Selasa, 10 Julai 2018

Istilah Ilmu Hadis 29: Mutawatir (المُتَوَتِرُ)


Hadis yang diriwayatkan oleh sekumpulan perawi yang ramai di setiap tabaqat (peringkat) daripada tabaqat-tabaqat sanadnya, yang bilangan yang ramai tersebut menunjukkan mustahil pada adatnya mereka semua boleh berpakat untuk menipu atau berdusta, dan bentuk hadis tersebut pula disandarkan kepada lima pancaindera.

Syarat-syarat Hadis Mutawatir

1 – Perawi yang ramai dalam setiap tabaqat sanadnya.

Namun ulama telah berselisih pendapat dalam menentukan kadar bilangan yang ramai tersebut yang dapat dikatakan memenuhi syarat Mutawatir.

Maka ada yang meletakkan bilangannya 10 orang perawi yang meriwayatkan hadis itu, ada yang meletakkan 40 orang dan sebagainya, bahkan ada yang menyatakan bahawa bilangannya haruslah sehingga 300 orang. Namun, al-Hafiz Ibnu Hajar menyatakan bahawa:

Pendapat yang benar dalam menentukan syarat ‘ramai’ ini ialah tanpa ditentukan bilangan perawi tersebut. Ukuran yang diambil kira ialah kadar terhasilnya ilmu (secara yakin). Maka setiap kadar bilangan yang membawa kepada ilmu (secara yakin) dengan sendirinya adalah muktabar.

2 – Mustahil semua perawi tersebut sepakat untuk menipu atau berdusta. Begitu juga mustahil boleh berlaku penipuan tanpa mereka rancang. Maksudnya adalah mustahil pada adatnya bilangan yang ramai di setiap tabaqat ini berpakat semuanya untuk membuat pendustaan sama ada secara sengaja ataupun tidak.

3 – Berterusan bilangan yang ramai tersebut sepanjang sanad, iaitu dari asal sanad sehinggalah ke penghujungnya. Ertinya tidak berkurangan bilangan perawi yang ramai tersebut dan sekiranya berlebih pula tidaklah memberi kesan apa-apa.

4 – Hendaklah sandaran hadis tersebut kepada lima pancaindera, iaitu sama ada penglihatan, pendengaran atau sebagainya, seperti kata perawi: “Aku mendengar”, atau “Aku lihat”...Maka tidak termasuk sekiranya perawi hanya menyandarkan khabar itu kepada lojik akal sahaja, seperti: “Satu itu adalah separuh dari dua”, atau “Alam ini baharu”...

Maka semua hadis yang memenuhi keempat-empat syarat di atas dinamakan sebagai hadis Mutawatir. Namun sekiranya sesuatu hadis itu tidak memenuhi syarat-syarat di atas, walaupun hilang satu syarat sahaja daripadanya, ia dipanggil sebagai hadis Ahad.

Jenis-jenis Mutawatir

Hadis Mutawatir terbahagi kepada dua jenis, iaitu Mutawatir Lafzi dan Mutawatir Maknawi. Penerangannya adalah seperti berikut:

1. Mutawatir Lafzi:

Iaitu hadis yang diriwayatkan oleh bilangan perawi yang ramai dengan lafaz yang sama.

Sebagai contoh:

Hadis: “Sesiapa yang berdusta atas namaku secara sengaja, maka dia telah menempah tempatnya di neraka.”

Hadis ini diriwayatkan oleh 70 orang sahabat dengan lafaz yang sama.

2. Mutawatir Maknawi

Iaitu hadis yang diriwayatkan oleh bilangan perawi yang rama dengan lafaz yang berbeza-beza, namun kesemua lafaz tersebut memberi makna yang sama.

Antara Mutawatir Maknawi ialah berbagai-bagai peristiwa yang disampaikan kepada kita oleh bilangan perawi yang ramai, yang setiap peristiwa yang berlaku tersebut terdapat satu perkara yang sama yang terlibat di dalamnya. Jadi secara tidak langsung, perkara sama yang disebut-sebut dalam semua peristiwa-peristiwa itu adalah menjadi Mutawatir Maknawi.

Sebagai contoh:

Hadis Nabi sallahu ‘alaihi wasallam mengangkat tangan ketika berdoa.

 Ia diriwayatkan oleh lebih daripada 20 orang sahabat. Setiap riwayat hadis tersebut menceritakan peristiwa yang berbeza-beza, namun semuanya ada menyebutkan bahawa Nabi sallahu ‘alaihi wasallam mengangkat tangan ketika bedoa.

Jadi kesepakatan para perawi dalam menyatakan bahawa Nabi sallahu ‘alaihi wasallam mengangkat tangan ketika berdoa ini dianggap Mutawatir Maknawi.

[Kamus Istilah Hadis, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri, hlm. 462]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan