Hadis Pertama
كْعَتَانِ مِنَ الْمُتَزَوِّجِ أَفْضَلُ مِنْ
سَبْعِينَ رَكْعَةً مِنَ الأَعْزَبِ.
“Dua rakaat (solat) daripada orang yang telah berkahwin
lebih baik daripada 70 rakaat daripada orang bujang.”
Sumber Hadis:
Hadis ini diriwayatkan oleh al-‘Uqaili dalam al-Dhu’afa’
al-Kabir dan Ibnu al-Jauzi dalam al-Maudhu’at daripada jalur sanad:
Mujasyi’ bin ‘Amru daripada Abdul Rahman bin Zaid bin
Aslam daripada bapanya daripada Anas bin Malik.
Penilaian Hadis:
1 – Al-‘Uqaili berkata:
“Mujasyi’ hadisnya mungkar dan tidak mahfuz.”
2 – Ibnu al-Jauzi berkata:
“Al-‘Uqaili berkata: Mujasyi’ hadisnya mungkar dan tidak mahfuz.
Yahya bin Ma’in berkata: Aku melihatnya sebagai salah seorang daripada penipu. Ibnu
Hibban berkata: Dia mereka-reka hadis atas nama perawi yang thiqah. Tidak halal
menyebutkannya kecuali dengan celaan.”
3 - Ahmad bin al-Siddiq al-Ghumari dalam al-Mughir ‘Ala
al-Ahadith al-Maudhu’ah Fi al-Jami’ al-Saghir berkata:
“Al-‘Uqaili berkata tentangnya: Ia adalah mungkar. Maksud
beliau, ia adalah palsu.”
Hadis Kedua
رَكْعَتانِ مِنَ المُتأَهِّلِ خَيْرٌ مَنْ اثْنَيْنِ
وَثَمانِينَ رَكْعَةً مِنَ العَزْبِ.
"Dua rakaat daripada orang yang telah berkeluarga lebih
baik daripada 82 rakaat orang bujang."
Sumber Hadis:
Hadis ini diriwayatkan oleh Tammam al-Razi dalam al-Fawaid
dan al-Dhiya’ al-Maqdisi dalam al-Ahadith al-Mukhtarah melalui jalur sanad:
Mas’ud bin ‘Amru al-Bakri daripada Humaid al-Thawil daripada
Anas bin Malik.
Penilaian Hadis:
1 – Al-Hafiz al-Zahabi dalam Mizan al-I’tidal
berkata:
“Mas’ud bin ‘Amru al-Bakri, aku tidak mengenalinya dan
hadisnya batil.”
Lalu al-Zahabi menyebutkan hadis di atas.
2 – Al-Hafiz al-Suyuti menukilkan dalam al-Laali al-Masnu’ah
daripada al-Hafiz Ibnu Hajar, beliau berkata dalam Athraf al-Mukhtarah:
“Hadis ini munkar tidak ada maknanya (faedahnya) untuk beliau
(al-Dhiya’ al-Maqdisi) meriwayatkannya.”
Hadis Ketiga
شِرَارُكُمْ عُزَّابُكُمْ، رَكْعَتَانِ مِنْ
مُتَأَهِّلٍ خَيْرٌ مِنْ سَبْعِينَ رَكْعَةً مِنْ غَيْرِ مُتَأَهِّلٍ.
“Seburuk-buruk
orang di kalangan kalian adalah orang yang bujang. Dua rakaat yang dilakukan
oleh orang yang berkeluarga adalah lebih baik daripada orang yang tidak
berkeluarga.”
Sumber Hadis:
Hadis ini
diriwayatkan oleh Ibnu ‘Adi dalam al-Kamil Fi Dhu’afa’ al-Rijal dan Ibnu
al-Jauzi dalam al-Maudhu’at melalui jalur sanad:
Yusuf bin
al-Safar daripada al-Auza’i
daripada Yahya bin Abu Kathir daripada Abu Salamah daripada Abu Hurairah.
Penilaian Hadis:
1 – Ibnu ‘Adi
dalam al-Kamil membawakan hadis di atas bersama beberapa buah hadis lain
yang mempunyai sanad yang sama, lalu beliau berkata:
“Hadis-hadis ini
daripada Yahya daripada Abu Salamah bersama hadis-hadis lain dengan sanad ini yang
diriwayatkan semuanya oleh Yusuf bin al-Safar, semuanya adalah palsu.”
2 – Ibnu al-Jauzi
berkata:
“Ibnu ‘Adi
berkata: Ini adalah hadis palsu. Abu Zur'ah dan An-Nasa'i berkata: "Yusuf
adalah perawi yang ditinggalkan hadisnya (matruk al-hadith)." Abu Hatim
bin Hibban berkata: "Dia meriwayatkan daripada Al-Auza'i perkara yang
bukan daripada hadisnya (pada hakikatnya), maka tiada keraguan bagi pendengar
bahawa ia adalah palsu. Tidak halal berhujah dengannya dalam apa jua keadaan.
Ad-Daraqutni berkata: "Dia ditinggalkan dan seorang pendusta.”
Kesimpulan
Ketiga-tiga hadis di atas adalah palsu. Oleh itu tidak dibenarkan menyandarkannya kepada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam dan disebarkan melainkan untuk menyatakan kepalsuannya.
*Tulisan ini saya telah kemas kini semula pada 2/12/2024.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan