Sabtu, 22 Ogos 2020

Hadis Palsu: Berkhidmatlah Kepada Sesiapa Yang Berkhidmat KepadaKu


أَوْحَى اللَّهُ إِلَى الدُّنْيَا أَنْ أَخْدِمِي مَنْ خَدَمَنِي، وأتعبني مَنْ خَدَمَكِ

“Allah mewahyukan kepada dunia: Berkhidmatlah kepada sesiapa yang berkhidmat kepadaKu dan sengsarakanlah orang yang berkhidmat kepadamu.”

Riwayat al-Khatib al-Baghdadi dalam Tarikh Baghdad, al-Hakim dalam Ma’rifah ‘Ulum al-Hadith, al-Qudha’ie dalam Musnad al-Syihab, Ibnu al-Jauzi dalam al-Maudhu’at dan al-Dailami dalam al-Firdaus daripada jalur perawi:

Al-Hussein bin Daud bin Mu’az al-Balkhi daripada al-Fudhail bin ‘Iyadh daripada Mansur daripada Ibrahim daripada ‘Alqamah daripada hadis Abdullah bin Mas’ud.

Al-Khatib al-Baghdadi berkata: “Bersendirian meriwayatkannya oleh al-Hussein daripada al-Fudhail. Ianya adalah palsu. Perawinya kesemuanya adalah thiqah kecuali al-Hussein bin Daud.”

Al-Khatib al-Baghdadi juga berkata: “Al-Hussein bin Daud tidak thiqah kerana dia meriwayatkan naskhah hadis daripada Yazid bin Harun daripada Humaid daripada Anas, kebanyakannya adalah palsu.”

Al-Hakim dalam Tarikh Naisabur berkata: “Dia meriwayatkan daripada sekumpulan perawi yang tidak mungkin dari segi umurnya untuk dia sempat meriwayatkan daripada mereka seperti Ibnu al-Mubarak, Abi Bakar bin ‘Ayash dan selain mereka berdua. Menurut pendapat kami, dia mempunyai hadis-hadis palsu yang menunjukkan akan kepalsuannya berdasarkan hal ehwalnya.”

Ulama lain mengatakan hadis ini palsu selain al-Khatib al-Baghdadi ialah Ibnu al-Jauzi, al-Saghani dalam al-Durr al-Multaqath Fi Tabyin al-Ghalath, al-Syaukani dalam Fawaid al-Majmu’ah dan al-Fattani dalam Tazkirah al-Maudhu’at.

Sabtu, 15 Ogos 2020

Istilah Ilmu Hadis 46: Sahih Muslim (صَحِيحُ مُسْلِمٍ)



Salah satu daripada dua kitab sahih. Ia berada di kedudukan yang kedua antara kitab sahih selepas kitab Sahih al-Bukhari. Kitab ini ditulis oleh al-Imam Abu al-Husayn Muslim bin al-Hajjaj al-Qusyairi al-Naysaburi (w. 261 H). Judul lengkapnya:

Al-Musnad al-Sahih al-Mukhtasar Min al-Sunan Bi Naql al-‘Adl ‘An al-‘Adl ‘An Rasulillah sallahu ‘alaihi wasallam.

Tetapi lebih masyhur dikenali dengan dinisbahkan kepada pengarangnya.

Kitab ini disusun mengikut bab-bab fiqah dengan susunan yang terperinci. Keistimewaannya adalah dari sudut membawakan hadis-hadis secara sempurna tanpa ada sebarang pemotongan riwayat, amat menitikberatkan ketepatan lafaz-lafaz para perawi hadis, dan membawa pelbagai sanad sesuatu hadis serta lafaz-lafaznya yang berbeza di satu tempat sahaja.

Bilangan hadis dalam kitab ini tanpa pengulangan ialah sebanyak 3033 hadis berdasarkan kepada pengiraan al-Ustaz Muhammad Fu’ad ‘Abd al-Baqi. Bilangan hadisnya termasuk pengulangan pula adalah sebanyak 7581 hadis.

[Kamus Istilah Hadis, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri, hlm. 318, terbitan: Darul Syakir]

Istilah Ilmu Hadis 45: Sahih al-Bukhari (صَحِيحُ البُخَارِي)



Ia ialah kitab yang pertama yang mengumpulkan hadis-hadis sahih. Kedududkannya adalah di martabat yang pertama antara kitab-kitab hadis lain secara mutlak. Ditulis oleh al-Imam Abu ‘Abd Allah Muhammad bin Isma’il al-Bukhari (w. 256 H). Beliau menamakannya:

Al-Jami’ al-Musnad al-Sahih al-Mukhtasar Min Umur Rasulillah sallahu ‘alaihi wasallam Wa Sunanihi Wa Ayyamihi.

Tetapi masyhur dikenali dengan dinisbahkan kepada nama pengarangnya.

Kitab ini disusun mengikut bab-bab fiqah. Keseluruhan kitab pecahannya berjumlah 97 buah, dan keseluruhan babnya pula berjumlah sebanyak 340 bab.

Manakala bilangan hadisnya berjumlah sebanyak 9082 termasuk yang berulang, dan jika tidak termasuk yang berulang berjumlah sebanyak 2602 hadis. Ini bilangan yang dinyatakan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar. Berdasarkan perkiraan Ustaz Muhammad Fuad Abdul Baqi pula, bilangan hadisnya sebanyak 7563 buah termasuk pengulangan.

[Kamus Istilah Hadis, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri, hlm. 316, terbitan: Darul Syakir]

Istilah Ilmu Hadis 44: Mawdu’ (Yang direkacipta, Palsu) (المَوْضُوعُ)


Hadis yang direkacipta dan didustakan ke atas Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam sama ada secara sengaja, secara tersalah, secara jahil ataupun secara tipudaya.

Hukum Mencipta Hadis Palsu:

Para ulama telah sepakat bahawa mencipta hadis palsu adalah haram dan ianya adalah suatu perkara maksiat yang tergolong antara dosa-dosa besar.

Hukum Meriwayatkan Hadis Palsu:

Para ulama telah sepakat bahawa meriwayatkan hadis palsu adalah haram sekiranya kita menyedari bahawa ianya adalah hadis palsu, tidak kira sama ada hadis tersebut berkaitan tentang hukum-hakam, akidah, kisah-kisah, galakan beramal atau sebagainya.

Ia adalah berdasarkan hadis samurah bin Jundub daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam:

“Barangsiapa yang menyampaikan suatu hadis daripada saya dan dia mengetahui hadis tersebut adalah dusta, maka dia adalah tergolong dalam golongan para pendusta.” (Riwayat Muslim)

[Kamus Istilah Hadis, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri, hlm. 552, terbitan: Darul Syakir]


Istilah Ilmu Hadis 43: Daif (الضَعِيفُ)


Ia adalah hadis yang tidak terhimpun padanya sifat-sifat hadis sahih mahupun hadis hasan.

Sifat-sifat hadis sahih dan hasan ada enam:

1 – Bersambung sanad.

2 – Keadilan para perawi dalam sanad.

3 – Kekuatan hafalan para perawi.

4 – Bebas hadis daripada syaz (percangahan).

5 – Bebas hadis daripada ’illah (kecacatan).

6 – Hadis memerlukan kepada sokongan dan penguat, seperti hadis hasan li ghairih.

Jika sesuatu hadis tidak bersifat dengan sifat-sifat ini, maka ia dinamakan hadis daif.

Contohnya:

Hadis yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi: Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Humaid al-Razi, telah menceritakan kepada kami Hukam bin Sulaim dan Harun bin al-Mughirah bin ‘Anbasah, daripada Abu Hamzah, daripada Ibrahim, daripada ‘Alqamah, daripada Abdullah bin Mas’ud daripada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam, baginda bersabda:

“Berwaspadalah kamu sekalian daripada menyebarkan berita kematian, kerana menyebarkan berita kematian itu adalah dari perbuatan Jahiliyyah.”

Menurut al-Tirmizi berkaitan dengan sanad hadis ini:

“Abu Hamzah ialah Maymun al-A’war, dia bukanlah seorang yang kuat di kalangan ahli hadis.”

Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata berkaitan dengan Maymun al-A’war:

“Seorang yang masyhur dengan gelarannya, dan daif.”

Hadis ini didaifkan dengan sebab perawi yang daif tersebut (Abu Hamzah) yang ada dalam sanadnya.

Hukum meriwayatkannya:

Harus di sisi ahli hadis dan selain mereka untuk meriwayatkan hadis daif, tetapi dengan dua syarat:

Pertama: Hadis daif tersebut tiada kaitan dengan aqidah, seperti sifat-sifat Allah.

Kedua: Hadis daif tersebut bukanlah menerangkan tentang hukum-hukum Syariah yang berkaitan dengan halal dan haram.

Perhatian:

Jika ada seseorang yang meriwayatkan hadis daif tanpa sanad, maka tidak seharusnya dia mengatakan Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda begini...dan sebagainya dengan lafaz-lafaz yang pasti dan yakin, bahkan hendaklah dia mengatakan: Diriwayatkan daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam begini...atau Telah sampai kepada kami daripada baginda sallahu ‘alaihi wasallam begini...atau dinukilkan daripada baginda sallahu ‘alaihi wasallam dan sebagainya dengan menggunakan bentuk-bentuk lafaz yang tidak pasti.

Hukum beramal dengan hadis daif:

Ulama berbeza pandangan pada hukum beramal dengan hadi daif. Menurut pandangan jumhur ulama, hukumnya adalah sunat beramal dengannya pada perkara berkaitan dengan kelebihan amalan-amalan, tetapi dengan tiga syarat iaitu:

Pertama: Daifnya tidak terlalu kuat.

Kedua: Hadis tersebut di bawah sesuatu asal (hukum) yang diamalkan.

Ketiga: Tidak beriktikad ketika beramal dengannya bahawa hadis tersebut adalah pasti dan diyakini, tetapi mengambil sikap berhati-hati dan memilih jalan yang selamat.

Jenis-jenis hadis daif:

Hadis daif mempunyai banyak jenis. Ini disebabkan kehilangan sifat-sifat penerimaan hadis (sifat sahih dan hasan) adalah merujuk kepada tohmahan yang ada para perawinya, atau keguguran yang terdapat pada sanadnya, atau perkara-perkara lain. Oleh itu, para ulama membahagikan hadis daif kepada banyak bahagian, antara yang paling masyhur ialah:

1 - Mursal.

2 - Munqati’.

3 - Mu’dal.

4 - Mu’allaq.

5 - Mudallas.

6 - Mursal Khafi.

7 - Syaz.

8 - Munkar.

9 - Mudtarib.

10 - Mudraj.

11 - Mudraj.

12 - Mu’allal.

13 - Musahhaf dan Muharraf.

14 - Mawdu’ (Ia adalah seburuk-buruk jenis daif).

Sumber-sumber hadis daif:

Banyak kitab yang telah ditulis berkaitan dengan hadis daif. Kami akan menyebutkan kitab-kitabnya yang paling penting mengikut susunan dan pembahagian berikut:

Pertama: Kitab-kitab yang diandaikan sebagai sumber hadis-hadis daif:

Ia ialah kitab-kitab yang dikatakan mengandungi banyak hadis daif dalamnya:

1 - Nawadir al-Usul Fi Ma’rifah Akhbar al-Rasul oleh al-Hakim al-Tirmizi (w. 295 H).

2 - Musnad al-Syihab Fi al-Mawa’iz Wa al-Adab oleh al-Quda’i (w. 454 H).

3 - Firdaus al-Akhbar Bi Ma’thur al-Khitab oleh Syirawaih al-Daylami (w. 509 H).

Kedua: Kitab-kitab yang memfokus salah satu daripada jenis-jenis hadis daif:

1 - Al-Marasil oleh Abu Daud al-Sijistani (w. 275 H).

2 - Al-‘Ilal oleh Ibnu Abi Hatim (w. 327 H).

3 - Al-‘Ilal al-Kubra oleh al-Daraqutni (w. 385 H).

Ketiga: Kitab-kitab umum yang menyebut hadis-hadis daif serta jenis-jenisnya:

1 - Silsilah al-Ahadith al-Dha’ifah Wa al-Maudhu’ah oleh Nasiruddin al-Albani (w. 1420 H).

2 - Mausu’ah al-Ahadith Wa al-Athar al-Dha’ifah Wa al-Maudhu’ah oleh ‘Ali bin Hasan al-Halabi dan selainnya.

Keempat: Kitab-kitab yang menyebut hadis-hadis daif ketika menyatakan biografi para perawi yang daif:

1 - Al-Dhu’afa’ al-Kabir oleh al-‘Uqayli (w. 322 H).

2 - Ma’rifah al-Majruhin Min al-Muhaddithin Wa al-Dhu’afa’ Wa al-Matrukin oleh Ibnu Hibban al-Busti (w. 354 H).

3 - Al-Kamil Fi Dhu’ara’ al-Rijal oleh Ibnu ‘Adiy (w. 365 H).

4 - Mizan al-I’tidal oleh al-Zahabi (w. 748 H).

5 - Lisan al-Mizan oleh Ibnu Hajar al-‘Asqalani (w. 852 H).

[Kamus Istilah Hadis, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri, hlm. 327, terbitan: Darul Syakir]

Isnin, 3 Ogos 2020

Hadis Palsu: Neraca Pertimbangan Manusia Adalah Akalnya


قِوَامُ الْمَرْءِ عَقْلُهُ وَلَا دِينَ لِمَنْ لَا عَقْلَ لَهُ

“Neraca pertimbangan manusia itu adalah akalnya dan tidak ada agama bagi orang yang tidak berakal.”

1 - Riwayat Ibnu Abi Usamah dalam Musnad, Ibnu ‘Adi dalam al-Kamil Fi Dhu’afa’ al-Rijal, al-Rafi’e dalam al-Tadwin Fi Akhbar Qazwin, Ibnu al-Najjar dalam Zail Tarikh Baghdad dan al-Dailami dalam al-Firdaus daripada jalur perawi:

Daud bin Muhabbar daripada Nasr bin Tharif daripada Ibnu Juraij daripada Abu al-Zubair daripada hadis Jabir.

2 - Dalam sanadnya ada dua perawi yang bermasalah iaitu Daud bin Muhabbar dan Nasr bin Tharif. Kedua-duanya adalah perawi matruk (yang ditinggalkan hadisnya) dan dituduh berdusta.

3 - Ibnu ‘Adi berkata: “Dua hadis ini (salah satunya hadis di atas) berkenaan akal adalah mungkar pada sanad dan matannya. Daud mempunyai sebuah kitab yang dia telah karang berkenaan kelebihan akal. Dalamnya terdapat hadis-hadis yang musnad. Kesemua khabar tersebut atau kebanyakannya adalah tidak terpelihara (yakni mungkar).”

4 - Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata dalam al-Mathalib al-‘Aliyah: “(Hadis-hadis tersebut) daripada kitab al-‘Aql karangan Daud bin al-Muhabbar. Al-Harith bin Abi Usamah memasukkan dalam musnadnya. Ia adalah palsu keseluruhannya dan tidak ada satu pun yang sabit.”

5 - Al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman pula meriwayatkan daripada jalur perawi:

Hamid bin Adam daripada Abu Ghanim daripada Abu al-Zubair daripada hadis Jabir.

6 - Al-Baihaqi berkata: “Bersendirian meriwayatkannya oleh Hamid bin Adam dan dia telah dituduh berdusta.”

7 - Ahmad al-Ghumari dalam al-Mughir berkata: “Dalam sanadnya ada Hamid bin Adam dan dia dituduh memalsukan hadis. Dialah pemalsunya.”

8 - Abu al-Syeikh dalam al-Thawab, Ibnu al-Najjar dan al-Dailami dalam Musnad al-Firdaus meriwayatkan daripada jalur perawi:

‘Umair bin ‘Imran daripada Ibnu Juraij daripada Abu al-Zubair daripada hadis Jabir dengan lafaz:

دِينُ المرءِ عَقْلُهُ، ومن لَا عَقْلَ له لا دينَ لهُ

“Agama seseorang itu berdasarkan akalnya. Sesiapa yang tidak berakal maka tidak ada agama baginya.”

Menurut Ibnu ‘Adi, ‘Umair bin ‘Imran meriwayatkan hadis-hadis batil daripada perawi-perawi thiqah, terutamanya daripada Ibnu Juraij. Hadis ini salah satu daripada hadis yang dia riwayatkan daripada Ibnu Juraij.

Ahmad al-Ghumari dalam al-Mudawi berkata: “Hadis tersebut palsu dan tidak ada hadis sahih berkenaan akal.”

9 - Ulama lain yang menyenaraikannya sebagai hadis palsu ialah al-Hafiz al-Sayuthi dalam Zail al-Laali al-Masnu’ah dan Ibnu ‘Arraq dalam Tanzih al-Syari’ah al-Marfu’ah.

Ahad, 2 Ogos 2020

Ringkasan Kisah Nabi Adam


- Nabi Adam telah disebutkan sebanyak 25 kali di dalam al-Quran.

1 - Nasab baginda:

- Baginda adalah Abul Basyar (bapa manusia) dan makhluk pertama di alam manusia yang diciptakan oleh Allah dengan kekuasaanNya dan ditiupkan roh ke dalamnya.

- Baginda adalah nabi yang pertama yang Allah kisahkan di dalam al-Quran.

- Baginda adalah manusia pertama di atas muka bumi yang beribadat kepada Allah.

2 - Peringkat Penciptaan Nabi Adam:

- Baginda telah diciptakan tanpa bapa atau ibu dan baginda tidak dilahirkan sebagaimana manusia biasa sebaliknya melalui beberapa peringkat:

1 – Tanah.

2 – Tanah liat (campuran tanah dan air).

3 – Dibentuk menjadi manusia yang sempurna, ditiupkan ruh lalu dihidupkan baginda. Tempoh masa setiap peringkat tersebut adalah selama 40 tahun. (120 tahun keseluruhannya).

3 - Perintah Supaya Bersujud Kepada Nabi Adam:

- Selepas diciptakan Adam, Allah menyuruh malaikat supaya bersujud kepada Adam. Maka bersujudlah malaikat keseluruhannya kecuali iblis, dia enggan untuk bersujud.

- Iblis adalah daripada golongan jin dan bukan daripada malaikat.

- Sujud yang dimaksudkan di sini adalah sujud penghormatan dan bukanlah sujud ibadat.

4 - Isterinya Hawa’:

- Kemudian Allah menciptakan Hawa’ yang merupakan wanita yang pertama supaya menjadi isteri kepada Adam dan ibu kepada anak-anaknya.

- Allah menempatkan keduanya di dalam syurga, dapat makan dan menikmati segala apa yang terdapat di dalamnya.

- Allah memperingatkan mereka tentang syaitan yang merupakan musuh mereka.

5 – Keluar Adam dan Hawa’ daripada syurga:

- Ketika Adam dan Hawa’ tinggal di dalam syurga, Allah melarang mereka daripada memakan sejenis pohon yang terdapat di dalam syurga.

- Syaitan datang menghasut mereka dan dia bersumpah demi Allah bahawa dia adalah penasihat yang amanah.

- Menurut syaitan, jikalau mereka makan pohon tersebut mereka akan menjadi malaikat atau mereka dapat tinggal selamanya di dalam syurga.

- Adam tidak mengetahui bahawa ada makhluk yang sanggup berdusta apabila telah bersumpah dengan nama Allah. Mereka lalu memakan pohoh terlarang tersebut.

- Selepas itu mereka bertaubat kepada Allah. Lalu Allah menyuruh mereka turun ke bumi untuk mengimarahkan bumi dan beribadat kepada Allah.

6 – Kehidupan Adam Di Bumi:

- Adam pernah tinggal di kebanyakan tempat di bumi dan memakmurkan bumi dengan zuriat-zuriatnya.

- Hawa’ telah melahirkan 40 orang anak kembar lelaki dan perempuan (2 orang anak kembar lelaki dan perempuan setiap kali lahir).

- Sebahagian anak-anak baginda ada yang terlibat dengan kegiatan pertanian dan penternakan.

- Adam telah melakukan haji sebanyak 40 kali dari negara India ke Masjidil Haram dengan berjalan kaki.

 7 – Kewafatan Adam:

- Adam hidup selama 950 tahun. Menurut pandangan yang lain dikatakan umur baginda hanya kurang sedikit daripada 1000 tahun.

- Begitu juga terdapat perbezaan pendapat tentang kubur baginda. Dikatakan kubur baginda di India (di tempat baginda diturunkan) dan dikatakan juga di Mekah (di Bukit Abi Qubais).

- Baginda dimandikan dan dimakamkan oleh malaikat.

- Selepas setahun, Hawa’ pula meninggal dunia.

 8 – Qabil dan Habil:

 - Mereka berdua adalah anak Adam yang awal.

- Telah disebutkan kisah mereka dalam surah al-Maidah (ayat 27-31).

- Ringkasannya, Qabil hendak berkahwin dengan saudara perempuannya kerana dia lebih cantik daripada isteri yang telah ditentukan untuknya.

- Isteri yang cantik tersebut telah ditetapkan untuk berkahwin dengan Habil.

- Habil lalu melakukan korban biri-biri manakalah Qabil pula melakukan korban hasil pertanian.

- Allah mengangkat korban biri-biri sebagai  tanda reda terhadap Habil.

- Qabil lalu membunuh Habil dengan memukulnya dengan sebuah batu besar.

- Allah lalu mengutuskan dua ekor gagak yang berkelahi. Gagak yang membunuh telah menanam gagak yang dibunuhnya untuk mengajar kepada Qabil cara melakukan pengebumian.

- Ia adalah jenayah yang pertama berlaku di atas muka bumi.

- Selepas itu Qabil bertaubat kepada Allah atas perbuatannya.

- Kisah ini berlaku ketika Adam berusia 125 tahun.

Beberapa Faedah:

- Asas penciptaan manusia adalah daripada tanah dan bukan daripada monyet/beruk sebagaimana sangkaan sebahagian orang. Mereka mendakwa bahawa manusia adalah monyet/beruk yang berevolusi.

- Tinggi Adam adalah 64 hasta dan rambut baginda panjang.

- Syurga yang pernah didiami oleh Adam tersebut di sisi majoriti ulama Islam ialah syurga al-Khuld. Dikatakan syurga tersebut ialah syurga yang terdapat di bumi.

- Batilnya pandangan orang yang mengatakan bahawa Qabil dan zuriatnya menyembah berhala bahkan dia bertaubat kepada Allah selepas membunuh saudaranya.

- Iblis bukanlah daripada golongan malaikat sebaliknya daripada golongan jin. Dia membesar dan dididik bersama malaikat dan dia sangat bersungguh-sungguh beribadat sehingga digelar طاووس الملائكة (merak para malaikat/yang paling indah di kalangan malaikat). Walau bagaimanapun dia mengingkari perintah Allah sehingga dia digolongkan di kalangan makhluk yang direjam/dikutuk.

- Syith (شيث) adalah anak Adam dan makna (شيث) ialah hadiah daripada Alllah. Baginda menjadi Nabi selepas Adam dan meneruskan dakwah bapanya. Baginda dilahirkan ketika Adam berusia 130 tahun.

- Allah mengkhabarkan kepada malaikat bahawa Dia ingin menciptakan manusia daripada tanah. Malaikat tidaklah menentang kehendak Allah tersebut sebaliknya memohon penjelasan daripada Allah. Allah ingin mengajarkan kepada malaikat bahawa Adam tidaklah sebagaimana sangkaan mereka lalu Allah mengajarkan kepada Adam nama-nama (dikatakan ia adalah nama-nama malaikat, dikatakan nama-nama benda dan dikatakan pula nama-nama zuriat baginda). Kemudian Allah bertanya tentang nama-nama tersebut dan mereka tidak mampu menjawabnya. Maka Adam lalu menjawabnya. Lalu Allah melebihkan Adam ke atas malaikat dengan sebab ilmu.

- Ka’ab al-Ahbar berkata: “Tidak ada seorang pun di dalam syurga yang mempunyai janggut kecuali Adam. Janggut baginda berwarna hitam yang panjangnya sehingga ke pusat. Tidak ada seorang pun di dalam syurga yang mempunyai kunyah (gelaran) kecuali Adam. Kunyah baginda di dunia ialah Abul Basyar dan di dalam syurga ialah Abu Muhammad.”

- Adam melakukan kerja-kerja pertanian dan baginda merupakan manusia pertama yang menanam gandum.

Rujukan:

Khulasah al-Anba’ Fi Qasas al-Anbiya’ karangan Syeikh Dr Hisyam al-Kamil Hamid al-Syafi’e al-Azhari, hlm. 8-11.