Hadis Pertama
مَنْ قَرَأَ قُلْ هُوَ اللهُ
أَحَدٌ حِينَ يَدْخُلُ مَنْزِلَهُ نَفَتِ الْفَقْرَ عَنْ أَهْلِ ذَلِكَ
الْمَنْزِلِ وَالْجِيرانِ.
“Sesiapa yang membaca Qul Huwa Allahu Ahad ketika
masuk ke dalam rumahnya, maka akan terhindar kefakiran daripada ahli rumah
tersebut dan jirannya.”
Takhrij Hadis:
Riwayat al-Kharaiti dalam Makarim al-Akhlaq
(no. 878) dan al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (no. 2419) daripada
jalur perawi:
Marwan bin Salim daripada Abu Zur’ah
bin ‘Amru bin Jarir daripada Jarir bin Abdullah daripada Rasulullah sallahu
‘alaihi wasallam.
Status Hadis:
Sanadnya sangat daif kerana Marwan bin Salim adalah
perawi matruk (ditinggalkan hadisnya) dan Zakariya al-Saji menuduhnya
menipu dan memalsukan hadis.
Al-Haithami dalam Majma’ al-Zawaid berkata:
“Diriwayatkan oleh al-Tabarani dan dalam sanadnya ada
Marwan bin Salim al-Ghifari, dia adalah matruk.”
Ibnu Kathir turut mendaifkan hadis ini dalam
tafsirnya.
Hadis Kedua
جاء رجل الى النبي صلى الله
عليه وسلم فشكا إليه الفقر وضيق المعاش. فقال له رسول الله صلى الله عليه وسلم:
إذا دخلت بيتك فسلم إن كان
فيه أحد وان لم يكن فيه أحد فسلّم عليّ، وأقرأ قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ مرة واحدة.
ففعل الرجل فأدرّ الله عليه
رزقا حتى أفاض على جيرانه.
“Seorang lelaki datang kepada Nabi sallahu ‘alaihi
wasallam lalu mengadu kepada baginda akan kefakiran dan kesempitan hidupnya.
Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepadanya:
Apabila engkau hendak masuk ke dalam rumah, maka engkau
berilah salah jika ada sesiapa di dalam rumah itu. Jika tidak ada sesiapa maka
berilah salam kepadaku dan bacalah Qul Huwa Allahu Ahad sebanyak sekali.
Allah lalu melimpahkan baginya rezeki sehingga
mengalir kepada jirannya.”
Takhrij Hadis:
Diriwayatkan oleh al-Tha’labi dalam Tafsir al-Kasyf
Wa al-Bayan (30/489, cetakan: Dar al-Tafsir) daripada hadis Sahl bin Sa’ad.
Status Hadis:
Sanad hadis ini sangat daif kerana ada perawi bernama Abdullah
bin Muhammad bin Ya’qub. Dia dituduh memalsukan hadis oleh Abu Sa’id al-Rawwas
dan Ahmad al-Sulaimani. Al-Hakim dan al-Khatib al-Baghdadi pula mengatakan
bahawa dia memiliki hadis-hadis palsu, mungkar dan gharib.
Beberapa orang perawi yang lain pula tidak ditemui
maklumat tentang mereka.
Hadis Ketiga
مَنْ أَتَى مَنْزِلَهُ
فَقَرَأَ الْحَمْدَ لِلَّهِ وَقُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ، نُفِيَ عَنْهُ الْفَقْرُ
وَكَثُرَ خَيْرُ بَيْتِهِ حَتَّى يَفِيضَ عَلَى جِيرَانِهِ.
“Sesiapa yang masuk ke dalam rumahnya lalu membaca Alhamdulillah
(surah al-Fatihah) dan Qul Huwa Allahu Ahad, akan dihindari daripadanya
kefakiran dan akan menjadi banyak kebaikan rumahnya sehingga mengalir kepada
jirannya.”
Takhrij Hadis:
Diriwayatkan oleh Ibnu al-Jauzi dalam al-Maudhu’at
(no. 1496) daripada hadis Abu Hurairah. Dalam sanadnya ada perawi bernama Abu
Sahl Muhammad bin Salim al-Kufi.
Status Hadis:
Ibnu al-Jauzi berkata: “Hadis ini tidak sahih
daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam. Muhammad bin Salim bersendirian
meriwayatkannya. Ahmad berkata: Dia menyerupai perawi matruk. Yahya al-Qattan
berkata: Tiada nilai (لَيْسَ بِشَيءٍ).”
Al-Sayuti dalam al-Laali al-Masnu’ah (2/240) tidak
bersetuju dengan penilaian Ibnu al-Jauzi. Beliau berkata:
“Dia (Muhammad bin Salim) adalah daripada perawi
al-Tirmizi dan tidak dituduh memalsukan hadis. Bagi hadis tersebut ada penguat
(syahid).”
Ibnu ‘Arraq dalam Tanzih al-Syari’ah al-Marfu’ah
(2/292) pula membantah al-Sayuti. Beliau berkata:
“Telah lalu di bahagian mukadimah apa yang mengizinkan
untuk menuduhnya (memalsukan hadis).”
Di bahagian mukadimah, Ibnu ‘Arraq menyenaraikan
beberapa orang perawi yang dituduh memalsukan hadis. Antaranya ialah Muhammad
bin Salim tersebut. Beliau membawakan kalam al-Saji yang berkata: “Ahmad
mengingkari hadis-hadis yang diriwayatkannya dan beliau berkata ianya palsu.”
Hadis penguat yang dimaksudkan oleh al-Sayuti adalah
hadis yang keempat ini.
Hadis Keempat
Ibnu ‘Abbas berkata:
من قَرَأَ قُلْ هُوَ اللَّهُ
أَحَدٌ إِذَا دخل عَلَى أَهله أصَاب أَهْله وجيرانه مِنْهَا خير.
"Sesiapa yang
membaca Qul Huwa Allahu Ahad apabila masuk bertemu dengan keluarganya, maka
keluarganya dan jirannya akan mendapat kebaikan daripada bacaannya itu.”
Takhrij Hadis:
Diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman
(no. 2324) daripada jalur perawi:
‘Amir bin Yasaf daripada Abdul Karim daripada
Ibnu ‘Abbas secara mauquf.
Status Hadis:
Abdul Karim di sini menurut Syeikh Abdul Rahman al-Mu’allimi
ialah Abu Umayyah (yakni Abu Umayyah, Abdul Karim bin Abi al-Mukhariq), seorang
perawi yang sangat daif.
Tetapi saya temui sebuah hadis dalam al-Mu’jam
al-Ausath (no. 721) yang diriwayatkan oleh ‘Amir bin Yasaf daripada Abdul
Karim dan disebutkan bahawa Abdul Karim tersebut adalah Abdul Karim al-Khazzaz
(الخزاز) atau al-Kharraz
(الخراز). Kata
al-Azdi tentangnya: “Amat lemah hadisnya (واهي الحديث جدا (.”
Jadi, sanad hadis ini adalah sangat daif.
Hadis Kelima
مَنْ
قَرَأَهَا حِينَ يَدْخُلُ مَنْزِلَهُ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ نَفَتْ عَنْهُ الْفَقْرَ،
وَنَفَعَتِ الْجَارَ.
"Sesiapa
yang membacanya (surah al-Ikhlas) ketika masuk ke dalam rumahnya sebanya ktiga
kali, akan dihindarkan kefakiran daripadanya dan jiranya juga akan mendapat
manfaat.”
Takhrij Hadis:
Diriwayatkan oleh al-Khallal dalam Fadhail Surah
al-Ikhlas (no. 30) dan al-Mustaghfiri dalam Fadhail al-Quran (no. 1078) daripada
jalur perawi:
Yahya bin Abdullah al-Harrani daripada Dhirar bin ‘Amru al-Malathi daripada Aban bin Abi ‘Ayyash
daripada Anas daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam.
Status Hadis:
Sanadnya sangat daif.
Yahya bin Abdullah al-Harrani adalah daif manakala Dhirar dan Aban adalah perawi matruk.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan