Kisah kewafatan Rasulullah
tersebut disebutkan secara panjang lebar oleh al-Khubawi dalam Nurrah
al-Nasihin. Saya bawakan bahagian yang sebut tentang Malaikat Jibril
berpaling tersebut sahaja:
قال عليه
الصلاة والسلام: " يا ملك الموت أدن مني". فدنا يعالج قبض روح رسول الله
محمد صلى الله عليه وسلم فلما بلغ الروح منه السرة، قال عليه الصلاة والسلام:
"يا جبرائيل، ما أشد مرارة الموت ! " فولى جبرائيل وجهه عنه، فقال عليه
الصلاة والسلام: " يا جبرائيل: أكرهت النظر إلى وجهي ؟" فقال جبرائيل:
"يا حبيب الله: من يطيق قلبه أن ينظر إلى وجهك وأنت في سكرات الموت!
Nabi sallahu ‘alaihi wasallam
bersabda: “Wahai Malaikat Maut, dekatlah kepadaku. Malaikat Maut pun mendekati
Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam dan mula menjalankan tugasnya mencabut
nyawa Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam. Apabila [dicabut rohnya] sampai ke
pusat, baginda bersabda: “Wahai Jibrail, alangkah sakitnya rasa sakaratul maut
ini.” Maka Jibrail memalingkan wajahnya dari pandangan Nabi, lalu baginda
bersabda: Wahai Jibril, apakah engkau tidak suka melihat wajahku? Jibrail
menjawab: Wahai kekasih Allah, siapakah orang yang sampai hati melihat wajah
engkau sedangkan engkau dalam sakaratul maut?”
Menurut Dr Ahmad Lutfi Fadlullah
dalam tesis PhD beliau, Takhrij Hadis Durrah al-Nasihin, tidak diragukan
lagi bahawa lafaz ini adalah riwayat tukang cerita (القصاص)
yang biasanya banyak menambah dan melebih-lebihkan cerita sebenar. Dalam
beberapa kitab sejarah Nabi sallahu ‘alaihi wasallam yang muktabar,
tidak dikesan satu riwayat pun yang menyebutkan cerita di atas.
Selain itu, beberapa keratan
lafaz [yang] al-Khubawi [bawakan] amat gharib [ganjil] dan tidak masuk
akal. Antaranya, ada dialog antara Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam
dengan Jibril beberapa saat sebelum ajal tiba, bahkan sampai ajal tiba. Kalau
pun para sahabat dapat mendengar perkataan Rasulullah sallahu ‘alaihi
wasallam, apakah mereka dapat mendengar perkataan Jibril dan Malaikat Maut?
Sedangkan [untuk] Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam menceritakan
dialog ini adalah mustahil, sebab ajal baginda sudah hampir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan