menyusun hadis mengikut bab-bab (fiqh) untuk meriwayatkan hadis mereka melainkan
sebagai i'tibar (untuk dipertimbangkan) dan istisyhad (sokongan). Mereka ini (diterima) di sisi Abu Dawud dan yang setaraf dengannya ke bawah.
Adapun di sisi al-Syaikhain (Bukhari dan Muslim), maka tidak.”
3 - Syarat beliau dalam meriwayatkan hadis-hadis masyhur:
Abu Dawud ingin untuk menghimpunkan hadis-hadis yang diamalkan oleh para ahli fiqh, dan yang masyhur di kalangan mereka.
Beliau berkata: “Adapun masail (fatwa-fatwa) ini – iaitu masail (fatwa-fatwa) al-Thawri, Malik, dan al-Syafi'i - maka hadis-hadis inilah asasnya. Hadis-hadis yang aku letakkan di dalam kitab al-Sunan, kebanyakannya adalah masyhur. Ia (dikenali) di sisi setiap orang yang menulis sesuatu tentang hadis (iaitu orang yang belajar tentang hadis). Melainkan bahawa untuk membezakannya (antara yang sahih atau tidak) tidak semua orang mampu melakukannya. Keistimewaannya adalah bahawa ia masyhur kerana sesungguhnya hadis yang gharib tidak dijadikan hujah walaupun ia daripada riwayat Malik, Yahya bin Sa'id, dan para perawi thiqah dari kalangan imam-imam ilmu.”
Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah rahimahullah Ta'ala berkata ketika menjelaskan makna masyhur di sini: “Beliau tidak memaksudkan dengan masyhur di sini (sebagai hadis) masyhur yang menjadi istilah di kalangan para ahli hadis atau ahli usul fiqh, bahkan yang dimaksudkan - dan Allah lebih mengetahui - ialah hadis-hadis yang terkenal di sisi ahli hadis, yang tersebar di kalangan para imam ahli fiqh dan para mufti, dan yang diamalkan di sisi kesemua mereka atau sebahagian mereka, walaupun pada hakikatnya ia adalah khabar ahad.”
Maka yang dimaksudkan ialah hadis yang tersebar dan biasa didengar, yang tidak ada di dalamnya gharib yang munkar, kerana beliau tidak memaksudkan dengan gharib itu ialah tafarrud (periwayatan secara bersendirian), berdasarkan petunjuk kata-katanya: “walaupun ia daripada riwayat Malik dan Yahya bin Sa'id”, kerana mereka ini adalah para imam yang boleh diterima tafarrud daripada mereka, bukan munkar dan bukan menyalahi (mukhalafah) dengan majoriti perawi thiqah. Contohnya seperti tidak diterimanya daripada Malik ucapannya: “daripada 'Amr bin 'Uthman”, kerana para perawi thiqah yang lain berkata: “daripada 'Umar bin 'Uthman.”
4 - Penjelasan
tentang Kelemahan yang Amat Sangat pada Hadis yang Diriwayatkan oleh Abu Dawud
dan Status Kelayakan Hadis yang Beliau Diamkan:
Abu Dawud berkata: “Aku tidak mengetahui sesiapa pun yang mengumpulkan hadis secara menyeluruh selain diriku…Apa sahaja hadis di dalam kitabku yang padanya terdapat kelemahan yang amat sangat, maka aku telah menjelaskannya. Sebahagiannya ada yang sanadnya tidak sahih. Apa sahaja hadis yang aku tidak sebutkan apa-apa tentangnya, maka ia adalah salih, dan sebahagiannya lebih sahih daripada sebahagian yang lain. Ia adalah sebuah kitab yang tidak akan datang kepadamu satu sunnah pun daripada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam dengan sanad yang salih, melainkan ia ada di dalamnya.”
Ucapan Abu Dawud ini adalah teks yang jelas bahawa beliau menjelaskan kelemahan yang amat sangat pada hadis-hadis yang beliau riwayatkan. Dapat difahami daripadanya secara mafhum mukhalafah bahawa hadis yang padanya terdapat kelemahan yang tidak amat sangat, maka beliau tidak menjelaskannya. Bahkan, beliau menyatakan dengan jelas, dengan berkata: “Apa sahaja hadis yang aku tidak sebutkan apa-apa tentangnya, maka ia adalah salih.”
Akan tetapi, jelas
melalui penelitian (istiqra') bahawa terdapat tempat-tempat yang padanya
ada kelemahan yang tidak amat sangat, seperti terputus sanad, namun beliau menjelaskannya, dan terdapat tempat-tempat yang padanya ada
kelemahan yang amat sangat tetapi beliau tidak menjelaskannya. Oleh itu, ucapan Abu Dawud ini adalah bersifat kebiasaan (aglabi).
Sebab Abu
Dawud mendiamkan diri tentang kelemahan yang amat sangat dan tidak
menjelaskannya, al-Hafiz Ibn Hajar telah menyebutkan sebahagian daripadanya
seperti berikut:
- Sikap diamnya
kadangkala adalah kerana memadai dengan ulasan yang telah beliau berikan
sebelum ini mengenai perawi tersebut di dalam kitabnya sendiri.
- Kadangkala ia
adalah kerana kelalaian daripadanya.
- Kadangkala ia
adalah kerana terlalu jelas kelemahan perawi tersebut, dan ada kesepakatan para
imam untuk menolak riwayatnya, seperti Abu al-Huwairith, Yahya bin al-'Ala',
dan selain mereka.
- Kadangkala ia adalah disebabkan perbezaan para perawi daripadanya [iaitu: perbezaan naskhah-naskhah al-Sunan], dan ini adalah yang paling banyak. Ini kerana di dalam riwayat Abu al-Hasan bin al-'Abd daripada Abu Dawud terdapat ulasan mengenai sekumpulan perawi dan sanad-sanad yang tidak terdapat dalam riwayat al-Lu'lu'i, walaupun riwayat al-Lu'lu'i lebih masyhur.
- Kadangkala
beliau mengulas hadis tersebut dengan menyatakan kelemahannya yang sangat teruk
di luar kitab al-Sunan, tetapi mendiamkan diri tentangnya di dalam kitab
tersebut.
Adapun status
salih bagi hadis yang beliau diamkan yang telah dinyatakan
melalui ucapannya: “Apa sahaja hadis yang aku tidak sebutkan apa-apa
tentangnya, maka ia adalah salih, dan sebahagiannya lebih sahih daripada
sebahagian yang lain”, maka apakah maknanya? Adakah ia layak untuk dijadikan
hujah (ihtijaj)? Atau layak untuk dipertimbangkan (i’tibar)?
Ibn al-Salah
berkata: “Maka berdasarkan penjelasan ini, hadis yang kita dapati di dalam kitabnya disebut
secara mutlak, dan tidak terdapat di dalam salah satu daripada al-Sahihayn
(Sahih al-Bukhari dan Muslim), dan tidak pula dinyatakan kesahihannya oleh
sesiapa pun yang dapat membezakan antara hadis sahih dan hasan,
kita mengetahuinya sebagai hadis hasan di sisi Abu Dawud. Kadangkala
terdapat di dalamnya hadis yang tidak dianggap hasan di sisi ulama lain,
dan tidak termasuk dalam apa yang telah kami tetapkan definisinya bagi hadis hasan.”
Ibn Hajar
berkata: “Dari sinilah jelasnya kelemahan metodologi orang yang berhujah dengan
setiap hadis yang didiamkan oleh Abu Dawud. Ini kerana beliau
meriwayatkan hadis daripada sekumpulan perawi daif dari segi konteks
penghujahan, dan beliau mendiamkan diri tentangnya...Maka tidak wajar bagi
seorang pakar hadis untuk sekadar mengikuti beliau dalam mendiamkan diri tentang
hadis-hadis mereka, dan mengikutinya dalam berhujah dengan mereka. Bahkan,
caranya ialah dengan meneliti: adakah hadis tersebut mempunyai mutabi'
(riwayat sokongan) lalu ia menjadi kuat dengannya? Atau adakah ia gharib
(diriwayatkan secara bersendirian) lalu dia menangguhkannya (daripada menerimanya)?
Maka yang tepat
adalah tidak bersandar semata-mata pada sikap diam beliau berdasarkan apa yang
telah kami sifatkan bahawa beliau berhujah dengan hadis-hadis daif,
dan mendahulukannya ke atas qiyas, jika itu benar terbukti daripada beliau.
Kesemua ini
adalah jika kita memahami ucapannya: “Apa sahaja hadis yang aku tidak
katakan apa-apa tentangnya, maka ia adalah salih”, dengan maksud bahawa
ia layak untuk dijadikan hujah, dan inilah yang zahir. Jika kita memahaminya
dengan makna yang lebih umum daripada itu, iaitu kelayakan untuk dijadikan
hujah, atau untuk dijadikan istisyhad (sokongan), atau mutaba'ah,
maka tidak semestinya beliau berhujah dengan hadis daif. Ia
memerlukan penelitian terhadap tempat-tempat yang beliau diamkan itu dalam masa yang sama ia adalah daif: adakah di dalamnya terdapat riwayat-riwayat yang bersendirian
(afrad) atau tidak? Jika terdapat di dalamnya ada riwayat-riwayat secara bersendirian, maka pastilah ia difahami dengan makna yang pertama (iaitu:
kelayakan untuk dijadikan hujah). Jika tidak, maka ia difahami dengan makna
yang kedua (iaitu: kelayakan untuk dijadikan istisyhad atau mutaba'ah).
Dalam apa jua keadaan pun, hadis yang beliau diamkan tidak layak untuk
dijadikan hujah secara mutlak.”
Kata-kata Abu
Daud: “Sebahagiannya lebih sahih daripada sebahagian yang lain” tidaklah
bermaksud bahawa hadis yang didiamkan itu kesemuanya sahih. Ia adalah
seumpama perkataan mereka: “asahhu ma fi al-bab (hadis yang paling sahih
dalam bab ini)”, dan kadangkala yang dimaksudkan dengannya ialah yang paling
kurang kelemahannya, bukan bererti ia sahih secara mutlak.
Pengulangan
Hadis di Sisi Abu Dawud:
Abu Dawud telah
menyebutkan metodologinya dalam pengulangan hadis, beliau berkata: “Apabila aku
mengulangi hadis di dalam sesuatu bab melalui dua atau tiga jalan periwayatan, maka ia adalah kerana adanya tambahan perkataan di dalamnya, dan
kadangkala di dalamnya terdapat satu perkataan tambahan berbanding hadis-hadis
(yang lain).”
Inilah sebab
mengapa Abu Dawud mengulangi hadis, iaitu kerana riwayat-riwayat tersebut
mengandungi makna-makna tambahan.
Pada hakikatnya,
Abu Dawud akan mengemukakan riwayat kedua secara keseluruhannya, jika ia
mengandungi hukum yang berbeza daripada hukum riwayat pertama. Adapun jika
perbezaannya pada satu lafaz, maka beliau akan menyebut daripada
riwayat kedua hanya lafaz ini sahaja selepas menyebutkan sanadnya.
Sejarah
Cetakan dan Penerbitan Sunan Abi Dawud
Sunan Abi Dawud
telah dicetak dalam beberapa edisi, antaranya:
1 - Cetakan
al-Matba'ah al-Kastaliyyah di Mesir di bawah seliaan Syeikh Nasr al-Hurini pada
tahun 1280 Hijrah.
2 - Cetakan
al-Matba'ah al-Taziyyah di Mesir.
3 - Cetakan
al-Matba' al-Mujtaba'i di Delhi, India pada tahun 1322 Hijrah di al-Matba'ah
al-Ansariyyah, dan bersamanya terdapat syarah oleh al-'Allamah Abi al-Tayyib
Muhammad Syams al-Haq al-'Azim Abadi yang bertajuk 'Awn al-Ma'bud 'ala Sunan
Abi Dawud.
4 - Cetakan
pertama oleh al-Maktabah al-Tijariyyah di Mesir pada tahun 1354 Hijrah/1935 Masihi,
dalam empat jilid, dengan tahqiq (semakan) oleh Ustaz Muhammad Muhyiddin
Abdul Hamid, kemudian cetakan kedua oleh penerbit yang sama dan pentahqiq
yang sama pada tahun 1369 Hijrah/1950 Masihi dalam empat jilid.
5 - Kemudian ia
dicetak oleh Mustafa al-Babi al-Halabi bersama ulasan-ulasan oleh Syeikh Ahmad
Sa'd 'Ali pada tahun 1952 Masihi dalam dua juzuk.
6 - Kemudian
cetakan Dar al-Hadith di Hims.
7 - Sebagaimana
telah diterbitkan juga satu cetakan dengan tahqiq oleh Syeikh Muhammad
'Awwamah oleh Dar al-Qiblah di Jeddah,
8 - Mu'assasah
al-Rayyan di Beirut.
9 - Al-Maktabah
al-Makkiyyah di Makkah al-Mukarramah pada tahun 1419 Hijrah /1998 Masihi dalam
lima jilid.
Rujukan:
Masadir al-Hadith Wa Maraji’uhu oleh Dr Sayyid Abdul Majid al-Ghauri.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan