اعمل
لدنياك كأنك تعيش أبداً واعمل لآخرتك كأنك تموت غداً
"Bekerjalah untuk dunia
seolah-olah kamu akan hidup selamanya.Beribadahlah untuk akhirat seolah-olah
kamu akan mati esoknya."
Lafaz seperti ini tidak
diriwayatkan daripada Nabi sallahu 'alaihi wasallam sebagaimana yang
ditegaskan oleh Sayyid Ahmad al-Siddiq al-Ghumari dalam Subul al-Huda
dan Sayyid Abdullah al-Siddiq al-Ghumari dalam ulasan beliau ke atas kitab al-Maqasid
al-Hasanah. Sebaliknya ia diriwayatkan dengan sanad yang daif daripada
kata-kata Abdullah bin 'Amru, itu pun lafaz yang berbeza.
Sayyid Ahmad al-Ghumari menulis
dua buah risalah tentang kepalsuan hadis ini iaitu 'Iyyaka Min al-Ightirar
Bi Hadith I'mal Li Dunyaka' dan ringkasannya yang berjudul 'Subul
al-Huda Fi Ibthal Hadith I'mal Li Dunyaka Ka Annaka Ta'isyu Abada'.
Diriwayatkan oleh Ibnu al-Mubarak
dalam az-Zuhd, Ibn Qutaibah dalam Uyun al-Akhbar dan al-Harith
dalam Musnadnya dengan sanad terputus daripada Abdullah bin Amru,
katanya:
"احرث لدنياك كأنك تعيش
أبداً، واحرث لأخرتك كأنك تموت غداً".
"Bercucuk tanamlah untuk
duniamu seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya dan bercucuk tanamlah untuk
akhiratmu seolah-olah kamu akan mati esok hari”.
Manakala lafaz yang mirip yang
diriwayatkan daripada hadis Nabi sallahu 'alaihi wasallam tetapi dengan
sanad daif adalah seperti di bawah:
"اعمَلْ عملَ امريءٍ يظنّ أن
لن يموت أبداً، واحذّرْ حذرَ امريءٍ يخشى أن يموت غداً."
"Beramallah seperti
amalan orang yang menyangka dia tidak akan mati selama-lamanya dan
berwaspadalah seperti waspada orang yang takut dia akan mati esok hari”.
Lafaz ini tak ada disebut 'dunia'
dan 'akhirat'. Secara zahir, kesemuanya berkait dengan amal akhirat sahaja. Ia
diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam Sunannya secara lafaz panjang dan ad-Dailami
dalam Musnad al-Firdaus secara lafaz pendek drp Abdullah bin Amru.
Al-Hafiz as-Suyuti mengisyaratkannya sebagai daif dan Syeikh al-Munawi
mengulas: "Demikian kerana pada sanadnya terdapat perawi majhul dan ada
kelemahan”.
P/S: Sebahagian tulisan ini saya
ambil dari tulisan Ustaz Khafidz Soroni dan sebahagian lagi tulisan saya
sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan