Sabtu, 24 Disember 2016
Takhrij hadis: Cinta dunia dan benci kepada mati
Takhrij hadis:Bilakah berlakunya kiamat?
Ahad, 18 Disember 2016
Hadis Kelebihan Fatimah
Biografi Ringkas Sayyidah Fatimah
Fatimah
merupakan anak perempuan Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam yang paling
bongsu. Beliau dilahirkan 5 tahun sebelum Rasulullah sallahu ‘alihi wasallam
dilantik menjadi Rasul.
Menjadi kebiasaan
ibunya, Khadijah apabila melahirkan anak beliau akan menyerahkan anaknya untuk
disusukan oleh ibu susuan. Namun apabila beliau melahirkan Fatimah maka beliau
sendiri yang menyusukannya.
Beliau
digelar al-Zahra’ kerana wajahnya yang putih bersinar dan bercahaya sebagaimana
bapanya. Beliau juga digelar al-Batul. Asal maksud dari segi bahasa al-Batul
ialah memutus dan memotong. Sebab beliau digelar al-Batul kerana beliau memotong
dan mendahului wanita pada zamanya dan wanita lain di kalangan umat Islam ini
dari segi menjaga kehormatan diri, kelebihan, agama dan silsilah keturunan.
Perwatakan
beliau saling tidak tumpah dengan Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam.
Khadam Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam, Anas bin Malik berkata: “Tidak
ada seorang pun yang menyerupai Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam melainkan
al-Hasan bin Ali dan Fatimah.” Aisyah berkata: “Aku tidak pernah melihat
seorang pun di kalangan manusia yang menyerupai Nabi dari segi percakapan dan
cara duduknya melainkan Fatimah.”
Abu Bakar
dan Umar pernah meminang beliau untuk dijadikan isteri namun telah ditolak oleh
Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam dengan alasan beliau masih muda.
Apabila Ali pula meminangnya maka baginda menerima dan mengahwinkannya. Ali
lebih tua 5 tahun berbanding Fatimah. Sebuah baju besi telah dijadikan mahar
perkahwinan yang penuh keberkatan ini. Hasil perkongsian hidup bersama Ali,
mereka telah dikurniakan 5 orang anak; al-Hasan (lahir tahun 3 Hijrah),
al-Husain (lahir tahun 4 Hijrah), Muhassin (meninggal dunia setelah dilahirkan),
Ummu Kulthum (lahir sekitar tahun 6 Hijrah) dan Zainab (lahir ketika Rasulullah
masih hidup).
Fatimah
merupakan ahli keluarga baginda yang paling awal menyusuri baginda. Para ulama
berbeza pendapat berapa lamakah tempoh antara kewafatan Rasulullah dengan
kewafatan Fatimah. Ada yang mengatakan dua bulan, tiga bulan, lapan bulan dan
beberapa pendapat yang lain. Namun pendapat yang paling tepat yang dipilih oleh
Imam al-Nawawi, Ibnu Kathir dan Ibnu Hajar ialah enam bulan. Usia beliau ketika
meninggal dunia ialah 29 tahun.
Jenazah
beliau telah dimandikan oleh Asma’ binti ‘Umais (isteri Abu Bakar al-Siddiq) dengan
dibantu oleh Ali. Solat jenazahnya telah diimamkan oleh Abu Bakar al-Siddiq dan
ada pendapat lain yang mengatakan Ali yang mensolatkan jenazahnya. Jenazah
beliau lalu dikebumikan di perkuburan Baqi’.
Rujukan: Fatimah al-Zahra’ bint Rasulillah Wa Umm al-Hasanain karangan Abdul Sattar al-Syeikh.
Hadis Kelebihan Fatimah
Hadis Pertama
إِنَّمَا
فَاطِمَةُ بَضْعَةٌ مِنِّي يُؤْذِينِي مَا آذَاهَا.
“Sesungguhnya Fatimah adalah sebahagian daripadaku.
Sesiapa menyakitinya maka dia menyakitiku.”
Riwayat al-Bukhari (no. 3714, 3729 & 3767) dan Muslim (no. 2449) daripada
al-Miswar bin al-Makhramah.
Pengajaran Hadis:
1 – Hadis
ini menunjukkan keistimewaan Fatimah dan kedudukan beliau dalam hati Rasulullah
sallahu ‘alaihi wasallam sehingga sesiapa yang menyakiti beliau dianggap
telah menyakiti baginda.
2 –
Larangan untuk menyakiti setiap orang yang dicintai oleh Rasulullah sallahu
‘alaihi wasallam kerana secara tidak langsung akan menyakiti baginda.
3 - Galakan untuk mencintai Fatimah dan setiap
orang yang dicintai oleh baginda.
Hadis Kedua
يَا فَاطِمَةُ أَمَا تَرْضِيْنَ أَنْ تَكُونِي
سَيِّدَةَ نِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ، أَوْ سَيِّدَةَ نِسَاءِ هَذِهِ الْأُمَّةِ.
“Wahai Fatimah, tidakkah kamu reda menjadi penghulu
wanita beriman atau (syak daripada perawi hadis) penghulu wanita bagi umat ini.”
Riwayat al-Bukhari (no. 3624 & 6285) dan Muslim (no. 2450) daripada ‘Aisyah.
Pengajaran Hadis:
1 – Hadis ini menjadi dalil keutamaan Fatimah. Baginda memberikan khabar gembira kepadanya bahawa beliau akan menjadi ketua wanita yang beriman di syurga.
2 - Keluarga Nabi Muhammad sallahu 'alaihi wasallam, termasuk Fatimah, adalah contoh teladan bagi umat Islam dalam mengamalkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan harian.
3 - Motivasi kepada wanita beriman untuk berusaha mencapai kedudukan mulia di sisi Allah melalui ketaatan, kesabaran, dan ibadah yang ikhlas.
Hadis Ketiga
عن عَائِشَةَ قَالَتْ: أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى
اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَعَا فَاطِمَةَ ابْنَتَهُ فَسَارَّهَا فَبَكَتْ، ثُمَّ
سَارَّهَا فَضَحِكَتْ. فَقَالَتْ عَائِشَةُ: فَقُلْتُ لِفَاطِمَةَ: مَا هَذَا
الَّذِي سَارَّكِ بِهِ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ،
فَبَكَيْتِ، ثُمَّ سَارَّكِ فَضَحِكْتِ؟ قَالَتْ: سَارَّنِي فَأَخْبَرَنِي
بِمَوْتِهِ، فَبَكَيْتُ، ثُمَّ سَارَّنِي، فَأَخْبَرَنِي أَنِّي أَوَّلُ مَنْ
يَتْبَعُهُ مِنْ أَهْلِهِ فَضَحِكْتُ.
Daripada ‘Aisyah, beliau berkata:
“Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam memanggil anaknya,
Fatimah. Baginda berbisik kepadanya lalu Fatimah menangis. Kemudian baginda
berbisik sekali lagi lalu Fatimah gembira.
Aku bertanya kepada Fatimah: Apa yang Rasulullah bisikan
kepada kamu lalu kamu menangis, kemudian baginda berbisik sekali lagi lalu kamu
gembira?
Fatimah menjawab: Baginda berbisik kepadaku tentang
kematiannya, maka aku menangis. Kemudian baginda berbisik sekali lagi bahawa
aku adalah orang yang terawal mengikutinya daripada kalangan ahli keluarganya,
maka aku gembira.”
Riwayat al-Bukhari (no. 3715) dan Muslim (no. 2450).
Pengajaran Hadis:
1 – Hadis ini menunjukkan mukjizat Nabi sallahu ‘alaihi
wasallam. Baginda mengkhabarkan bahawa Fatimah akan hidup selepas baginda
wafat dan beliau adalah orang pertama daripada keluarga baginda yang meninggal
dunia dan perkara tersebut benar-benar berlaku.
2 – Kegembiraan Fatimah dengan pengkhabaran baginda tersebut
menunjukkan bahawa beliau lebih mementingkan akhirat berbanding dunia dan
kegembiraan beliau untuk berpindah ke alam akhirat berbanding kekal di dunia.
Hadis Keempat
أَفْضَلُ نِسَاءِ أَهْلِ الْجَنَّةِ : خَدِيجَةُ
بِنْتُ خُوَيْلِدٍ ، وَفَاطِمَةُ بِنْتُ مُحَمَّدٍ ، وَآسِيَةُ بِنْتُ مُزَاحِمٍ
امْرَأَةُ فِرْعَوْنَ، وَمَرْيَمُ ابْنَةُ عِمْرَانَ.
“Sebaik-baik wanita ahli syurga ialah Khadijah binti
Khuwailid, Fatimah binti Muhammad, Asiah binti Muzahim -isteri firaun- dan
Maryam binti Imran.”
Riwayat Ahmad (no. 2668) daripada Ibnu ‘Abbas. Hadis
ini disahihkan oleh Ibnu Hibban, al-Hakim dan Ibnu Hajar.
Pengajaran
Hadis:
1 – Hadis
ini menjadi dalil kedudukan istimewa keempat-empat wanita tersebut berbanding
wanita-wanita yang lain.
2 – Para
ulama berbeza pendapat siapakah di antara keempat-empat wanita tersebut yang
paling afdal.
Sebahagian
ulama mendahulukan Maryam binti Imran kerana ada pendapat ulama yang mengatakan
beliau adalah nabi.
Sebahagian
ulama yang lain mendahulukan Fatimah kerana darah daging Rasulullah mengalir
dalam tubuh beliau.
Menurut
Imam al-Nawawi, setiap wanita tersebut adalah wanita yang terbaik di zaman
mereka. Adapun untuk memilih yang paling terbaik di kalangan mereka maka adalah
lebih baik berdiam diri daripada membincangkan perkara tersebut.
Ahad, 27 November 2016
Hadis: Sesiapa yang meninggalkan solat...
Sabtu, 26 November 2016
Hadis palsu: Pahala bagi isteri yang memelihara anak
Hisham bin ‘Ammar seorang yang benar [صدوق] tetapi berubah ingatannya ketika tua. Ayahnya, ‘Ammar bin Nusair, disebutkan oleh Ibnu Hibban dalam al-Thiqat dan didaifkan [لين] oleh Ibnu ‘Asakir dalam Tarikh Dimasq.
Jumaat, 11 November 2016
Hadis larangan berdiri untuk menghormati
Ahad, 30 Oktober 2016
Hadis solat dan membaca al-Quran dalam kubur
Apabila dimasukkan ke dalam liang lahad, dilihat dia mengerjakan solat. [جامع كرمات الأولياء]