Salah satu daripada dua kitab sahih. Ia berada di
kedudukan yang kedua antara kitab sahih selepas kitab Sahih al-Bukhari. Kitab
ini ditulis oleh al-Imam Abu al-Husayn Muslim bin al-Hajjaj al-Qusyairi
al-Naysaburi (w. 261 H). Judul lengkapnya:
Al-Musnad al-Sahih al-Mukhtasar Min al-Sunan Bi Naql
al-‘Adl ‘An al-‘Adl ‘An Rasulillah sallahu ‘alaihi wasallam.
Tetapi lebih masyhur dikenali dengan dinisbahkan
kepada pengarangnya.
Kitab ini disusun mengikut bab-bab fiqah dengan
susunan yang terperinci. Keistimewaannya adalah dari sudut membawakan
hadis-hadis secara sempurna tanpa ada sebarang pemotongan riwayat, amat
menitikberatkan ketepatan lafaz-lafaz para perawi hadis, dan membawa pelbagai
sanad sesuatu hadis serta lafaz-lafaznya yang berbeza di satu tempat sahaja.
Bilangan hadis dalam kitab ini tanpa pengulangan ialah
sebanyak 3033 hadis berdasarkan kepada pengiraan al-Ustaz Muhammad Fu’ad ‘Abd
al-Baqi. Bilangan hadisnya termasuk pengulangan pula adalah sebanyak 7581
hadis.
[Kamus Istilah Hadis, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri,
hlm. 318, terbitan: Darul Syakir]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan