Rabu, 29 September 2021

Hadis Kelebihan Anak Hafal al-Quran

 


عَنْ مُعَاذٍ الْجُهَنِيِّ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
مَنْ قَرَأَ الْقُرْآنَ وَعَمِلَ بِمَا فِيهِ أُلْبِسَ وَالِدَاهُ تَاجًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ ضَوْؤُهُ أَحْسَنُ مِنْ ضَوْءِ الشَّمْسِ فِي بُيُوتِ الدُّنْيَا لَوْ كَانَتْ فِيكُمْ، فَمَا ظَنُّكُمْ بِالَّذِي عَمِلَ بِهَذَا؟

Daripada Mu’az al-Juhani, beliau berkata: Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Sesiapa yang membaca al-Quran dan mengamalkan apa yang terkandung di dalamnya, ibu bapanya akan dipakaikan mahkota pada hari kiamat. Cahaya mahkota itu lebih terang daripada cahaya matahari (yang masuk) dalam rumah-rumah di dunia, meskipun matahari itu berada dalam (rumah-rumah) kamu. Menurut perkiraan kamu semua, bagaimanakah agaknya ganjaran si anak yang beramal dengan (al-Quran) ini?

Takhrij Hadis

Riwayat Ahmad (no. 15645), Abu Daud (no. 1453), Abu Ya’la (no. 1493), al-Hakim (no. 2085) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (no. 1797). 

Dalam sanadnya ada perawi bernama Zabbad bin Fa’id, dia adalah daif. 

Hadis ini mempunyai syahid (penguat) daripada hadis Buraidah al-Aslami yang diriwayatkan oleh al-Hakim (no. 2086) dengan sanad yang daif. Kedua-dua riwayat ini mungkin boleh saling menguatkan dan meningkat menjadi hasan li ghairih.

Huraian dan Pengajaran Hadis

1 - Menurut Imam Ruslan dan Imam Ibnu Hajar, maksud ‘membaca al-Quran’ dalam hadis ini adalah menghafal al-Quran, iaitu orang yang menghafal al-Quran dan mengamalkannya maka ibu bapanya akan mendapat kelebihan sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis. 

Tetapi boleh jadi juga orang yang membacanya dengan melihat mushaf dan mengamalkannya, maka ibu bapanya turut mendapat kelebihan yang sama. 

Namun begitu orang yang menghafal al-Quran tetap mempunyai kelebihan kerana dapat membacanya bila-bila masa sahaja sama ada ketika menaiki kenderaan, berjalan kaki mahupun berbaring. 

Orang yang tidak menghafal al-Quran pula tidak dapat membacanya melainkan dengan melihat mushaf dan perlu kepada cahaya jika dibaca di malam hari.

2 - Maksud ‘mengamalkan apa yang terkandung di dalamnya’ adalah mempraktikkan ajaran dan suruhan yang terdapat di dalam al-Quran dari sudut akidah, hukum-hakam, adab dan akhlak serta menjauhi larangan-larangannya.

3 - Maksud ‘ibu bapanya akan dipakaikan mahkota’ boleh difahami secara zahirnya, iaitu ibu dan bapanya benar-benar akan dipakaikan mahkota dan juga boleh difahami secara kiasan (majaz) iaitu ibu dan bapanya akan memperolehi kemuliaan dan kebahagiaan. Kefahaman berdasarkan zahirnya adalah pendapat yang lebih kuat.

4 - Maksud bahagian hadis ‘cahaya mahkota itu lebih terang daripada cahaya matahari (yang masuk) dalam rumah-rumah di dunia, meskipun matahari itu berada dalam (rumah-rumah) kamu’ mengambarkan betapa terang dan berkilaunya cahaya mahkota tersebut menandingi cahaya matahari yang masuk ke rumah-rumah manusia sewaktu di dunia. Malah seandainya matahari itu sendiri dimasukkan ke dalam rumah, cahaya mahkota tersebut masih tetap dapat mengatasi cahayanya.

 5 - Hadis ini mengandungi galakan agar mempelajari al-Quran serta mengamalkannya.  

Ibu bapa juga harus memberi motivasi kepada anak-anak supaya mempelajari bacaan al-Quran dan menghafalnya supaya dapat dihayati pengajarannya di dalam kehidupan. 

Ibu bapa yang mendidik anaknya dengan al-Quran akan mendapat ganjaran dan kemuliaan yang besar sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis. Rasulullah memberi gambaran bahawa ganjaran orang yang membaca dan mengamalkan al-Quran adalah lebih besar lagi yang akal manusia tidak mampu untuk menggapainya.

Ahad, 19 September 2021

Status Hadis: Kelebihan Membaca Surah al-Ikhlas Ketika Masuk Rumah

 

Hadis Pertama

مَنْ قَرَأَ قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ حِينَ يَدْخُلُ مَنْزِلَهُ نَفَتِ الْفَقْرَ عَنْ أَهْلِ ذَلِكَ الْمَنْزِلِ وَالْجِيرانِ.

“Sesiapa yang membaca Qul Huwa Allahu Ahad ketika masuk ke dalam rumahnya, maka akan terhindar kefakiran daripada ahli rumah tersebut dan jirannya.”

Takhrij Hadis:

Riwayat al-Kharaiti dalam Makarim al-Akhlaq (no. 878) dan al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (no. 2419) daripada jalur perawi:

Marwan bin Salim daripada Abu Zur’ah bin ‘Amru bin Jarir daripada Jarir bin Abdullah daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam.

Status Hadis:

Sanadnya sangat daif kerana Marwan bin Salim adalah perawi matruk (ditinggalkan hadisnya) dan Zakariya al-Saji menuduhnya menipu dan memalsukan hadis.

Al-Haithami dalam Majma’ al-Zawaid berkata:

“Diriwayatkan oleh al-Tabarani dan dalam sanadnya ada Marwan bin Salim al-Ghifari, dia adalah matruk.”

Ibnu Kathir turut mendaifkan hadis ini dalam tafsirnya.

Hadis Kedua

جاء رجل الى النبي صلى الله عليه وسلم فشكا إليه الفقر وضيق المعاش. فقال له رسول الله صلى الله عليه وسلم:

إذا دخلت بيتك فسلم إن كان فيه أحد وان لم يكن فيه أحد فسلّم عليّ، وأقرأ قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ مرة واحدة.

ففعل الرجل فأدرّ الله عليه رزقا حتى أفاض على جيرانه.

“Seorang lelaki datang kepada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam lalu mengadu kepada baginda akan kefakiran dan kesempitan hidupnya. Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepadanya:

Apabila engkau hendak masuk ke dalam rumah, maka engkau berilah salah jika ada sesiapa di dalam rumah itu. Jika tidak ada sesiapa maka berilah salam kepadaku dan bacalah Qul Huwa Allahu Ahad sebanyak sekali.

Allah lalu melimpahkan baginya rezeki sehingga mengalir kepada jirannya.”

Takhrij Hadis:

Diriwayatkan oleh al-Tha’labi dalam Tafsir al-Kasyf Wa al-Bayan (30/489, cetakan: Dar al-Tafsir) daripada hadis Sahl bin Sa’ad.

Status Hadis:

Sanad hadis ini sangat daif kerana ada perawi bernama Abdullah bin Muhammad bin Ya’qub. Dia dituduh memalsukan hadis oleh Abu Sa’id al-Rawwas dan Ahmad al-Sulaimani. Al-Hakim dan al-Khatib al-Baghdadi pula mengatakan bahawa dia memiliki hadis-hadis palsu, mungkar dan gharib.

Beberapa orang perawi yang lain pula tidak ditemui maklumat tentang mereka.

Hadis Ketiga

مَنْ أَتَى مَنْزِلَهُ فَقَرَأَ الْحَمْدَ لِلَّهِ وَقُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ، نُفِيَ عَنْهُ الْفَقْرُ وَكَثُرَ خَيْرُ بَيْتِهِ حَتَّى يَفِيضَ عَلَى جِيرَانِهِ.

“Sesiapa yang masuk ke dalam rumahnya lalu membaca Alhamdulillah (surah al-Fatihah) dan Qul Huwa Allahu Ahad, akan dihindari daripadanya kefakiran dan akan menjadi banyak kebaikan rumahnya sehingga mengalir kepada jirannya.”

Takhrij Hadis:

Diriwayatkan oleh Ibnu al-Jauzi dalam al-Maudhu’at (no. 1496) daripada hadis Abu Hurairah. Dalam sanadnya ada perawi bernama Abu Sahl Muhammad bin Salim al-Kufi.

Status Hadis:

Ibnu al-Jauzi berkata: “Hadis ini tidak sahih daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam. Muhammad bin Salim bersendirian meriwayatkannya. Ahmad berkata: Dia menyerupai perawi matruk. Yahya al-Qattan berkata: Tiada nilai (لَيْسَ بِشَيءٍ).”

Al-Sayuti dalam al-Laali al-Masnu’ah (2/240) tidak bersetuju dengan penilaian Ibnu al-Jauzi. Beliau berkata:

“Dia (Muhammad bin Salim) adalah daripada perawi al-Tirmizi dan tidak dituduh memalsukan hadis. Bagi hadis tersebut ada penguat (syahid).”

Ibnu ‘Arraq dalam Tanzih al-Syari’ah al-Marfu’ah (2/292) pula membantah al-Sayuti. Beliau berkata:

“Telah lalu di bahagian mukadimah apa yang mengizinkan untuk menuduhnya (memalsukan hadis).”

Di bahagian mukadimah, Ibnu ‘Arraq menyenaraikan beberapa orang perawi yang dituduh memalsukan hadis. Antaranya ialah Muhammad bin Salim tersebut. Beliau membawakan kalam al-Saji yang berkata: “Ahmad mengingkari hadis-hadis yang diriwayatkannya dan beliau berkata ianya palsu.”

Hadis penguat yang dimaksudkan oleh al-Sayuti adalah hadis yang keempat ini.

Hadis Keempat

Ibnu ‘Abbas berkata:

من قَرَأَ قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ إِذَا دخل عَلَى أَهله أصَاب أَهْله وجيرانه مِنْهَا خير.

"Sesiapa yang membaca Qul Huwa Allahu Ahad apabila masuk bertemu dengan keluarganya, maka keluarganya dan jirannya akan mendapat kebaikan daripada bacaannya itu.”

Takhrij Hadis:

Diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (no. 2324) daripada jalur perawi:

‘Amir bin Yasaf daripada Abdul Karim daripada Ibnu ‘Abbas secara mauquf.

Status Hadis:

Abdul Karim di sini menurut Syeikh Abdul Rahman al-Mu’allimi ialah Abu Umayyah (yakni Abu Umayyah, Abdul Karim bin Abi al-Mukhariq), seorang perawi yang sangat daif.

Tetapi saya temui sebuah hadis dalam al-Mu’jam al-Ausath (no. 721) yang diriwayatkan oleh ‘Amir bin Yasaf daripada Abdul Karim dan disebutkan bahawa Abdul Karim tersebut adalah Abdul Karim al-Khazzaz (الخزاز) atau al-Kharraz (الخراز). Kata al-Azdi tentangnya: “Amat lemah hadisnya (واهي الحديث جدا (.”

Jadi, sanad hadis ini adalah sangat daif.

Hadis Kelima

مَنْ قَرَأَهَا حِينَ يَدْخُلُ مَنْزِلَهُ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ نَفَتْ عَنْهُ الْفَقْرَ، وَنَفَعَتِ الْجَارَ.

"Sesiapa yang membacanya (surah al-Ikhlas) ketika masuk ke dalam rumahnya sebanya ktiga kali, akan dihindarkan kefakiran daripadanya dan jiranya juga akan mendapat manfaat.”

Takhrij Hadis:

Diriwayatkan oleh al-Khallal dalam Fadhail Surah al-Ikhlas (no. 30) dan al-Mustaghfiri dalam Fadhail al-Quran (no. 1078) daripada jalur perawi:

Yahya bin Abdullah al-Harrani daripada Dhirar bin ‘Amru al-Malathi daripada Aban bin Abi ‘Ayyash daripada Anas daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam.

Status Hadis:

Sanadnya sangat daif.

Yahya bin Abdullah al-Harrani adalah daif manakala Dhirar dan Aban adalah perawi matruk.

Ahad, 12 September 2021

Takhrij Hadis Kitab Al-Durr al-Thamin oleh Syeikh Daud al-Fathani (Siri 4)


Syeikh Daud al-Fathani rahimahullah dalam kitab al-Durr al-Thamin (ms. 12, baris ke-15 dari atas) menyebutkan hadis:

أَهْلُ الْجَنَّةِ عِشْرُونَ وَمِائَةُ صَفٍّ، ثَمَانُونَ منها مِنْ هَذِهِ الْأُمَّةِ، وَأَرْبَعُونَ مِنْ سَائِرِ الْأُمَمِ.

“Isi syurga itu seratus dua puluh saf. Delapan puluh daripadanya daripada umat ini...dan empat puluh daripada segala umat nabi yang dahulu.”

Takhrij:

Sebagaimana yang dimaklumkan oleh Syeikh Daud al-Fathani, hadis ini diriwayatkan oleh al-Tirmizi (no. 2546) dan Ibnu Majah (no. 4289) daripada hadis Buraidah bin al-Husaib al-Aslami. Hadis ini juga diriwayatkan oleh Imam Ahmad (no. 22940, 23002 & 23061), al-Darimi (2877) dan lain-lain.

Al-Tirmizi berkata: “Hadis ini hasan.”

Ibnu Hibban memuatkan hadis ini dalam kitab Sahihnya (no. 7459 & 7460).

Al-Hakim berkata: “Hadis ini sahih berdasarkan syarat Muslim.”

Ibnu Qayyim dalam Hadi al-Arwah mengatakan sanadnya sahih berdasarkan syarat al-Sahih (yakni perawi-perawinya adalah perawi Sahih al-Bukhari atau Sahih Muslim).

Ibnu al-Mulaqqin dalam al-I’lam Bi Fawaid Umdah al-Ahkam mengatakan ia sabit.

Hadis ini juga mempunyai syawahid (hadis-hadis penguat) daripada hadis Abdullah bin Mas’ud, Ibnu Abbas, Abu Musa al-Asy’ari, Mu’awiyah bin Haidah, Abu Hurairah, mursal al-Sya’bi dan mursal Mujahid.

Selasa, 7 September 2021

Status Hadis: Kelebihan Membaca Surah al-Ikhlas Ketika Sakit

 


مَنْ قَرَأَ: قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ فِي مَرَضِهِ الَّذِي يَمُوتُ فِيهِ لَمْ يُفْتَنْ فِي قَبْرِهِ، وَأَمِنَ مِنْ ضَغْطَةً الْقَبْرِ، وَحَمَلَتْهُ الْمَلَائِكَةُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِأَكُفَّهَا حَتَّى تُجِيزُهُ الصِّرَاطَ إِلَى الْجَنَّةِ.

“Sesiapa yang membaca Qul Huwallahu Ahad ketika sakit yang membawa kepada kematiannya, dia tidak ada disoal di dalam kuburnya, aman daripada himpitan kubur dan malaikat akan membawanya dengan tangannya sehingga melintasi sirat menuju ke syurga.”

Takhrij Hadis:

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausath (no. 5785), Abu Nu’aim dalam Hilyah al-Auliya’ (2/213) dan al-Khallal dalam Fadhail Surah al-Ikhlas (no. 50) daripada jalur perawi:

(i) Muhammad bin Abdullah al-Hadrami daripada (ii) al-Abbas bin al-Fadl al-Qurasyi al-Basri daripada (iii) Abu al-Harith al-Warraq Nasr bin Hammad daripada (iv) Malik bin Abdullah al-Azdi daripada (v) Yazid bin Abdullah daripada bapanya, (vi) Abdullah bin al-Syikhir al-‘Anbari daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam.

Status Hadis:

Sanad hadis ini sangat daif kerana padanya ada beberapa kelemahan:

Pertama: Identiti al-Abbas bin al-Fadl yang berada dalam sanad ini tidak dapat ditentukan kerana ada beberapa orang perawi yang bernama al-Abbas bin al-Fadl al-Basri, antaranya: (i) al-Abbas bin al-Fadl al-Basri al-Asfati, (ii) al-Abbas bin al-Fadl al-Basri al-Azraq dan (iii) al-Abbas bin al-Fadl al-Basri  al-‘Adani.

Kedua: Nasr bin Hammad adalah perawi matruk (ditinggalkan hadisnya) dan sangat daif.

Yahya bin Ma’in berkata: “Pendusta.”

Ya’qub bin Syaibah berkata: “Tiada nilai hadisnya (ليس بشيءٍ).”

Al-Bukhari berkata: “Ahli hadis mengkritiknya (يتكلمون فيه).”

Muslim berkata: “Hanyut hadisnya (ذاهب الحديث).”

Soleh Jazarah dan Abu Zur’ah berkata: “Jangan tulis hadisnya.”

Al-Nasa’i berkata: “Tidak boleh dipercayai.”

Abu Hatim dan al-Azdi berkata: “Ditinggalkan hadisnya (متروك الحديث).”

Zakariyyah al-Saji berkata: “Termasuk di kalangan perawi yang daif.”

Al-Uqaili berkata: “Ditinggalkan hadisnya”

Al-Daraqutni berkata: “Tidak kuat dalam hadis.”

Ibnu Hibban berkata: “Dia di kalangan penghafal hadis tetapi banyak melakukan kesilapan dan terkeliru dalam sanad sehinggalah dia meriwayatkan hadis yang seolah-olah ia adalah maqlub (palsu). Apabila banyak perkara tersebut maka terbatallah kebolehan dia dijadikan hujah apabila dia bersendirian (meriwayatkan sesuatu hadis).”

Hanya Ibnu Adi yang lebih lunak kritikannya, kata beliau: “Walaupun daif masih boleh ditulis hadisnya.”

Ketiga: Malik bin Abdullah al-Azdi tidak ditemui pada jarh (kritikan) mahupun ta’dil (pujian). Al-Hafiz Ibnu Hajar menyebutkannya dalam al-Isobah, kata beliau: “Al-Zahabi menyebutkan dalam al-Tajrid bahawa dia mempunyai dua buah hadis dalam Musnad Baqi bin Makhlad.”

Pandangan Ulama Tentang Hadis Ini

1 - Al-Hafiz al-Haithami menyebutkan hadis ini dalam Majma’ al-Zawaid, kata beliau: “Diriwayatkan oleh al-Tabarani dalam al-Ausath dan dia berkata: Tidak diriwayatkan daripada Nabi salahu ‘alaihi wasallam melainkan dengan sanad ini. Dalam sanadnya ada Nasr bin Hammad al-Warraq, dia adalah matruk.”

2 - Al-Hafiz al-Sayuti mendaifkan hadis ini dalam al-Durr al-Manthur

Baca juga: 

Hadis Kelebihan Surah al-Ikhlas 

Status Hadis: Kelebihan Membaca Surah al-Ikhlas Ketika Masuk Rumah

Ahad, 5 September 2021

Adab Dengan Kitab Agama - Nasihat Syeikh Abdullah al-Talidi

1 - Syeikh Abdullah al-Talidi mengisahkan dalam autobiografi beliau, Zikrayat Min Hayati, antara nikmat yang Allah kurniakan kepada beliau adalah kurniaan untuk beradab dengan mushaf al-Quran, kitab-kitab tafsir, hadis, fiqh dan seluruh kitab-kitab agama.

2 - Beliau tidak akan meletakkan kitab-kitab lain di atas al-Quran, bahkan akan menyusun kitab-kitab tersebut berdasarkan tingkatannya.

3 - Kitab-kitab ilmu alat, sastera, dan sejarah akan berada di bawah sekali, kemudian di atasnya kitab-kitab fiqh, seterusnya kitab-kitab hadis Nabawi, lalu kitab-kitab tafsir dan al-Quran akan berada di atas sekali.

4 - Menurut beliau, tidak diketahui di kalangan ahli ilmu zaman semasa yang mampu untuk mengikut adab ini kecuali mereka yang dirahmati oleh Allah untuk berbuat demikian.

5 - Beliau pernah melihat ada di kalangan ahli ilmu yang meletakkan ganggang telefon, cawan teh dan barang-barang lain di atas kitab-kitab yang mengandungi ayat-ayat al-Quran, hadis, hukum syarak dan nama Allah.

6 - Sesiapa yang tidak mengambil berat akan adab ini maka dia adalah di kalangan orang yang rapuh agamanya, tidak menghormati sesuatu yang disucikan dan dimuliakan oleh Allah.

7 - Sebahagian guru beliau pernah menceritakan kepadanya bahawa dia pernah bertemu dengan rakannya yang merupakan daripada kalangan ulama. Dia mendapati di hadapan rakannya itu terdapat bungkusan yang mengandungi pelbagai kitab dan di atasnya terdapat dulang, teko dan cawan-cawan teh. Apabila rakannya tersebut meninggal dunia, dia melihat rakannya itu di dalam mimpi dan mendapati keadaannya tidak elok.

Rujukan:

Abdullah al-Talidi, Zikrayat Min Hayati, hlm. 112, cetakan Dar al-Qalam.

Biodata ringkas Syeikh Abdullah al-Talidi

Syeikh Abdullah al-Talidi merupakan ulama hadis yang berasal dari Maghribi. Beliau dilahirkan pada tahun 1926. Beliau merupakan murid utama kepada keluarga al-Ghumari. Antara guru beliau ialah Syeikh Ahmad al-Ghumari, Syeikh Abdullah al-Ghumari, Syeikh Abdul Aziz al-Ghumari, Syeikh Abdul Hayy al-Ghumari, Syeikh Muhammad al-Zamzami al-Ghumari dan lain-lain. Beliau menulis beberapa penulisan seperti Tahzib Jami' al-Termizi (ringkasan Sunan al-Tirmizi), Tahzib Khasais al-Kubra (ringkasan Khasais al-Kubra karangan al-Sayuthi, Tahzib al-Syifa karangan al-Qadhi 'Iyadh dan lain-lain. Beliau meninggal dunia pada 5 Ogos 2017. Semoga Allah merahmati beliau.

 


Sabtu, 4 September 2021

Takhrij Kitab al-Aziz Syarah al-Wajiz karangan Imam Izzudin Ibnu Jama'ah (m. 767 H)


Kitab ini mentakhrij hadis-hadis yang terdapat dalam kitab al-Aziz atau dikenali juga sebagai al-Syarah al-Kabir karangan Imam al-Rafi'i (m. 623 H) yang mensyarahkan kitab al-Wajiz karangan Imam al-Ghazali (m. 505 H).

Agak lewat juga kitab ini diterbitkan. Mungkin sebab kitab al-Badr al-Munir karangan al-Hafiz Ibnu al-Mulaqqin (m. 804 H) dan al-Talkhis al-Habir karangan al-Hafiz Ibnu Hajar (m. 852 H) yang terlebih dahulu dicetak sudah dianggap memadai untuk dijadikan rujukan takhrij hadis bagi kitab al-Aziz mengakibatkan kitab takhrij yang lain terabai. Daripada saiznya yang hanya 3 jilid boleh diagak yang takhrijnya lebih ringkas berbanding takhrij Ibnu al-Mulaqqin dan Ibnu Hajar.

Ada ulama lain juga yang menulis takhrij hadis kitab al-Aziz, antaranya ialah Syihabuddin al-Dimyathi (m. 749 H), Ibnu al-Naqqash (m. 763 H), al-Zarkasyi (m. 749 H), Muhammad bin Abu Bakar bin Abdul Aziz bin Jama'ah (cucu Izzudin Ibnu Jama'ah) dan al-Sayuthi (m. 911 H).

Setahu saya, ini adalah kitab takhrij ketiga bagi kitab al-Aziz yang berjaya diterbitkan manakala yang lain masih berbentuk manuskrip atau sudah tidak ditemui.

Khamis, 2 September 2021

Hadis Kelebihan Surah al-Ikhlas

 

Hadis Pertama

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الخُدْرِيِّ، أَنَّ رَجُلًا سَمِعَ رَجُلًا يَقْرَأُ: قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ يُرَدِّدُهَا، فَلَمَّا أَصْبَحَ جَاءَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَذَكَرَ ذَلِكَ لَهُ، وَكَأَنَّ الرَّجُلَ يَتَقَالُّهَا، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ إِنَّهَا لَتَعْدِلُ ثُلُثَ القُرْآنِ.

Daripada Abu Sa’id al-Khudri, (beliau meriwayatkan bahawa) seorang lelaki mendengar seorang lelaki yang lain membaca Qul Huwa Allahu Ahad dan dia mengulang-ulanginya. Apabila tiba waktu pagi, dia pergi bertemu dengan Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam dan menceritakan perkara tersebut kepada baginda. Dia menganggap amalan tersebut hanya kecil sahaja. Maka Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Demi jiwaku yang berada dalam kekuasaanNya, ia menyamai sepertiga al-Quran.”

Riwayat al-Bukhari (no. 5013).

Huraian Hadis:

1 - Lelaki yang mendengar tersebut ialah perawi hadis ini sendiri iaitu Abu Sa’id al-Khudri manakala lelaki yang membaca surah al-Ikhlas tersebut pula ialah Qatadah bin al-Nu’man. Mereka berdua ialah saudara kandung seibu dan saling berjiran.

2 - Abu Sa’id al-Khudri menganggap amalan tersebut kecil kerana jumlah ayat surah al-Ikhlas adalah sedikit.

3 - Para ulama berbeza pendapat tentang maksud surah al-Ikhlas menyamai sepertiga al-Quran. 

Sebahagian ulama memahaminya bahawa pembacanya akan mendapat pahala sebagaimana membaca sepertiga al-Quran. 

Sebahagian ulama yang lain memahaminya bahawa surah al-Ikhlas adalah satu pertiga al-Quran dari sudut isi kandungan al-Quran itu sendiri. Ini kerana al-Quran terdiri daripada tiga bahagian; ketauhidan, hukum-hakam dan kisah-kisah. Surah al-Ikhlas mengandungi berkenaan ketauhidan, jadi ia meliputi sepertiga bahagian daripada keseluruhan kandungan al-Quran. 

Sebahagian ulama pula tidak memperincikan maknanya dan menyerahkannya kepada Allah.

Hadis Kedua

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الخُدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِأَصْحَابِهِ: أَيَعْجِزُ أَحَدُكُمْ أَنْ يَقْرَأَ ثُلُثَ القُرْآنِ فِي لَيْلَةٍ؟ فَشَقَّ ذَلِكَ عَلَيْهِمْ وَقَالُوا: أَيُّنَا يُطِيقُ ذَلِكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ فَقَالَ: اللَّهُ الوَاحِدُ الصَّمَدُ ثُلُثُ القُرْآنِ.

Daripada Abu Sa’id al-Khudri radiallahu ‘anhu, beliau berkata: Nabi sallahu ‘alaihi wasallam bertanya kepada sahabat-sahabatnya:

“Adakah salah seorang daripada kamu semua tidak mampu untuk membaca sepertiga al-Quran pada waktu malam?”

Para sahabat merasa berat untuk melakukan perkara tersebut lalu mereka berkata:

“Siapalah di kalangan kami yang mampu untuk melakukan sedemikian wahai Rasulullah?”

Baginda bersabda: “Allah al-Wahid al-Samad (surah al-Ikhlas) menyamai sepertiga al-Quran.”

Riwayat al-Bukhari (no. 5015).

Hadis Ketiga

عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ: إِنَّ اللهَ جَزَّأَ الْقُرْآنَ ثَلَاثَةَ أَجْزَاءٍ، فَجَعَلَ قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ جُزْءًا مِنْ أَجْزَاءِ الْقُرْآنِ.

Daripada Abu al-Darda’, daripada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam, baginda bersabda:

“Allah membahagikan al-Quran kepada 3 bahagian dan menjadikan Qul Huwallahu Ahad satu bahagian daripada bahagian-bahagian al-Quran.”

Riwayat Muslim (no. 811).

Huraian:

Tiga bahagian bahagian tersebut ialah ketauhidan, hukum-hakam dan kisah-kisah sebagaimana yang disebutkan sebelum ini.

Hadis Keempat

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ: خَرَجَ إِلَيْنَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: أَقْرَأُ عَلَيْكُمْ ثُلُثَ الْقُرْآنِ، فَقَرَأَ: قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ اللهُ الصَّمَدُ حَتَّى خَتَمَهَا.

Daripada Abu Hurairah, beliau berkata:

“Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam keluar bertemu dengan kami lalu baginda bersabda: Aku akan bacakan kepada kalian sepertiga al-Quran. Lalu baginda membaca Qul Huwa Allahu Ahad Allahu al-Samad sehingga tamat.”

Riwayat Muslim (no. 812).

Hadis Kelima

عَنْ عَائِشَةَ: أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَعَثَ رَجُلًا عَلَى سَرِيَّةٍ، وَكَانَ يَقْرَأُ لِأَصْحَابِهِ فِي صَلاَتِهِمْ فَيَخْتِمُ بِقُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ، فَلَمَّا رَجَعُوا ذَكَرُوا ذَلِكَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: سَلُوهُ لِأَيِّ شَيْءٍ يَصْنَعُ ذَلِكَ؟، فَسَأَلُوهُ، فَقَالَ: لِأَنَّهَا صِفَةُ الرَّحْمَنِ، وَأَنَا أُحِبُّ أَنْ أَقْرَأَ بِهَا، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَخْبِرُوهُ أَنَّ اللَّهَ يُحِبُّهُ.

Daripada Aisyah (beliau meriwayatkan bahawa) Nabi sallahu ‘alaihi wasallam mengutus seorang lelaki untuk untuk memimpin pasukan perang. Dia mengimami para sahabatnya di dalam solat mereka dan beliau mengakhiri bacaannya dengan Qul Huwa Allahu Ahad.

Apabila mereka kembali, mereka menceritakan perkara tersebut kepada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam.

Baginda bersabda: “Tanyakan kepadanya mengapa dia berbuat begitu.”

Maka mereka menanyakannya. Dia menjawab: “Kerana surah ini (mengandungi) sifat Allah al-Rahman dan aku suka untuk membacanya.”

Nabi sallahu ‘alaihi wasallam lalu bersabda: “Khabarkan kepadanya bahawa Allah mencintainya.”

Riwayat al-Bukhari (no. 7375) dan Muslim (no. 813).

Huraian:

1 - Maksud ‘beliau mengakhiri bacaannya dengan Qul Huwa Allahu Ahad’ yakni setelah membaca al-Fatihah, dia membaca mana-mana surah lalu diakhiri dengan membaca surah al-Ikhlas, kemudian barulah dia rukuk. Boleh jadi juga maksudnya ialah dia mengkhususkan surah al-Ikhlas pada rakaat terakhir solat.

Faedah Hadis:

1 - Dalam hadis ini Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam mengkhabarkan kecintaan Allah kepada orang yang mencintai surah al-Ikhlas dan memperbanyakkan membacanya di dalam solat.

2 - Kecintaan lelaki tersebut terhadap surah al-Ikhlas kerana surah ini menceritakan tentang dua sifat Allah yang agung iaitu: al-Ahad (Yang Maha Esa/Tunggal) dan al-Samad (Allah menjadi tumpuan sekelian makhluk untuk memohon sebarang hajat).

2 - Hadis ini menunjukkan bahawa harus untuk membaca beberapa surah yang berlainan dalam satu rakaat setelah surah al-Fatihah.

3 - Begitu juga harus untuk mengkhususkan surah al-Quran tertentu yang disukai dan memperbanyakkan membacanya. Perbuatan tersebut tidaklah dianggap pengabaian terhadap surah-surah yang lain.

Hadis Keenam

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ، قَالَ: كَانَ رَجُلٌ مِنَ الأَنْصَارِ يَؤُمُّهُمْ فِي مَسْجِدِ قُبَاءَ، فَكَانَ كُلَّمَا افْتَتَحَ سُورَةً يَقْرَأُ لَهُمْ فِي الصَّلاَةِ يَقْرَأُ بِهَا، افْتَتَحَ بِقُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ حَتَّى يَفْرُغَ مِنْهَا، ثُمَّ يَقْرَأُ بِسُورَةٍ أُخْرَى مَعَهَا، وَكَانَ يَصْنَعُ ذَلِكَ فِي كُلِّ رَكْعَةٍ. فَكَلَّمَهُ أَصْحَابُهُ، فَقَالُوا: إِنَّكَ تَقْرَأُ بِهَذِهِ السُّورَةِ، ثُمَّ لاَ تَرَى أَنَّهَا تُجْزِيكَ حَتَّى تَقْرَأَ بِسُورَةٍ أُخْرَى، فَإِمَّا أَنْ تَقْرَأَ بِهَا، وَإِمَّا أَنْ تَدَعَهَا وَتَقْرَأَ بِسُورَةٍ أُخْرَى، قَالَ: مَا أَنَا بِتَارِكِهَا، إِنْ أَحْبَبْتُمْ أَنْ أَؤُمَّكُمْ بِهَا فَعَلْتُ، وَإِنْ كَرِهْتُمْ تَرَكْتُكُمْ. وَكَانُوا يَرَوْنَهُ أَفْضَلَهُمْ، وَكَرِهُوا أَنْ يَؤُمَّهُمْ غَيْرُهُ. فَلَمَّا أَتَاهُمُ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَخْبَرُوهُ الخَبَرَ. فَقَالَ: يَا فُلاَنُ، مَا يَمْنَعُكَ مِمَّا يَأْمُرُ بِهِ أَصْحَابُكَ، وَمَا يَحْمِلُكَ أَنْ تَقْرَأَ هَذِهِ السُّورَةَ فِي كُلِّ رَكْعَةٍ؟ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ إِنِّي أُحِبُّهَا. فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّ حُبَّهَا أَدْخَلَكَ الجَنَّةَ.

Daripada Anas bin Malik, beliau berkata:

“Seorang lelaki daripada kaum Ansar mengimamkan kaumnya di masjid Quba’. Setiap kali dia ingin membaca surah (selepas al-Fatihah) untuk mereka di dalam solat, dia akan mula dengan membaca surah al-Ikhlas sehinggalah tamat. Kemudian dia akan membaca surah lain bersamanya dan dia melakukan sedemikian pada setiap rakaat.

Para sahabatnya bertanya kepadanya: Kamu membaca surah ini, kemudian kamu merasa ia tidak memadai sehinggalah kamu membaca surah yang lain. Sepatutnya kamu membaca surah ini sahaja atau kamu meninggalkannya dan membaca surah yang lain sahaja.

Beliau menjawab: Aku tidak akan meninggalkannya. Kalau kalian mahu maka aku akan mengimamkan kalian dengan membacanya. Kalau kalian enggan maka aku tidak akan mengimamkan kalian.

Mereka menganggap dia adalah orang yang paling afdal di kalangan mereka dan mereka tidak mahu orang lain yang mengimamkan mereka. Apabila Nabi sallahu ‘aihi wasallam datang kepada mererka, mereka lalu mengkhabarkan perkara tersebut kepada baginda.

Baginda bertanya: Wahai si fulan, apa yang menghalang kamu daripada melakukan sebagimana yang diminta oleh sahabatmu itu? Apa yang menyebabkan kamu ingin membaca surah ini pada setiap rakaat?

Dia menjawab: Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku sangat mencintainya.

Baginda lalu bersabda: Sesungguhnya kecintaanmu kepadanya akan memasukkan kamu ke dalam syurga.”

Riwayat al-Tirmizi (no. 2901). Diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Sahihnya secara mu’allaq (tanpa sanad yang lengkap). Hadis ini disahihkan oleh Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban dan al-Hakim. Kata al-Tirmizi: “Hadis ini hasan gharib.”

Faedah Hadis:

1 - Hadis ini adalah sebuah hadis yang agung yang menerangkan salah satu wasilah untuk masuk ke syurga iaitu dengan mencintai surah al-Ikhlas, menghayati kandungannya serta memperbanyakkan membacanya di dalam solat.

Hadis Ketujuh

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ: أَقْبَلْتُ مَعَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَسَمِعَ رَجُلاً يَقْرَأُ: قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ اللَّهُ الصَّمَدُ فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: وَجَبَتْ. قُلْتُ: مَا وَجَبَتْ؟ قَالَ: الجَنَّةُ.

Daripada Abu Hurairah, beliau berkata:

 “Aku hadir bersama Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam. Lalu baginda terdengar seorang lelaki sedang membaca Qul Huwa Allahu Ahad Allahu al-Samad.

 Maka Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Telah dijamin.

 "Aku bertanya: Apa yang telah dijamin?

 Baginda menjawab: Syurga (baginya).”

 Riwayat al-Tirmizi (no. 2897) dan al-Nasa’i (no. 994). Kata al-Tirmizi: “Hadis ini hasan sahih gharib.” 

Hadis Kelapan

عَنْ مُعَاذِ بْنِ أَنَسٍ الْجُهَنِيِّ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مَنْ قَرَأَ: قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ حَتَّى يَخْتِمَهَا عَشْرَ مَرَّاتٍ، بَنَى اللهُ لَهُ قَصْرًا فِي الْجَنَّةِ. فَقَالَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ: إِذًا نَسْتَكْثِرَ يَا رَسُولَ اللهِ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: اللهُ أَكْثَرُ وَأَطْيَبُ.

Daripada Mu’az bin Anas al-Juhani, daripada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam, baginda bersabda:

“Sesiapa yang membaca Qul Huwallahu Ahad sehingga tamat sebanyak 10 kali, Allah akan membina baginya sebuah istana di dalam syurga.”

Umar bin al-Khattab bertanya “Kalau kami membaca lebih banyak wahai Rasulullah?”

Baginda menjawab: “Allah lebih banyak dan lebih baik (ganjarannya).”

Riwayat Ahmad (no. 15610) dengan sanad yang daif. Hadis ini mempunyai syahid (hadis penguat) daripada hadis mursal Sa’id bin al-Musayyib yang diriwayatkan oleh al-Darimi (no. 3472).

Hadis Kesembilan

عَنِ فَيْرُوز الدَّيْلَمِيِّ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ قَرَأَ قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ مِائَةَ مَرَّةٍ فِي الصَّلَاةِ أَوْ غَيْرِهَا كَتَبَ اللَّهُ لَهُ بَرَاءَةً مِنَ النَّارِ.

Daripada Fairuz al-Dailami, beliau berkata: Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Sesiapa yang membaca Qul Huwa Allahu Ahad sebanyak 100 kali dalam solat atau selainnya, maka Allah menetapkan baginya pembebasan daripada api neraka.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (no. 852) dengan sanad yang daif. Al-Haithami dalam Majma’ al-Zawaid berkata: “Diriwayatkan oleh al-Tabarani. Dalam sanadnya ada Muhammad bin Qudamah al-Jauhari, dia adalah daif.”

Hadis Kesepuluh

عَنْ بُرَيْدَةَ بِنْ الحَصِيب الأَسْلَم، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَمِعَ رَجُلًا يَقُولُ: اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ أَنِّي أَشْهَدُ أَنَّكَ أَنْتَ اللَّهُ، لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، الْأَحَدُ الصَّمَدُ الَّذِي لَمْ يَلِدْ، وَلَمْ يُولَدْ، وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ، فَقَالَ: لَقَدْ سَأَلْتَ اللَّهَ بِالِاسْمِ الَّذِي إِذَا سُئِلَ بِهِ أَعْطَى، وَإِذَا دُعِيَ بِهِ أَجَابَ.

Daripada Buraidah bin al-Hasib al-Aslami, beliau berkata:

“Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam mendengar seorang lelaki berdoa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ أَنِّي أَشْهَدُ أَنَّكَ أَنْتَ اللَّهُ، لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، الْأَحَدُ الصَّمَدُ الَّذِي لَمْ يَلِدْ، وَلَمْ يُولَدْ، وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ

Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepadaMu. Sesungguhnya aku bersaksi bahawa sesunggunya Engkau adalah Allah yang tiada tuhan selain Engkau. Yang Maha Esa lagi menjadi tumpuan memohon hajat oleh segala makhluk. Tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Dan tidak ada suatu pun yang setara denganNya.

Rasulullah lalu bersabda:

Sesungguhnya engkau telah meminta kepada Allah dengan suatu nama yang jika engkau meminta dengannya nescaya Dia akan memberi. Dan jika didoakan dengan menggunakan nama itu nescaya Dia akan memperkenankan.”

Riwayat Abu Daud (no. 1493), al-Tirmizi (no. 3475), al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra (no. 7619) dan Ibnu Majah (no. 3857). Kata al-Tirmizi: “Hadis ini hasan gharib.” Hadis ini disahihkan oleh Ibnu Hibban dan al-Hakim.

Hadis Kesebelas

عَنْ مِحْجَنَ بْنَ الْأَدْرَعِ، قَالَ: دَخَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَسْجِدَ، فَإِذَا هُوَ بِرَجُلٍ قَدْ قَضَى صَلَاتَهُ، وَهُوَ يَتَشَهَّدُ وَهُوَ يَقُولُ: اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ يَا اَللَّهُ الْأَحَدُ الصَّمَدُ، الَّذِي لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ، وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ، أَنْ تَغْفِرَ لِي ذُنُوبِي، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ، قَالَ: فَقَالَ: قَدْ غُفِرَ لَهُ، قَدْ غُفِرَ لَهُ ثَلَاثًا.

Daripada Mihjan bin al-Adra’, beliau berkata:

“Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam masuk ke dalam masjid dan terdapat seorang lelaki yang hampir menyelesaikan solatnya, dia bertasyahud lalu berdoa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ يَا اَللَّهُ الْأَحَدُ الصَّمَدُ، الَّذِي لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ، وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ، أَنْ تَغْفِرَ لِي ذُنُوبِي، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Ya Allah sesungguhnya aku memohon kepadaMu, Ya Allah sesungguhnya Engkau Tuhan Yang Maha Esa, yang menjadi tumpuan memohon hajat oleh segala makhluk, Yang tidak beranak dan tidak diperanakkan, tiada sesuatu yang setanding denganNya, ampunilah dosa-dosaku, sesungguhnya Engkau Tuhan yang Maha Pengampun Lagi Maha Mengasihani.

Rasulullah bersabda: Telah diampunkan baginya (dosanya). Telah diampunkan baginya (dosanya).

Baginda mengulanginya tiga kali.”

Riwayat Ahmad (no. 18974), Abu Daud (no. 985) dan al-Nasa’i (no. 1301). Hadis ini disahihkan oleh Ibnu Khuzaimah dan al-Hakim.

Faedah Hadis Kesepuluh dan Kesebelas:

1 - Hadis ini menjelaskan tentang kelebihan doa ini yang mengandungi nama Allah yang Maha Agung. Sesiapa yang berdoa dengan doa ini nescaya akan dimustajabkan doanya. Maka seharusnya mendahulukan doa ini sebelum meminta sesuatu hajat.

2 - Sebahagian nama Allah mempunyai rahsia tersendiri yang tidak terdapat dalam nama Allah yang lain. Meskipun kesemua nama-nama Allah adalah agung namun sebahagiannya mempunyai kelebihan untuk dimustajabkan doa. Maka perbanyakkanlah berdoa dengan nama-nama Allah ini.

3 - Disyariatkan bertawasul kepada Allah melalui amalan soleh. Dalam kedua hadis ini lelaki tersebut telah bertawasul kepada Allah melalui penyaksiannya terhadap ketauhidan Allah. Mentauhidkan Allah adalah ibadah dan ketaatan yang paling utama untuk mendekatkan diri kepada Allah. Oleh itu, gandakanlah usaha melakukan amalan-amalan soleh yang dapat digunakan untuk bertawasul kepada Allah.